2.12.10

CONTOH HASIL PEMIKIRAN 3K....

Konsep nomad Paper+Toast




BUDAYA melakukan tugasan dari rumah ataupun luar pejabat bukan perkara asing di negara-negara maju kerana faktor mudah mendapat gajet, perisian serta perkhidmatan komunikasi berteknologi tinggi.

Trend kerja sebegitu mengoptimumkan kelebihan dan kemudahan sedia ada bagi menjalani kehidupan harian dengan lebih efisien, menjimatkan wang serta masa.

Fenomena tersebut mula berkembang di negara ini seiring kewujudan komuniti maya dan golongan profesional yang aktif menggunakan teknologi maklumat komunikasi sebagai medium harian.

Bagaimanapun, satu halangan bagi mereka ialah mencari lokasi kerja yang ideal.

Menyedari permintaan semakin meningkat di negara ini khususnya di ibu negara, tiga anak muda telah bergabung idea bagi membuka sebuah kafe konsep yang mampu bertindak sebagai pejabat kepada golongan profesional dan pengkarya bebas.

Kafe Paper+Toast yang dibuka sebulan lalu adalah cetusan idea Norhayati Hamzah, 34, Pat Teoh, 27 dan Darren Zhou, 28. Terletak di One Residency, Jalan Nagasari, Kuala Lumpur, premis itu tidak hanya menyediakan kemudahan pejabat kepada pelanggan malah menawarkan hidangan menu yang berkhasiat.

Norhayati berkata, kafe berkenaan diwujudkan dengan tujuan menawarkan lokasi yang mudah dan selesa kepada mereka yang cenderung melakukan kerja di luar pejabat ataupun secara nomad.

"Sebelum ia diwujudkan, kami terlebih dahulu telah melakukan pelbagai kaji selidik untuk memenuhi keperluan pelanggan-pelanggan.


RUANG kerja nyaman dan hidangan berkhasiat menjadi satu daya tarikan di Kafe Paper+Toast


"Ia dilakukan kerana mereka yang melakukan kerja di luar pejabat kerap kali berdepan dengan pelbagai masalah sehingga menjejaskan prestasi hasil kerja," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Norhayati mengakui dia sendiri pernah berdepan dengan masalah apabila melakukan kerja di luar pejabat sebelum timbul ilham membuka kafe itu.

Walaupun konsep kafe tersebut masih baru, Norhayati berkata, ia sudah mendapat respons positif daripada pelanggan mereka.

"Senario itu telah memberi keyakinan kepada kami bahawa konsep yang dibawa oleh kafe ini mampu menjadi ikutan ramai dalam masa terdekat.

"Kami juga ingin memperkenalkan jenama buatan Malaysia dengan membuka Paper+Toast ini," ujarnya yang pernah berkhidmat di sebuah syarikat pemasaran.

Ruang kerja

Kafe Paper+Toast menekankan konsep ruang di dalam ruang yang menggunakan setiap sudut kafe secara maksimum.

Susun atur perabot dan dekorasi yang cukup teratur dapat memberi suasana selesa kepada pelanggan-pelanggan.


PAT menunjukkan kubikal kerja yang boleh dilipat bagi menjimatkan ruang di Kafe Paper+Toast.


Bahkan, warna putih dan uggu yang diaplikasikan bersama perabot berkenaan menaikkan mood bekerja seakan berada di rumah.

Dalam pada itu, rakannya, Pat Teoh, memberitahu Paper+Toast menawarkan 15 ruang kerja kepada pelanggan-pelanggan yang mengunjungi kafe tersebut.

"Menariknya, ruang kerja berkenaan terdiri daripada sembilan kubik yang dapat memberikan privasi kepada pelanggan walaupun mereka berada di tempat awam.

"Terdapat empat meja kerja turut disediakan bagi mereka yang ingin bersantai sambil membuat kerja," ujarnya.

Tambah Pat, ruang kerja di tingkat atas kafe tersebut juga boleh diubah menjadi tempat melangsungkan seminar yang mampu menampung sehingga 40 orang pada satu-satu masa.

Katanya, mereka yang ingin mengadakan mesyuarat juga boleh melakukannya di kafe berkenaan kerana turut menyediakan dua bilik mesyuarat.

"Perkhidmatan pejabat seperti mesin faksimili, fotostat, sambungan Internet, kurier dan lain-lain turut ditawarkan kepada pelanggan.

"Kami juga menyediakan alamat premis bagi mereka yang memerlukannya. Pelbagai pakej menarik disediakan kepada pelanggan-pelanggan yang ingin menikmati kemudahan dan perkhidmatan di kafe ini," ujarnya.

Kesihatan pelanggan

Selain daripada kemudahan dan perkhidmatan pejabat, Norhayati menambah, kafe berkenaan tidak terkecuali dalam menjaga alam sekitar dan kesihatan pelanggan-pelanggan.

"Dari segi makanan yang ditawarkan, kami mengetengahkan juadah berkhasiat dan menyihatkan kepada pelanggan-pelanggan. Minuman jus yang disediakan juga adalah asli dan segar.

"Kami menggunakan beg kertas bagi tujuan pembungkusan makanan di kafe ini sebagai menyambut seruan penjagaan alam sekitar," katanya.


RUANG meja di kafe berkenaan yang teratur dan kemas memberi privasi kepada pelanggan.


Norhayati memberitahu, alam sekitar memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Sebab itulah kafe berkenaan menggunakan beberapa bahan kitar semula serta mentol jimat tenaga.

Sementara itu, seorang pelanggan, Ikhwan Nazri Mohd. Asran, 25, berkata, dia kerap mengunjungi kafe berkenaan kerana ia selesa selain harga ditawarkan amat berpatutan.

"Berbanding dengan kafe-kafe lain, Paper+Toast mempunyai tarikan tersendiri kerana pelanggan-pelanggan akan berasa seperti di rumah kerana ia sunyi dan mendamaikan.

"Keadaan sedemikian sukar dicari di kafe-kafe lain dan ia amat sesuai terutamanya bagi mereka yang bekerja di luar pejabat," katanya.

Selain itu, Ikhwan Nazri yang merupakan penerbit multimedia bebas menambah, kemudahan dan perkhidmatan pejabat ditawarkan juga amat bagus serta terkini.

Menurutnya, suasana kafe itu juga membuatkan dia tidak segan untuk membawa pelanggan-pelanggan berkunjung melakukan urus niaga ataupun perbincangan.

Katanya, kafe berkenaan banyak membantu komuniti yang membuat kerja di luar pejabat dengan lebih efisien dan menjimatkan kos.

No comments: