Ahlan Wasahlan...

Jawatan Kosong Untuk Gadis Bawah 27 Tahun

Minuman Kesihatan dan Kekuatan

Minuman Kesihatan dan Kekuatan
Belum Cuba ..Belum Tahu... Cuba dulu baru tahu..

Mencintai keajaiban isi Taman Negara





TATKALA pemanduan memasuki pintu masuk Taman Negara Pahang (TNP) Merapoh, jangkaan mengenai jisim hutan yang berusia lebih 130 juta tahun ini mungkin meleset.

Bagi mereka yang tidak pernah mengunjunginya, TNP ibarat sebuah lukisan yang tidak dapat dilihat isi kandungannya. Aktiviti rekreasi yang dirancang pengunjung pasti akan jauh lebih menarik daripada jangkaan dan imaginasi.

Kepelbagaian dan nilai flora serta fauna yang terdapat di TNP begitu tinggi berbanding pengetahuan yang dimiliki sesiapa pun. TNP yang memiliki kekayaan mega diversiti menampung kira-kira 14,000 spesies tumbuhan, 200 spesies mamalia, 480 spesies burung dan 80 spesies kelawar. Itu hanyalah jumlah yang direkodkan setakat ini.

Menurut Penguasa TNP, Abdul Kadir Abu Hashim, lima spesies utama yang dilindungi di bawah program konservasi Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ialah gajah, harimau, tapir, badak dan seladang.

“Taman Negara Pahang menjadi salah satu daripada 24 rizab hidupan liar di seluruh Semenanjung Malaysia,” jelas beliau.

Aktiviti konservasi yang terbabit termasuklah membina laluan hidupan liar bagi mengelakkan pertembungan dengan laluan manusia sehingga mengakibatkan kematian.

“Jabatan kami turut membina terowong untuk laluan hidupan liar seperti gajah di bawah lintasan trek kenderaan bagi mengelakkan kemalangan.

“Perancangan untuk membina laluan untuk hidupan liar dengan menyambungkan Taman Negara dengan Banjaran Titiwangsa juga sedang disusun bagi membolehkan hidupan liar di kedua-dua kawasan bertemu dan membiak,” katanya pada program Kembara Bersama Media Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) di TNP baru-baru ini.


FLORA dan fauna bukan sekadar cantik dalam pandangan mata, malah perlu difahami maksud kewujudannya dalam hidup manusia.


Selain itu katanya, aktiviti pemburuan haram turut disekat terutama membabitkan hidupan liar yang diancam kepupusan. Hidupan liar seperti harimau yang bernilai ratusan ribu ringgit seekor menerima ancaman hebat untuk tujuan perdagangan haram.

“Jabatan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi menyekat aktiviti haram di dalam Taman Negara Pahang termasuk membabitkan kehadiran pendatang asing tanpa izin,” jelas beliau.

Sementara itu, aktiviti program Kembara Bersama Media dan NRE berpeluang menyelusuri khazanah TNP melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Program dua hari berkenaan membawa rombongan kira-kira 35 orang peserta dalam kalangan media dan kakitangan NRE merentasi hutan, melawat santuari ikan kelah, menyertai aktiviti tubing dan safari malam.

Kenal spesies

Bagi mereka yang tidak berkemampuan mendaki gunung, aktiviti berjalan di hutan melalui rentis-rentis atau laluan khas yang disediakan merupakan salah satu cara mengenali spesies tumbuh-tumbuhan yang telah ditandakan dengan lebih dekat.

Antara rentis-rentis yang ada ialah Rentis Interpretif, Rentis Palas, Rentis Gua Gajah, Rentis Gua Peningat, Rentis Bumbun Rimau dan Rentis Berkenu.

Dalam kembara berkenaan, para peserta dibawa melalui Rentis Palas yang menjadi laluan pelbagai hidupan liar dan yang paling kerap ditemui ialah spesies gajah.

Menurut renjer TNP, Mohd. Asrul Ardullah, kehadiran haiwan liar dapat dikesan melalui tinggalan tapak kaki, najis dan kubang. Tanda tinggalan yang dapat dilihat dengan jelas sepanjang Rentis Palas ialah tapak kaki gajah.

Kewujudan haiwan liar juga dapat dikesan melalui kamera khas yang dipasang pada batang pokok. Tujuan pemasangan kamera bukan sahaja untuk mengenal pasti spesies-spesies di hutan berkenaan tetapi juga bagi tujuan bancian dan kajian.

“Kamera yang dipasang akan mengambil gambar secara automatik apabila terdapat objek melaluinya, termasuk manusia dan kenderaan,” jelasnya.

Tambah Asrul, selain memahami tabiat hidupan liar, pengunjung juga berpeluang mendekati spesies pokok-pokok yang hidup meliar. Setiap satunya mempunyai nilai yang tinggi di pasaran seperti tongkat ali dan gaharu.

“Pokok gaharu mengeluarkan bau yang wangi apabila dibakar dan mempunyai nilai yang tinggi untuk dijadikan minyak gaharu yang berharga ribuan ringgit bagi setiap kilogram, bergantung kepada grednya,” katanya.

Spesies pokok lain yang ditemui di situ ialah meranti kepong, rambutan hutan, palas, keruing mempelas, penaga lilin, bintangor lekok, nyatoh sidang, tongkat ali, gaharu, bekak, minyak beruk, keruing gombang, mata ketam dan ara pencekik.

Santuari ikan sensitif


SPESIES labah-labah dan serangga adalah antara kumpulan terbesar dalam piramid hidupan hutan.


Santuari ikan kelah yang terletak di Lubuk Tenor, Kuala Tahan dan Kuala Juram, Merapoh adalah sebahagian tempat menarik yang dilawati. Ia merupakan kawasan peliharaan ikan kelah dan dilindungi daripada aktiviti penangkapan ikan.

Pemuliharaan ikan kelah adalah supaya ia terus wujud di habitat asalnya. Ia menjadi kegilaan kaki pancing kerana kerakusannya merembat umpan pada mata pancing dan berharga tinggi di pasaran.

Di santuari itu, para peserta dibenarkan memberi ikan makan dengan tangan. Ikan-ikan berkenaan sangat jinak dengan manusia dan akan berkumpul apabila makanan ditaburkan di permukaan sungai.

Menurut kakitangan santuari berkenaan, ikan-ikan kelah yang terdapat di situ akan datang apabila loceng dibunyikan, menandakan waktu makan sudah tiba serta tidak akan lari apabila berada di dalam kumpulan manusia yang ramai.

Keadaan air sungai yang jernih memudahkan kelah dilihat walaupun ia dikategorikan sebagai spesies ikan yang sensitif. Namun, ikan kelah di santuari itu agak jinak dengan pengunjung.

“Pengunjung dapat memegang ikan kelah yang berenang dengan laju melawan arus untuk mendapatkan makanan yang ditaburkan.

“Selain itu, aktiviti berenang dan mandi bersama ikan kelah juga dibenarkan. Ikan-ikan yang ditangkap menggunakan tangan mestilah dilepaskan semula,” katanya.

Dalam pada itu, ikan kelah yang mendapat jolokan Raja Sungai mempunyai isi yang enak sehingga sisiknya boleh digoreng dan dimakan seperti keropok menyebabkan harga bagi sekilogram kelah boleh mencapai ribuan ringgit.

Safari malam

Tidak seperti pengalaman di zoo, peluang untuk melihat haiwan liar secara dekat merupakan pengalaman yang sangat berharga kerana hanya mereka yang bernasib baik sahaja dapat bertembung dengan haiwan-haiwan liar berkenaan.


PARA peserta program cuba menyentuh ikan-ikan kelah yang jinak di santuari dekat Lubuk Tenor.


Pengalaman itu sekali gus mengujakan peserta program kembara tersebut meskipun peluang menemui haiwan yang diancam kepupusan seperti gajah dan harimau sangat tipis.

Dalam lawatan sekitar pukul 11 malam itu, para peserta menaiki pacuan empat roda merentasi laluan safari malam untuk melihat flora dan fauna dalam suasana berbeza.

Perasaan takut bertukar seronok apabila para peserta berjaya melihat kelibat burung hantu dan kucing batu. Bagaimanapun, haiwan berkenaan beredar dengan segera apabila menyedari kehadiran manusia dan lampu suluh.

Menurut renjer yang terbabit, haiwan liar sensitif dengan cahaya lampu kenderaan menyebabkan peluang melihat haiwan liar agak tipis.

“Haiwan liar akan beredar apabila disuluh dengan lampu atau apabila mereka berasa terancam,” katanya pada perjalanan yang mengambil masa kira-kira sejam setengah itu.

Sememangnya program kembara ini adalah antara cara terbaik buat para peserta mendekati elemen biologi seterusnya memahami sistem ekologi belantara dan tabiat ‘penghuninya’.

Apabila manusia semakin menghargai komponen sains kehidupan tersebut, keseimbangan boleh wujud antara ruang ciptaan manusia dan juga alam semula jadi yang menjadi khazanah negara.

No comments: