1.12.10

Jangan sesuka hati guna ayat al-Quran

Jangan sesuka hati guna ayat al-Quran

KOTA BHARU 30 Nov. - Para pemimpin politik bukan Islam tidak boleh menggunakan ayat suci al-Quran secara sesuka hati di dalam ceramah mereka.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata, al-Quran merupakan kitab yang kesucian dan kehormatannya perlu dijaga dan tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya terutama untuk tujuan ceramah politik.

Beliau berkata, tidak salah sekiranya orang bukan Islam berhasrat mempelajari kitab suci umat Islam itu, tetapi ayat-ayat al-Quran tidak boleh digunakan dengan cara yang tidak betul sehingga boleh menimbulkan salah faham orang ramai.

"Kalau peringkat awal belajar, ia hendaklah digunakan untuk peribadi dahulu, tak boleh gunakan untuk orang lain, nanti orang salah faham.

"Kesucian dan kehormatan ayat-ayat al-Quran perlu dipelihara. Ini bermakna ia tidak boleh diterjemah dengan cara tidak betul. Terjemahan ayat-ayat al-Quran perlu jelas, sekiranya terjemahan tidak betul, nanti orang salah faham dan menyalahkan pula al-Quran sedangkan al-Quran itu kitab suci.

"Justeru, jangan sewenang-wenangnya menggunakan ayat-ayat suci al-Quran, tidak kiralah dalam kalangan orang politik beragama Islam, apatah lagi bagi orang bukan Islam," katanya,

Beliau diminta mengulas tindakan pemimpin politik bukan Islam di kalangan parti pembangkang yang sewenang-wenangnya menggunakan makna atau tafsir ayat suci al-Quran dalam ceramah politik mereka sehingga terkeluar daripada konteks sebenar.

Perkara itu juga berlaku semasa perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK), K. Subramaniam membahaskan ucapan dasar Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan parti itu di Petaling Jaya kelmarin apabila dia membacakan tafsir daripada ayat 190 dan 191 Surah Ali-Imran.

Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Nakhaie Ahmad pula berkata, tafsiran itu tidak relevan dengan PKR kerana parti itu bukan sahaja tidak memperjuangkan Islam tetapi cuba menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.

Menurutnya, apakah orang bukan Islam tersebut akan mempertahankan hak Melayu dan Islam di negara ini?

"Ayat al-Quran perlu difahami mengikut peraturan dan metodologi tertentu dan tidak boleh main serkap jarang seperti yang dilakukan wakil PKR itu," katanya.

Tambah beliau, orang Islam yang mengiyakan tafsiran Subramaniam itu akan menanggung akibatnya kerana mereka turut tidak memahami makna ayat suci al-Quran itu.

Nakhaie juga menegaskan, orang bukan Islam tidak boleh dibiarkan mentafsir ayat suci al-Quran sesuka hati kerana mereka ini sama seperti golongan orientalis yang gemar memutarbelitkan ayat Quran.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM),

Zaid Kamaruddin berkata, sekiranya terdapat pihak berlainan agama yang mahu memetik ayat suci al-Quran, mereka perlulah menggunakan atau mencari sumber rujukan yang berwibawa.

Katanya, ayat yang dipetik itu juga perlulah digunakan berdasarkan maksud sebenarnya dan jangan sekali-kali menyelewengkannya kerana ia merupakan kesalahan besar di sisi agama.

"Saya bukan menggalakkan orang bukan Islam memetik ayat al-Quran kerana ia tidak boleh dipetik sesuka hati tetapi sekiranya mereka masih mahu menggunakannya, jadi mereka perlu mendapatkan rujukan serta terjemahan ayat al-Quran yang sahih selain mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),'' katanya.

No comments: