Pemuda 17 tahun didakwa tembak Muammar Gaddafi
|
TRIPOLI – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mati ditembak oleh seorang pejuang antipemerintahannya yang berusia di bawah umur, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Menurut akhbar The London Times, Gaddafi mati ditembak dengan menggunakan sepucuk pistol bersadur emas miliknya.
Gaddafi membawa pistol itu semasa dia ditangkap oleh para pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) di dalam saluran pembentungan di luar bandar kelahirannya di Sirte pada Khamis lalu selepas beberapa pengikutnya turut terbunuh.
Dalam kejadian itu, konvoi Gaddafi diserang oleh jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyebabkan dia melarikan diri ke dalam saluran pembentungan tersebut.
“Gaddafi pada mulanya ditangkap oleh para pejuang dari timur,” kata satu sumber.
“Kemudian, kumpulan pejuang Misrata muncul untuk membawanya.
“Kumpulan pejuang dari timur tidak suka dengan (tindakan itu) menyebabkan seorang pejuang menarik pistol Gaddafi dan menembaknya. Kumpulan itu memberitahu kumpulan dari Misrata bahawa anda boleh mengambilnya sekarang,” tambah sumber tersebut.
Sumber itu memuji pemuda yang membunuh Gaddafi sebagai wira Libya.
“Kami tahu siapa yang membunuhnya. Dia merupakan seorang rakyat Libya. Justeru, kami akan melindunginya. Dia di bawah umur, justeru, dia tidak boleh dihadapkan ke mahkamah,” kata sumber tersebut.
Akhbar Mail Online melaporkan bahawa pemuda yang menembak Gaddafi itu berumur 17 tahun. – Agensi
======================================
Doktor sahkan Gaddafi mati akibat ditembak
MISRATA – Muammar Gaddafi mati akibat kecederaan ditembak, kata seorang doktor yang terlibat dalam bedah siasat ke atas bekas pemimpin Libya itu.
“Dia (Gaddafi) mati kerana satu kecederaan tembakan. Itu adalah jelas,” kata doktor berkenaan tanpa memberikan butiran lanjut sama ada tembakan berkenaan adalah dari bahagian kiri kepala Gaddafi.
Bedah siasat itu dilakukan di sebuah rumah mayat di bandar Misrata, 200 kilometer ke timur Tripoli.
Beberapa penduduk berkata, mayat Gaddafi akan dibawa kembali ke sebuah bilik sejuk di sebuah pasar di Misrata.
Sementara itu, Perdana Menteri Libya, Mahmoud Jibril menyatakan, laporan koroner menyebut Gaddafi sudah cedera semasa pemimpin tersebut berada dalam saluran pembentungan.
Menurutnya, kepala Gaddafi mungkin ditembak oleh salah seorang pengawal keselamatannya sendiri. – Agensi
======================
Mayat Gaddafi akan diserah kepada saudaranya
TRIPOLI – Kerajaan sementara Libya akan menyerahkan mayat Muammar Gaddafi kepada saudara-maranya selepas berunding dengan mereka, kata seorang penasihat pemerintah semalam.
“Keputusan telah dibuat untuk menyerahkan mayatnya kepada keluarganya yang besar kerana tiada keluarganya yaang rapat hadir buat masa ini,” kata penasihat itu, Ahmed Jibril.
“Terpulang kepada keluarganya untuk memutuskan di mana Gaddafi akan dikebumikan,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Mustafa Abdel Jalil menafikan bahawa mayat Gaddafi telah dirosakkan.
==================================
Wasiat bekas pemimpin Libya tiga hari sebelum mati
KAHERAH – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi telah meminta supaya dia dikebumikan di bandar kelahirannya di Sirte.
Laman web pro-Gaddafi, Seven Days News melaporkan semalam bahawa permintaan itu dibuat tiga hari sebelum bekas pemimpin tersebut mati.
Berdasarkan satu nota yang dipercayai ditulis sendiri oleh Gaddafi, laman tersebut menyatakan, dia meminta dikebumikan dekat dengan saudara-maranya.
Bekas pemimpin itu juga meminta, keluarganya termasuk wanita dan anak-anaknya diberi layanan yang baik. – Dpa
===================
No comments:
Post a Comment