Jenazah Gaddafi dikebumikan
|
MISRATA - Jenazah bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi telah dikebumikan di sebuah lokasi rahsia di gurun Sahara semalam bersama dengan seorang anak lelakinya, Motassim, kata seorang pegawai kerajaan sementara.
"Jenazah itu telah dibawa pada awal pagi dan baru dikebumikan di gurun bersama dengan anaknya," kata pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) itu, Abdel Majid Mlegta.
Menurutnya, hanya dua orang yang amanah diberikan kepercayaan untuk melakukan misi rahsia itu.
"Mereka itu bukannya pengawal tetapi orang amat dipercayai NTC," katanya.
"Apa yang boleh saya katakan adalah proses pengebumian itu memakan masa dan dilakukan jauh daripada pihak media," tambahnya.
Solat jenazah dua beranak itu dilakukan oleh guru agama peribadi Gaddafi, Khaled Tantoush.
Khaled ditangkap bersama dengan Gaddafi sebelum mereka berpindah dari Misrata.
Dua sepupu Gaddafi, Mansour Dhao Ibrahim dan Ahmed Ibrahim yang ditangkap bersama Gaddafi selepas konvoi dinaiki mereka diserang jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dekat Sirte, bandar kelahiran Gaddafi, turut menghadiri penghormatan terakhir untuknya.
Jenazah itu dikebumikan pada waktu subuh.
Gaddafi, 69, mati akibat kecederaan ditembak di bandar kelahirannya selepas dia ditemui dalam saluran pembetungan di bawah sebuah lebuh raya pada Khamis lalu.
Anaknya, Motassim turut mati ditembak dekat leher selepas ditangkap oleh para pejuang NTC.
Mayatnya itu kemudian dipamerkan kepada orang ramai di dalam sebuah bilik sejuk di sebuah pasar di Misrata.
Sebelum dikebumikan, pemerintah sementara Libya telah bertindak melarang orang ramai daripada melihat jenazah Gaddafi, anak lelakinya, Mutassim dan seorang ketua tenteranya, Abu Bakr Younis.
|
|
Keputusan itu dibuat selepas ribuan penduduk Libya melihat sendiri jenazah bekas pemimpin Libya itu.
Beberapa pengawal mengunci pintu pagar yang menempatkan bilik sejuk beku tempat jenazah Gaddafi bersama dua yang lain disimpan di Misrata.
Pintu peti sejuk beku itu yang kerap dibuka bagi membolehkan orang ramai masuk menyebabkan ketiga-tiga jenazah tersebut cepat mereput dan berbau busuk.
Pengawal-pengawal memberikan topeng bedah kepada pelawat untuk melindungi mereka daripada bau busuk. Mereka juga menyembur bahan pembasmi kuman pada jenazah tersebut.
Menurut beberapa pengawal di pintu pasar tersebut, satu konvoi empat hingga lima buah kenderaan terlibat dalam proses membawa jenazah berkenaan pada lewat malam kelmarin ke sebuah lokasi rahsia. Kerajaan sementara Libya akan menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat kematian Gaddafi.
Menurut seorang pengawal di pasar itu, dia melihat permit pengebumian tersebut yang menyatakan terdapat dua tembakan, satu di kepala dan satu lagi di dada Gaddafi. - Agensi
Libya hentikan `pameran’ Gaddafi
MISRATA 25 Okt. - Pemerintah kerajaan interim Libya menghentikan pameran kepada umum jenazah Muammar Gaddafi, anak lelakinya dan ketua ketenteraan semalam selepas empat hari dimana seramai beribu-ribu rakyat Libya datang menyaksikan sendiri mayat diktator itu.
Keputusan tersebut menandakan kerajaan bakal membuat keputusan untuk menguburkan mayat Gaddafi atau kerana mereka risau dengan keadaan di situ yang membahayakan kesihatan.
Seramai dua orang pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mengesahkan keputusan tersebut bagi menutup kawasan itu namun tidak memberi sebarang sebab. - Reuters
================================
Gaddafi dikebumi hari ini
2011/10/25
Muammar yang memerintah negara itu selama 42 tahun terbunuh dengan satu kesan tembakan di kepala Khamis lalu.
Ditanya jika anak lelaki Muammar, Mo’tassim akan dikebumikan pada upacara yang sama, pegawai itu berkata: "Ya." -
=================
Mayat Gaddafi berbau busuk
|
MISRATA, Libya - Mayat bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mula mereput dan berbau busuk selepas empat hari ditempatkan di dalam sebuah bilik sejuk simpanan daging di sini sejak Khamis lalu.
Pejuang-pejuang yang mengawal jenazah Gaddafi dan anak lelakinya, Motassim bertindak meletakkan lapisan plastik di bawah jenazah mereka ekoran cecair mayat mula mengalir di dalam bilik sejuk beku sebuah pasar tempat kedua-dua jenazah itu disimpan.
Warna kedua-dua mayat itu menjadi semakin hitam selepas tidak dikebumikan selama empat hari.
Para pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mula memberikan topeng bedah kepada para pelawat untuk melindungi daripada terhidu bau busuk yang tersebar ke dalam bilik sejuk beku tersebut.
"Tuhan mencipta firaun sebagai teladan kepada manusia lain," kata seorang penduduk, Salem Shaka yang melawat kedua-dua jenazah itu semalam.
"Jika beliau seorang yang baik, kami pasti akan mengebumikannya.
Namun, beliau sendiri yang memilih jalan ini (jalan kehancuran)," tambahnya.
Gaddafi dan anak lelakinya, Motassim mati dibunuh di bandar kelahiran Gaddafi, Sirte selepas mereka ditangkap pada Khamis lalu.
Seorang lagi lelaki menyatakan dia memandu sejauh 400 kilometer untuk melihat mayat Gaddafi.
"Saya datang ke sini untuk memastikan dengan mata saya sendiri. Semua penduduk Libya mesti melihatnya," katanya.
Pengebumian Gaddafi masih menjadi perbalahan dalam kalangan anggota-anggota NTC yang memerintah Libya buat sementara waktu.
Para pemimpin NTC mahu mayat Gaddafi dikebumikan di sebuah lokasi rahsia supaya makamnya tidak dipuja.
Namun, suku kaum Gaddafi mahu mayatnya dikebumikan di bandar kelahirannya di Sirte. - Reuters
=================
KAHERAH 24 Okt. - Anak Muammar Gaddafi, Saadi yang melarikan diri ke Niger menegaskan mana-mana pihak yang mempunyai kaitan dengan bapanya tidak mungkin mendapat perbicaraan adil di Libya.
Peguamnya, Nick Kaufman berkata, penegasan Saadi itu berdasarkan kepada 'kekejaman' yang dilakukan terhadap Gaddafi dan adiknya, Mutassim yang terbunuh dalam serangan di Sirte, minggu lalu.
''Saadi terkejut dengan tindakan kejam yang berlaku di Libya minggu lalu sehingga mengorbankan bapa dan adiknya.
''Sikap keterlaluan yang ditunjukkan oleh banyak pihak terhadap jenazah Gaddafi dan Mutassim juga jelas menunjukkan tiada siapa yang ada kaitan dengan bekas pemimpin Libya itu akan diberi perbicaraan yang adil di Libya.
''Mereka tidak akan dapat keadilan,'' katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, satu rakaman video yang disiarkan semalam memaparkan adik Saadi, Mutassim dalam keadaan berdarah sambil menghisap rokok dan memperkecil-kecilkan mereka yang menahannya, dipercayai sejurus sebelum dia dibunuh minggu lepas.
Rakaman disiarkan oleh saluran televisyen Syria yang menyokong Gaddafi, Arrai TV itu turut memaparkan Mutassim berjambang, memakai jaket putih tidak berlengan dengan kesan darah dapat dilihat pada seluarnya, sambil duduk di atas tilam di dalam sebuah bilik.
Mutassim juga dilihat berulang kali mengesat hidungnya yang berdarah dan luka lain dengan tisu dalam video ringkas itu.
Dia turut menunjukkan luka-lukanya kepada kamera.
''Minum air dan angkat kepala. Hari anda hidup mewah sudah berakhir. Ini adalah Mutassim Gaddafi,'' kata seorang askar kepada Mutassim dan penonton video itu.
Apa yang diperkatakan Mutassim dalam rakaman video itu tidak jelas tetapi pengacara wanita Arrai TV melaporkan, anak Gaddafi menyatakan kepada seorang askar: ''Saya tidak bercakap dengan budak-budak. Apa nama awak?''
Askar itu membalas: ''Awak akan tahu tidak lama lagi, anjing!''
Mutassim kelihatan tidak gementar dan pada satu ketika, dia dilihat menghisap rokok dan meneguk air dari sebotol minuman mineral. - REUTERS
==============
No comments:
Post a Comment