7.8.11

Yang Mana Lebih Utama...Pertahankan Akidah atau Pertahankan Politik Kumpulan?

Isu JAIS serbu Gereja yang ada Muslim di dalamnya merupakan isu yang hangat diperkatakan...

Saya secara peribadi menyokong Tindakan Berani JAIS, Keberanian Dato' Dr Hassan Ali mempertahankan JAIS dan Ucapan Cantik Nik Abduh yang meminta kita mempertahan agama Islam...Soal Akidah itu yang utama....

Saya kumpulkan pelbagai berita buat tatapan dan bacaan kita semua.....baca dan berfikir....

+++++++++++++++++++++

Pemimpin Melayu perlu bersatu dalam isu akidah

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pemimpin Melayu sepatutnya bersatu dalam isu akidah, bukannya melatah sehingga menyalahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam isu pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, jika benar tindakan itu dibuat demi menyelamatkan akidah orang Islam.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, contoh yang ditunjukkan segelintir pemimpin Melayu dalam isu tersebut adalah tidak betul kerana tegasnya, selaku Muslim adalah wajib memelihara dan mempertahan akidah umat Islam yang lain.

Menurutnya, walau apa sekalipun pendirian politik setiap pemimpin berkenaan, mereka perlu meletakkan kepentingan Islam melebihi segalanya dalam isu berkenaan, kerana tindakan JAIS itu berhubung kait dengan dakwaan berlakunya penyebaran agama Kristian kepada orang Islam.

"Kalau benar dakwaan itu (penyebaran agama Kristian) wujud, kita (Pemuda Pas) memandang berat perkara ini kerana selain menyalahi Perlembagaan Persekutuan, ia membabitkan soal akidah. Jadi wajib ke atas semua Muslim termasuk JAIS untuk menyelamatkan akidah umat Islam.

"Kita kena letak agama di depan. Islam kena melebihi segala kepentingan lain dan adalah tidak betul kalau pemimpin (Islam) tertentu terlalu cepat melatah dalam perkara ini. Sepatutnya kita bersatu dalam soal agama," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Nik Abduh membuat kenyataan tegas itu ketika sebahagian besar pemimpin Pas lain dilihat ragu-ragu untuk mempertahankan tindakan JAIS atau berdiri di belakang Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali, sebaliknya ada antara mereka secara terbuka mempertikai tindakan jabatan berkenaan.

Meskipun anak kepada Mursyidul Am Pas itu tidak menyatakan secara tepat siapa pemimpin politik yang dimaksudkan, tetapi ia dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Abdul Samad.

Ini kerana, Menteri Besar Selangor itu kesal dengan tindakan JAIS dan memberitahu, niat serta tujuan baik jabatan itu tidak menghalalkan perbuatan yang gagal mempamerkan keadilan dan kebijaksanaan, manakala Khalid pula berkata, JAIS perlu ada 'kawalan diri'.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, walaupun umat Islam merupakan majoriti di negara ini tetapi ia tidak memberi apa-apa kelebihan, jika pemimpin Melayu tidak bersatu dalam hal yang sepatutnya mereka bersatu, terutamanya isu membabitkan agama.

Dalam pada itu, beliau menambah sudah tiba masanya untuk kerajaan memperkasakan undang-undang sedia ada dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan agar tiada ruang untuk mana-mana pihak mencabar kesucian agama Islam di mahkamah sivil.

"Cara terbaik pinda atau perkasakan undang-undang sedia ada bagi menyelamatkan akidah. Memang Islam dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi banyak ruang untuk bukan Islam mencabar kesucian agama kita dan dalam beberapa kes mereka menang," katanya.

====================

Saya rela dipecat'




KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali, yang tidak disenangi oleh anggota Exco yang lain atas ketegasannya mengenai soal Islam, menegaskan beliau sanggup dipecat demi kepentingan akidah ummah.

Katanya: "Saya sanggup melakukan apa sahaja termasuk menerima kenyataan jika saya diminta melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri dan apa-apa jawatan sekali pun demi memperjuangkan apa yang saya yakin dapat membantu umat Islam, khususnya di negeri Selangor."

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas entri terbaru blog Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin (http://zul4kulim.blogspot.com) bertajuk Genggam Bara Api!

Zulkifli dalam tulisannya yakin Dr. Hasan akan digugurkan daripada jawatan Exco Kerajaan Selangor ekoran tindakannya menyokong Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah gereja Methodist yang dikatakan menjalankan kegiatan dakwah terhadap orang Islam di Damansara Utama baru-baru ini.

Beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sebelum ini turut membid as Dr.Hasan yang mempertahankan tindakan JAIS itu.

Malahan seorang pemimpin Pas menganggap kenyataan Dr.Hasan dalam isu berkenaan tidak mewakili parti itu.

Mengulas lanjut, Dr. Hasan menegaskan, beliau telah memperjuangkan isu mengenai umat Islam di Selangor sejak dulu lagi, terutamanya berhubung isu penjualan arak di Shah Alam.

"Saya tidak mahu menyentuh isu gereja itu kerana mematuhi arahan tutup mulut (gag order) oleh Menteri Besar. Tapi saya hanya menjawab mengenai soalan saudara berhubung persoalan yang ditimbulkan oleh YB Zul mengenai nasib saya itu.

"Jika sesiapa pun yang percayakan kepada soal keharmonian beragama, maka soal kesucian agama Islam tidak boleh diganggu-gugat sama sekali dan itulah yang saya perjuangkan, adakah itu salah?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengikut rekod terdahulu, Dr. Hasan pernah diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin Pas kerana membangkitkan mengenai soal penjualan arak di Shah Alam.

Tindakan itu diambil kerana Pas tidak mahu hubungannya dengan parti-parti dalam pakatan pembangkang, terutamanya DAP, terjejas ekoran pendedahan Dr. Hasan itu.

Dalam Muktamar Pas baru-baru ini Dr. Hasan gagal mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden kerana tidak mendapat sokongan daripada puak-puak Erdogan yang didokong oleh Anwar Ibrahim.

Ekoran kekalahan itu, Dr. Hasan turut digugurkan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor.

Mingguan Malaysia difahamkan Pas Pusat dijangka bermesyuarat esok dan soal mengenai tindakan terbaru Dr. Hasan dalam soal gereja itu dijangka turut dibincangkan.

Difahamkan Dr. Hasan sering menerima tekanan daripada anggota-anggota Exco bukan Islam DAP dan PKR, jika soal-soal mengenai Islam disentuh.

Sebagai rekod selain Dr.Hasan terdapat sembilan lagi yang menduduki jawatan Exco Kerajaan Selangor iaitu Teresa Kok (DAP), Yaakob Sapari (PKR), Rodziah Ismail (PKR), Dr. Xavier Jayakumar (PKR), Dr. Halimah Ali (Pas), Iskandar Abdul Samad (Pas), Ronnie Liu (DAP), Elizabeth Wong (PKR) dan Ean Yong Hian Wah (DAP).

Dalam semua Exco itu, dikatakan Teresa Kok, Dr. Xavier, Ronnie Liu dan Elizabeth Wong adalah antara mereka yang sering menentang Dr. Hasan.

Dalam pilihan raya umum 2008, pakatan pembangkang merampas Selangor daripada Barisan Nasional setelah memenangi 36 daripada 56 kerusi. DAP mendapat 13 kerusi, PKR 15 dan Pas lapan kerusi.

(WALAUPUN UTUSAN NAMPAKNYA MEMASUKKAN UNSUR POLITIK DI SITU ...SEAKAN MELAGA-LAGAKAN PEMIMPIN PAS SEMASA PAS DAN PKR...NAMUN KALAU DILIHAT DARI SUDUT DASAR ISLAM....ADA KEBENARANNYA....)

===============

Inipula yang dilaporkan oleh Berita Harian:

Kedudukan Hasan Ali tidak dibincang: MB


2011/08/07

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau tidak akan berbincang mengenai kesediaan EXCO kerajaan negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, meletak jawatan berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menyifatkan ia lebih kepada spekulasi, beliau berkata perkara membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu tidak akan dibincangkan sehingga kerajaan negeri mendapat fakta lengkap mengenai kejadian terbabit daripada JAIS.
"Setakat ini, fakta yang kita ada ialah JAIS pergi ke gereja itu dan JAIS bersetuju menghantar laporan lengkap mengenainya" katanya ketika ditanya isu pemeriksaan JAIS di gereja itu dan kesediaan Hasan dipecat bagi mempertahankan tindakan JAIS

===================

Pujukan gereja


2011/08/07

NUR mendakwa kerap dihubungi gereja untuk diberikan bantuan.
NUR mendakwa kerap dihubungi gereja untuk diberikan bantuan.
Ibu tunggal tak dapat bantuan Baitulmal dalam dilema

SEREMBAN: Seorang lagi mangsa mendedahkan bagaimana dia dipujuk secara berterusan untuk mendekati gereja walaupun selepas membuat keputusan untuk tidak lagi menerima bantuan kewangan yang dihulurkan gereja terbabit di Rahang, dekat sini sejak Disember lalu.

Wanita yang ingin dikenali sebagai Nur, 40, berkata pada mulanya dia sanggup menerima bantuan yang dihulurkan gereja terbabit bagi memastikan empat anak perempuannya berusia lima hingga 12 tahun meneruskan kehidupan, selepas gagal mendapat bantuan berterusan daripada Baitulmal.
Katanya, pada mulanya dia berat hati tetapi selepas memikirkan nasib anak-anak yang masih bersekolah, dia menerima bantuan dihulurkan dalam bentuk makanan keperluan harian setiap bulan sejak April tahun lalu.

Setiap bulan pihak gereja itu akan telefon dua hingga tiga kali untuk bertanyakan khabar. Mereka juga tidak lupa bertanyakan masalah dihadapi.

“Mereka turut menawarkan supaya saya dan anak-anak tinggal di asrama yang disediakan di pusat ibadah itu dan sanggup menanggung segala keperluan kami anak beranak termasuk keperluan persekolahan tapi saya menolak.

“Bagaimanapun, sejak Januari lalu, saya turut menolak semua bantuan yang diberikan setiap bulan memandangkan jiran sudah memandang serong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampangan, di sini, semalam.

Nur berkata, sejak berhenti kerja sebagai pembantu akaun pada 2008 akibat masalah kesihatan, antaranya asma yang teruk, darah tinggi dan kencing manis, dia masih perlu mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak memandangkan suami lalai memberi nafkah.
Katanya, selain meminta ihsan saudara mara, dia turut menjalankan beberapa pekerjaan seperti membantu rakan menjual makanan kesihatan, makanan segera dan juga buku sekolah tadika.

“Namun sejak pengsan beberapa kali bulan lalu ketika menghantar buku ke sekolah tadika, saya tidak lagi bekerja. Saya cuba mendapatkan bantuan Baitulmal sekali lagi namun mereka memberi pelbagai alasan, antaranya saya pernah mendapat bantuan sebelum ini.

“Saya mengaku memang pernah dapat bantuan sebelum ini tetapi sekali saja. Kini saya sedang memikirkan sama ada mahu menerima sekali lagi tawaran daripada pusat ibadah itu atau tidak memandangkan mereka kerap telefon bertanyakan khabar dan menawarkan apa saja bantuan yang diperlukan,” katanya.

==================

‘Banyak usaha pujuk umat Islam murtad’
Oleh Faiza Zainudin

2011/08/07

Pihak berkuasa agama kurang tegas: Mufti Perak

KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata banyak usaha dilakukan pihak tertentu untuk mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam di negara ini, namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa agama Islam termasuk pimpinan tertinggi bagi menyekat aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan bukan saja ramai umat Islam memeluk Kristian, malah ada yang memeluk agama Hindu dan agama lain terutama saudara baru seperti India Muslim.
“Apabila saya dedahkan laporan Persatuan Paderi Malaysia yang mengisytiharkan lebih 230,000 umat Islam memeluk Kristian pada 2008, tiada tindakan diambil, malah kata saya itu didustakan.

Hakikatnya banyak (murtad), bukan sekadar masuk Kristian tapi Hindu pun ramai, saya tahu banyak usaha dibuat bukan Islam untuk pengaruhi Islam, malah ada mengakui poketnya sentiasa ada RM30,000 hingga RM50,000 bagi mempengaruhi umat Islam memasuki agama mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Siri Bicara Agung Panggung Dakwah di sini, semalam.

Majlis itu dilancarkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali.


Harussani berkata, antara strategi diguna gereja mempengaruhi umat Islam termasuk mengadakan aktiviti memberi makanan seperti di sekitar masjid pada waktu solat Jumaat dan Maghrib selain mengedar risalah agama ke rumah dan memberi wang kepada pelajar.


“Pernah terjadi sekumpulan pemimpin dari Subang Jaya termasuk bergelar Datuk berjumpa saya untuk memberitahu ada gereja sebarkan agama pada pelajar, beri duit dan bible dan perkara terbabit dilaporkan pada polis, tapi tiada tindakan. Saya juga hubungi pihak berkuasa, tapi jawapannya, kami nak buat macam mana,” katanya.

Beliau yang kesal dengan sikap itu, meminta pimpinan tertinggi membanteras aktiviti berkenaan daripada menjadi serius selaras kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

========================

Gereja: Jangan buat kesimpulan melulu
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Ogos: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Cawangan Negeri Selangor menggesa semua pihak tidak membuat kesimpulan melulu dan memberikan tekanan kepada mana-mana pihak berhubung pemeriksaan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Yang Dipertuanya, Khairun Abas berkata, pihaknya memandang serius berita berkenaan.

Pemeriksaan tersebut dimaklumkan oleh pihak berkuasa hasil daripada laporan terdapatnya unsur-unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan dalam artikel 11(4).

Dalam laporan awal yang dikeluarkan pihak Jais terdapat beberapa individu muslim menyertai majlis tersebut dan ia melanggar Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

“Abim menggesa semua pihak sewajibnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan telus dan mencari kebenaran di atas peristiwa yang telah berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Abim Selangor merasakan bahawa itulah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warga Malaysia dalam mana-mana pertikaian yang wujud.

Menurutnya, mengambil pendekatan popular apatah lagi kesimpulan yang sempit terutamanya dalam hal-hal yang sangat rapuh seperti itu amat berlawanan dengan semangat kerukunan hidup dalam kepelbagaian masyarakat.

Beliau berkata, setiap institusi penguatkuasa yang wujud perlu dihormati selama mana mereka melaksanakan tugas yang diperuntukkan berlandaskan undang-undang.

Tambahnya, Abim Selangor juga berkeyakinan bahawa pihak berkuasa bertindak mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Justeru, ujarnya sebarang tekanan dan campur tangan di luar skop perundangan dibimbangi akan menjejaskan proses siasatan dan usaha-usaha mencari fakta dan kebenaran dalam hal ini.

“Pihak Abim Selangor juga kesal laporan akhbar yang membangkitkan kembali isu-isu penggunaan kalimah Allah, pengeboman gereja, sekatan Injil Bahasa Melayu yang mana ianya seolah-olah membangkitkan kembali rasa ketidakselesaan beragama yang telah kita nikmati selama ini,” ujarnya.

Katanya, Abim Selangor juga percaya sekiranya semua pihak bersikap tidak prejudis, terbuka dan yakin dengan proses perundangan sedia ada maka sebarang masalah mampu diatasi dan keharmonian hidup beragama yang dinikmati selama ini dipertahankan.

========



Jais: Isma persoal media cuba beri imej negatif
Harakahdaily

BANGI, 6 Ogos: Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berpendapat Jais perlu meneruskan siasatan jika badan itu mendapati wujud kes gereja terlibat dalam kegiatan menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam seperti yang dilaporkan dalam satu kejadian di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya.

Isma juga meminta supaya pihak-pihak lain tidak mempolitikkan perkara ini yang boleh mengganggu siasatan Jais.

“Isma mahu Jais meneruskan siasatan tanpa diganggu oleh mana-mana pihak kerana ia bertepatan dengan bidang tugas Jais dan undang-undang. Kes ini berkait dengan isu sensitif di sisi perlembagaan dan umat Islam dan tidak sepatutnya dijadikan isu politik,” kata Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman dalam satu kenyataan di sini.

Isma juga, katanya mempersoal laporan sesetengah media yang dari awal lagi cuba memberi imej negatif seolah-olah Jais telah menceroboh kesucian rumah ibadat telah melakukan sesuatu yang tidak beretika dan keluar daripada lunas undang-undang.

Sehubungan itu, tambahnya Isma menyeru agar pemimpin-pemimpin umat Islam lebih prihatin terhadap apa-apa bentuk pencabulan terhadap kehormatan agama mereka.

“Saya kesal terhadap sesetengah pemimpin yang seolah-olah hilang ghirah (sensitiviti) terhadap agama sendiri bahkan lebih bersikap ingin membela agama lain atas dasar hak asasi atau menjaga keharmonian antara agama,” kata beliau lagi.

Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap sikap toleransi yang berlebihan sama ada kerana faktor politik atau faktor lain kerana ia akan membawa kepada sindrom ‘kedayusan’ di kalangan umat Islam sehingga tidak bertindak apa-apa walaupun kehormatan Islam dan umatnya dicabul di hadapan mata.

Katanya, gejala murtad sama ada dengan memasuki agama lain atau tidak lagi beragama adalah satu jenayah yang mengancam keselamatan negara di sisi Islam.

Sebagai umat Islam, jelasnya perbuatan itu sama seperti menconteng arang di muka sendiri dan mencabar maruah dan kehormatan agama Islam.

Tambahnya, Isma mendukung hubungan harmoni antara kaum dan agama di negara yang berbilang bangsa ini tetapi bertegas dari aspek pelaksanaan undang-undang dan mempertahankan martabat agama dan maruah bangsa


=======

PAS akan jumpa Jais, gereja
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Ogos: PAS akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dan pihak gereja bagi mendapatkan penjelasan mengenai serbuan Jais ke atas Gereja Methodist, Damansara Utama, minggu lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong atau menyalahkan mana-mana pihak sebelum mendapat penjelasan terperinci berhubung perkara ini.

"PAS akan berjumpa secara langsung dengan Jais dan pihak gereja apabila mereka memberikan tarikh.

"PAS mesti mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkenaan dan tidak timbul kenyataan sokong mana-mana pihak," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa pusat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan Jais melakukan pemeriksaan terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, baru-baru ini.

Katanya, PAS akan berhubung dengan pihak Jais dan gereja mengikut tarikh yang sesuai untuk mendapat gambaran dan penjelasan langsung mengenai pemeriksaan tersebut.

“Selepas jumpa, baru buat keputusan,” ujarnya.

PAS, jelasnya menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk tindakan selanjutnya berhubung pemeriksaan Jais itu.

Puas hati penjelasan Hassan Ali

Minggu lalu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan Jais itu.

Ditanya pendirian PAS terhadap Dr Hassan, Ustaz Hadi berkata parti telah mendengar penjelasan beliau dalam mesyuarat dan berpuas hati dengan penjelasannya.

"Kita tak bincang apa-apa ketetapan pun terhadap Dr Hassan dan beliau datang hari ini kerana menghadiri mesyuarat ajk, bukan kerana dipanggil," jelas beliau


=======


No comments: