17.11.09

Juara Penyampai Ikon : Raih ilmu baru setiap hari

Raih ilmu baru setiap hari

>>Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
MENGATASI perasaan takut berdepan dengan kamera antara cabaran paling besar buat peserta dari Pasir Puteh, Kelantan, Aina Suzialy Mohd Zailanny, 20, atau Aina sebelum bergelar juara pada Malam Anugerah Penyampai Ikon 2009.

Aina mengalahkan lima peserta lain, Siti Aiyshah Baslie, 24, (Kuching, Sarawak), Khairul Faizi Dalaiil, 23 (Bagan Datoh, Perak), Hazel Desmond, 26, (Kuching, Sarawak), Mohammed Shahril Sarapudin, 21, (Kuala Krai, Kelantan) dan Beatrice Emma Krishnan, 23, (Klang, Selangor) yang mara ke pentas akhir Penyampai Ikon yang berlangsung di Istana Budaya, Sabtu lalu.

Menurut penuntut Asas Sains Komputer dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu, kejayaan memenangi gelaran berkenaan tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan semua pihak.

"Tanpa restu ibu bapa, jika tiada tunjuk ajar daripada tenaga pengajar dan tanpa penilaian juri, saya tidak akan memenangi anugerah ini. Memang saya tidak menyangka dapat meraih gelaran ini memandangkan cabaran yang dilalui cukup getir. Malah lima finalis lain ternyata mempunyai kekuatan tersendiri. Kejayaan ini juga bagaikan impian menjadi kenyataan.

"Hendak diikutkan yang saya tidak mempunyai asas langsung dalam bidang penyiaran sehinggalah menyertai program ini. Apa yang saya pelajari di universiti memang jauh menyimpang. Sejak menyertai program ini, setiap hari ada saja perkara baru dipelajari. Malah semakin hari saya semakin seronok mempelajari ilmu yang dicurahkan tenaga pengajar.

"Saat yang paling mencabar ialah ketika melaksanakan tugasan sebagai wartawan penyiaran di lokasi iaitu ketika mengikuti satu operasi pelacuran yang dilakukan pihak berkuasa. Ketika itu, saya cukup teruja kerana dapat melihat sendiri bagaimana membuat liputan di tempat kejadian," katanya.

Selain penyampaian berita yang lancar meliputi pelbagai segmen berita, Aina memilih mengupas mengenai tragedi bencana alam yang berlaku di Padang, Indonesia untuk tugasan wartawan lokasi.

Naib juara pertandingan, Siri Aiyshah berkata, walaupun dia menjadi finalis tunggal yang mempunyai ilmu asas dalam penyiaran dari Universiti Kebangsaan Malaysia, itu ia belum cukup buatnya. Selain belajar teori, pengalaman praktikal juga diperlukan sebelum seseorang membabitkan diri dalam bidang penyampaian berita atau sebagai wartawan penyiaran.

"Masing-masing ada kelebihan dan kekuatan tersendiri. Bukan mudah untuk saya melaksanakan tugasan yang diberikan kerana teori dan praktikal dua perkara berbeza. Keputusan ini juga tidak dijangka kerana tugasan menerusi segmen pertama saya dikritik hebat gara-gara pertuturan dan bahasa sebutan yang kurang lancar.

"Saya tidak malu mengaku penyertaan awal menerusi program ini pada mulanya dengan niat hendak mencari kerja. Tak sangka pula berjaya meraih pencapaian sampai ke tahap ini," katanya.

Pemenang ketiga, Khairul Faizi pula berkata, dia menyertai program itu kerana didorong minat dalam bidang penyiaran dan ingin menjadi penyampai berita sejak di bangku sekolah. Dia kini mendalami ilmu berkaitan sains di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kejayaan itu membolehkan Aina membawa pulang Proton Saga, wang tunai RM6,000, Siti Aiyshah (RM4,000) dan Khairul Faizi (RM2,000). Mereka juga menerima trofi dan sijil penyertaan.

Sepanjang tiga bulan program itu berlangsung, 17 peserta yang disenarai pendek berjaya mempamerkan kredibiliti masing-masing dalam melaksanakan ujian dan tugasan yang diberikan. Program itu julung kali dianjurkan RTM dalam usaha melahirkan tokoh dalam bidang penyiaran dan kewartawanan.

