29.1.13

PAndangan Pelbagai Pihak "Isu Pemecatan Ustaz Nasharudin"

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang dipecat sebagai ahli Majlis Syura Ulama Pas pada 13 Januari lalu menyatakan komitmennya untuk meneruskan perjuangan mendaulatkan Islam sama ada berjawatan atau pun tidak.

Sambil mengakui belum menerima sebarang surat berhubung pemecatannya itu, Nasharudin menegaskan, beliau akan terus memberikan sumbangan terbaik kepada mana-mana pihak yang ingin mendaulatkan agama yang suci itu. 

Beliau menjelaskan, jawatannya sebagai ahli Majlis Syura Ulama Pas merupakan lantikan parti dan bukan pilihannya, sehubungan itu, Pas berhak mengambil semula jawatan tersebut. 

''Berorganisasi hanyalah wadah tetapi berpegang pada prinsip adalah satu tuntutan"

=============

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemecatan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama parti itu sebagai satu keputusan yang 'agak aneh'.
 
Timbalan Perdana Menteri berkata, pemecatan itu mungkin berkaitan dengan langkah Nasharudin yang menyertai Kerajaan Pusat dalam membantu rakyat Palestin.

Katanya, perbezaan fahaman politik bukannya penghalang untuk mereka bekerjasama dan beliau yakin Nasharudin akan bersikap profesional.

"Jadi agak aneh apabila keputusan itu dibuat, seolah-olah menidakkan usaha dan kerja amal sedangkan Pas memperjuangkan Islam.

"Saya percaya Nasharudin akan terus berusaha dan membuat sesuatu untuk umat Islam serta menjalinkan hubungan baik dengan asas yang kukuh walaupun bersama dengan parti berbeza kerana perjuangan Palestin adalah isu semua orang Islam.

"Tetapi pemecatan itu hak mereka, kita perhatikan sahajalah," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama 3,000 penjawat awam di sini hari ini.

Nasharudin dipecat daripada Majlis Syura Ulama pada 13 Januari lalu dengan alasan kerap tidak hadir mesyuarat serta sering membuat kenyataan yang tidak selari dengan pendirian dan ketetapan parti.

Bagaimanapun, difahamkan punca beliau dipecat kerana dilihat sebagai 'mesra Kerajaan Pusat' termasuk menyertai lawatan kemanusiaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza, Palestin pada 22 Januari lalu.

Pada Ogos 2012, Nasharudin turut menemani Perdana Menteri bertemu dengan para ulama Arab Saudi di Mekah sempena Persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

==============

 
KUALA LUMPUR 28 Jan. - Kehadiran Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam sambutan hari jadinya yang ke-82 di kediaman Pengerusi DAP, Karpal Singh dilihat sebagai satu sindiran tajam kepada Dewan Ulama Pas berkenaan isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, tindakan Nik Abdul Aziz itu sememangnya tamparan hebat kepada Dewan Ulama Pas kerana sebelum ini Karpal merupakan individu yang lantang meminta dikaji semula keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang tidak membenarkan kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.

"Sikap Nik Abdul Aziz ini seolah-olah menolak pendirian ulama namun itu tidak mengejutkan kerana beliau sebelum ini merupakan individu terawal yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah namun kemudiannya tewas hujah dan terpaksa akur dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas.

================

POKOK SENA 28 Jan. - Pemecatan Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama disambut baik oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menganggap perkara itu dibuat demi kebaikan parti.

Menurutnya, dia juga menerima serta akur dengan keputusan yang dibuat itu dan baginya pemecatan itu ialah perkara biasa di dalam sesebuah parti.

“Bila seorang itu tidak menunjukkan minat untuk menunaikan tanggungjawab kepada parti, maka tak ada keperluan untuk dikekalkan seseorang itu dalam jawatan yang diamanahkan kepadanya.

“Kalau kita lihat Nasharudin sendiri banyak buat kenyataan-kenyataan dan disiarkan oleh media, dia adalah ahli Majlis Syura tapi dia tak penah hadir Majlis Syura jadi dia tak tau keputusan Majlis Syura.

“Jadi bagi saya tak wajar seorang yang tak hadir mesyuarat buat kenyataan kerana dia tak memahami apa yang diputuskan oleh Majlis Syura," katanya kepada pemberita di Pejabat Pas Pokok Sena, di sini hari ini.

================

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, beliau belum dimaklumkan secara rasmi mengenai penggugurannya daripada Majlis Syura sebaliknya hanya mengetahui berhubung perkara itu melalui media.

"Sehingga di saat ini saya masih belum menerima sebarang surat menyatakan perlucutan jawatan tersebut.
"Saya hanya tahu tentang pemecatan tersebut melalui media dan tidak melalui saluran rasmi parti," katanya menerusi satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Nasharuddin, yang juga Ahli Parlimen Bachok, berkata jawatan dalam Majlis Syura Ulama itu adalah lantikan parti dan parti berhak untuk memecatnya. 

"Berorganisasi hanyalah wadah tetapi berpegang pada prinsip adalah satu tuntutan dan saya akan terus berikan sumbangan terbaik kepada mana-mana pihak yang ingin mendaulatkan Islam," katanya. - BERNAMA

===================










No comments: