15.1.13

Boleh membaca TANPA perlu ke sekolah!

Tablet ganti guru

Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

KANAK-KANAK di kampung yang dikelilingi gunung berapi memakai baju lusuh dan compang-camping. Mereka tidur dalam khemah yang dibuat daripada kayu dan lumpur, ditemani lembu dan kambing. Mereka tidak pergi ke sekolah tetapi kanak-kanak di sini kenal huruf rumi, malah ada yang boleh mengeja.
Rahsia mereka ialah 20 komputer tablet yang 'diturunkan' ke perkampungan Ethiopia pada Februari tahun lalu oleh sekumpulan yang menggelarkan diri sebagai One Laptop Per Child. Tujuannya untuk mengetahui sama ada kanak-kanak yang menggunakan teknologi terkini boleh belajar membaca sendiri di tempat yang tiada sekolah atau guru. Penyelidik daripada Institut Teknologi Massachusetts yang menganalisa projek berkenaan berkata, mereka terkejut dengan penemuan kajian.
"Apa yang saya fikirkan sudah pun berlaku, kanak-kanak itu belajar lebih banyak berbanding murid yang dihantar ke tadika selama setahun," kata Matt Keller yang menyelenggarakan program berkenaan.
Kanak-kanak yang paling cepat belajar ialah Kelbesa Negusse, 8, yang pertama menerima tablet Motorola Xoom pada Februari tahun lalu. Walaupun kamera pada tablet berkenaan tidak berfungsi untuk menyimpan gambar, dalam masa beberapa minggu Kelbesa sudah tahu bagaimana hendak menggunakan komputer itu dan menjadikan kameranya berfungsi semula.

Dia menggelar dirinya 'singa'. Di Ethiopia ia menjadi lambang apabila seseorang dapat menyempurnakan atau melaksanakan sesuatu.

Selepas sembilan bulan terbabit dalam program berkenaan, kumpulan kanak-kanak yang berkaki ayam itu duduk di pondok gelap berlantaikan rumput kering. Pada ketinggian 3,300 meter dari aras laut dan cuaca malam yang sejuk, kebanyakan kanak-kanak ini batuk dan selesema. Namun mereka semua tekun mengadap tablet masing-masing.

Satu program perisian meminta mereka klik pada warna - hijau, merah dan kuning. "Bagus", kata suara yang dirakam pada perisian berkenaan. Kelbesa menyusun semula huruf HSROE kepada nama haiwan dalam bahasa Inggeris yang dia tahu. Dia mengeja sendiri dan menaip huruf terbabit dalam ruang yang disediakan.

"Dia berjaya mengeja perkataan 'bird' (burung). Tujuh bulan lalu, dia tidak tahu satu perkataan dalam bahasa Inggeris pun! Ini sungguh mengagumkan.

"Jika kami dapat buktikan kanak-kanak boleh belajar sendiri cara membaca dan kemudian membaca untuk belajar, maka dunia akan melihat teknologi sebagai cara untuk mengubah masa depan kanak-kanak paling miskin dan tinggal di kawasan terpencil.

"Kami sudah buktikan kita sebenarnya boleh membantu kanak-kanak ini dan ubah cara mereka berfikir dan melihat dunia. Inilah janji yang boleh ditunaikan oleh teknologi," kata Keller gembira.

Profesor di Universiti Tufts, Maryanne Wolf, yang mengkhusus dalam kajian permulaan pembacaan dan pembelajaran bahasa dilantik menjadi penasihat kepada projek One Laptop. Pada awalnya dia yang mengkritik projek berkenaan tetapi terkejut dengan insiden memulihkan fungsi kamera yang dilakukan oleh Kelbesa.

"Memang sukar dipercayai. Saya sendiri tidak boleh lakukan seperti itu. Tapi mereka belajar dan pembelajaran itu berlaku terus menerus. Pada saya ia sangat mengagumkan. Dulu saya kritik kerana tidak percaya mereka akan tertarik kepada perisian yang lebih berorientasikan celik huruf," katanya.

Kebanyakan 60 keluarga di Kampung Wenchi bekerja sebagai petani, menanam kentang dan menghasilkan madu. Tidak seorang pun penduduk dewasa di kampung itu boleh membaca. Namun semuanya memberi sokongan penuh kepada projek berkenaan dan melahirkan rasa syukur kerana anak-anak mereka terpilih sebagai perintis.

"Saya rasa kalau awak beri makanan dan minuman, mereka tidak akan keluar dari bilik komputer. Mereka akan 'berumah tangga' di situ," kata Teka Kumula, yang mengecas tablet di stesen solar dibina oleh One Laptop.

Kumula Misgana, 70, pergi ke pondok yang disediakan One Laptop untuk memerhatikan kanak-kanak di situ. Tiga daripada mereka beradu dalam permainan menggunakan rumput kering.

"Saya sangat tertarik dengan teknologi. Ada banyak gambar haiwan yang saya tidak pernah tahu kewujudannya.

"Kami (orang dewasa) rasa cemburu. Semua orang mahukan peluang seperti ini tetapi kami gembira kerana anak-anak kami dapat belajar," katanya.

Kelbesa, si budak singa berkata, "Saya lebih suka komputer berbanding kawan-kawan kerana saya boleh belajar banyak perkara."

Ditanya apakah perkataan Inggeris yang dia tahu, dia dengan pantas menjawab "Dog, donkey, horse, sheep, cow, pig, cat."

Kelbesa, yang mempunyai empat beradik dan dibesarkan oleh ibunya, Abelbech Wagari, mempunyai satu impian besar iaitu menjadikan tablet berkenaan sebagai laluan untuk mendapat pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Walaupun penduduk kampung bersyukur dengan peluang One Laptop itu, mereka tetap mengharapkan kehadiran seorang guru di situ.

Keller berkata, Nicholas Negroponte, perintis sains komputer MIT yang mengasaskan One Laptop, kini dalam proses menghasilkan program untuk 100 juta kanak-kanak di seluruh dunia yang tidak dapat pergi ke sekolah.

Menurut Wolf, Negroponte mahu memanfaatkan 'kebolehan luar biasa kanak-kanak untuk mengajar diri sendiri', bagaimanapun wanita itu tidak berhasrat menggantikan tugas guru.

Tujuan projek itu untuk memasukkan kanak-kanak ke peringkat 'pembacaan mendalam' yang mana mereka boleh membaca untuk belajar. Ia tidak akan dilakukan dalam Amharic, bahasa kebangsaan Ethiopia tetapi dalam bahasa Inggeris - yang menjadi tiket kepada pekerjaan bergaji lumayan.

Keller dan Wolf berkata, mereka kini hanya berada di peringkat awal dalam memahami kepantasan kanak-kanak di Wenchi boleh menguasai huruf rumi. Uji kaji ini akan diulang di perkampungan terpencil di negara lain, menggunakan perisian yang lebih mengkhusus.

Mungkin anda berfikir kanak-kanak di Wenchi lebih memerlukan makanan berzat dan pakaian berbanding bahasa kedua dengan ketiadaan guru. Inilah persoalan yang membuatkan Wolf tidak dapat tidur malam.

Namun akhirnya, dia mengambil keputusan nekad. Dia tahu, tidak kira sama ada di kawasan terpencil di Afrika atau mana saja di pelusuk dunia ini, wanita yang boleh membaca mempunyai peluang lebih baik untuk memastikan anak-anaknya boleh hidup melepasi umur lima tahun. Mereka lebih pantas mengambil tahu terutama dalam aspek perubatan, asas kesihatan dan perkembangan ekonomi.

"Jadi pada jam 3 pagi, saya berfikir, apakah saya boleh lakukan satu perkara, menggunakan pengetahuan saya iaitu dalam perkembangan pembacaan, minda dan pemikiran? Inilah yang saya mahu lakukan, inilah sumbangan saya pada pemakanan dan kesihatan kanak-kanak," katanya. - AP

No comments: