23.11.11

TIPS SELESAIKAN MASALAH HARIAN KITA!

Assalamualaikum,
Tidak dinafikan bahawa setiap hari kita berhadapan dengan seribu satu masalah samada yang berbentuk :
  1. Peribadi.
  2. Keluarga.
  3. Persekitaran tempat kerja.
  4. Masyarakat.
  5. Negara.
  6. Dunia.
Namun, setiap permasalahan tersebut akhirnya kembali kepada seseorang individu itu sendiri iaitu samada wujudnya perasaan yakin dan percaya kepada kemampuan diri kita sendiri.
Jika kita sudah hilang keyakinan diri maka sebanyak manapun usaha luaran yang dilakukan, ianya tidak banyak mengubah nasib dan keadaan seseorang itu.
Jadi bagaimanakah caranya kita nak membangun keyakinan diri?

PERTAMA:
Kita seharusnya menyedari bahwa Allah swt menciptakan kita dengan perhitungan dan pertimbangan yang maha cermat dan dengan peluang untuk berjaya.
Firman Allah swt :
"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya". (QS At Tin : 4)
Potensi untuk berjaya telah ada dalam diri kita. Tanpa kita sedar bahwa kita sebenarnya pernah bertarung dengan begitu banyak calon manusia lain untuk dipilih lahir ke dunia.
Dari 250 juta sperma yang terpancar, yang berjumpa dengan sel telur hanyalah satu dan itulah KITA.....Masyaallah!!!
Kemudian kita diberi hak yang sama untuk berjaya iaitu sebagai pewaris Syurga.
Walaubagaimanapun kita berbeza dengan tumbuh-tumbuhan, binatang, syaitan atau malaikat kerana kita diberi kebebasan memilih untuk berjaya atau gagal.
Tentunya pilihan kita adalah berjaya. Kita tidak diciptakan untuk gagal. Jika kita gagal, itu pasti bukan kehendak Allah melainkan kerana kita tidak serius menggunakan potensi yang Allah kurniakan.

KEDUA:
Belajarlah mensyukuri nikmat yang Allah berikan.
Alhamdulillah :
  1. Akal kita boleh berfikir.
  2. Mata boleh melihat.
  3. Telinga boleh mendengar.
  4. Mulut boleh berbicara.
  5. Hati masih mempunyai iman.
Cari nikmat Allah yang masih boleh kita syukuri kerana setiap kali bersyukur setiap kali pula datang nikmat lainnya.
Jika badan kita lumpuh, alhamdulillah telinga kita masih mendengar. Jika tak boleh mendengar, alhamdulillah kita masih boleh membaca.
Jadi daripada kita memikirkan yang tidak ada, lebih baik kita memikirkan potensi yang ada.
Demikian juga fikirkanlah tentang kejadian masa lalu yang membuatkan kita sedar bahwa kita pernah berbuat sesuatu atau mungkin kita pernah mengalami situasi sulit yang berhasil kita atasi.

KETIGA:
Kita seharusnya mampu membaca potensi yang ada pada diri kita.
Maka segeralah cari, gali dan kenal pasti segala potensi yang ada pada diri kita misalnya dengan bertanya kepada ibubapa, suami, isteri atau teman dekat atau juga berjumpa dengan doktor, pakar psikiatri bahkan ustaz / ulama' untuk melihat potensi diri kita.
Boleh jadi, banyak potensi yang terpendam di dalam diri kita yang tidak kita sedari hingga tidak berhasil kita gali.

KEEMPAT:
Paculah diri kita untuk terus belajar dari orang-orang yang berjaya.
"Bakar" semangat kita dengan bersilaturahim dengan orang-orang yang berjaya atau membaca dan mempelajari buku tentang cara orang berjaya terutama membaca sejarah para Rasul yang mampu membangkitkan dan mengubah peradaban.
Makin banyak kita mempelajari cara-cara tersebut maka makin terbakar semangat kita.
Misalnya tentang bagaimana Nabi Muhammad saw diboikot dan diusir dari tanah kelahirannya tapi boleh kembali semula dengan membangkitkan moral dan keyakinan para sahabat baginda.
Baginda juga seorang yatim piatu yang boleh menjadi seorang pengusaha yang berjaya.

KELIMA:
Carilah lingkungan yang boleh memotivasikan kita untuk berjaya.
Mulailah perbaiki pergaulan kita.
Cari dan bergaullah dengan orang-orang yang :
  1. Mempunyai potensi untuk bangkit.
  2. Yakin dan percaya kepada diri sendiri.
  3. Sanggup menafkahkan hidupnya utk mempersembahkan yang terbaik.
Rasulullah saw menyatakan dalam sebuah hadisnya yg bermaksud lebih kurang :
"Bergaul dengan penjual minyak wangi akan ikut terbawa harumnya manakala bergaul dengan tukang besi akan terbau sama bau bakaran besi tersebut".
Oleh itu, jangan sampai salah kita memilih teman atau lingkungan kerana ianya akan
menentukan prestasi kita.

KEENAM:
Setelah potensi diketahui maka mulailah berani kita bekerja dan mengharungi risiko.
Carilah pengalaman dengan mencuba sesuatu kerana setiap kali kita berpengalaman maka itu akan menambah kepercayaan terhadap diri kita.
Yang disebut gagal itu jika :
  1. Niatnya tidak baik.
  2. Ikhtiarnya tidak maksimum.
  3. Tidak ada ikhtiar langsung.
Jika kita sudah mencuba maka niatnya sahaja sudah menjadi amal.
Orang yang gagal adalah orang yang tidak pernah mencuba.
Naik tangga kelima mestilah dimulai dengan tangga pertama. Dalam kita mencuba sesuatu kita mestilah menyiapkan diri untuk menerima hasilnya samada sesuai atau tidak dengan keinginan kita.
Jika hasilnya tidak sesuai dengan keinginan kita maka itulah yg terbaik menurut Allah swt. Tidak semestinya semuanya sesuai dengan keinginan kita. Yang pentingnya berani berbuat sesuatu selagi ianya dalam kebaikan.

KETUJUH:
Bertawakkal kepada Allah swt.
Sesudah perhitungan kita matang, maka seterusnya, tingkatkan amalan yang disukai Allah kerana dialah yg menggenggam jalan keluar dari kesulitan kita.
Makin kukuh ibadah kita, makin bagus solat kita, makin kuat doa kita maka makin cepat datangnya pertolongan Allah. Ini boleh mempertingkatkan keyakinan terhadap diri kita.

Sesungguhnya Allah swt tidak akan menyia-nyiakan amal yang kita lakukan. Tidak perlu panik untuk menghadapi kegawatan dan kesempitan hidup. Anggaplah ia sebagai ladang dari Allah untuk membangkitkan kemampuan kita.
Kadang-kadang, kelapangan dan kesenangan tidak menjadikan seseorang itu kreatif tetapi kesulitan dan kesusahan seringkali menjadikan seseorang itu kreatif.

"Bekerjalah. Sesungguhnya Allah, Rasul dan orang-orang yang beriman akan melihat amal-amal yang kamu lakukan".

Itulah sedikit renungan, semoga ianya mampu membangkitkan perasaan yakin kepada diri kita sendiri dan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita.
Bagi orang-orang Mukmin, kita hanya perlu berusaha bersungguh-sungguh dan natijahnya kita serah kpd Allah swt.

Mungkin dengan usaha kita yang sedikit, manusia lain akan mendapat petunjuk dan hidayah ke jalan yang benar dan ini adalah lebih besar pahalanya daripada dunia dan seisinya.
Ya Allah, tumbuhkanlah keyakinan di dalam diri kami kerana sesungguhnya Engkau tidak akan menyia-nyiakan amal-amal kami selagimana kami melaksanakannya berasaskan keimanan yang mendalam kepadaMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

No comments: