Ahlan Wasahlan...

Jawatan Kosong Untuk Gadis Bawah 27 Tahun

Minuman Kesihatan dan Kekuatan

Minuman Kesihatan dan Kekuatan
Belum Cuba ..Belum Tahu... Cuba dulu baru tahu..

Apabila Iman dan Islam Menyerap dan Bersebati di Hati...

PADA tahun 1992, wanita kulit putih dari Amerika Syarikat (AS) ini selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang sangat comel.

Bagi si ibu, dia tidak pernah melihat bayi yang 'sesempurna' itu lalu diberi nama Tina yang menjadi buah hati pengarang jantung. Siang dan malam tak pernah berenggang.

Namun Tina meninggal dunia pada usia lima bulan secara tiba-tiba akibat serangan Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS) yang menyebabkan ibunya menjadi separuh gila.

"Saya benar-benar kecewa dan sangat marah dengan kematian anak yang selama ini bagaikan belahan jiwa saya.

"Saya tidak faham mengapa tuhan mengambil anak saya yang sangat sempurna itu. Sedangkan terdapat banyak bayi-bayi lain yang sakit dan menderita yang boleh diambil-Nya, tetapi mengapa bayi saya," ujar Safiyah Johnson.

Saat jenazah bayinya dikebumikan, semua ahli keluarga dan rakan yang hadir memujuk agar Safiyah tabah dan bersabar.

"Pada suatu hari nanti, pasti awak akan bertemu kembali dengannya di syurga," pujuk mereka.

"Tetapi bagaimana kamu tahu bahawa saya akan masuk ke syurga," balas Safiyah kecewa.

Namun kematian si anak itu membuka satu lembaran baru dalam hidup Safiyah, iaitu misi mencari agama yang benar. Agama yang dapat menjadi jalan untuk 'bertemu' semula dengan anaknya.

Walaupun dibesarkan sebagai penganut Kristian namun Safiyah tidak mempercayai dan menganut sesuatu agama secara ikut-ikutan apatah lagi membuta tuli.

"Saya perlukan jawapan, saya perlukan sesuatu (agama) yang masuk akal dan rasional untuk diterima.

"Hampir dua tahun saya berdoa kepada tuhan supaya ditunjukkan agama mana yang saya harus percaya dan berpegang hingga mati," katanya.

Dalam doa-doanya itu, Safiyah melepaskan rasa marah dan kecewa ekoran kehilangan anak yang disayanginya.

"Oh tuhan, Kau lebih tahu apa yang didalam hatiku ini tetapi aku benar-benar sedih dan marah! "Mengapa Kau mengambil bayiku itu malah lebih lebih menyedihkan Kau mengambilnya saat aku tiada di sisinya.

"Kau langsung tidak memberi peluang untuk ku mengucapkan selamat tinggal! Aku hendak bertemu dengan anak aku itu.

"Maka tolonglah tunjukkan jalannya (untuk bertemu) dengan bayi yang Kau sendiri mengambilnya dariku itu.

"Aku tidak mahu Engkau tunjukkan Kristian (agama) yang wajib ku pilih kerana agama itu mempunyai ajaran dan kepercayaan yang tidak dapat aku terima.

"Jadi tunjukkanlah agama yang paling benar supaya aku boleh segera mempercayai dan memeluknya.

"Terima kasih tuhan, tolong jaga anak aku itu dan sampaikan padanya bahawa aku sangat menyayangi dan merinduinya," itu antara kata-kata Safiyah ketika berdoa.

Walaupun tiada jawapan yang serta-merta namun Safiyah dapat rasakan bahawa tuhan memberikannya kekuatan untuk mengenali dan mempelajari pelbagai jenis agama.

Namun, tiada satu pun yang memenuhi isi dan kehendak hatinya. Sehingga pada suatu hari, ketika bekerja di sebuah bar, dia berkenalan dengan seorang wanita yang merupakan rakan sekerja.

Mereka menjadi kawan baik. Setelah lama berkawan wanita itu meminta bantuan agar Safiyah ke Malaysia untuk mendapatkan rakan niaga dari sana bagi menjayakan satu 'rancangan besar' dalam perniagaan eksport dan import yang baru diceburi.

"Wanita itu sebenarnya dari Malaysia dan beliau tidak boleh meninggalkan anaknya untuk melakukan urusan ini. Jadi dia meminta saya sahaja ke negara asalnya itu dengan semua perbelanjaan ditanggung," kata Safiyah.

Berbekalkan dua beg pakaian, dompet dan tiada sebarang idea bagi menjayakan misi tugasan ini, Safiyah berseorangan membawa diri ke Malaysia yang ketika itu umat Islamnya sedang menjalani ibadat puasa.

Hasilnya dia berhadapan dengan suasana yang cukup berbeza. Namun tidak beberapa lama berada di Malaysia dia menjadi paranoid.

"Paranoid, apabila semua yang saya temui di Malaysia, melayan saya dengan baik sehingga saya menjadi pelik. Pasti ada sesuatu di sebalik semua ini atau lebih tepat muslihat tertentu untuk memerangkap saya.

"Mereka bukan sahaja baik tetapi tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan pun. Saya jadi benar-benar pelik kerana selama ini saya tidak pernah menemui mereka yang sebaik ini kecuali di Malaysia," katanya.

Lalu Safiyah pun bertanya dengan seorang pemandu teksi mengapa semua orang yang ditemui mempunyai mood yang baik.

Pemandu teksi menjawab: "Sekarang ini bulan Ramadan. Maka seluruh umat Islam berkelakuan lebih baik berbanding hari-hari biasa kerana Allah akan memberi ganjaran pahala berlipat kali ganda banyaknya hanya di bulan ini."

Safiyah benar-benar kagum dengan penjelasan tersebut. Tetapi beliau sebenarnya selalu 'bertengkar' dengan para petugas di hotel beliau menginap, mengenai agama mana yang lebih baik Islam atau Kristian?

"Akhirnya satu pun saya tidak pernah menang lebih-lebih lagi apabila mereka bertanyakan mengenai agama (Kristian) saya sendiri, saya tidak dapat menjawab!

"Saya sedar apa gunanya saya mempertahankan agama yang saya sendiri tidak percaya," katanya.

Memikat hati

Beberapa cara hidup dan akhlak mulia yang ditunjukkan oleh umat Islam di Malaysia semakin memikat hati Safiyah.

"Mereka mengajak saya menjamu selera tetapi mereka sendiri tidak makan kerana mematuhi perintah ibadat berpuasa itu. Kalangan kaum wanitanya begitu menarik dalam pakaian yang sopan dan memakai tudung," kata Safiyah.

Begitu pun Safiyah masih tidak berpuas hati kerana setiap kali beliau bertanya apabila umat Islam melakukan sesuatu pasti jawapannya: "al-Quran yang mengajar kami begitu."

Lalu dengan bantuan seorang rakan Melayu, Safiyah mendapatkan senaskhah al-Quran terjemahan dan beberapa buku mengenai Islam untuk dibaca dan dihayati seluruh isi kandungannya.

"Selama dua minggu saya terperap dalam bilik semata-mata untuk membaca semua itu.

"Selepas 48 jam saya membaca terutamanya terjemahan al-Quran, tanpa dibayangi oleh sebarang keraguan, akhirnya saya menemui apa yang saya cari selama ini, Islam," jelasnya.

Namun, yang mungkin menghalangnya kini adalah bagaimana ibunya dapat menerima hakikat bahawa anaknya itu akan memeluk Islam?

'Penangguhan' itu sebenarnya lebih menyebabkan Safiyah tidak lalu makan, hilang tumpuan dan tidurnya tidak pernah lena. Lebih-lebih lagi hampir setiap malam, Safiyah akan didatangi oleh mimpi yang sama!

"Dalam mimpi itu saya dapat melihat dengan jelas akan malaikat sedang mendukung anak saya. Saya benar-benar terkejut, akhirnya saya dapat 'berjumpa' dengan anak saya itu.

"Malah tidak perlu menunggu sehingga perlu masuk ke syurga malah dalam mimpi saya berpeluang untuk bertemu semula dengan Tina," katanya sambil mengakui tuhan benar-benar memberikan lebih dari apa yang beliau inginkan.

Setelah hampir setiap malam bermimpi yang sama, akhirnya pada suatu malam apabila terkejut daripada mimpi, beliau terus menjerit: "Baiklah, saya akan peluk Islam hari ini juga."

Sejurus itu juga, suatu perasaan tenang yang sangat luar biasa terus meresap dalam dirinya.

"Saya tidak pernah rasa setenang ini. Rasa damai, ringan dan gembira yang sukar hendak diungkapkan dengan kata-kata. Saya tahu Allah akhirnya 'menerima' saya sebagai hamba-Nya," katanya.

Safiyah pun terus menemui petugas hotel yang selama ini memang berusaha mengislamkan Safiyah dan memberitahu sudah bersedia memeluk Islam.

Tetapi Safiyah sangat terkejut apabila mereka menjawab, tidak.

Mereka memberitahu Safiyah bahawa, memeluk Islam itu senang. Tetapi menukar agama bukan suatu perkara yang kecil dan boleh diambil mudah.

Sekali memeluk Islam, sampai bila-bila akan tetap Islam tidak boleh mudah-mudah menukar kepada agama lain.

Namun melihatkan kesungguhannya untuk memeluk Islam, wanita itu terus dibawa ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kuala Lumpur di mana Safiyah mengucap dua kalimah syahadah pada tarikh 15 Jun 1994.

Sejak itu, Safiyah tidak menoleh ke belakang. Beliau kini menetap di Milwaukee, Wisconsin, AS dan difahamkan kini sedang belajar di Universiti Terbuka Amerika, mengikuti Pengajian Islam.

No comments: