26.10.11

HATI-HATI KETIKA MEMBELI KERETA TERPAKAI


Kebas wang deposit

hmetro.com.my

ADU...Khairul Anwar (dua dari kiri) mendengar masalah yang dihadapi tiga pembeli kereta menjadi mangsa penipuan.
ADU...Khairul Anwar (dua dari kiri) mendengar masalah yang dihadapi tiga pembeli kereta menjadi mangsa penipuan.
 DITIPU...Khairul Azman menunjukkan salinan keputusan Tribunal Tuntutan Pengguna yang meminta syarikat kereta terpakai itu membayar ganti rugi.
DITIPU...Khairul Azman menunjukkan salinan keputusan Tribunal Tuntutan Pengguna yang meminta syarikat kereta terpakai itu membayar ganti rugi.

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat jualan kereta terpakai di pinggir ibu kota dipercayai mengaut keuntungan mencecah ribuan ringgit hasil memperdaya pelanggan yang berminat mendapatkan kenderaan.

Taktik digunakan mudah, hanya melengah-lengah masa menyediakan kereta dipesan selain meminta pembeli menambah beberapa lagi bayaran atau caj tertentu sehingga mereka bosan dan membatalkan urus niaga.


Wang sudah dibayar dianggap ‘hangus’ menyebabkan ramai pembeli berputih mata malah difahamkan kira-kira 30 pembeli sudah menjadi mangsa sejak 2009 lalu.

Seorang mangsa, Khairul Azman Othman, 26, berkata, dia kerugian RM12,100 selepas membeli Toyota MRX terpakai di syarikat itu pada hujung 2009 lalu.


“Mulanya saya membayar RM1,000 sebagai deposit, tetapi jurujual meminta saya menambah lagi wang itu masing-masing RM3,000 dan RM8,000 dengan pelbagai alasan. Akhir sekali dia meminta tambahan RM5,000 kononnya sebagai caj perkhidmatan dan memberi kata dua, saya perlu bayar segera jika mahu kereta dikeluarkan.


“Saya meminta dia menyediakan resit, tetapi dia enggan menyebabkan saya terpaksa membatalkan urus niaga itu,” katanya yang ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat untuk mendapatkan bantuan dari sudut undang-undang, di sini, baru-baru ini.

Khairul Azman berkata, dia memfailkan permohonan ganti rugi di Tribunal Tuntutan Pengguna di Shah Alam dan keputusan pada 5 Ogos 2010 memihak kepadanya apabila syarikat itu diminta membayar sejumlah wang.


“Malangnya sehingga kini, syarikat itu tidak membuat sebarang pembayaran kepada saya dan masih beroperasi seperti biasa,” katanya

Seorang lagi mangsa, Nuril Azrin Fadzil, 34, berkata, dia kerugian wang deposit RM2,000 untuk membeli Perodua Myvi terpakai dengan taktik penipuan sama.


“Saya bercadang membeli kereta itu pada Januari 2010 lalu dan selepas merasakan diri ditipu, saya merujuk ke Tribunal Tuntutan Pengguna dan syarikat terbabit diarah membayar ganti rugi namun sehingga sekarang saya belum menerima apa-apa bayaran.


“Saya turut melaporkan perbuatan syarikat itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis kerana mengesyaki ia beroperasi tanpa lesen,” katanya.


Sementara itu, Khairul Anwar berkata, orang ramai yang terpedaya dengan syarikat itu diminta tampil ke SukaGuam bagi urusan mengumpulkan maklumat bagi memudahkan proses memfailkan saman secara berkelompok.


“Saya juga meminta pihak institusi perbankan memperkenalkan sistem pembiayaan pinjaman kereta dengan cara pembeli berurusan terus dengan bank bagi mengelak berlaku kejadian seumpama ini.


“Pembeli membayar terus deposit kepada institusi perbankan manakala bagi kereta terpakai, pihak bank perlu menyiasat syarikat jualan sama ada ia mempunyai rekod baik atau sebaliknya. Dengan cara itu, pembeli dapat dilindungi daripada penipuan,” katanya.

No comments: