Ahlan Wasahlan...

Jawatan Kosong Untuk Gadis Bawah 27 Tahun

Minuman Kesihatan dan Kekuatan

Minuman Kesihatan dan Kekuatan
Belum Cuba ..Belum Tahu... Cuba dulu baru tahu..

Ketahui risiko pasangan...Satu Pandangan....


UJIAN kesihatan membantu mengenal pasti masalah dan risiko yang bakal dihadapi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga serta anak-anak mereka kelak. Ujian kesihatan pra perkahwinan membolehkan seseorang untuk:

* Mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan serta belajar cara untuk menjaga atau mengekalkan kesihatan mereka

* Mengesan sekiranya mereka menghidap penyakit tertentu termasuklah Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin (STD)

* Mengesan penyakit keturunan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak contohnya talasemia, hemofilia, anemia dan kekurangan G6PD.

* Mengetahui kesediaan bakal pengantin wanita dari segi kesihatan untuk mempunyai anak. Persediaan ini termasuklah suntikan vaksin Rubella, mengetahui kumpulan darahnya (dan kesesuaian dengan darah suami) serta anemia

Di negara kita, ujian kesihatan yang diwajibkan ke atas bakal pengantin sejak 2009 ialah ujian untuk HIV/Aids. Statistik menunjukkan sehingga akhir tahun 2009, sebanyak 87,710 kes jangkitan HIV dilaporkan. 1

Apa yang menyedihkan ialah wujudnya peningkatan kes jangkitan HIV di kalangan wanita iaitu daripada lima peratus pada tahun 1997 kepada 16.3 peratus pada tahun 2007. Sebanyak 70 peratus daripada wanita mendapat jangkitan virus HIV melalui hubungan heteroseksual, 60 peratus sudah berkahwin dan 40 peratus adalah suri rumah.

Lebih membimbangkan, pengetahuan penduduk negara ini mengenai jangkitan HIV masih belum memuaskan.

Hanya setengah (49.6 peratus) tahu dengan tepat cara jangkitan virus HIV dan dua pertiga (63 peratus) tahu bahawa risiko mendapat HIV boleh dikurangkan dengan menggunakan kondom secara betul ketika melakukan hubungan seks.

Antara ujian lain yang turut disarankan ialah saringan penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia. Talasemia ialah penyakit disebabkan gangguan pada genetik darah yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Sel darah merah pesakit mengandungi hemoglobin tidak normal yang menyebabkan sel darah berkenaan cepat musnah.

Di Malaysia, talasemia merupakan masalah kesihatan yang besar kerana beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kadar pembawa gen talasemia adalah di dalam lingkungan tiga hingga lima peratus atau satu dalam 20 orang rakyat Malaysia. Dengan itu, dianggarkan seramai 600,000 hingga satu juta orang rakyat Malaysia adalah pembawa gen ini. 3

Penyakit hemofilia pula berlaku akibat kekurangan faktor pembekuan darah yang menyebabkan darah pesakit beku. Penyakit ini menghalang pesakit melakukan aktiviti cergas kerana mereka boleh mengalami pendarahan dalaman spontan terutama pada sendi dan otot walaupun tidak terhantuk atau terlanggar sebarang objek.

Walaupun hemofilia lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh dihidapi oleh perempuan. Apa yang dibimbangkan ialah jika berlaku pada perempuan, keadaan menjadi lebih teruk kerana dia akan mewariskan penyakitnya kepada semua anak-anaknya sama ada menjadi pesakit atau pembawa.

Mungkin tidak ramai yang sedar dalam semua jangkitan virus, virus Hepatitis B paling mudah berjangkit sama ada melalui sentuhan dengan produk darah atau darah yang tercemar, hubungan seks dan jangkitan langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan.

Di negara kita, imunisasi Hepatitis B sudah dimasukkan ke dalam program imunisasi kebangsaan sejak 1989, jadi semua bayi yang lahir pada atau selepas 1989 sudah mendapat perlindungan daripada virus berkenaan. Bagaimanapun individu yang lahir sebelum 1989 disaran menjalani ujian darah dan mendapatkan suntikan vaksin.

Ujian kesihatan pra perkahwinan ini bukanlah bertujuan menghalang atau menyekat mana-mana individu untuk berkahwin, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan.

Ini akan membolehkan pasangan membuat tindakan wajar. Sama ada mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin atau memilih pasangan lain, pilihan ada di tangan mereka selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya.

Dalam ujian saringan HIV, pendidikan dan kaunseling akan diberikan sama ada pasangan disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus daripada mereka yang menjalani ujian saringan HIV pra-perkahwinan didapati positif. 2

Dalam kaunseling ini kedua-dua bakal pengantin akan diberitahu mengenai risiko yang akan dihadapi oleh pasangan atau anak. Begitu juga untuk penyakit keturunan. Biasanya pesakit atau pembawa genetik disaran untuk berkahwin dengan individu normal bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan anak-anak mewarisi penyakit berkenaan.

Ini kerana jika dua pembawa penyakit berkahwin, kebarangkalian mempunyai anak-anak yang mendapat penyakit adalah sangat tinggi. Apa yang dikhuatiri ialah kemungkinan anak mewarisi penyakit pada tahap yang serius.

Tidak sedikit rumah tangga yang runtuh apabila salah seorang pasangan tidak dapat menerima hakikat dan menyalahkan pasangan apabila dikurniakan anak yang berpenyakit .

Ujian kesihatan dan kaunseling bertujuan memberi persediaan minda kepada pasangan mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi. Kajian menunjukkan ujian kesihatan dan kaunseling sebelum perkahwinan mampu mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.

Sebagai persediaan menuju kehidupan berumahtangga dan tanda kasih sayang anda kepada pasangan, jalanilah segera ujian kesihatan yang perlu demi masa depan anda berdua dan anak-anak yang bakal lahir. Untuk mendapatkan maklumat atau menjalani ujian kesihatan pra perkahwinan ini sila kunjungi mana-mana klinik atau makmal Pathlab terdekat.

PENULIS ialah Pengamal Kesihatan di PATHLAB

No comments: