14.1.13

KALIMAH ALLAH: PERJELAS MAKSUD “SALAH GUNA”

KALIMAH ALLAH: PERJELAS MAKSUD “SALAH GUNA”


 

Shah Alam – Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Aidit Ghazali mencabar Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS memperjelaskan kenyataan ‘salah guna kalimah ALLAH’ apabila berpendirian ia boleh digunakan di dalam Bible daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu.


Menurutnya, ini adalah isu pokok dan tidak ada ruang untuk wujud perbezaan pendapat, sewajarnya mereka tampil menjelaskan maksud sebenar kenyataan tersebut kepada umat Islam negara ini.


“Bagaimana syarat tersebut menentukan tidak akan berlaku perkara tidak diingini? Saya mohon perkara ini mendapat pencerahan kerana ia melibatkan isu utama yang mana jika mahu digunakan perlu melalui beberapa perspektif iaitu Al-Quran dan Sunnah, Perlembagaan Persekutuan, Majlis Fatwa dan juga titah Sultan Selangor”, katanya semalam.


Katanya, keempat-empat perspektif tersebut dengan jelas tidak wujud ruang ijtihad seperti yang dinyatakan.

“Penjelasan harus dilakukan segera. Apakah cara pemantauan yang dilakukan, siapa dan bagaimana mahu dilaksanakan. Jangan terlalu taksub dengan politik sehingga meletakkan isu agama ini di belakang. Itu salah”.


“melihat kepada perspektif tersebut, boleh dikatakan jika ingkar Al-Quran dan Sunnah mereka fasik, melanggar Perlembagaan Persekutuan, mengkhianati Negara, melanggar Majlis Fatwa Kebangsaan mereka bukan golongan ahli sunnah Waljamaah dan mengingkari titah Sultan adalah penderhaka”, katanya.


Sumber: Sinar Harian, 11 Januari 2013 (Jumaat)

Lihat kenyataan penuh media di http://www.mais.net.my/images/stories/Iklan/kmkAllah2013.pdf

No comments: