2.5.11

TIPS UNTUK PINTAR MATEMATIK

KUALA LUMPUR: “Untuk menjadi seorang yang mahir dan pintar dalam Matematik Islam, tiga tip perlu diamalkan iaitu jangan pegang mesin kira setiap kali hendak mengira, kurangkan mengguna SMS dan kurangkan bermain alat permainan video,” kata Adi Putra Abdul Ghani, 12, kanak-kanak cilik Matematik Islam.

Dia yang memberikan tip berkenaan pada majlis pelancaran buku sulungnya, Seni Matematik Islam di sini, semalam, berkata petua berkenaan perlu diamalkan kerana banyak sebab dapat dilihat berlaku daripada menggunakan perkara di atas.


“Menggunakan mesin kira sama seperti seseorang itu memalaskan otak untuk berfikir dan mengharapkan jawapan yang dikira terus tertera.

“Dengan mengurangkan penggunaan SMS pula, ia mengekalkan penggunaan bahasa Melayu yang dilihat semakin terjejas ekoran sikap masyarakat kini yang gemar menggunakan bahasa singkatan setiap kali menaip mesej di telefon bimbit.


“Penggunaan alat permainan atau ‘video game’ juga boleh melalaikan jika dibiarkan menjadi hobi sehingga ada yang terleka tanpa perlu melakukan apa-apa termasuk bersolat,” katanya. Hadir sama pada majlis berkenaan, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merangkap Mentor Adi Putra, Profesor Madya Dr Pakharuddin Mohd Samin, pelakon veteran, Senator Tan Sri Jins Shamsuddin dan penyampai radio, Halim Othman.


Adi Putra yang turut mendapat gelaran Profesor Cilik Matematik Islam dari Universiti Riau, Indonesia, berkata walaupun permainan video alat interaktif yang mampu menjana minda, tetapi untuk jangka masa panjang ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Buku setebal 200 muka surat yang diilhamkan Adi Putra dalam menghasilkan Matematik Islam sejak dia berusia enam tahun itu dikumpulkan hasil daripada 12 formulanya mendalami pelajaran Matematik.


Dijual pada harga RM40.20 senaskhah, buku yang sudah dua minggu berada di pasaran itu terjual lebih 3,000 naskhah sejak ia dipasarkan.

No comments: