4.5.11

Rangkuman Berita Kematian Osama Pada Hari Ke 2 Kematiannya.

Anak Osama saksi bapa ditembak komando AS


2011/05/04

OBAMA (dua dari kiri), Biden (kiri sekali) dan Hillary (dua dari kanan) memantau serangan komando di Abbotabad.
OBAMA (dua dari kiri), Biden (kiri sekali) dan Hillary (dua dari kanan) memantau serangan komando di Abbotabad.
Pemimpin al-Qaeda tidak bersenjata ketika serangan

ISLAMABAD: Anak perempuan Osama bin Laden berusia 12 tahun menjadi saksi bagaimana bapanya yang tidak bersenjata mati selepas muka dan kepalanya kena tembakan komando Amerika Syarikat di kediaman mereka di kawasan mewah Abbotabad.

Ketika semakin banyak butir-butir kejadian didedahkan, kerajaan Pakistan juga memberitahu, anggota keluarga Osama selamat dan berada di bawah perlindungan Islamabad

Ada pihak bertanya mengenai lokasi anggota keluarga Osama. Mereka selamat dan dijaga mengikut undang-undang,” menurut kenyataan Kementerian Luar.
Amerika juga menarik balik kenyataan awal kononnya seorang isteri Osama menjadi ‘perisai manusia’ bagi menghalang komando Amerika membunuh suaminya.

Seorang pegawai agensi perisikan Pakistan, ISI memberitahu Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), seramai 17 atau 18 orang berada dalam kediaman di Abbotabad itu ketika serangan dilancarkan.

Salah seorang daripada mereka termasuk anak perempuan Osama manakala isteri termuda Osama, Amal Ahmed al-Sadah, 27, terselamat tetapi cedera.

Pegawai Amerika berkata, dua adik beradik yang dipercayai menjadi orang perantaraannya dan seorang lagi anak lelaki pemimpin kanan al-Qaeda turut maut dalam serangan itu.
Operasi itu disaksikan secara langsung oleh Presiden Amerika, Barack Obama dan beberapa menteri kanan lain termasuk Naib Presiden, Joe Biden dan Setiausaha Negara, Hillary Clinton.

Gambar serangan yang diambil tentera Amerika menunjukkan tembakan kena tepat pada bahagian atas mata kiri Osama.

Amerika mendedahkan, pasukan penyerang membawa cakera padat, DVD dan dokumen di lokasi serangan dipercayai dapat mendedahkan butir-butir operasi al-Qaeda dan diharap membantu buruan pemimpin kedua kumpulan itu, Ayman al-Zawahri.

Di WASHINGTON, Amerika menyatakan tiada bukti menunjukkan pegawai Pakistan tahu Osama tinggal di lokasi serangan itu tetapi tidak menolak sepenuhnya perkara itu.

Abbotabad adalah sebuah bandar tentera 62 kilometer dari ibu negara, Islamabad.

“Mereka (pegawai Pakistan) terkejut besar seperti juga kami selepas mendapat tahu apa yang berlaku di situ, jadi pada masa ini tiada tanda-tanda orang yang kami jumpa dan berbincang menyedari Osama ada di tempat berkenaan tetapi kami masih perlu terus menyiasat,” kata ketua tindakan memerangi keganasan, John Brennan ketika diwawancara radio awam.

Apabila ditanya sama ada pegawai tentera Pakistan mungkin tahu Osama berada di situ, Brennan berkata, ia satu kemungkinan juga.

“Mungkin terlalu awal untuk menolak kemungkinan ada individu dalam tentera Pakistan termasuk orang kanannya tetapi kami tidak mahu menuduh buat masa ini,” katanya lagi.

Apapun, pendedahan berita bahawa Osama terbunuh di pintu depan rumahnya dianggap sebagai sukar diterima menyebabkan teori konspirasi mengenai aktiviti keji Amerika Syarikat bertambah beberapa kali ganda di kalangan penduduk di bandar senyap Pakistan di Abbotabad.

Terletak di kawasan berbukit dipenuhi pokok pain, pinggiran Bilal, kawasan terkenal sebagai bandar tentera di sini adalah tempat terakhir di Pakistan untuk orang ramai membayangkan menjadi tempat persembunyian lelaki ‘paling dikehendaki’ dunia itu.

Abbotabad tidak seperti kawasan lain di barat laut kerana kebanyakan penduduk memakai pakaian ala-Barat. Berbeza dengan tempat kelahiran asal Osama di Arab Saudi, wanita dilihat memandu kereta dan tiada siapa yang bercakap kepada wartawan asing pernah melihat warga Arab di sini.

Bashir Qureshi, 61, yang tinggal tidak jauh dari mana Osama ditembak dan tingkapnya tercabut dalam serbuan itu, turut menolak kehadiran Osama. – Agensi

==========================================

4 tahun dibayangi maut

pix_gal0
Lokasi Osama dikesan selepas utusan diekori



WASHINGTON: Lokasi persembunyian Osama bin Laden mula dihidu Amerika Syarikat pada 2007 selepas mengenal pasti dua utusan dipercayai rapat dengan pemimpin al-Qaeda yang dituduh dalang serangan Pusat Dagangan Dunia pada 11 September 2001 (9/11) di New York.

Dua tahun selepas itu, dua ejen warga Pakistan yang bekerja dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) memperoleh identiti seorang daripada utusan Osama itu di Peshawar, Pakistan.

Berikutan itu, mereka berjaya mengesan kediaman yang dipercayai tempat Osama bersembunyi selepas menjejaki utusan itu ke Abbotabad dan mula memantau lokasi berkenaan mulai Ogos 2010.
Sejak Osama melarikan diri dari wilayah pergunungan Tora Bora di Afghanistan pada 2001 selepas serangan 9/11, jejaknya hilang selepas bersembunyi dan mengelak membuat atau menerima panggilan telefon.

Maklumat yang dikumpulkan mendapati dua utusan pemimpin al-Qaeda berkenaan tinggal bersama keluarga masing-masing, malah turut dihuni satu lagi keluarga besar.

Pegawai kanan berkata, keyakinan mengenai tempat itu dihuni seorang pemimpin kanan al-Qaeda semakin kukuh berdasarkan beberapa tanda mencurigakan di kediaman itu.

“Apabila kita lalu di bangunan itu, kita lihat siapa saja yang berada di dalamnya cuba menyembunyikan identiti mereka menerusi cara kawalan keselamatan ketat.
“Atas sebab itu, kami percaya Osama dan keluarganya tinggal di tingkat kedua dan ketiga bangunan utama,” katanya.

“Penghuninya mempunyai kediaman berharga jutaan dolar, tetapi tidak mempunyai sumber pendapatan tertentu. Jika dilihat kes ini, jelas ia adalah bukti menunjukkan militan berprofil tinggi berada di sini dan Osama adalah individu yang sepadan dengan profil itu,” kata seorang lagi pegawai.

Sehingga April lalu, Obama diberi tiga pilihan iaitu menghantar satu pasukan bersenjata bagi menahan atau membunuh suspek, melancarkan pengeboman atau terus menunggu perkembangan lanjut.

Hanya tiga perkataan digunakan oleh Obama pada Jumaat lalu untuk melancarkan operasi menahan atau membunuh musuh nombor satu Amerika itu – ‘It’s a go’ (Teruskan rancangan). – AFP.

==========================================

Osama tidak bersenjata ketika diserang - White House

04/05/2011 2:59am

WASHINGTON 4 Mei – Pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden dilaporkan tidak bersenjata ketika tentera AS menyerang tempat persembunyiannya di Pakistan namun sempat melawan sebelum ditembak.

Menurut jurucakap White House, Jay Carney semalam, pihaknya tidak boleh mendedahkan lebih lanjut bagaimana keadaan Osama ketika dia diserang. – Reuters

=================================

Anak perempuan Osama saksi pembunuhan bapanya

04/05/2011 2:27am

ISLAMABAD 4 Mei – Pakar perisikan Pakistan menyatakan seorang daripada anak perempuan Osama bin Laden menjadi saksi pembunuhan bapanya yang ditembak mati oleh pasukan tentera Amerika Syarikat (AS).

Menurut pakar perisikan yang enggan dikenali tersebut, anak perempuan Osama yang berusia 12 atau 13 tahun itu turut mengesahkan dalang serangan 11 September 2001 itu mati dibunuh pada awal pagi kelmarin.

Sementara itu, 10 saudara-mara Osama termasuk seorang isteri serta lapan anaknya ditahan oleh pihak berkuasa Pakistan untuk disoal siasat. – Reuters

==================================

25 penyerang asing terbunuh di sempadan Pakistan

04/05/2011 2:25am

ASSADABAD , Afghanistan 4 Mei – Seramai 25 penyerang asing terkorban dan cedera selepas bertempur dengan pihak berkuasa Afghanistan ketika melintasi sempadan dari Pakistan.

Menurut Gabenor wilayah timur laut Nuristan, Jamaluddin Badr, 25 penyerang asing yang terbunuh dan cedera itu termasuk dari Arab, Pakistan dan Chehnya sambil menjelaskan Afghanistan telah melancarkan kawalan keselamatan berikutan kematian Osama bin laden.

“Kami kini dalam keadaan berjaga-jaga kerana berkemungkinan al-Qaeda dan mana-mana pihak lain akan cuba memasuki Afghanistan dan untuk itu, kami lancarkan operasi kawalan sempadan,” kata Badr. – Reuters

================================

ndonesia medan baru pengganas

JAKARTA 3 Mei - Ketika berita mengenai kematian Osama bin Laden menarik perhatian dunia, lain pula halnya di Indonesia.

Serangan pelbagai bom di Indonesia sejak awal tahun ini telah mencetuskan kebimbangan baru, apabila Indonesia dianggap sebagai pusat bagi melahirkan angkatan generasi baru pengganas.

Apa yang turut membimbangkan, Indonesia juga kini dilabel sebagai medan perang baru bagi pelaku pengganas.

Berita berkenaan dilapor akhbar utama negara ini, Kompas di muka depannya semalam dengan tajuk: Indonesia Jadi Medan Perang.

Menurut akhbar berkenaan, pelaku pengganas sebelum ini yang dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah (JI) menjadikan AS dan kelompok bukan Islam sebagai musuhnya.

Berbeza dengan angkatan baru pengganas ini, kelompok yang dikaitkan dengan jaringan Negara Islam Indonesia (NII) pula menjadikan institusi pemerintah seperti Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri) dan kumpulan bukan Islam sebagai musuh utama.

AS pula menyifatkan kumpulan radikal Islam ini sebagai musuh paling jauh.

"Ketika ini di Indonesia, banyak berlaku pengambilan anggota baru (pengganas baru). Indonesia dianggap sebagai medan perang," kata pemerhati Inteligen, Wawan Purwanto seperti yang dipetik akhbar Kompas.

Wawan berkata, apa yang membimbangkan juga, mereka yang melatih generasi baru pengganas terdiri daripada puak radikal yang masih belum ditangkap pihak berkuasa.

"Misalnya kelompok Poso belum semuanya tertangkap. Kelompok bom Bali juga masih ada yang belum tertangkap," katanya.

Kelompok itu juga pernah dilatih oleh pengganas Nordin Mat Top dengan melakukan pengambilan pengganas baru dengan cara klandestin atau gerakan bawah tanah.

Bagi pemerhati jenayah pengganas, Al Chaidar pula, kelompok pengganas baru ini lebih mudah didekati kerana mereka merupakan puak yang cukup mudah berkompromi.

Akhbar berkenaan turut memetik kenyataan beberapa tokoh yang berkemahiran mengulas isu-isu keganasan yang bersetuju bahawa jaringan keganasan semakin bercambah di Indonesia. - Utusan

=========================================

Osama dibunuh komando SEAL


IMEJ video yang diambil daripada ABC News merakamkan bilik tidur di sebuah rumah agam di mana Osama dibunuh dalam operasi tentera AS di bandar Abbottabat, Pakistan, kelmarin. – REUTERS


WASHINGTON 3 Mei – Pasukan tentera rahsia yang membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Pakistan kelmarin terdiri daripada anggota komando elit SEAL Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang diterbangkan khas menyeberangi sempadan dari Afghanistan.

Dalam operasi sulit itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa Pakistan, beberapa helikopter Blackhawk MH-60 yang diubah suai berlepas dengan membawa pasukan SEAL dari Pangkalan Udara Ghazi menuju ke bandar garison Abbottabad, kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Islamabad.

Sejumlah 22 orang terbunuh atau ditangkap selepas tembakan bertalu-talu dilepaskan selama lebih 40 minit, termasuk Osama yang mati akibat terkena dua tembakan di sebelah kiri muka.

Mayatnya dibawa dengan helikopter yang kembali ke pangkalan, manakala sebuah helikopter mengalami kerosakan mekanikal dan terpaksa dimusnahkan oleh tentera AS, kata pegawai tentera dan White House kepada akhbar National Journal, semalam.

Jika tidak kerana sasaran bernilai tinggi itu, misi tersebut boleh dianggap sebagai rutin bagi pasukan SEAL Team Six yang sangat terlatih, secara rasminya dikenali sebagai Kumpulan Pembangunan Peperangan Khas Tentera Laut tetapi sebagai DevGru di kalangan penduduk tempatan di pangkalan mereka di Dam Neck, Virginia.

Sasaran kali ini sangat istimewa dan serangan ke atas pekarangan sebuah rumah seluas setengah hektar di Abbottabad itu memerlukan latihan rapi, kerana itu mereka mendirikan pekarangan serupa di Camp Alpha, sebahagian daripada Pangkalan Udara Bagram di Afghanistan.

Operasi latihan diadakan beberapa kali pada awal bulan lepas.

DevGru terletak di bawah Pusat Pemerintahan Operasi Khas Bersama (JSOC), gabungan luar biasa terdiri daripada pelbagai pasukan petugas rahsia dan unit misi khas.

Mereka menjawab langsung kepada Presiden AS dan menjalankan operasi di seluruh dunia berdasarkan arahan sulit Presiden yang berteraskan undang-undang (atau luar batas undang-undang). – Agensi


===============================

Kematian Osama tidak jejas rangkaian militan Asia Tenggara

JAKARTA 3 Mei - Rangkaian militan di Asia Tenggara melihat pembunuhan Osama bin Laden di Pakistan hanya sebagai tamparan kecil kepada perjuangan mereka.

Reaksi terhadap kematian Osama itu disiarkan di satu laman web Indonesia yang dikendalikan oleh seorang militan dikenali sebagai 'Putera Jihad'.

"Jika berita itu benar, kita semua patut bergembira kerana memang menjadi impiannya untuk mati syahid di jalan Allah.

"Umat Islam tidak perlu bimbang, kerana dengan kehadiran Sheikh Osama atau tidak, jihad akan diteruskan dan Sheikh Osama yang lain akan muncul sebagai pengganti," menurut kenyataan di laman web itu.

Gerakan militan di Asia Tenggara seperti Jemaah Islamiah (JI) di Indonesia dan Abu Sayyaf di Filipina pernah bekerjasama dengan al-Qaeda serta mendapat inspirasi daripada rangkaian yang diasaskan oleh Osama itu, tetapi mempunyai matlamat dan kaedah yang berasingan, kata penganalisis.

Pengerusi pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU), Said Aqil Siradj berkata, kematian Osama 'tidak akan terus menghapuskan fahaman radikal dari muka bumi'.

"Kita perlu sentiasa berwaspada kerana fahaman radikal sudah lama wujud dan tidak akan hilang, komitmen kita yang berterusan untuk bertindak memerangi fahaman radikal tidak boleh luntur," ujar beliau.

Sungguhpun al-Qaeda sudah lama menjalinkan hubungan erat dengan militan di Asia Tenggara, rangkaian Osama itu tidak pernah menguasai kumpulan militan di rantau ini dan kematiannya tidak akan menjejaskan operasi mereka, kata penganalisis.- AFP


=====================================

Pakistan nafi bunuh Osama

WASHINGTON 3 Mei – Pembunuhan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden oleh pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) bukanlah satu operasi bersama dengan Pakistan, kata Presiden Asif Ali Zardari menerusi satu ruangan pendapat yang disiarkan di Washington Post, semalam.

Presiden itu dalam ruangan tersebut turut menolak sebarang tanggapan menyatakan negaranya gagal mengambil tindakan ke atas Osama yang berada di dalam wilayahnya.

Zardari berkata, lokasi Osama dibunuh di bandar Abbottabat, utara Islamabad juga tidak diketahui pihak berkuasa Pakistan.

“Dia tidak berada di lokasi yang kami jangkakan, tetapi kini dia telah terkorban.

“Walaupun serbuan kelmarin bukan satu operasi bersama, kerjasama dan perkongsian (maklumat) selama 10 tahun antara AS dan Pakistan membantu menghapuskan Osama yang dianggap sebagai satu ancaman berterusan kepada dunia bertamadun,” katanya.

Pemimpin Pakistan itu juga berkata, adalah tidak benar sama sekali untuk menyatakan negaranya yang turut terjejas akibat pergerakan militan Osama dengan kehilangan 30,000 nyawa penduduk awam, lambat bertindak atau tidak bersedia menjejak militan.

Malah, beberapa jam sebelum operasi tersebut, penggubal undang-undang AS mempersoalkan bagaimana ketua militan itu boleh tinggal di kawasan padat dengan penduduk tanpa diketahui pihak berkuasa Pakistan, kemungkinan sudah beberapa tahun.

“Beberapa laporan media AS beranggapan Pakistan tidak mempunyai semangat peperangan menentang keganasan atau lebih teruk kami didakwa tidak jujur dan sengaja melindungi pengganas.

“Spekulasi tidak berasas itu mungkin menjadi tajuk berita yang menarik, tetapi ia tidak menjelaskan fakta. Sama seperti negara lain, Pakistan turut membenci al-Qaeda,” katanya. – Reuters


======================

Pembunuhan Osama difilemkan

LOS ANGELES 3 Mei - Pengarah yang pernah memenangi Anugerah Oscar, Kathryn Bigelow dilapor sedang menerbitkan filem bertajuk Kill Bin Laden yang memaparkan pembunuhan dalam serangan pada 11 September, Osama Bin Laden oleh Amerika Syarikat (AS).

Filem yang dibiayai anak perempuan jutawan teknologi Larry Ellison, Megan Ellison itu akan menampilkan aktor Australia, Joel Edgerton, 36, yang sebelum ini pernah berlakon dalam Star Wars.

Menurut laman web industri filem, Deadline.com semalam, Bigelow yang juga pengarah wanita pertama memenangi Oscar menerusi filem The Hurt Locker pada tahun lalu, telah merancang dan memilih pelakon untuk filem tersebut sejak beberapa minggu lalu.

Plot asal filem itu dibuat berdasarkan misi-misi tentera AS yang gagal membunuh pemimpin al-Qaeda tersebut di kawasan sempadan antara Afghanistan dan Pakistan.

Bagaimanapun, Deadline.com melaporkan, jalan cerita Kill Bin Laden akan diubah kepada berakhir dengan 'kejayaan' sama seperti operasi tentera AS yang berjaya membunuh ketua militan tersebut. - dpa

============================================

Obama tonton Osama ditembak


OBAMA (dua dari kiri), Biden (kiri) dan Clinton (dua dari kanan) bersama para pegawai kanan keselamatan AS menyaksikan operasi pemburuan Osama di White House, Washington pada Ahad lalu.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menonton skrin televisyen yang menunjukkan detik-detik seorang komando menembak mati ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden, 54, secara langsung pada malam Ahad lepas, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Detik-detik itu dilihat Obama di pejabatnya bersama beberapa pegawai kanan lain termasuk Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton di White House di sini menerusi kamera video yang dipasang pada topi seorang anggota komando daripada pasukan komando tentera laut Seal. Komando itu menembak mati Osama di dalam bilik tidur sebuah rumah yang menjadi tempat perlindungan pemimpin pengganas itu.

Obama dapat melihat Osama ditembak di bahagian kepala dekat mata kiri pada skrin televisyen tersebut yang turut disaksikan oleh Naib Presiden AS, Joe Biden dan pegawai-pegawai pasukan keselamatan negara AS.

Anggota komando itu kemudian menembak Osama sekali lagi di bahagian dada bagi memastikan dia sudah mati. Ia merupakan amalan biasa dalam pasukan tentera.

Dalam video itu juga, salah seorang isteri Osama dikatakan bertindak seperti perisai manusia untuk melindungi diri suaminya semasa seorang anggota komando AS memasuki sebuah bilik tidur di dalam rumah agam yang bernilai AS$1 juta (RM2.96 juta) dekat bandar Abbottabad, Pakistan.

Beberapa jam kemudian, jenazah Osama dikebumikan di utara Laut Arab selepas jenazahnya diikat sebelum disimpan di dalam sebuah beg dan diterbangkan menerusi helikopter ke kapal pengangkut pesawat AS, USS Carl Vinson.

=================================

Bukti kematian masih kabur

WASHINGTON - Kematian Osama bin Laden di tangan pasukan komando Amerika Syarikat (AS) terus dipertikai susulan tiada bukti kukuh seperti mayat, gambar atau asid deoksiribonukleik (DNA) ketua kumpulan Al-Qaeda itu bagi menyokong dakwaan tersebut.

Presiden AS, Barack Obama pada Ahad lepas mengumumkan bahawa Osama, 54, mati ditembak anggota komando AS di bandar Abbottabad, Pakistan.

Kumpulan militan Pakistan sebelum ini menyatakan bahawa Osama masih hidup.

Di Britain, kesangsian mengenai berita pembunuhan Obama itu disuarakan bekas Duta Britain ke Washington, Christopher Meyer.

"Saya tidak faham kenapa Presiden AS berani membuat kenyataan kepada dunia bahawa Osama sudah mati tanpa memberikan bukti bahawa dia telah mati," kata Meyer.

"Saya fikir kita mungkin melihat beberapa bukti tidak lama lagi sama ada DNA atau gambar supaya selepas ini tiada lagi dakwaan Osama dilihat di kawasan pergunungan atau seumpamanya," tambah beliau.

Sebelum ini, ramai orang terutamanya di negara-negara Islam sangsi bahawa serangan ke atas Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001 didalangi pengganas.

Sehingga kini jutaan penduduk Islam menyoal sama ada kejadian itu sebenarnya merupakan komplot Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS. - Agensi


==================================

Pembunuhan Osama elak dilema politik Obama


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

WASHINGTON: Dengan membunuh Osama bin Laden, AS berjaya mengelakkan kerumitan proses naik turun mahkamah yang mungkin memberi peluang kepada pemimpin al-Qaeda itu meningkatkan propagandanya.

Penahanan Osama juga mungkin lebih menyukarkan politik Presiden Barack Obama.


Penganalisis berkata, secara rasmi Osama memang dikehendaki sama ada hidup atau mati, tetapi menawannya hidup-hidup akan menimbulkan dilema perundangan dan politik kepada Washington.

Pegawai Pusat Keselamatan Amerika Baru, Andrew Exum, berkata Rumah Putih mungkin menarik nafas lega kerana Osama dibunuh.


“Ada bahaya besar jika Osama ditawan dan perbicaraannya nanti mungkin bertukar menjadi sarkas kerana proses perundangan sangat rumit,” katanya.


Tidak seperti Saddam Hussein, Osama tidak mampu bersuara di mahkamah atau mengumpulkan penyokongnya.

Kata Exum, pengalaman menahan dan membicarakan Saddam mungkin menjadi pengajaran kepada Rumah Putih.


“Selepas mati, Saddam menjadi wira di dunia Arab,” katanya. - AFP

======================================


ahanan Guantanamo bocor rahsia


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

WASHINGTON: Beberapa tahanan di Teluk Guantanamo memberikan maklumat penting sehingga membolehkan tentera Amerika Syarikat membunuh Osama bin Laden, kata pegawai keselamatan semalam.

Menurut pegawai kanan dalam pentadbiran Presiden Barack Obama, ejen perisikan memperoleh banyak maklumat daripada soal siasat di kem tahanan berkenaan.


Katanya, mereka bertanggungjawab secara langsung membantu pasukan keselamatan mengesan pemimpin al-Qaeda itu.

“Antara maklumat diperoleh adalah nama gelaran utusan digunakan Osama menyampaikan mesej kepada dunia luar.


“Tahanan terbabit juga membayangkan utusan itu tinggal bersama Osama walaupun kami mengambil masa bertahun-tahun bagi mengesan identiti serta lokasi sebenar dimaksudkan,” katanya.


Kenyataan itu dijangka mencetuskan bantahan antarabangsa terhadap kewujudan kem tahanan berkenaan.

Sejak sekian lama, pelbagai pihak mempertikaikan kaedah soal siasat berbentuk seksaan melampau digunakan pihak keselamatan AS bagi mendapatkan maklumat daripada tahanan di kem kontroversi itu.


Ratusan suspek militan yang ditahan di Pakistan dan Afghanistan sebelum ini ditempatkan di kem berkenaan dan berdepan dengan pelbagai teknik soal siasat zalim.

Di sebalik bantahan itu, pegawai AS berkata, soal siasat dijalankan membuktikan mereka berjaya memperoleh maklumat penting.


Kata sumber itu, beberapa tahanan membocorkan rahsia mengenai individu yang menyediakan bantuan secara langsung kepada Osama dan timbalannya selepas mereka lari meninggalkan Afghanistan.


“Seorang daripada utusan itu akhirnya mendapat perhatian berterusan daripada pasukan keselamatan AS,” katanya.


Sementara itu, pegawai pertubuhan hak asasi kemanusiaan Amnesty International, Mike Blakemore, berkata seksaan ke atas tahanan tidak boleh dihalalkan dalam semua keadaan, termasuk untuk mendapatkan maklumat penting. - DM.

===================================================

Warga Kuwait jadi utusan


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

WASHINGTON: Tiga pegawai Amerika Syarikat yang enggan dikenali berkata, tentera negara itu mengetahui tempat persembunyian Osama menerusi seorang pembantu paling dipercayainya, lelaki kelahiran Kuwait, Sheikh Abu Ahmed.

Abu Ahmed ialah tokoh yang samar-samar bagi perisik Amerika Syarikat yang mengambil masa beberapa tahun untuk mengenal pasti identitinya.


Sejak sekian lama, pegawai perisikan hanya mengenalinya dengan nama samaran, Abu Ahmed al-Kuwaiti.

Tanda awal mengenai kewujudannya diketahui sejurus selepas serangan 11 September 2001, daripada tahanan CIA.


Abu Ahmed dan adiknya terbunuh dalam serangan yang meragut nyawa Osama.
===============================

Kematian pencetus semangat militan


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ISLAMABAD: Seorang pengasas kumpulan militan Islam Pakistan semalam memberitahu masyarakat Islam supaya menjadikan kematian Osama bin Laden sebagai pencetus semangat.

Pemimpin Lashkar-e-Taibah, Hafiz Mohammad Saeed memberitahu pengikutnya di satu majlis solat khas yang diadakan untuk Osama, bekas pemimpin al-Qaeda itu akan terus menjadi sumber kekuatan dan dorongan untuk umat Islam di seluruh dunia.


“Osama bin Laden adalah lelaki hebat yang menyedarkan dunia Islam,” kata Hafiz.

“Syahid bukan satu kehilangan, sebaliknya ia adalah kebanggaan bagi umat Islam. Osama melakukan banyak pengorbanan untuk Islam dan penganutnya dan ia akan sentiasa diingati,” katanya.


Beribu-ribu pengikut kumpulan berkenaan menyertai solat ghaib itu. - Ap

No comments: