4.11.11

KITA MEMANG DILAHIRKAN UTK KAYA DAN BERJAYA- CARI SATU QUALITY PRODUK....

Kelapa sumber rezeki Ishak



BAGI yang sudah terbiasa dngan produk tempatan berasaskan bahan semula jadi, tentu tidak asing apabila melihat jenama Bio-Asli. Cukup gah dengan rangkaian produk berasaskan herba dan juga minyak kelapa dara, keluaran milik syarikat Ishak Basiran, 42, itu banyak cerita dan keistimewaannya.

Namun, di sebalik kejayaannya mencipta hingga 40 produk dan dipasarkan dalam talian ke 231 buah negara, laluan buat Ishak sebenarnya tidak bermula dengan mudah. Ia merupakan hasil kerja keras serta usaha yang tidak pernah putus.

Pada awal zaman persekolahan, Ishak kerap ponteng kelas dan hal itu membuatkan hati ibunya sedikit tersinggung memikirkan masa depan anaknya.

“Saya ambil upah kupas kelapa setiap kali saya ponteng sekolah. Bila tiba masa kawan-kawan pulang dari sekolah, saya akan menyorok dalam lori kelapa tersebut.

“Memanglah ketika itu malas sangat hendak belajar, tapi selepas ditegur oleh seorang lelaki yang juga mengambil upah kupas kelapa sama seperti saya, ia membuatkan saya sedikit takut akan masa depan dan bimbang menjadi seperti dia,” imbas Ishak yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor.

Bermula saat itu, Ishak tekad untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Setiap malam Ishak akan mengulangkaji pelajaran bertemankan pelita tanah dan seperti biasa dia tetap akan mengambil upah mengupas kelapa selepas habis kelas.

Walaupun persekolahan Ishak berjalan lancar selepas itu, tetapi dia masih gagal mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris dan ciri-ciri kepimpinan dalam diri. Begitupun, berkat usaha yang tidak kenal putus asa, akhirnya dia muncul sebagai pelajar terbaik Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di sekolahnya.

Sejurus menempatkan diri di Universiti Teknologi Mara (ketika itu Institut Teknologi Mara), kecintaan Ishak terhadap dunia perniagaan semakin ketara apabila dia terlibat dengan jualan dari rumah ke rumah menjual barangan syarikat yang disertainya seperti berus gigi, buku dan lain-lain.


MINYAK Kelapa Dara merupakan produk pertama keluaran Bio-Asli pada tahun 2005.


“Di kolej pula, saya memang tidak boleh duduk diam, saya akan isi masa saya menjual nasi lemak dari bilik ke bilik dan pendek kata selagi saya boleh membuat duit saya akan cuba lakukan,” imbas Ishak.

Jurutera elektronik

Sebagai lulusan Ijazah Sarjana Kepujian Kejuruteraan Jentera, Ishak menimba pengalaman dahulu dalam bidang tersebut untuk beberapa tahun sebelum membuka sebuah kilang elektronik di Sabak Bernam pada 1997.

Bermodalkan RM2,600 dan enam orang tenaga kerja, kilang tersebut mendapat kepercayaan syarikat gergasi Jepun, Tamura Electronics (M) Sdn. Bhd. untuk pemasangan komponen transformer.

Pada awalnya, ia mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap bulan dan secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak desa Sabak Bernam.

“Kegawatan ekonomi ketika itu menjejaskan prestasi syarikat dan bagi mengelakkan perniagaan saya terkubur, saya mengambil alternatif lain dengan melakukan satu lagi perniagaan dengan jenama Desaku.

“Desaku diwujudkan pada 2000 dengan produk utama kami merupakan makanan dan minuman berasaskan bahan-bahan asli orang kampung seperti buah-buahan tempatan,” katanya yang juga memiliki pengalaman menimba ilmu sebagai jurutera di Amerika Syarikat (AS) dan Korea.

Masih belum berpuas hati dengan perkembangan perniagaan Desaku, Ishak lantas cuba berfikir untuk mencipta produk baharu menggunakan herba ataupun buah-buahan tempatan.

Selepas menjalankan beberapa siri penyelidikan dan pembangunan (R&D), pada tahun 2005 dengan rasminya tercipta minyak kelapa dara sebagai produk sulung di bawah syarikat baharu Ishak, Bioasli Global Business.

Minyak kelapa dara

Pemilihan minyak kelapa dara dirasakan bertepatan dengan kehendak perniagaan Ishak yang mahu membawa rangkaian produk tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Kelapa merupakan buah-buahan tempatan yang mengandungi banyak khasiatnya. Paling menyedihkan, orang kita sendiri tidak tahu akan keistimewaan buah kelapa tersebut.

“Penciptaan minyak kelapa dara membuka mata ramai pihak bahawa isi kelapa segar itu membantu merawat tubuh badan dan boleh diekstrak ke dalam bentuk lain untuk tujuan kecantikan dan kesihatan.

“Lebih daripada itu, produk ini boleh digunakan oleh semua orang di serata dunia. Menerusi aplikasi dalam talian, perniagaan saya lebih mudah dan berkembang dengan pantas,” jelasnya yang cukup mengagumi kehebatan herba-herba tempatan.


DALAM tempoh lebih lima tahun, Bio-Asli berjaya mencipta sehingga 40 jenis produk.


Kini selepas lima tahun bertapak, minyak kelapa dara keluaran Bio-Asli terus bertahan dan mendapat permintaan menggalakkan orang ramai berikutan kualiti serta perkhidmatan yang cemerlang.

Selaku usahawan, Ishak tidak mahu Bio-Asli hanya bergantung harap pada minyak kelapa dara. Oleh itu, dia akan memastikan satu produk baharu dihasilkan setiap tiga bulan sekali.

Kesemua produk yang dihasilkan itu pula tidak tertumpu kepada kesihatan sahaja malah ia turut merangkumi kecantikan lelaki dan wanita seperti losyen, syampu, deodoran dan minyak wangi.

Produk untuk keintiman suami isteri yang menggunakan herba tradisional juga mendapat permintaan dalam kalangan pengguna produk bioasli terutama produk Brutal yang menjadi pilihan utama kaum Adam.

Orang kampung

Percaya atau tidak, kejayaan yang diciptakan Ishak itu terjadi di luar bandar dan ibu pejabat serta kilang pemprosesan perniagaannya juga terletak di Sabak Bernam.

Kemudahan perniagaan dalam talian memudahkan segala urusan Bio-Asli berhubung ke serata negara tanpa perlu bersusah payah ke bandar atau ke luar negara bagi menghantar produk yang dibeli pengguna.

“Untuk menjadi seorang usahawan, kita tidak perlu bersusah payah bekerja di bandar kerana sebenarnya kawasan kampung paling banyak membuka pintu rezeki buat masyarakat kita.

“Jika kita lihat, banyak tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan herba-herba tempatan boleh dikomersialkan menjadi produk bertaraf antarabangsa namun, anak-anak muda kita lebih suka bekerja di bandar kerana suasananya lebih mewah dan selesa,” luahnya.

Ishak juga berpendapat bahawa jika pakar-pakar penyelidik pulang ke kampung halaman dan bersedia menjadi usahawan, sudah tentu Malaysia sudah menjadi negara yang terkenal dengan pengekstrakan produk tempatan.

No comments: