“Buat apa pergi usrah? Dapat apa?”
“Usrah online? Saya biasa dengan yang real je. Online nie tak berapa efektif.”
Saya cuba bawakan kerana bukanlah istilah ‘usrah’ yang penting. Bukan duduk berlima atau berenam yang penting. Yang lebih penting memahami asas usrah dan mengapa ia perlu dilaksanakan. Setelah faham, anda bisa menilai.
Usrah bermaksud keluarga. Dalam bahasa Arab, ia diterjemahkan sebagai جنة (junnah) yang bermaksud perisai atau keluarga. Apa kaitan keluarga dan perisai? Keluarga merupakan perisai fizikal, intelek, emosi dan spirituil. Empat elemen ini perlu dijaga baik-baik agar tidak tersasar dari jalan kebenaran.
Perisai fizikal
Kalau keluarga biasa, si ayah akan memberi belanja untuk ke sekolah atau kalau anda ingin beli sesuatu. Ada nilai fizikal di situ dari aspek kewangan.
Kalau kita bergaduh dengan kawan semasa kecil dahulu, si abang atau ayah diyakini boleh membantu. Sebagai perisai.
Perisai intelek
Ahli keluarga boleh menjadi tempat sumber ilmu. Kecil-kecil dahulu, dari mana kita belajar membaca, berjalan, makan dan pelbagai kemahiran lain? Sudah tentu ia rapat dengan penjaga anda. Intelek bukan sahaja pada ilmu dalam kepala, tetapi kemahiran-kemahiran seperti menulis, mengira, membaca dan pelbagai perkara yang berkaitan dengan otak.
Perisai emosi
Sebagaimana dijelaskan di atas, kalau emosi kita terganggu, keluarga adalah tempat rujukan. Tidak disangkal dewasa ini, ramai di kalangan remaja merujuk kepada kawannya kalau bermasalah. Namun setelah semua tidak mampu memberi pertolongan, penjaga kita akan menjadi ‘pelindung’ atau pemberi semangat kepada diri kita. Itulah perisai emosi yang ampuh.
Perisai spirituil
Setiap anak Adam dilahirkan dalam keadaan fitrah. Si penjaganya yang akan membentuk dirinya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Kalau penjaganya benar-benar menjaga didikan, barulah seseorang itu terjaga dari anasir luar dan mendapat sinar Islam. Bukankah ini menunjukkan si syah atau ibu bertindak menjaga spirituil kita di kala kecil dahulu? Mereka amat penting dalam membina kekuatan spirituil hingga sekarang.
Kalau keluarga asal penting..
Maka itu sebabnya usrah yang melibatkan beberapa orang ahli ini amat penting. Ia bukan sekadar duduk 5,6 orang membincangkan satu dua halaman buku tertentu. Ia adalah perisai untuk membina dan melindungi kita daripada pelbagai bahaya.
Jika anda masih merasakan usrah tidak ke arah itu, atau anda rasa perlu dibaiki, maka perhatikan balik perkara di atas. Usrah amat penting dalam membina ukhuwah persaudaraan yang ditanamkan dengan iman. Iman dan ukhuwah ini perlukan platform melaksanakan aktiviti tarbiah dan dakwah. Ini akan membaiki sistem masyarakat. Inilah peranan usrah.
No comments:
Post a Comment