Pada pentas final itu, peserta diuji menerusi dua segmen iaitu tugasan penyampai berita dan wartawan lokasi yang diiringi latar belakang persembahan artis Istana Budaya mengenai kejadian yang dilaporkan.

Persembahan dinilai juri profesional, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Media Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya, Pengarang Akhbar Kosmo, Baharom Mahusin dan Pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah selaku ketua juri.

Hadiah disampaikan isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim iaitu Datin Seri Utama Masnah Rais; Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya. Penonton turut dihiburkan menerusi persembahan artis jemputan antaranya Lan The Typewriter, Alyah dan Dayang Nurfaizah.

Sementara itu, Pengetua Kolej Penyampai Ikon dan Penerbit Eksekutif, Yusanani Yushak berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan ditunjukkan peserta. Malah pemilihan peserta akhir menepati kriteria yang diperlukan sebagai wartawan dan penyampai berita.

"Penerbitan program ini bukan hanya dapat mencungkil bakat baru sebagai pelapis pada masa hadapan malah sebagai penyampai berita dan wartawan yang dilengkapi ilmu.

"Sepanjang berada dalam program ini pelbagai ujian dilalui peserta. Jangka masa selama tiga bulan bukan mudah untuk peserta menyesuaikan diri dengan suasana alam kewartawanan.

"Saya amat bersetuju dengan keputusan juri. Mereka ini sememangnya menepati ciri yang ditetapkan. Saya yakin kredibiliti dan pengalaman juri berjaya menilai kemampuan peserta ketika melaksanakan tugasan yang diberikan," katanya.

Mengenai Penyampai Ikon musim kedua, Yusanani berkata semuanya bergantung kepada perbincangan dan penilaian RTM.

Dia juga yakin ramai tidak sabar untuk menantikan kemunculan tiga peserta teratas di televisyen, namun semuanya belum diputuskan.

"Memang kami sendiri mahu melihat mereka beraksi di televisyen secepat mungkin. Platform untuk mereka memang sudah tersedia cuma mungkin ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan bagi semua peserta sebelum menumpukan perhatian dalam bidang kewartawanan atau penyampai berita," katanya.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Mengangkat peserta kelahiran Kelantan, Aina Suzaily Mohd. Zailanny, 20, sebagai juara, dia yang merupakan bekas tentera laut tidak mempunyai sebarang asas kewartawanan. Hanya dengan latihan vokal, teknik pembacaan skrip, penghayatan, pemahaman dan penulisan selama tiga bulan, Aina mampu meyakinkan penonton terutamanya barisan juri.

Diberi dua tugasan akhir iaitu menyampaikan berita serta membuat laporan di lokasi kejadian, kesemua peserta final hanya diberi masa kurang seminggu untuk membuat persediaan.

"Tajuk telah diberikan oleh kolej tetapi kami menjalankan penyelidikan sendiri. Contohnya saya diberi tajuk gempa bumi untuk laporan di lokasi. Jadi banyak benda yang perlu saya kaji sebelum dapat menulis berita.

"Informasi yang disampaikan itu amat penting kerana penilaian juri dibuat atas idea serta kreativiti dan inti pati berita itu," kata Aina ketika ditemui selepas pertandingan yang disiarkan secara langsung di TV2.

Tidak seperti kebanyakan peserta lain, Aina tidak pernah menyimpan impian untuk menjadi penyampai berita atau menceburi dunia kewartawanan.

Namun, rezeki dan bakat telah menyebelahi anak sulung daripada tiga adik-beradik itu. "Sebenarnya idea menyertai pertandingan itu datang daripada ibu bapa saya. Mereka suruh saya cuba dan saya ikut.

"Walaupun saya hanya berada dalam kolej selama tiga bulan, banyak ilmu yang saya pelajari. Ini kerana semua benda yang saya belajar adalah perkara baru dalam hidup saya," tambahnya.


FINAL Penyampai Ikon memerlukan peserta melakukan dua tugasan.


Menghadapi masalah untuk berdepan dengan kamera pada mulanya, Aina merasakan tugasan menyertai operasi polis di tempat pelacuran adalah cabaran paling sukar sepanjang berada dalam program itu. Namun, kini dengan kemenangannya, dia tidak akan patah balik.

"Jika pihak RTM meminta saya untuk membaca berita esok, saya sudah bersedia. Dengan pengiktirafan yang diberikan, saya patut bersedia dengan sebarang tugas. Diharap saya akan maju dalam bidang ini dan tidak mengecewakan mereka yang mempercayai saya terutama ibu bapa saya," ujarnya.

Tidak berdebar semasa pertandingan, Aina berharap jika dia diberi peluang untuk mengacarakan, dia mahukan program yang memaparkan aktiviti lasak kerana dirinya juga meminati sukan lasak.

Membawa pulang sebuah kereta Proton Saga BLM, wang tunai RM6,000, trofi Penyampai Ikon dan sijil penyertaan, Aina juga sudah bersedia tinggal berjauhan daripada keluarganya untuk membina kariernya.

"Kalau saya diberi peluang, saya ingin mengacarakan program sukan lasak. Saya sendiri suka menyelam dan mempunyai lesen menyelam. Ibu bapa saya tidak risau jika saya berpindah ke Kuala Lumpur. Dari dulu lagi saya tinggal di sekolah asrama. Jadi saya sudah biasa berdikari," kata gadis tinggi lampai itu.

Matlamat edisi pertama Penyampai Ikon yang mahu mendapatkan aset baru untuk mewarnai serta memberikan kesegaran kepada RTM akan memberikan peluang kepada kesemua 17 peserta untuk berkhidmat berdasarkan kebolehan dan minat masing-masing.

Ibu sakit di kampung

Pemenang tempat kedua, Siti Aiyshah Baslie, 24, tidak menyangka namanya akan disebut sebagai naib juara pertandingan itu memandangkan dia menerima kritikan pada tugasan pertama di tempat kejadian bencana tsunami, Acheh, Indonesia.

Tidak patah semangat, dia yang berasal dari Sarawak kembali meyakinkan juri pada segmen kedua. Aiyshah yang menerima wang tunai RM4,000, trofi Penyampai Ikon serta sijil penyertaan juga merasakan kesemua finalis pada malam itu mempunyai kelebihan masing-masing dan bersyukur atas kemenangannya.

"Keluarga saya tidak berada di sini malam ini kerana ibu saya sakit. Jadi saya berasa sedikit sedih terutama apabila ditambah dengan kritikan juri. Tapi saya tidak berputus asa. Saya akan teruskan karier dalam bidang ini kerana tujuan saya menyertai pertandingan ini adalah untuk mencari kerja," kata graduan Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Khairul Faizi Dalaiil yang dinamakan sebagai pemenang ketiga barangkali menjadi pilihan utama penonton. Namun, dia yang membawa pulang wang tunai RM2,000, trofi Penyampai Ikon dan sijil penyertaan sedikit pun tidak berasa gusar kerana merasakan pihak juri lebih profesional untuk menilai.


AINA membawa pulang kereta Proton Saga BLM bernilai RM38,000.


Padanya, berada di tempat ketiga sudah cukup sebagai satu pengiktirafan lantaran tidak mempunyai asas dalam dunia kewartawanan.

"Dunia penyiaran memang baru bagi saya kerana saya merupakan pelajar kejuruteraan satelit. Tapi saya minat mengacarakan majlis sejak dari bangku sekolah lagi. Inilah masanya untuk saya merealisasikan minat saya," katanya yang sering berlatih bercakap di hadapan cermin.

Barisan juri terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya, Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.

"Juri kita amat berpengalaman dalam dunia kewartawanan serta penyiaran. Mereka merupakan tulang belakang kepada program ini. Mungkin anda lihat pada pusingan akhir ini, mereka lebih memberikan kritikan membina.

"Tapi sebelum ini, semua peserta berdebar kerana takut mendengar komen pedas yang menusuk kalbu. Para juri merupakan tokoh kewartawanan negara dan kami amat mempercayai keputusan mereka," tambah Pengetua Kolej Penyampai Ikon 2009, Yusanani Yushak yang tidak campur tangan dalam pemilihan juara.

No comments: