19.12.10

Pendedahan Berani Oleh Seorang Lawyer.....

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Sikap licik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi terbongkar melalui pendedahan temberangnya merayu-rayu untuk berjumpa dengan Allahyarham Tun Ghafar Baba beberapa tahun lalu.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, liciknya Anwar dengan kelentong, temberang dan putar-belitnya sehingga sanggup mendakwa kononnya bekas Timbalan Perdana Menteri yang dikenali dengan panggilan Pak Ghafar itu ingin berjumpa dengannya untuk meminta maaf dan memberi sokongan.

"Penipuan Anwar itu terbongkar apabila temberangnya kepada saya dan rakan-rakan didedahkan kepada cucu Pak Ghafar, Zahid Mat Arip yang terus menyumpah selepas mendengar cerita daripada seorang rakan saya.

"Zahid menceritakan Anwar yang meminta untuk berjumpa dengan Pak Ghafar ketika itu dan bukan sebaliknya. Pak Ghafar ketika dipujuk juga menjawab sinis kepada Zahid: "Boleh percaya ke tu Zahid, Anwar ni banyak autanya, aku bukan tak tahu."

"Pak Ghafar akhirnya menjawab: "Dah agak dah tu, Anwar ni memang kaki kelentong" selepas dimaklumkan Zahid tentang penipuan tersebut sementara rakan saya yang mendedahkan pembohongan itu teruk dimaki Anwar," katanya dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com hari ini.

Beliau membuat pendedahan tersebut dalam nukilan bertajuk Pakat Dulu Balah Kemudian? bagi menasihatkan rakan-rakan dalam Pas agar berhati-hati dengan pembohongan Anwar terutama mengenai isu WikiLeaks, menamakan Lim Kit Siang sebagai calon Timbalan Perdana Menteri dan pelaksanaan undang-undang Islam.

Coretan itu turut menyarankan anggota Pas mendapatkan jawapan sahih daripada Anwar mengenai isu- isu berkenaan di samping mendapatkan penjelasan Karpal Singh yang pernah membuat pengakuan mempunyai bukti Anwar melakukan aktiviti liwat pada 1997.

Tambah Zulkifli, Zahid terus menghubungi Anwar sebaik sahaja dimaklumkan tentang penipuan itu dan memarahi Anwar kerana mengubah cerita sebenar tentang rancangannya menemui Pak Ghafar.

==================

DAP salur maklumat kepada Kuan Yew?

KUALA LUMPUR 18 Dis. - DAP perlu membuat penjelasan mengenai maklumat yang diterima Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew berkenaan keterlibatan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam aktiviti liwat seperti didedahkan WikiLeaks baru-baru ini.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Hamidzun Khairuddin berkata, ini kerana DAP diketahui umum sebagai rakan politik rapat kepada kerajaan PAP Singapura, yang antaranya diasaskan oleh Kuan Yew pada 1954.

Katanya, tambahan pula segala perincian kes itu berada dalam genggaman Pengerusi DAP, Karpal Singh yang turut bertindak sebagai peguam bela utama Anwar dalam kes liwat yang sedang dihadapinya.

"Ramai rakan-rakan memberitahu maklumat kes liwat Anwar yang ada dalam genggaman DAP melalui Karpal sudah tentu disalurkan kepada Kuan Yew seperti yang dipetik WikiLeaks.

"Jika benar, ini membuktikan DAP berkonspirasi dengan PAP dalam memanipulasi Anwar bagi mencapai matlamat akhir mereka untuk menguasai politik tanah air melalui sokongan Melayu dan Anwar hanyalah platform," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Hamidzun yang juga Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bebas, Zulkifli Noordin semalam, yang menyifatkan Anwar sebagai 'tunggangan' DAP.

Menurut Zulkifli, Karpal sendiri yang kini menjadi peguam bela utama Anwar pernah membangkitkan isu kegiatan homoseksual itu di Parlimen pada 22 Oktober 1997 dan mengulangi dalam satu majlis terbuka anjuran DAP pada tahun yang sama.

Katanya, mengikut laporan hansard Parlimen, Karpal ketika itu telah mengemukakan bukti kononnya beliau mempunyai dokumen akuan sumpah beberapa orang yang mendakwa diliwat oleh Anwar yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Justeru saya menuntut DAP supaya memberi penjelasan sama ada maklumat yang saya terima ini benar atau tidak," tegasnya

No comments: