17.12.10

Usah pilih penganut Syiah jadi pasangan




2010/12/17

Fahaman beri kesan pegangan akidah: Mufti

KANGAR: Umat Islam di negara ini yang mengamalkan fahaman Sunnah Wal Jamaah dinasihatkan supaya tidak memilih penganut Syiah sebagai pasangan hidup mereka kerana ia dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap pegangan akidah.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, berkata kebelakangan ini ramai wanita dan lelaki Malaysia tidak memeriksa fahaman pasangan hidup masing-masing hingga menimbul kebimbangan berlaku perkahwinan antara kedua-dua penganut berkenaan.


eliau berkata, perkara pokok yang dibimbangi adalah dari segi pegangan akidah, amalan dan fekah yang berbeza antara kedua penganut terbabit, sekali gus boleh menimbulkan masalah dalam perkahwinan mereka.

“Mahkamah Syariah sukar untuk membuat keputusan jika ada suami isteri yang mempunyai fahaman berbeza merujukkan kes mereka. Justeru, elak berkahwin dengan mereka yang berfahaman Syiah.


“Tindakan bukan hanya terbatas kepada fahaman Syiah dari luar, malah perlu mengelakkan berkahwin dengan penduduk tempatan yang menganut fahaman berkenaan,” katanya.


Juanda berkata, peringatan itu selaras mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 15 dan 16 November lalu yang bersetuju supaya pernikahan membabitkan dua fahaman yang berbeza itu perlu dielakkan.


Katanya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sudah memperakukan keputusan majlis fatwa negeri yang tidak menggalakkan perkahwinan antara penganut Syiah dan Sunnah pada 7 Disember lalu.

No comments: