7.11.09

Rokok terus menerus menyusahkan orang

Celoteh Kesihatan daripada BIDAI buat tatapan insan yang mahu berfikir

Rokok terus menerus menyusahkan orang


bukan hanya perokok dalam kereta, yang menaiki motosikal juga leka dengan asap racun mereka sehingga mengabaikan anak yang menjadi pembonceng tanpa memakai topi keledar seperti gambar di atas yang dirakamkan Jurufoto Utusan Malaysia, MOHD. NAIM AZIZ di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SEPERTI kebiasaan, perokok adalah spesies yang akan menggelabah menjelang pembentangan bajet sejak dahulu lagi. Ye lah, bukan apa, ini disebabkan setiap kali bajet dibentangkan, cukai rokok pasti akan dinaikkan tidak kiralah tahun defisit atau lebihan, cukai rokok dan rakan 'sejenayahnya', arak pasti akan dinaikkan.

Namun tahun ini, bajet yang dibentangkan seolah-olah memihak kepada mereka pula.

Sah perokok akan tersenyum lebar walaupun kini mereka rata-rata terpaksa membayar sekotak RM9.30 untuk 20 batang bagi rokok yang berjenama manakala sekitar RM4 lebih untuk yang kurang berjenama.

Jadi selepas 30 Oktober lalu, muka perokok tersenyum, tidak seperti selalu masam mencuka dan pahit kalau dilihat sekali imbas.

Apa pun, pasti ada rasional kenapa bajet kali ini tidak menaikkan atau mengubah cukai rokok seperti selalu.

Dan dengan itu juga, rakan baik Bidai yang sering mahu membahas mengenai isu ini di e-mel sehingga sanggup mencipta pelbagai akaun e-mel pasti akan gembira kerana mula berfikir kerajaan berpihak kepadanya.

Itu Bidai tidak mahu ulas, cuma apa yang ingin Bidai utarakan kali ini ialah susulan daripada keadaan itu, ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyarankan harga rokok di naikkan sehingga RM30 sekotak.

Seperti biasa bagi Bidai, apa sahaja yang akan dapat menyebabkan perokok meninggalkan tabiat buruk mereka, Bidai akan sokong 1,000 % kerana bagi Bidai itu lah yang terbaik untuk mereka.

Bukan nak menindakkan hak individu, tapi ini soal kesihatan individu terbabit dan juga orang lain.

Seperti yang sering Bidai katakan, segelintir perokok memang berperangai tidak senonoh dan mereka juga pada Bidai penyumbang kepada kepupusan segelintir spesies marin.

Bukan apa, sepanjang hidup Bidai, tak pernahlah lagi Bidai nampak ada perokok yang akan membuang putung rokok ke dalam bekas yang sepatutnya dibuang ketika memandu kereta, menaiki motosikal, memancing, melepak di taman atau di dalam hutan ketika berkhemah.

Apa yang mereka lakukan hanyalah menjentik putung rokok itu ke mana-mana sahaja tidak kira tempat, dan yang lebih tepat, ikut mana sempat sahaja.

Inilah mentaliti segelintir daripada perokok. Mungkin otak mereka dah beku dengan tar, nikotin dan karbon monoksida yang realitinya memang membawa binasa kepada manusia.

Bagi Bidai senang, jika mereka mahu mati, matilah sendiri dan janganlah menyusahkan orang lain yang tidak bersalah.

Apa pun, seperti di awal tulisan, Bidai katakan segelintir dan tak semua perokok itu yang sengal otak.

Tapi yang segelintir lagi yang tidak mendatangkan masalah ini mungkin boleh dibilang dengan jari. Jadi segelintir yang OK ini Bidai kategorikan spesies terancam.

Berlainan dengan Jepun, negara yang pernah satu ketika dahulu dibom dan hampir musnah.

Kegigihan rakyat Negara Matahari Terbit itu berjaya membangunkan kembali negara mereka dan kini menjadi antara gergasi dunia dalam pelbagai bidang.

Namun semua yang dikecapi itu tidak mengalpakan mereka daripada menjaga persekitaran supaya lebih aman, bersih dan juga makmur.

Paling Bidai minat ialah, mereka walaupun boleh dikatakan dalam 10 yang Bidai jumpa, lapan daripadanya perokok, namun tidak mengamalkan 'budaya' rakyat Malaysia yang membuang-buang tanpa melihat keadaan sekeliling.

Mereka lebih tertib, tak kiralah di tepi jalan, di restoran, di pejabat atau di mana-mana sahaja.

Mereka akan merokok hanya di tempat yang disediakan dan akan membuang putung rokok ke dalam bekas yang disediakan. Kalau dikira, tempat membuang rokok ada di mana-mana dan disediakan tempat khas.

Jadi mereka akan berkumpul di situ untuk menghisap rokok, tidak berjalan-jalan sambil membuang putung rokok merata-rata.

Lebih menarik, pemandu teksi (yang amat banyak, suka membantu dan tidak menipu meter) akan parking tepi jalan berdekatan kawasan merokok berkenaan akan merokok di situ dan sesudah habis, dia meneruskan perjalanan. Jadi mereka tidak merokok di dalam teksi.

Melihat mereka, Bidai teringat di sini, tapi apakan daya, berbuihlah kerajaan membuat pelbagai kempen, tapi tak berkesan.

Malah ada yang mengatakan merokok itu baik untuk kesihatan dan mereka tetap sihat dan segar walaupun dah berusia setengah abad.

Entahlah, itu pada fikiran masing-masing dan Bidai malas dah bertegang leher dengan mereka.

Pada Bidai, 'Biarlah Si Luncai Terjun Dengan Labu-Labunya'.

Fikirkanlah...


No comments: