13.12.10

Anwar n Azmin Kena Jawab Cabaran Ezam.... "Saman Nallakarupan" jika beliau berbohong!

Jelaskan 'hubungan' dengan Shamsidar - Ezam

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar supaya menjelaskan kenyataan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakarupan mengenai 'hubungannya' dengan isteri Timbalan Presiden PKR, Shamsidar Taharin.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, kenyataan Nallakaruppan itu memberi pelbagai konotasi terhadap Anwar serta Shamsidar.

"Ini bukan kenyataan main-main, ini perkara sensitif yang perlu dijelaskan oleh Anwar.

"Kalau kenyataan Nallakarupan itu salah, saya cabar Anwar, Shamsidar dan (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali supaya saman Nallakarupan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah pada program Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE) di Bangi dekat sini, semalam.

Ezam mengulas kenyataan Nallakarupan seperti laporan Utusan Malaysia semalam yang meminta Shamsidar menjelaskan perlakuan sebenar suaminya dan Anwar bagi menyelamatkan rakyat daripada ditipu.

Menurut Nallakarupan, Shamsidar mempunyai pengetahuan luas mengenai Anwar kerana kedua-duanya mempunyai hubungan amat rapat suatu ketika dahulu.

Mengulas lanjut, Mohamad Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menjelaskan, beliau menentang Anwar bukan kerana 'perhitungan peribadi' tetapi demi prinsip dan keamanan negara.

Menurutnya, usaha Anwar serta pembangkang yang mempolitikkan segala isu termasuk masalah air di Selangor melalui demonstrasi jalanan adalah satu perbuatan yang hipokrit.

"Sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, Anwar dan kerajaan negeri sepatutnya menyelesaikan segala isu berkaitan air melalui saluran formal seperti mesyuarat dengan Kerajaan Persekutuan, bukan huru-hara demonstrasi.

"Walhal, ketika Anwar jadi Menteri Kewangan dulu dia langsung tidak memberikan satu sen pun daripada RM600 juta yang dimohon Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk rawatan air di Kelantan.

"Anwar juga memberitahu enggan memberi bantuan itu kerana mahu 'mengajar' kerajaan Pas negeri, memang dia mempolitikkan isu air.

"Tapi selepas dia (Anwar) disingkirkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1998, Dr. Mahathir terus meluluskan peruntukan RM600 juta buat Kelantan kerana kerajaan Barisan Nasional tidak mempolitikkan isu air dan ikhlas membantu, kalau saya tipu, samanlah saya," cabarnya.

+++++++++++++++++++++++++++++++++

Ummi Hafilda berkata benar'

KUALA LUMPUR 12 Dis. - "Semua itu benar." Demikian tegas bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakarupan yang mengakui kebenaran kenyataan Ummi Hafilda Ali berhubung apa yang dilaluinya pada 1997 dan 1998 yang membawa kepada pemecatan Anwar selaku Timbalan Perdana Menteri.

Menurut beliau, kenyataan Ummi Hafilda sememangnya tidak boleh disangkal kerana segala fakta yang diberikan bukannya suatu pembohongan atau konspirasi.

"Bagi saya, apa yang Ummi Hafilda katakan itu betul. Tidak boleh dinafikan lagi. Dia tahu segalanya termasuk abangnya, Azmin Ali yang kini Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Justeru, saya cabar 3A iaitu Anwar, Azizah (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) dan Azmin supaya menjawab kenyataan itu.

"Jangan jadi pengecut. Rakyat perlu tahu. Jangan berlakon lagi,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas temu bual eksklusif Mingguan Malaysia berhubung rayuan Ummi Hafilda terhadap Azmin termasuk Anwar dan Wan Azizah agar bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Laporan itu antara lain mengimbas kembali apa yang dilaluinya sepanjang 1997 dan 1998. Antaranya, tindakan beliau menulis surat mengenai salah laku Anwar kepada Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kemunculan semula Ummi Hafilda adalah atas rasa terpanggil untuk menentang mereka yang sengaja mempertikaikan ketuanan Melayu.

Mengulas lanjut, Nallakarupan berkata, Azmin seharusnya malu dengan apa yang diluahkan oleh Ummi Hafilda dan mengakui kebenaran kenyataan adik bongsunya itu.

"Tetapi, baik Azmin dan juga Anwar serta Wan Azizah, mereka ini takut berkata benar kerana tahu bahawa mereka tidak betul.

"Wan Azizah juga tahu siapa Anwar dan Azmin. Apa yang mereka perlihatkan kepada awam ketika ini hanyalah suatu lakonan,'' tegasnya.

Ditanya mengenai mengapa segala kenyataan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap mereka bertiga tiada diberikan respons, beliau berkata : "Mereka tahu kita cakap benar. Bukan kita bohong. Sebab itu mereka tidak boleh jawab.''

Beliau seterusnya menyelar tindakan Anwar yang selalu ke luar negara dan memburuk-burukkan nama Malaysia.

"Anwar hanya tahu rosakkan negara. Apa yang dikatakan di luar negara hanyalah satu penipuan,'' tambahnya


No comments: