14.8.11

Hong Leong bank kedua terbesar


KUALA LUMPUR 12 Ogos _ Penguasaan ke atas EON Bank menjadikan Hong Leong Bank (HLB) sebagai bank kedua terbesar tempatan daripada segi rangkaian cawangan selepas Malayan Banking Bhd. (Maybank).

Menerusi pembelian aset dan liabiliti ke atas EON Bank pada 6 Mei lalu, HLB kini memiliki 329 buah cawangan dengan 1,400 terminal layan diri di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Yvonne Chia berkata, penggabungan itu menjadikan HLB sebagai sebuah bank yang berdaya saing daripada segi pertumbuhan dan skala selain meletakkan pengukuhan di dalam sektor perbankan tempatan.

''HLB sebelum ini merupakan bank keempat terbesar negara dan penggabungan ini menjadikan kami antara bank yang memiliki aset serta rangkaian yang terbesar di Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan secara serentak kesemua cawangan EON Bank kepada HLB di sini hari ini.

Menurut Chia, dengan penggabungan itu kesemua pelanggan EON Bank boleh menikmati kemudahan yang terdapat di semua cawangan HLB tanpa perlu melakukan pertukaran atau perubahan pada akaun masing-masing.

Namun katanya, cawangan-cawangan HLB yang baru diambil alih dicadangkan untuk dijadikan sebagai sebuah perbankan perniagaan bagi pelanggan-pelanggan tertentu.

Dalam mewujudkan perbankan tersebut beberapa perkara perlu dilakukan seperti penempatan semula lokasi, perubahan pada sistem rangkaian dan lain-lain.

''Itu semua memerlukan sedikit masa untuk diubah, namun ia berada dalam perancangan kami untuk beberapa tahun akan datang,'' kata Chia.

Sementara itu, beliau menjelaskan perbankan Islam yang terdapat pada EON Bank dan HLB akan kekal sebagai entiti masing-masing buat masa sekarang.

No comments: