16.12.09

Teknologi pencetus dilema - Kenal Bakat Pada Usia DNA!

Kini setiap individu dapat mengenal pasti penyakit yang bakal dihadapi pada masa depan menerusi ujian genetik yang juga mampu mengesan bakat dan kebolehan kanak-kanak, namun kedua-dua ujian ini mengundang pelbagai persoalan!




LUMRAH setiap manusia inginkan kehidupan normal tanpa sebarang penyakit selain inginkan zuriat yang bijak serta sihat.

Ini kerana kedua-dua faktor tersebut merupakan antara agenda penting yang menjamin keharmonian sesebuah keluarga kerana kehidupan yang dilingkari penyakit serta anak yang bermasalah pasti mengundang pelbagai cabaran dan dugaan.

Namun dengan kepantasan ilmu sains dan teknologi kini seseorang dapat mengenalpasti penyakit yang mereka alami kini dan di masa akan datang, sementara bakat dan kebolehan kanak-kanak termasuk dari segi IQ, kawalan emosi, fokus, memori, dan banyak lagi boleh diketahui sejak mereka kecil lagi.

Pelik bukan tetapi itulah kaedah yang diperkenalkan oleh sebuah syarikat pembekal produk perubatan, Genetic Centre (M) Sdn. Bhd. kepada penduduk negara ini baru-baru ini dengan menampilkan dua jenis ujian genetik iaitu ujian gen kecenderungan penyakit serta ujian potensi gen kanak-kanak.

Ironinya, kedua-dua ujian tersebut cukup mudah. Hanya sampel yang dipanggil bukal iaitu air liur yang mengandungi sehingga 10,000 sel yang diambil dari sebelah dalam pipi digunakan sebelum ia dihantar ke makmal pembekal teknologi Genetic Center iaitu Shanghai Biochip Corporation (SBC) di China bagi penjujukan dan pemetaan asid deoksiribonukleik (DNA).

Teknologi biochip

Melalui ujian gen kecenderungan penyakit, lebih 100 jenis penyakit dapat dikesan antaranya yang membabitkan sistem pernafasan, pencernaan tubuh, darah, endokrin, masalah penyakit berkaitan lelaki mahupun wanita serta HIV dan AIDS.

Selaras dengan ini, ia membantu mengenal pasti penyakit dan potensi penyakit yang bakal menyerang seseorang individu pada masa akan datang bagi membolehkan mereka mengambil langkah untuk mengamalkan cara hidup yang lebih sihat.

Ketua Pegawai Operasi Genetic Centre (M) Sdn. Bhd., Susan Cheong ketika ditemui Jurnal baru-baru ini di Kuala Lumpur memberitahu, keputusan kedua-dua ujian tersebut dapat diperolehi dalam masa 45 hari selepas pengambilan sampel bukal dilakukan.

"Mungkin ia agak lambat. Ini kerana sampel itu perlu dihantar makmal di China. Buat masa ini makmal sebegitu tidak disediakan di negara ini.

"Teknologi yang digunakan ialah melalui kaedah biochip iaitu kaedah makmal yang boleh membuat ratusan tindakan biokimia terhasil membolehkan pengkaji membuat analisis biologi untuk diagnosis penyakit dan potensi gen seseorang.

"Malah, kaedah saintifik ini diperakui oleh Persatuan Kemajuan Sains Amerika pada 1998 sebagai antara kaedah terkini mengenalpasti struktur genetik seseorang untuk tujuan perubatan," ujarnya.


KETUA perunding perubatan Genetic Centre (M) Sdn. Bhd. Dr. Li Ming menunjukkan sampel bukal sebelum disimpan dalam plat.


Namun kedua-dua kaedah ini pasti mengundang polemik terutamanya berkaitan maklumat peribadi pelanggan.

"Usah khuatir kerana maklumat peribadi pelanggan dirahsiakan. Sampel dihantar ke China tidak mendedahkan maklumat peribadi seseorang. Ia dihantar menggunakan sistem barkod moden.

"Maklumat keputusan hanya diberi pada pesakit dan hanya orang tertentu sahaja boleh mengakses keputusan terbabit. Malah ketepatan ujian ini 99.9 peratus," tegasnya.

Bakat anak

Berhubung ujian gen bakat dan kebolehan kanak-kanak, kaedah yang sama turut digunakan. Ia dianalisis mengikut tahap kepandaian, emosi dan fokus seseorang kanak-kanak.

"Ada kod-kod tertentu berdasarkan gen yang dapat mengenal pasti bakat seseorang kanak-kanak dengan 99.9 peratus ketepatan hasil ujian. Tetapi saya tidak dapat mendedahkannya kerana ini merupakan rahsia syarikat.

"Ujian ini hanya terdapat di China kerana SBC merupakan pelopornya. Mengapa China? Ini kerana populasi penduduknya yang ramai dan lebih memudahkan ibu bapa mengenal potensi anak-anak mereka.

"Sebagai contoh, atlet sukan yang bakal dilahirkan boleh dikenalpasti melalui kaedah ini yang lebih praktikal dan menjimatkan kos," ujarnya.


UJIAN genetik boleh dilakukan dengan peralatan yang terdapat pada kotak ujian gen keluaran Genetic Centre (M) Sdn. Bhd. ini.


Katanya lagi, setakat ini SBC telah menganalisis lebih 75,000 individu untuk kedua-dua ujian di China dan Hong Kong.




"Kedua-dua idea ini diilhamkan dari Projek Genome Manusia iaitu sebuah kajian antarabangsa untuk mengenalpasti kandungan gen manusia untuk tujuan kesihatan serta potensinya,

"Bagi ujian kecenderungan penyakit kosnya ialah RM3,880 manakala RM2,200 untuk ujian potensi gen kanak-kanak. Kosnya kelihatan mahal, namun kita giat untuk menjalinkan usaha sama dengan agensi kerajaan untuk pemindahan teknologi ujian genetik.

"Sekiranya makmal sepertimana di China dapat diwujudkan di Malaysia, kos ujian genetik akan menjadi lebih murah dan ramai akan mendapat manfaatnya," jelasnya.

Senjata biologi

Mengulas mengenai kemunculan teknologi ujian genetik di Malaysia, pakar DNA Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Dr. Zafarina Zainuddin berpendapat, ujian genetik dan ujian kebolehan seseorang berdasarkan DNA tidak semestinya seratus peratus tepat.

"Mutasi gen boleh berlaku. Contohnya struktur penyakit juga boleh berubah kerana gen sendiri tidak stabil.

"Mungkin realiti syarikat swasta bermotifkan keuntungan. Saya sendiri tidak pernah mencuba, jadi saya tidak tahu realitinya bagaimana serta apakah keputusannya.

"Bagi saya, mengatakan lebih 90 peratus ketepatan ujian agak sukar dicapai kerana banyak perkara lain perlu diambil kira. Ini kerana cara hidup, faktor pemakanan, pengambilan ubat-ubatan dan sebagainya boleh mengubah ciri-ciri seseorang," ujarnya.


DR. LI menunjukkan pengambilan sampel bukal diambil untuk ujian potensi gen kanak-kanak.


Beliau juga khuatir sekiranya maklumat peribadi seseorang individu jatuh kepada pihak tidak bertanggungjawab, malah digunakan bagi mencipta virus yang mendatangkan masalah kepada manusia.

"Secara peribadi, ujian ini jika diambil oleh ramai individu membolehkan ciri-ciri genetik penduduk sesebuah negara dapat dikesan, selain mungkin boleh dijadikan senjata biologi yang berkesan oleh pihak musuh pada akan datang," tegasnya.

Jelas sekali, ujian genetik telah menimbulkan persoalan tentang isu moral dan implikasi sosial. Pensyarah di Jabatan Kajian Sains dan Teknologi, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Siti Nurani Mohd. Nor pula melihat ujian yang dilakukan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun untuk mengenal pasti bakat dan kebolehan mereka sebagai satu perkara yang wajar dilakukan.

"Jika ibu bapa sendiri membenarkannya ia tidak menjadi masalah. Namun apa yang ingin ditegaskan, hasil maklumat yang diterima hanya ibu bapa sahaja yang tahu dan tidak tersebar pada pihak lain untuk kajian serta tujuan lain," katanya.


HASIL keputusan untuk ujian potensi gen kanak-kanak direkodkan dalam buku laporan yang diperolehi dalam masa 45 hari selepas dihantar ke makmal di Shanghai China.


Menurutnya lagi, ibu bapa dapat mengenal pasti bakat dan kebolehan anak mereka dan dapat menumpukan masa depan anak-anak mereka ke arah kehidupan lebih baik.

"Cuma jangan membezakan kasih sayang pada anak jika berbeza tahap kepandaian, selain turut membenarkan proses pembesaran dan tahap intelektual mereka berlaku secara semulajadi," katanya.

Elak Maksiat

Siti Nurani menegaskan, bagi ujian mengenal pasti penyakit dapat menggalakkan individu mengamalkan cara hidup yang lebih sihat.

"Namun, jangan sampai maklumat itu diperoleh pihak tidak bertanggungjawab. Isu ini hangat diperbincangkan di peringkat antarabangsa dengan andaian dibuat jika maklumat individu itu jatuh ke tangan pihak insurans.

"Mungkin ia akan menyukarkan individu terbabit, malah ramai yang akan mengambil insurans kesihatan termasuk di negara ini. Jika banyak penyakit, permohonan seseorang individu itu tidak akan diterima kerana syarikat insurans yang bermotifkan keuntungan tidak ingin rugi menanggung kos pampasan.

"Kemudian jika penyakit itu merupakan penyakit berbahaya, tiada tuntutan insurans akan diberi selain maklumat keluarga lain juga diketahui yang mungkin boleh digunakan untuk tujuan promosi," jelasnya.


KEMUNCULAN teknologi ujian genetik di Malaysia memerlukan fatwa untuk mengelakkan kekeliruan terutamanya di kalangan umat Islam.


Tambahnya, kedua-dua ujian ini merupakan kaedah sains kesihatan yang baru di negara ini dan untuk mengelakkan keraguan terutama di kalangan umat Islam seharusnya adanya fatwa dikeluarkan berhubung isu ini untuk mengelak kekeliruan.

"Saya juga khuatir sekiranya ujian ini dilakukan oleh pasangan bakal berkahwin pasangan mereka sama ada bakal suami dan isteri mempunyai penyakit dan lemah genetik contohnya, leukemia tidak akan berkahwin.

"Ada baiknya kerana mereka dapat melakukan pencegahan awal tetapi perkahwinan sebenarnya lebih dituntut untuk mengelakkan maksiat.

"Isu ini perlu banyak lagi diperdebatkan kebaikan dan keburukan selain unsur diskriminasi serta ketidakadilan perlu diambil kira supaya tidak menimbulkan polemik masa akan datang," ujarnya.

No comments: