GABUNGAN BERITA HIMPUN - PERHIMPUNAN SEJUTA AUMAT ISLAM PERTAHANKAN AQIDAH......
SECARA UMUMNYA, TIDAK BANYAK AKHBAR MEMBICARAKAN / MELAPORKAN TENTANG HIMPUN INI....
STAR ONLINE PADA PERINGKAT AWAL MENYATAKAN JUMLAH YANG DATANG DALAM 4 RIBU HINGGA 5 RIBU ORANG....
HARI INI UTUSAN DAN KOSMO MENYATAKAN JUMLAH YANG DATANG DALAM 10 RIBU ORANG.... JUMLAH TAK PENTING TAPI KESEDARAN PALING UTAMA....
..
Mufti Perak beri peringatan
SEBAHAGIAN daripada ribuan peserta menghadiri perhimpunan mempertahan dan menyelamatkan akidah umat dan agama Islam di Stadium Shah Alam, semalam. – Mohd. Shaharani Saibi
SHAH ALAM 22 Okt. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memberikan ingatan bahawa kelemahan dan perpecahan umat Islam yang berlaku hari ini menyebabkan ada pihak yang berani memesongkan akidah penganutnya, selain menghina agama tersebut sedangkan sebelum ini Islam begitu dihormati.
Beliau yang menjadi tumpuan kira-kira 10,000 peserta Himpunan Sejuta Umat: Selamatkan Akidah (Himpun) sebagai pemidato terakhir mengimbas kembali bagaimana kekuatan orang Melayu yang tetap berpegang teguh dengan agama mereka meskipun ketika dijajah selama 500 tahun.
Malah beliau menyatakan, orang Melayu juga diberikan keistimewaan oleh Allah sebagai bangsa yang mempunyai kefasihan apabila dapat menguasai bacaan ayat suci al-Quran meskipun kitab suci itu diturunkan dalam bahasa Arab.
“Dalam semangat yang masih ada hari ini kita perlu pertahankan Islam. Bangsa Melayu adalah bangsa yang istimewa kerana Melayu dikaitkan dengan Islam sehingga ia membawa kepada pengertian dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kedatangan pendakwah ke Tanah Melayu menyebabkan orang Melayu menjadi Islam dan kedatangan Islam membolehkan orang Melayu membina empayar berasaskan kepada undang-undang Islam di Perak, Pahang dan Terengganu,” katanya pada perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam di sini hari ini.
Menurut beliau, sejak zaman penjajahan lagi, kuasa kuffar tidak henti-henti berusaha untuk memesongkan akidah umat Islam di Tanah Melayu termasuk dengan mengadakan pelbagai muslihat.
“Hari ini usaha tersebut dilakukan secara terang-terangan kerana kedudukan orang Melayu semakin lemah. Kerana kelemahan itu, Islam yang satu ketika dahulu dihormati, (telah diganggu-gugat oleh) mereka (yang) berusaha memesongkan dan menghina kita,” katanya.
==================================
Individu Islam perlekeh Himpun diselar
SHAH ALAM 22 Okt. - Tindakan sesetengah individu Islam yang memperlekehkan penganjuran Himpunan Sejuta Umat (Himpun) bagi menentang gejala murtad negara ini amat dikesali.
Pengerusi Bersama Himpun, Dr. Yusri Mohamad yang tampil sebagai pemidato pertama pada perhimpunan juga melahirkan rasa sedih apabila terdapat individu tertentu mengatakan Himpun sebagai tidak relevan serta tidak mempunyai asas dalam Islam.
Sedangkan katanya, perhimpunan itu adalah simbolik kepada penyatuan umat bagi menentang gejala murtad di kalangan masyarakat Islam bagi menyelamatkan akidah mereka daripada dipesongkan oleh pihak tertentu.
"Ada individu Islam sendiri kata apa salah murtad, ada yang kata usaha mereka (bukan Islam) bekerja keras menyebarkan agama mereka maka patut mereka tuai hasil dan ada juga kata murtad tidak salah, ia kebebasan beragama.
"Isu yang membuat kita berhimpun pada hari ini ialah isu yang paling besar di sisi Allah iaitu murtad menolak risalah Islam, para anbia (nabi-nabi) dan tiada maksiat, tiada salah guna kuasa, tiada pencabulan hak asasi manusia paling besar di sisi Allah selain murtad.
"Maka, perhimpunan kita adalah atas asas yang paling besar iaitu untuk memperbesarkan apa yang dibesarkan Allah, Allah letakkan murtad dan pemurtadan sebagai kesalahan paling besar, isu paling besar dan paling perlu dapat perhatian," katanya ketika menyampaikan pidato pada perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam di sini hari ini.
Seramai lapan pemidato tampil berucap pada perhimpunan tersebut mewakili pelbagai pertubuhan bagi menyuarakan keprihatinan masing-masing terhadap gejala murtad di negara ini.
Seorang lagi pemidato iaitu bekas pastor, Mohd. Farhan Abdullah pula mengutarakan cadangan agar Parlimen menggubal kembali Artikel 11 (1), Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan klausa 'kebebasan beragama' hanya terpakai bagi masyarakat bukan Islam.
Menurutnya, ini kerana terdapat pihak yang terkeliru serta pihak yang sengaja mengelirukan masyarakat mengenai peruntukan undang-undang itu bagi memesongkan akidah umat Islam.
"Saya sendiri pernah terlibat dalam gerakan mengkristiankan umat Islam dahulu dan usaha ini dilakukan dengan begitu teliti serta terancang," tegasnya.
Beliau juga mahu wakil-wakil Himpun yang terdiri di kalangan Ahli Parlimen atau Ahli Undangan Negeri (ADUN) dapat membawa usul tentang isu murtad agar dapat dibahas di Dewan Rakyat atau DUN.
Dalam pada itu, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan menggesa kesemua organisasi dan pengamal media tempatan supaya tidak menyelewengkan kefahaman agama Islam demi keuntungan masing-masing.
Katanya, penyelewengan di media boleh mengelirukan pelbagai pihak termasuk mahasiswa sendiri apatah lagi sejarah membuktikan pernah terjadi beberapa kes gerakan pemurtadan pelajar Islam di kampus-kampus universiti tempatan.
"Justeru, Gamis mengharapkan agar golongan yang disebut sebagai penyampai maklumat, media harus bebas beri maklumat betul kepada masyarakat (terutama dalam gerakan pemurtadan)," ujarnya.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Abdullah Mansor berkata, kegiatan pihak tertentu yang memperkecilkan institusi diraja dilihat semakin berani dan tindakan itu akhirnya akan merugikan penganut serta agama Islam dalam negara.
"Lebih menyedihkan gerakan itu turut didalangi oleh para pemimpin serta individu Islam sendiri," katanya
=======================================
Himpun jelajah seluruh negara
Oleh NORHAYATI YAHAYA
dan MOHD. YUNUS YAKKUB
kosmo.com.my
GELAGAT peserta yang hadir ke Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah Islam di Stadium Shah Alam semalam.
SHAH ALAM – Himpunan Sejuta Umat, Selamatkan Akidah Islam (Himpun) akan bergerak ke seluruh negara selepas Pengerusi perhimpunan berkenaan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin minggu depan sebelum bertemu dengan Raja-Raja Melayu dan Menteri-Menteri Besar di setiap negeri.
Pengerusi perhimpunan yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya akan membentangkan 10 usul Deklarasi Himpun pada pertemuan tersebut sebelum mengadakan perhimpunan di seluruh negara.
“Sepuluh Deklarasi Himpun yang kita tuntut ini merupakan hal-hal yang memang dipersetujui Islam.
“Ia juga bagi memberitahu orang lain supaya menghormati dan memahami suara kita,” katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan yang diadakan di Stadium Shah Alam di sini semalam.
Tegasnya, perhimpunan semalam menuntut supaya kerajaan memastikan undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh bagi memelihara kemuliaan Islam dalam Perlembagaan.
“Kita juga meminta kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam di negara ini,” katanya.
Pada perhimpunan yang bermula pukul 2 petang dan berakhir pukul 6 petang itu, lebih 10,000 orang hadir walaupun tidak mencapai sasaran 100,000 peserta.
====================
"Bersama Cegah Murtad"
===============
MSTAR ONLINE:
Himpunan Sejuta Umat Berjaya Dengan Penyertaan Lebih Kecil
Oleh MUHD BASYAR MUSTAPHA
SHAH ALAM: Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) dianggap berjaya menyuarakan pendiriannya walaupun jumlah hadirin yang datang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.
Pengerusi Bersama dan Presiden TERAS pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata jumlah hadirin yang datang tidak menjadi masalah kerana perhimpunan berkenaan dianjurkan untuk memperkasa, mengekalkan syiar Islam serta mencegah aktviti memurtadkan umat Islam di negara ini.
"Kami tidak hampa dengan jumlah orang ramai yang hadir kerana apa pun, mesejnya tetap sama.
"Himpun dilihat berjaya menarik keprihatinan pelbagai golongan masyarakat di negara ini," kata Azmi pada sidang media selepas berakhirnya Himpun di sini, Sabtu.
Jelasnya, perhimpunan tersebut turut berjaya kerana ia dilakukan dengan penuh disiplin tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Beliau turut membacakan deklarasi Himpun yang mempunyai sepuluh tuntutan berkaitan tentang aspek syariah dan akidah umat Islam di negara ini.
"Himpun yang telah dilakukan ini juga menunjukkan bahawa orang Islam mempunyai hak menuntut 10 perkara dalam deklarasi himpun," katanya
==============
Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) gagal capai sasaran. SHAH ALAM: Jumlah peserta yang menyertai Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang diadakan pada Sabtu gagal mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 1 juta umat Islam.
Setelah hampir dua jam perhimpunan tersebut diadakan, stadium hanya dipenuhi kira-kira lima ribu peserta.
Namun demikian, tinjauan mStar Online mendapati terdapat beberapa orang bukan Islam yang hadir pada majlis yang berlangsung di Stadium Shah Alam, di sini.
Antara pemimpin yang turut serta dalam perhimpunan berkenaan, ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Himpun diadakan untuk memperkasakan suara umat Islam di Malaysia dalam mnenegakkan syiar Islam dan mencegah aktiviti memurtadkan umad Islam di negara ini
================
Kronologi Himpunan Sejuta Umat
Oleh MUHD BASYAR MUSTAPHA
SHAH ALAM: Berikut adalah kronologi suasana menjelang Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang diadakan di Stadium Shah Alam di sini pada Sabtu.
6.15 petang: Perhimpunan Himpun tamat selepas bacaan doa oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.
Peserta Himpun mula bersurai.
5.45 petang: Mufti Perak, Harussaini Zakaria memberi ucapan beliau di hadapan hampir empat ribu hadirin yang masih setia mendengar pidato Himpun.
Harussaini adalah pemidato terakhir dalam Himpun.
5.30 petang: Wakil ISMA, abdullah zaid abd rahman memberi pidato dengan menekankan supaya org Islam harus mengigati amanah nenek moyang yang telah berpegang kpd Islam.
5.20 petang: Ketua Perkasa Selangor, memberi ucapan beliau mengenai institusi Raja Melayu dan agama Islam.
5.05 petang: Bekas Naib chancelor UiTM, Tan Sri Ibrahim Shah menyampaikan ucapan beliau mengenai gejala murtad di negara ini.
4.45 petang: Wakil Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) menjadi pemidato keempat.
4.15 petang: Bekas Paderi Kristian dari Sabah, Farhan Abdullah menyampaikan ucapan dan pengalaman beliau dalam isu murtad.
4.05 petang: Wakil pemidato Wanita yang juga penulis novel, Natrah, Datin Fatini Yaacob menyampaikan ucapannya mengenai isu murtad
3.45 petang: Ahli akademik, Dr Azhar Yakub menjadi pemidato kedua berucap.
3.30 petang: Pengerusi Bersama Himpun, Dr Mohd Yusri Mohamad menyampaikan ucapan kepada hadirin.
3.05 petang: Beberapa peserta Himpun dilihat membakar risalah provokasi sebagai tanda protes.
3 petang: Orang ramai mula membanjiri stadium Shah Alam untuk menyertai perhimpunan.
2.45 petang: Pengerusi majlis, Badrul Sani Baharuddin membuat ucapan untuk menyampaikan rasa kesal dan marah kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengedarkan risalah berunsur provokasi kepada peserta Himpun.
2.15 petang: Nyanyian lagu nasyid mula dipersembahkan di dalam stadium. Antara kumpulan nasyid yang membuat persembahan adalah Rabbani dan Hijjaz.
2.10 petang: Orang ramai mula membanjiri Stadium Shah Alam untuk menyertai perhimpunan.
2 petang: Kira-kira 20 buah bas tiba di Stadium Shah Alam dengan peserta Himpunan Sejuta Ummah.
1.55 petang: Hampir seribu orang yang memakai kemeja T putih dilihat berarak dari Menara Puncak Niaga menuju ke Stadium Shah Alam.
======================
Umat Islam Melayu perlu bersatu, elak tragedi Natrah : Fatini
SHAH ALAM – Penulis buku Natrah, Datin Seri Fatini Yaakob menegaskan umat Islam Melayu perlu bersatu jika tidak mahu sejarah berulang kembali seperti yang dilakukan penjajah British yang melihat Melayu ketika itu amat lemah.
Katanya, ketika kejadian rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada tahun 1950, seluruh umat Islam di Tanah Melayu tidak kira fahaman politik bangkit bersatu menentang British yang telah menghina agama Islam.
“Umat Islam perlu bersatu, jika tidak Islam akan diperlekehkan oleh orang lain.
“Saya mohon agar segala provokasi terhadap agama Islam dihentikan dan hari ini kita bangkit mempertahankan hak kita,” katanya ketika berucap pada Himpunan Sejuta Umat (Himpun) di Stadium Shah Alam, tadi.- SH Online