22.5.11

Tragedi Tanah Runtuh di Madrasah At-Taqwa -Apabila Syahid menerpa Diri


7 mangsa dikebumi satu liang lahad


orang ramai memenuhi Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, Batu 14, Hulu Langat tempat tujuh jenazah mangsa tanah runtuh disembahyangkan semalam.


hulu langat - Suasana sedih dan pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding, Batu 14 di sini semalam apabila tujuh mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa selamat disemadikan dalam satu liang lahad.

Tujuh jenazah daripada 16 mangsa yang terkorban itu ialah Dzahir Haziq Mohd. Muin, 18, Mohd. Azret Azahari, 8, Wan Ahmad Hashim Hazim, 11, Mohd. Mustakim Mamat, 12, Mohd. Zaim Azahari, 14, Mohd. Imal Fahad, 9, dan Mohd. Hazim Sapri, 10.

Turut disemadikan dalam liang lahad sama ialah sebelah kaki milik Zulkhairi Aminuddin, 13, mangsa yang terselamat dalam tragedi itu. Upacara pengebumian itu selesai pada pukul 3.20 petang.

Terdahulu, kesemua jenazah itu disembahyangkan selepas solat Zuhur di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, pekan Batu 14. Lebih 500 hadirin terdiri daripada ahli keluarga, waris, dan penduduk setempat mulai memenuhi masjid tersebut sejak pukul 10 pagi bagi menunaikan solat jenazah untuk mangsa-mangsa malang itu.

Zaiton Abdullah, 30-an, ibu saudara salah seorang mangsa, Dzahir Haziq ketika ditemui tidak dapat menyembunyikan perasaan terkilannya tidak dapat menatap wajah arwah buat kali terakhir.

Zaiton berkata, dia yang menetap di Terengganu terus bergegas ke ibu kota setelah menerima panggilan pada malam kejadian mengenai tragedi menimpa Dzahir Haziq.

"Saya terkilan kerana tidak dapat menatap wajah Dzahir Haziq buat kali terakhir kerana baru sampai ke sini," kata Zaiton yang memberitahu dia menganggap arwah seperti anak kandungnya.

Roslan Osman, 69, yang bertugas secara sukarela di rumah anak yatim itu berkata, rumah tersebut mempunyai 42 orang penghuni yang terdiri daripada empat golongan iaitu anak yatim, yatim piatu, anak-anak fasuki dan anak-anak hidayah.

=======

HULU LANGAT - Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh manakala tiga lagi dilaporkan masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menimpa blok dewan makan di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di sini petang semalam.

Sehingga pukul 11 malam tadi, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan sembilan mangsa yang terselamat termasuk seorang warden asrama berusia 22 tahun.

Kesemua yang terselamat dihantar ke Hospital Ampang dan Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, seramai 49 penghuni yang kesemuanya lelaki bersama lima penjaga berada di dalam bangunan tersebut dan sedang mengadakan latihan nasyid serta menghias dewan makan untuk majlis sumbangan derma bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang dijangka berlangsung pada pukul 5 petang.

Ketika kejadian, seramai 24 penghuni sempat melarikan diri manakala 25 yang lain termasuk lima penjaga dilaporkan hilang.

Kesemua penghuni yang terperangkap berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Runtuhan tanah itu dikatakan menimbus keseluruhan dewan makan yang terletak di bawah bukit tersebut.

Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, seramai lima mangsa pertama dapat dikeluarkan dengan bantuan orang ramai dan mereka dilaporkan selamat.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Mayat pertama semalam dibawa keluar pada pukul 4.30 petang oleh pasukan penyelamat selepas tertimbus di bawah runtuhan batu-bata manakala mayat kedua pula dibawa keluar kira-kira setengah jam kemudian.




Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai oleh pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Relawan Ikatan Rakyat (Rela) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, sebanyak tujuh ekor anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) turut digunakan dalam operasi tersebut bagi mengesan mangsa yang tertimbus.

Seramai 384 anggota terlibat dalam operasi SAR yang bermula pada pukul 3 petang itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu, operasi mencari dan menyelamat tetap akan diteruskan sehingga semua mangsa ditemui.

Ketika ditemu bual menerusi saluran Astro Awani, Ismail turut meminta orang ramai menjauhi tempat kejadian bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku di samping untuk memberi laluan kepada pasukan operasi menjalankan tugas dengan lancar.

"Setakat ini, saya difahamkan masih ada pergerakan berlaku pada tanah kerana cuaca yang masih hujan," tegasnya.

Bangunan rumah anak yatim dan madrasah itu dibina sejak tahun 2003.

=================

Lari dikejar runtuhan tanah bukit


ANGGOTA penyelamat membantu seorang mangsa yang cedera dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di Hulu Langat semalam.


HULU LANGAT - Penghuni Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di sini, Mohd. Jihad Jalal, 14, hanya sempat mengingat keadaan cemas dia dikejar runtuhan tanah sehingga separuh daripada tubuhnya tertimbus.

Kejadian pukul 2.15 petang semalam digambarkan berlaku begitu pantas sehinggakan Mohd. Jihad yang berada di bawah khemah yang terletak di sebelah dewan makan rumah anak yatim itu tergamam.

"Saya terus lari sampai terjatuh sebelum kena timbus dengan tanah dan batu hampir separuh badan.

"Nasib saya baik sebab ada orang kampung datang menarik saya keluar,'' cerita Mohd. Jihad yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Remaja yang berasal dari Puchong, Selangor itu baharu tiga bulan menghuni rumah tersebut.

Sementara itu, seorang lagi penghuni, Mohd. Shahrizal Amrizal, 14, memberitahu, ketika kejadian dia sedang berjalan menuju ke dewan makan tersebut.

"Saya nampak ada beberapa orang rakan sedang mengelap kerusi dalam dewan itu. Bila saya nampak tanah runtuh, saya hanya sempat menjerit minta mereka lari,'' katanya.

=================

HULU LANGAT - Kerajaan akan memberikan bantuan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh melibatkan anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di Hulu Langat semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kos rawatan mangsa yang cedera juga akan ditanggung oleh kerajaan.

"Kita akan menyediakan bantuan kesihatan dan tempat tinggal sementara kepada mangsa dan semuanya ditanggung oleh kerajaan," katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian di sini malam tadi.

Muhyiddin turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.

==============

13 maut, 3 tertimbus


Mangsa dikenali dengan nama Hairi dibawa ke Hospital Ampang, Kuala Lumpur, semalam.


HULU LANGAT 21 Mei – Seramai 13 penghuni Rumah Anak- anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14, di sini, maut akibat tertimbus setelah tebing sebuah bukit berdekatan runtuh dan menghempap khemah yang mereka duduki.

Sehingga pukul 1.30 pagi, operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa masih diteruskan dan terdapat tiga lagi penghuni dipercayai tertimbus.

Seorang mangsa tertimbus, Abang Iwan, 33, berjaya diselamatkan pada pukul 10.20 malam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Azrel, Nael, Eqim, Zaim, Rahimi, Angah, Boboy, Zaid, Abang Farid, Shahrul, Lokman dan Hasril berusia empat tahun hingga 30-an.

Mereka terdiri daripada 12 kanak-kanak dan seorang dewasa.

Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang mereka bersama yang lain berada di dalam khemah tersebut untuk berlatih nasyid bagi meraikan kedatangan rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pukul 5 petang.

Khemah itu dipasang untuk majlis tersebut yang terletak bersebelahan tebing.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dilakukan dengan membuat dua terowong turut mengalami kesukaran berikutan hujan lebat petang ini dan menyebabkan berlaku pergerakan tanah.

Seramai sembilan mangsa termasuk dua dewasa dibawa keluar dengan selamat. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Ampang dan Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Mangsa yang terselamat pula dikenali sebagai Khairul, Hairis, Harris, Aizat, Alaudin, Shafiz, Akmal dan pekerja rumah berkenaan, Abang Din.

Dua mayat dibawa keluar pukul 4.25 petang diikuti mangsa-mangsa seterusnya kira-kira dua jam hingga tiga jam kemudian dan dibawa ke Hospital Kajang.

Rumah itu menempatkan seramai 49 orang yang terdiri daripada kanak-kanak yatim dan lima penjaga.

Seramai 500 anggota pasukan penyelamat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat iaitu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Bangi, Kajang, Selayang, Serdang, Cheras dan Pandan, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Mereka turut dibantu Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebuah jentolak milik swasta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, runtuhan tanah itu merupakan yang terburuk pernah berlaku dalam sejarah di kawasan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya dan agensi penyelamat lain mengalami kesukaran mencari mangsa yang tertimbus kerana struktur tanah yang lembut serta bergerak.

Menurut Khalid, pasukan penyelamat terpaksa membuat dua terowong untuk mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus.

“Ekoran keadaan hujan, kemungkinan terdapat runtuhan yang akan berlaku di kawasan ini. Saya nasihatkan orang ramai agar tidak datang ke kawasan ini kerana berbahaya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

=================

Dua beradik antara mangsa terkorban


Mangsa ini berjaya diselamatkan selepas hampir lapan jam tertimbus dalam kejadian tanah runtuh, di Hulu Langat, semalam.


KAJANG 21 Mei — Dua beradik, Mohd. Zaim Azahari, 14, dan adiknya Mohd. Azed, 8, adalah antara yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini, hari ini.

Mayat Mohd. Zaim dihantar ke Hospital Kajang pada pukul 8.55 malam manakala mayat adiknya dipercayai dihantar ke Hospital Ampang.

Difahamkan bapa kanak-kanak malang itu, Azahari Mat Selek, 36, dan ibu mereka Noreha Ariffin, 37, bekerja sebagai warden dan tukang masak di asrama berkenaan bersama seorang lagi adik-beradik perempuan berumur 10 tahun, terselamat daripada runtuhan yang berlaku pada pukul 2.30 petang.

Datuk saudara kanak-kanak itu yang hanya dikenali sebagai Mohd. Amri, 56, ketika ditemui pemberita di Hospital Kajang berkata, Mohd. Zaim seorang pelajar yang boleh menghafal surah Yassin pada umur 10 tahun dan merupakan seorang budak yang baik.

Dalam tragedi itu, 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa tertimbus akibat tanah runtuh.

Ketika kejadian kesemua mangsa dipercayai berada di khemah yang dipasang untuk mengadakan satu majlis yang dijadual diadakan petang tadi.

Sementara itu, seorang penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang, Harizan Yaacub, 30, yang merupakan bapa saudara tiga kanak-kanak yang belajar di asrama berkenaan masih tertanya-tanya keadaan tiga anak saudaranya itu.

"Anak buah saya ada empat orang belajar di sana...Mohd. Aizad Abdul Karim, 14, Mohd. Aiman Abdul Latif, 12, dan Mohd. Awie Abdul Latif, 13. Seorang lagi anak buah saya, Mohd. Alif Abdul Karim, 16, berada di rumah semasa kejadian berlaku," katanya.

Harizan berkata, maklumat terkini yang diterima buat masa ini mengatakan Mohd. Aizad selamat tetapi patah kaki.

"Yang lagi dua itu, saya tidak tahu macam mana keadaannya," katanya.

Tinjauan Bernama setakat ini mendapati mangsa yang cedera tidak kelihatan di Hospital Kajang dan dipercayai dihantar ke hospital lain, antaranya Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

=============

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut merakamkan ucapan yang sama.

“Turut merakamkan ucapan takziah dan simpati, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan.

Gambar-gambar Tragedi Tanah Runtuh di Hulu Langat


Khemah ditimbus tanah akibat runtuhan tebing bukit.



SEBAHAGIAN anak-anak yatim kelihatan sayu menunggu berita rakan-rakan mereka yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, semalam. – MINGGUAN/Shefry Moniz



Orang ramai dan anggota penyelamat memenuhi lokasi kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, semalam.






TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat melihat kerja-kerja menyelamat sebaik tiba di tempat kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, malam tadi.



JENAZAH mangsa-mangsa tragedi tanah runtuh ditempatkan di sebuah surau dekat tempat kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, semalam.



Salah seorang mangsa kejadian tanah runtuh dibawa ke Hospital Ampang, Kuala Lumpur, semalam.


======================================



Mangsa lihat pergerakan tanah

HULU LANGAT 21 Mei - Seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14, di sini, hari ini, melihat dengan jelas pergerakan tanah di atas bukit berdekatan.

Wan Ahmad Hezzamullah Wan Ahmad Hazim, 15, berkata, sebaik sahaja melihat situasi bahaya itu, dia segera menjerit meminta semua orang yang berada di dalam khemah dan sedang berlatih nasyid supaya menyelamatkan diri.

Katanya, dianggarkan seramai 30 orang sedang berada di bawah khemah dan dewan makan bersebelahan serta sibuk membuat persiapan menyambut kehadiran rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Sebahagian daripada kami ada yang sibuk menyiapkan pentas dan sebahagian lagi berlatih untuk persembahan nasyid. Pada mulanya (tanah runtuh) kecil sahaja namun menjadi runtuhan besar tidak lama kemudian," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, sejurus kejadian tanah runtuh berlaku hanya empat daripada mereka termasuk dia yang berada di bawah khemah melarikan diri manakala selebihnya terperangkap di bawah runtuhan.

Mangsa kedua yang terselamat, Mohd. Faizal Isni, 17, memberitahu, semasa kejadian dia sedang membantu rakan-rakan menyiapkan pentas dan tiba-tiba terdengar bunyi retakan dan tanah jatuh menimpa khemah.

"Mujurlah saya sempat melarikan diri kalau tidak, tak tahulah apa yang terjadi," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Jihad Jalal, 14, dari Puchong, Selangor, berkata, dia dapat merasa gegaran sebelum tiba-tiba berlaku runtuhan.

"Saya dapat rasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dan cuba lari. Malangnya badan saya tiba-tiba tertimbus oleh tanah dan batu-bata sehingga paras punggung menyebabkan saya terperangkap," katanya.

Mohd. Jihad yang baru tiga bulan menetap di situ berkata, dia bernasib baik kerana diselamatkan penduduk yang datang membantu.

Sementara itu, seorang lagi penghuni yang hanya dikenali sebagai Mohd. Iman, 14, memberitahu, ketika kejadian dia berada di bangunan asrama dan sedang menuju ke dewan makan tersebut.

"Sebaik sahaja nampak kejadian itu, saya menjerit meminta mereka menyelamatkan diri. Ketika itu, saya nampak beberapa rakan sedang mengesat kerusi di dalam khemah tersebut," katanya.

Jelasnya, ketika itu, kebanyakan penghuni berada di dalam dewan makan dan khemah untuk membuat persiapan bagi majlis penyerahan sumbangan kebajikan.

==============


Hujan berterusan punca tanah runtuh

KUALA LUMPUR 21 Mei - Faktor hujan berterusan sejak kebelakangan ini berkemungkinan besar menjadi punca utama kejadian tanah runtuh yang menimbus sebuah rumah anak yatim di Hulu Langat, hari ini.

Pensyarah Geoteknik dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Ir. Azman Kassim berkata, hujan dalam kuantiti yang banyak dalam tempoh 24 jam juga boleh menyumbang kepada kejadian serupa.

"Ini juga menjadi punca utama dalam beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku sebelum ini. Apatah lagi, sejak beberapa hari kebelakangan ini, beberapa negeri seperti Johor dan sekitar Lembah Klang menerima hujan berterusan dan agak lebat," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian tanah runtuh yang menimbus Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, di sini dalam kejadian pada pukul 2.30 petang ini.

Rumah anak yatim itu didiami oleh 49 penghuni termasuk lima penjaga dan ketika kejadian seramai 20 hingga 30 penghuni dikatakan berada di rumah berkenaan.

Azman berkata, faktor tanah cerun di negara ini dengan jenis tanah berkeladak juga menyumbang kepada kejadian tanah runtuh.

Ini kerana kata beliau, tanah jenis berkeladak akan berada dalam situasi yang disebut 'kritikal' atau bermasalah setiap kali berlakunya hujan.

====================

Tanah runtuh Hulu Langat: Tragedi ketika berlatih nasyid


2011/05/22

PASUKAN penyelamat mengeluarkan mangsa tertimbus di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di  Hulu Langat, petang semalam.
PASUKAN penyelamat mengeluarkan mangsa tertimbus di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Hulu Langat, petang semalam.

Tanah runtuh Hulu Langat: Suasana pilu selubungi dua hospital sejak petang


2011/05/22

KUALA LUMPUR: Suasana suram dan pilu menyelubungi Hospital Kajang dan Hospital Ampang dekat sini, yang menerima mangsa tragedi tanah runtuh Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, semalam.

Di Hospital Kajang (HK) dipenuhi ahli keluarga mangsa yang masih sabar menunggu termasuk proses pengecaman mayat walaupun ada di antara mereka yang masih tidak pasti identiti mayat yang dibawa ke hospital berkenaan.
Difahamkan, identiti mayat mangsa pertama yang tiba di HK kira-kira jam 6.45 petang itu belum dikenal pasti setakat malam tadi. Mayat kedua dipercayai budak berusia lapan tahun yang tiba jam 8.45 malam dan mayat ketiga dikenali Mohd Zaim Azahari, 14, tiba kira-kira 10 minit kemudian.
===============

HULU LANGAT: Jika semalam mereka ketawa bersama, hari ini mereka bercerai nyawa. Lebih hiba, dengan tulang empat kerat dan kudrat terhad, Mohd Iman, 14, memerah keringat dengan cucuran air mata cuba menggali tanah untuk menyelamatkan kawannya yang tertimbus hidup-hidup.

“Saya sempat menjerit sekuat hati suruh kawan keluar dari dewan. Namun dengan sekelip mata mereka sudah tiada,” kata Mohd Iman, penghuni Rumah Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang, dia berada di asrama anak yatim berkenaan sebelum dipanggil turun oleh rakannya yang lain untuk latihan nasyid.

Difahamkan, mereka mengadakan latihan kompang ketika kejadian bagi menyambut kehadiran pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi menyampaikan sumbangan.


Bagaimanapun, ketika latihan dan persiapan, berlaku tanah runtuh menyebabkan mereka gagal menyelamatkan diri.


“Saya baru turun untuk ke khemah tetapi ternampak runtuhan pasir. Saya terkejut dan menjerit supaya mereka keluar dari dewan.


“Ada yang sempat lari, tetapi ramai yang tertimbus sekelip mata. Saya cuba menggali tanah untuk menyelamatkan kawan kerana tidak sanggup lihat mereka tertimbus hidup-hidup, tetapi hampa kerana kudrat saya terhad,” katanya sebak dengan linangan air mata.

BERKUMPUL... sebahagian penghuni asrama yang terselamat.
BERKUMPUL... sebahagian penghuni asrama yang terselamat

============

Semua mangsa yang terkorban berjaya dikeluarkan


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Mayat empat lagi kanak-kanak mangsa tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, dekat sini, ditemui awal pagi ini.

Mayat tiga daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Riz, Fahad dan Hazim, kesemuanya berumur 9 tahun ditemui pada pukul 4.21 pagi, manakala mayat kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Boboy, 11, diitemui pada pukul 5.05 pagi.


Dengan penemuan empat mayat itu, kesemua mereka yang dilapor tertimbus dalam kejadian itu telah ditemui, kata polis.

Kejadian pada pukul 2.30 petang semalam itu mengakibatkan 25 orang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus. 16 orang ditemui mati manakala sembilan yang lain cedera, tiga daripadanya kritikal.


Polis berkata operasi mencari dan menyelamat kini dihentikan dan akan disambung pukul 8 pagi ini
.

.

No comments: