Kisah orang kaya jadi miskin di Greece
|
SELEPAS 18 tahun memperhambakan diri memasak moussaka dan kambing panggang di sebuah restoran di sekitar Greece, Petros Papadopoulos menyediakan pula makan tengah hari untuk 50 orang di tempat yang tidak pernah dibayangkan selama ini. Ia merupakan kawasan kediaman golongan gelandangan di Athens.
Chef bersuara lembut yang mengaku tidak memberikan nama sebenar kerana khuatir jika rakan dan sanak-saudara akan mengetahui keadaannya itu, baru sahaja membeli sebuah rumah flat dan berhasrat untuk membina keluarga selepas impiannya dimusnahkan oleh krisis ekonomi yang melanda Greece.
Pada tahun 2010, dia kehilangan kerja berikutan kemelesetan ekonomi terburuk di Greece sejak sedekad lalu dan ribuan rakyatnya hilang pekerjaan.
Malah, lebih teruk apabila dia tidak lagi mampu menguruskan hartanya hingga menyebabkannya kehilangan kediaman dan dipaksa merayau-rayau di jalanan.
“Saya rasa seperti hidup dalam filem. Hidup saya berubah 180 darjah. Saya gagal. Hidup di jalanan tidak tertanggung,” kata Papadopoulos, sambil menggayakan tangannya untuk mengingati kembali bagaimana dia bersusah-payah mencari tempat tidur di dalam bangunan yang ditinggalkan.
Pihak berwajib memberitahu, jumlah orang gelandangan di Greece semakin meningkat iaitu antara 20 hingga 25 peratus dalam setahun dua ini. Ia merupakan satu peningkatan yang mendadak di negara tersebut apabila orang dewasa yang sering menetap bersama keluarga dan wang pencen biasanya digunakan untuk menampung kehidupan.
Statistik menunjukkan kebanyakan negara Eropah menjunam kerana kemelesetan ekonomi dan langkah penjimatan yang diamalkan kerajaan, selari dengan peningkatan penganggur, kekurangan rumah mampu milik dan pemotongan faedah sosial memaksa ramai orang melangkaui jangkaan dan memberi kesan kepada individu yang merasakan mereka kebal.
Gelandangan
Papadopoulos, 40, tidak percaya dengan apa yang dialaminya. Dia seorang seorang chef yang berjaya dan dikenali terpaksa mencari tempat tidur sebelum dia menemui katil di sebuah rumah perlindungan. Dua adiknya yang merupakan ahli keluarga terdekat turut menjadi mangsa kemelesetan ekonomi hingga tidak berdaya untuk membantunya lagi.
“Saya tidak pernah menjangkakan semua ini berlaku pada saya. Saya kemudian sedar betapa hidup ini seumpama roda. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kita semua ada potensi untuk menjadi orang gelandangan,” tegas Papadopoulos.
Berbanding dengan klise yang sering mengaitkan orang gelandangan dibelenggu masalah mental dan dadah, Papadopolulos adalah sebahagian daripada generasi baru Greece. Dia tergolong dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa kepada pemotongan faedah untuk menangani krisis hutang negara.
“Populasi orang gelandangan telah berubah,” kata Aris Violantzis, seorang ahli psikologi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Klimaka.
“Ia biasanya melibatkan orang pertengahan umur dalam tahun-tahun produktif yang memikirkan bahawa segala-galanya akan berjalan lancar dan mereka membuat perkara yang betul. Sebaliknya, apa yang berlaku membuatkan mereka rasa tertipu.”
Di kawasan penempatan gelandangan Klimaka, lebih kurang 50 orang kebanyakannya lelaki kelihatan berbual, bermain backgammon atau menonton televisyen sementara menanti masa untuk makan pasta dan daging yang dimasak oleh Papadopoulos dihidangkan di atas pinggan plastik.
Golongan pertama yang akan ditemui jika memasuki kawasan itu ialah mereka yang sebelum ini bekerja dalam sektor pembinaan.
Lambros, seorang pembancuh simen tidak akan memberitahu sanak-saudara yang dia terpaksa tidur di dalam kereta selama tiga bulan selepas dipecat Krismas tahun lalu, sebelum menemui tempat berteduh di kawasan perlindungan itu.
“Saya tidak mahu mereka mengetahuinya. Saya rasa teruk, begitu juga mereka,” tutur lelaki berusia 55 tahun itu dengan linangan air mata.
Kemiskinan telah meningkat secara mendadak di jalanan bandar Athens yang mempunyai populasi penduduk seramai empat juta orang. Orang ramai bersesak-sesak di dalam beg-beg tidur di lorong sunyi dan mereka dilihat mencari-cari sisa makanan, besi buruk atau kaca di dalam tong-tong sampah untuk dijual.
Zon Kelabu
Klimaka menganggarkan populasi yang tinggal di jalanan di Greece telah meningkat kepada 25 peratus iaitu 17,000-20,000 sejak dua tahun lalu.
Dengan jumlah penganggur di Greek yang kini mencecah 16 peratus, generasi gelandangan baru ini datang dari segenap lapisan masyarakat.
“Keluarga dan masyarakat kini sedang menderita. Saya tidak pernah melihat situasi sebegini sebelum ini. Ia seperti hidup seseorang itu ditentukan oleh dirinya sendiri,” ujar Violantzis.
Di seberang laut Ionian di Itali, yang memperkenalkan penjimatan untuk mengatasi krisis fiskal, pekerja kebajikan menceritakan kisah yang sama untuk golongan gelandangan dan memberitahu perpaduan keluarga di sana menjadi tegang.
“Lebih ramai orang di dalam zon kelabu yang tidak hidup dalam kemiskinan melampau tetapi tidak mempunyai wang yang cukup daripada gaji bulanan seperti keluarga ibu tunggal dan orang-orang tua,” kata Francesca Zuccari dari badan kebajikan Sant Egidio.
Kumpulan pembasmi kemiskinan yang paling aktif di dalam negara, badan Katholik Caritas melaporkan terdapat kenaikan sebanyak 25 peratus bagi orang yang datang meminta bantuan daripada mereka antara tahun 2009 dan 2010. Keadaan itu juga membuatkan ramai yang bercerai dan menjadi duda.
“Ramai orang berpisah dan krisis ekonomi telah mengurangkan pendapatan, meningkatkan penganggur dan memburukkan situasi perumahan,” kata jurucakap Caritas, Renato Molinaro.
Golongan lemah seperti pendatang asing dan remaja akan menerima risiko yang teruk di sekitar Eropah, kata NGO persekutuan Eropah yang berkhidmat untuk golongan gelandangan, Feantsa.
“Semakin ramai orang yang menyangka terlepas daripada musibah gelandangan kini berada di sini,” ungkap Karolina Krzystek, pegawai polisi Feantsa. Kebanyakan mereka menumpang tidur di rumah rakan yang terdiri daripada flat yang penuh sesak.
Krisis hutang
Di Sepanyol yang memiliki jumlah penganggur paling tinggi dalam Kesatuan Eropah (EU) iaitu lebih 21 peratus dan bertindih dengan ukuran ketat untuk mengelakkan mata wang euro menjunam, bilangan orang gelandangan yang pergi ke pusat perlindungan meningkat kepada 15.7 peratus dari 2008 ke 2010, demikian menurut data rasmi.
Bagaimanpun, isu itu tidak hanya terhenti di negara-negara yang mengalami krisis hutang mata wang euro. Jumlah keluarga bergelandangan di Britain, salah satu negara yang bukan di dalam zon euro, meningkat daripada 10 kepada 44 peratus kepada 44,160 isi rumah tahun lalu. Ia merupakan peningkatan pertama sejak 2004.
Isu terbesar di Britain, yang memulakan penjimatan tahun lalu adalah kekurangan rumah mampu milik, kata jurucakap wanita badan perlindungan kebajikan golongan gelandangan.
“Makin ramai yang tidak mampu memiliki rumah dan sewa semakin meningkat. Pemotongan manfaat rumah telah membuatkan ramai yang hidup dalam keadaan susah yang melampau,” ujarnya lagi.
Kekurangan rumah yang kronik dan peningkatan pengangguran yang tinggi juga menyumbang kepada masalah itu di Perancis yang disenaraikan oleh Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan sebagai negara kebajikan paling pemurah di dunia.
Pengurus Yayasan Abbe Pierre dan seksyen sosial Palang Merah Perancis, dua organisasi yang menguruskan hal orang gelandangan di negara berkenaan memberitahu, jumlah gelandangan telah meningkat dari 130,000 ke 150,000 pada awal tahun 2011, iaitu lebih 100,000 dari tahun 2008.
Sukarelawan palang merah, Didier Piard memberitahu ia suatu peningkatan mendadak sejak tahun 2007 dalam tiga kategori iaitu kejatuhan remaja ketika waktu sukar sebaik meninggalkan rumah, orang pencen yang kekurangan kuasa beli dan pencari suaka politik.
No comments:
Post a Comment