3.5.11

KISAH OSAMA BIN LADIN PADA WAKTU KEMATIANNYA...

pix_gal0
AS gagal kesan tempat sembunyi selama 10 tahun

WASHINGTON: Walaupun menjadi orang paling dikehendaki, dikejar tentera paling maju dalam sejarah, Osama bin Laden mampu mengelak daripada buruan selama hampir sedekad, berikutan sistem perlindungan yang amat sulit dikendalikan rangkaian Al-Qaeda.

Selepas serangan 11 September 2001 (9/11), Osama disangka bergerak antara Kandahar dan Kabul di Afghanistan, mencari jalan keluar dan sokongan kewangan daripada sekutunya. Tiga bulan selepas serangan 9/11, beliau berjaya mengelak pengeboman oleh tentera udara Amerika Syarikat (AS) di gua pergunungan Tora Bora yang disyaki tempatnya bersembunyi.

Selama hampir 10 tahun, secara umumnya beliau dan seorang sekutu rapatnya menyelinap di seluruh kawasan sempadan Pakistan-Afghanistan, dipercayai dibantu pegawai penguat kuasa tempatan.
Bagaimanapun, laporan berdasarkan risikan seorang tahanan di Teluk Guantanamo, disiarkan beberapa minggu lalu oleh Wikileaks, Osama berada di sekitar Jalalabad.

Laporan itu menyebut Osama yang diletakkan ganjaran AS$25 juta (RM75 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan atau pembunuhannya, berada dalam rumah persembunyian di Jalalabad sebelum ke wilayah pedalaman Kunar, di timur laut Afghanistan.

Osama dikatakan melarikan diri dengan dibantu seorang militan Pakistan dan guru agama dikenali sebagai Maulawi Nur Muhammad, yang menyediakan sehingga 50 pejuang untuk mengiringi beliau dan timbalannya, Ayman al-Zawahiri.

Pemimpin Al-Qaeda itu dikatakan kemudian tinggal di Kunar, kawasan yang umumnya tidak mempunyai kawalan kerajaan, sebelum sekali lagi melintasi sempadan Pakistan pada 2002.
Sejak itu, kehidupan Osama dan aktiviti yang diarahkan AS untuk memburu beliau terus menjadi misteri dengan pengkritik mengecam Presiden George W Bush dan kemudian Barack Obama kerana gagal menjejakinya.

Dikenali di kalangan pengikut rapatnya sebagai ‘sheikh’ dan dikelilingi kira-kira 40 pengawal peribadi, Osama dikatakan bergerak di sekitar wilayah sempadan kaum di antara Afghanistan dan Pakistan.

Dilaporkan pegawai yang melindungi Osama mempunyai kod rahsia yang dipersetujui yang apabila diungkapkan, ia menandakan musuh cuba mendekatinya dan mereka perlu membunuh diri.

Selepas berbilion dolar diperuntukkan bagi risikan, bantuan teknologi tinggi dan serangan oleh AS, Osama akhirnya dijejak di Abbottabad, 50 kilometer barat laut ibu negara Islamabad, ibu negara Pakistan. – Agensi.

=======================================

Ujian DNA sahkan Osama terbunuh

RIBUAN warga New York    membanjiri jalan di sekitar ‘Ground Zero’ awal pagi semalam   meraikan kematian Osama bin Laden. - Foto AP
RIBUAN warga New York membanjiri jalan di sekitar ‘Ground Zero’ awal pagi semalam meraikan kematian Osama bin Laden. - Foto AP



Ulama sifatkan pengebumian di laut bertentangan Islam

WASHINGTON: Ujian DNA mengesahkan bahawa Osama bin Laden sudah meninggal dunia, kata seorang pegawai Amerika Syarikat semalam, sehari selepas serangan tentera khas Amerika Syarikat terhadap pemimpin al-Qaeda itu di Pakistan.

Pegawai terbabit yang enggan mendedahkan nama mengesahkan satu DNA sepadan mayat Osama yang dilakukan ujian sebelum disemadikan di laut selepas serangan di Pakistan terbabit.

“DNA Osama didapati sepadan dengan beberapa ahli keluarga. Dan didapati sekurang-kurangnya 99 peratus DNA terbabit menyamai Osama bin Laden,” kata pegawai kedua kepada AFP.

Sementara itu, ulama Islam menyifatkan pengebumian jenazah Osama di laut bertentangan Islam dan boleh mencetuskan kemarahan militan untuk membalas dendam dengan mensasarkan Amerika Syarikat.

Walaupun banyak yang dipertikaikan membabitkan pengebumian terbabit termasuk dari segi ajaran Islam sendiri, sekumpulan cendikiawan Islam menyifatkan ia sebagai menghina iaitu tidak mengikut amalan Islam dengan mengebumikan mayat di dalam kubur dengan mukanya mengadap Kiblat.

Mereka menegaskan bahawa pengebumian di laut hanya dibenarkan dalam kes di mana kematian berlaku di dalam kapal.

“Amerika Syarikat mahu menghina masyarakat Islam dengan melakukan pengebumian berkenaan,” kata Omar Bakri Mohammed seorang guru agama di Lubnan.

Seorang pegawai Amerika Syarikat berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mendapati sukar bagi sesebuah negara untuk menerima jenazah Osama. Ada juga spekulasi kebimbangan sekiranya kawasan kubur berkenaan bakal menjadi tumpuan militan.

Presiden Barack Obama berkata jenazah Obama dikendalikan mengikut ajaran Islam yang menuntut supaya disegerakan pengebumian.

Bagaimanapun Omar Bakri menyifatkan sebagai satu ‘kesilapan’ yang boleh mencetuskan kemarahan.

Sementara itu, di NEW YORK beribu-ribu orang membanjiri jalan di sekitar ‘Ground Zero’ awal pagi semalam untuk meraikan kematian Osama bin Laden yang didakwa menjadi perancang serangan pengganas 11 September yang meninggalkan kesan mendalam terhadap penduduk New York.

Saudara mara lebih 2,700 orang yang terbunuh dalam serangan pesawat terhadap World Trade Center di sini pada 11 September 2001 itu – termasuk anggota bomba dan polis yang terbabit dalam usaha menyelamat – membanjiri jalan sejurus selepas pengumuman dibuat mengenai kematian pemimpin kumpulan Al-Qaeda berkenaan di Pakistan.

“Tidak ada kegembiraan yang lebih besar daripada berita ini dalam hidup saya,” kata Harry Gomez, seorang anggota pengawal kebangsaan yang menjadi orang pertama ke Ground Zero – tapak dua menara World Trade Center yang roboh akibat dirempuh dua pesawat penumpang dirampas pengganas pada hari malang berkenaan yang mengejutkan dunia dan mencetuskan ‘perang menentang keganasan’ dilancarkan bekas Presiden George W Bush.

Ketua polis Raymond Kelly menganggap kematian Osama sebagai berita yang dinanti-nantikan keluarga mangsa.

“Penduduk New York menanti selama 10 tahun untuk mendengar berita ini,” kata Datuk Bandar, Michael Bloomberg. –

=================================

Ulama selar tindakan AS semadi Osama di laut

KAHERAH: Beberapa ulama menyatakan persemadian Osama Laden di laut sebagai melanggar tradisi Islam dan akan menjurus militan untuk menuntut bela dengan menyerang sasaran Amerika Syarikat.

Sebilangan besar ulama kanan menyifatkan tindakan Amerika itu sebagai satu penghinaan dan tidak mengendahkan amalan mengebumikan jenazah dalam kubur dan menghadap ke kiblat di Makkah.

Menurut mereka, persemadian di laut hanya dibenarkan dalam kes tertentu seperti apabila kematian berlaku di atas kapal yang sedang berlayar.

Imam Besar Masjid al-Azhar, Sheik Ahmed al-Tayeb, berkata persemadian Osama di laut "bertentangan dengan prinsip syariah, nilai agama dan amalan kemanusiaan".

Seorang ulama di Lubnan, Omar Bakri Mohammed, berkata: "Amerika mahu menghina orang Islam menerusi persemadian seperti ini dan saya tidak fikir ia satu kebaikan untuk pentadbiran Amerika." - AP.

=================================

AS percaya isteri Osama terbunuh dalam serangan

WASHINGTON: Rumah Putih menyatakan ia percaya seorang wanita yang terbunuh apabila komando Amerika Syarikat menyerang dan menembak mati pemimpin al-Qaeda, Osama Laden, adalah seorang daripada isterinya.

Bagaimanapun, katanya, tidak diketahui sama ada wanita terbabit menghadang tembakan atau berada di sana untuk menjadi perisai kepada Obama atau anak lelakinya. - Reuters

================================

Laut kubur Osama


2011/05/03

GAMBAR disiarkan televisyen Pakistan menunjukkan  wajah Osama Bin Laden yang didakwa Amerika Syarikat berjaya dibunuh (kiri) berbanding gambar fail pemimpin Al-Qaeda itu. Bagaimanapun kesahihan gambar berkenaan masih dipertikaikan agensi berita antarabangsa berikutan gambar berkenaan berkedudukan sama. - Foto AFP
GAMBAR disiarkan televisyen Pakistan menunjukkan wajah Osama Bin Laden yang didakwa Amerika Syarikat berjaya dibunuh (kiri) berbanding gambar fail pemimpin Al-Qaeda itu. Bagaimanapun kesahihan gambar berkenaan masih dipertikaikan agensi berita antarabangsa berikutan gambar berkenaan berkedudukan sama. - Foto AFP

Pemimpin Al-Qaeda ditembak di kepala, anak lelaki turut maut dalam serangan komando AS

WASHINGTON: Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaeda yang dikaitkan dengan serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS), terbunuh dalam satu pertempuran dengan tentera AS di sebuah rumah di Abbottabad, kira-kira 45 kilometer di timur laut Islamabad, Pakistan, tengah malam kelmarin.

Turut terbunuh dalam serangan kira-kira 40 minit oleh pasukan gerak khas tentera laut AS itu ialah anak lelaki Osama, seorang wanita yang tidak dikenali dan dua lelaki lain.

Osama yang ditembak di kepala dikatakan memberi tentangan sebelum terbunuh dalam pertempuran yang turut membabitkan penggunaan dua helikopter. Salah sebuah helikopter AS yang menyertai operasi itu dikatakan terhempas akibat kegagalan mekanikal.

Pekarangan rumah yang diserbu dalam operasi itu adalah lapan kali ganda lebih besar daripada rumah berhampiran dan dikelilingi tembok setinggi empat hingga enam meter dengan dawai berduri, tetapi tidak mempunyai kemudahan telefon, mahupun internet.

Pegawai AS memberitahu Agensi Perisikan Pusa (CIA) menjejaki Osama di tempat persembunyiannya, sebelum pasukan elit keenam tentera laut AS diterbangkan ke lokasi itu.

Katanya, Osama ditembak di kepala dalam pertempuran itu dan pegawai AS mengesahkan identiti pemimpin Al-Qaeda itu berdasarkan rupanya. Pegawai itu bagaimanapun enggan mengulas sama ada DNA sudah dilakukan.

Presiden AS, Barack Obama ketika membuat pengumuman kejayaan operasi itu yang disiarkan secara langsung di seluruh dunia menyifatkan kematian Osama sebagai ‘keadilan akhirnya ditegakkan’.
Obama berkata tentera AS sudah mengambil mayat Osama dari tempat kejadian dan berjanji pengendalian mayat itu akan menghormati amalan Islam.

Rangkaian televisyen, Al-Jazeera melaporkan mayat Osama disemadikan di laut dan disahkan media AS yang memetik pegawai di Washington, untuk mengelak kuburnya dijadikan tempat pemujaan oleh golongan ekstrim.

Obama mengesahkan beliau mengarahkan operasi tengah malam itu, selepas AS kali pertama mendapat maklumat risikan mengenai tempat persembunyian Osama, Ogos tahun lalu.

“Satu kumpulan kecil anggota kita telah menjayakan operasi itu dengan keberanian dan keupayaan yang luar biasa. Selepas mendapat sedikit tentangan, pasukan itu membunuh Osama dan mengambil mayatnya,” kata Presiden AS itu.

Beliau berkata, tiada seorang pun tentera AS atau orang awam terbunuh dalam operasi itu.

Obama turut memuji Pakistan di atas kerjasama yang diberi negara itu. Bagaimanapun seorang pegawai berkata hanya AS mengetahui mengenai operasi itu sebelum ia dilancarkan.

Pengumuman Obama itu mencetuskan perhimpunan spontan di hadapan Rumah Putih dan di Ground Zero, tapak menara World Trade Center (WTC) yang runtuh dalam serangan 11 September 2001, selepas dirempuh dua pesawat penumpang dirampas pengganas didakwa anggota kumpulan Al-Qaeda.

Berita dramatik kematian Osama itu menutup pergolakan dunia yang dicetuskan serangan 9/11 ke atas pengganas yang mengorbankan lebih 3,000 orang.

Serangan didakwa dilakukan Al-Qaeda itu mencetuskan perang di Afghanistan, dan turut digunakan sebagai alasan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya untuk menceroboh Iraq.

Seorang diplomat Barat di Afghanistan berkata, kematian Osama juga dijangka membawa perubahan besar kepada dasar luar AS.

“Perkembangan ini akan mengubah senario, tetapi masih kabur apakah perubahan ini,” katanya.

Kejayaan membunuh Osama dijangka mencerahkan peluang Obama dalam pemilihan presiden tahun depan, selepas Presiden George W Bush yang memulakan peperangan terhadap keganasan kira-kira 10 tahun lalu, gagal menawan atau membunuh pemimpin Al-Qaeda itu.

Ketika mengumumkan kejayaan itu, Obama mengelak nada yang mendabik dada. "Malam ini saya boleh melaporkan kepada warga Amerika dan kepada dunia bahawa Amerika Syarikat sudah melancar operasi yang membunuh pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, pengganas yang bertanggungjawab terhadap kematian beribu-ribu mangsa lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.”

Beliau berkata kematian Osama tidak bermakna keganasan akan berakhir dan menjangka Al-Qaeda akan meneruskan perjuangannya. - Agensi.

==================================

Anggota forum militan akan balas dendam

DUBAI 2 Mei - Anggota-anggota forum militan di Internet hari ini memberi isyarat akan melancarkan serangan balas sekiranya berita mengenai kematian pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden adalah benar.

Forum-forum militan di Internet hari ini dalam reaksi mereka kepada pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) berhubung kematian Osama, turut berharap berita tersebut tidak benar sama sekali.

"Oh Tuhan, tolong katakan berita ini tidak benar. Tuhan melaknat kamu, Obama.

"Rakyat Amerika, kami masih boleh memenggal kepala kamu," jelas kenyataan di bebarapa forum tersebut, hari ini.

Satu lagi kenyataan di sebuah forum lain pula tertera perkataan 'Osama mungkin terbunuh, tetapi mesej jihadnya tidak akan mati. Wahai saudara sekalian, kematiannya akan dirahmati'.

Sebuah lagi forum turut menyatakan percanggahan lokasi Osama didakwa maut, sedangkan dia dilaporkan bersembunyi di kawasan pergunungan.

"Selepas 10 tahun bersembunyi di kawasan pergunungan, beliau maut dalam satu operasi di sebuah rumah agam di Islamabad. Sangat menarik," jelas forum itu. - Reuters

==================================



Ayman al-Zawahri ganti Osama

ISLAMABAD - Kematian Osama bin Laden mungkin menyaksikan orang kuat kedua pergerakan itu, Ayman al-Zawahri yang juga seorang pakar bedah kelahiran Mesir dinamakan sebagai pemimpin baru menggantikan Osama memimpin rangkaian tersebut.

Zawahri sering menjadi rujukan Osama serta rangkaian al-Qaeda dan dalam setiap penampilan mesej videonya, beliau sering menggesa penduduk Islam memerangi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan tentera Amerika Syarikat (AS) di Libya.

Dilahirkan dalam keluarga kelas atasan di sebuah kawasan kediaman mewah di Kaherah, pakar bedah itu merupakan individu kedua paling dikehendaki oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) selepas Osama.

Zawahri dan Osama berjaya meloloskan diri dalam satu operasi AS untuk menumpaskan Taliban di Afghanistan pada akhir 2001 selepas serangan 11 September yang dilancarkan al-Qaeda. – Reuters.

==================================

Rumah dipantau sejak Ogos

WASHINGTON: Beberapa helikopter kelihatan berlepas dalam kegelapan malam dalam satu daripada misi antipengganas paling penting dalam sejarah Amerika Syarikat. Disebabkan ia terlalu rahsia, hanya beberapa orang terpilih di kalangan pegawai kanan AS mengetahui apa yang bakal berlaku.

Lokasinya, sebuah kawasan dikawal ketat di sebuah bandar elit di Pakistan, kira-kira dua jam perjalanan dari Islamabad. Sasarannya - Osama bin Laden.


Pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) menemui kawasan itu pada Ogos tahun lalu ketika memantau pergerakan seorang utusan al-Qaeda.

CIA memang mengintip utusan itu selama beberapa tahun, iaitu sejak beberapa tahanan disoal siasat mendakwa dia sangat dipercayai Osama dan berkemungkinan besar tinggal bersama pemimpin al-Qaeda itu.


Terletak di kawasan kejiranan elit, bangunan itu dikelilingi tembok setinggi sehingga enam meter dan dilengkapi kawat berduri.


Dua pintu kawalan diletakkan di satu-satunya jalan masuk ke situ.

Tingkat tiga bangunan itu dilindungi tembok khas setinggi lebih dua meter.


Walaupun terletak di kawasan elit, premis itu tidak memiliki talian telefon atau Internet, manakala penghuninya kerap membakar sampah berbanding membuangnya di luar.

Perisik percaya bangunan bernilai berjuta-juta ringgit itu dibina lima tahun lalu untuk melindungi seorang tokoh penting, tetapi mereka tertanya-tanya siapakah individu terbabit.


Selepas meneliti dan menyelidik berkali-kali, CIA hampir pasti tokoh itu adalah Osama.


Presiden Barack Obama menjelaskan mengenai operasi itu dengan panjang lebar pada malam kelmarin selepas butiran mengenainya diperoleh hasil temu bual dengan pihak berkuasa antipengganas dan perisikan.


Katanya, selama dua setengah bulan kemudian, Obama mengetuai lima mesyuarat Majlis Keselamatan Kebangsaan yang bertemu khusus untuk membincangkan sama ada Osama benar-benar bersembunyi di kediaman mewah berkenaan.


“Jika benar, bagaimana mahu bertindak ke atasnya?” katanya.


Biasanya, AS berkongsi maklumat risikan antipengganas dengan sekutu kepercayaannya seperti Britain, Kanada dan Australia, selain melancarkan operasi di Pakistan dengan kerja sama pasukan keselamatan negara berkenaan.


Namun, misi semalam terlalu penting dan amat sulit.


Pada 29 April, Obama meluluskan operasi membunuh Osama.


Ia memerlukan ketepatan mutlak, mengatasi kemampuan dilakukan pesawat tanpa juruterbang AS, Predator.


Untuk menyempurnakannya, Obama mengumpulkan beberapa anggota SEAL (unit elit tentera laut) dan meletakkan mereka di bawah arahan langsung Pengarah CIA, Leon Panetta.


Bilik mesyuarat Panetta juga ditukar menjadi pusat pemerintahan khas operasi.


Butiran sebenar bagaimana serbuan dilakukan masih kabur, tetapi tiada seorang pun tentera AS cedera.


Seorang sumber kanan cuma berkata, Osama melawan ketika diserbu dan dia akhirnya terbunuh akibat tembakan di kepala.


Tepukan dan sorakan bergema di dalam pusat pemerintahan khas operasi ketika maklumat mengenai kematian Osama tiba tengah hari semalam. - Reuters

==========================

WASHINGTON: Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat semalam berkata, operasi tentera negara itu terhadap Osama bin Laden tidak dimaklumkan kepada sekutunya, Pakistan.

Kata pegawai yang enggan dikenali itu, semua maklumat diperoleh dirahsiakan daripada mana-mana negara, termasuk Pakistan.


“AS bertindak begitu bagi memastikan operasi berkenaan kekal rahsia sepenuhnya,” katanya.

Semalam, Presiden AS, Barack Obama, mengumumkan Osama terbunuh dalam pertempuran dengan tentera negara itu di sebuah kawasan di Pakistan selepas sedekad bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York runtuh dirempuh kapal terbang.


Kata Osama, dia mengarahkan helikopter tentera AS melancarkan serangan ke atas sebuah bangunan berkawal ketat di Abbottabad, Pakistan, hasil maklumat awal diperoleh pada Ogos lalu.


Pegawai kanan AS berkata, selain Osama, turut terbunuh dalam serangan semalam adalah tiga lelaki dewasa dan dua daripadanya dipercayai pembawa utusan bagi pemimpin al-Qaeda itu.

Seorang lagi dipercayai anak lelaki Osama.




No comments: