Pluralisme agama dan kebenaran yang relatif
Harakahdaily |
Wacana Islam liberal yang mengetengahkan pluralisme dan pelbagai lagi kebenaran yang direlatifkan menghujani umat Muslim setiap hari pada masa kini. Faham-faham yang tercetus daripada pemikir seperti Fritjof Schoun, John Hick, Wilfred Cantwell Smith ini kemudian diperpanjangkan oleh penggiat-penggiat Islam liberal di seluruh dunia Islam. Kehadiran faham-faham ini, yang menolak segala ketetapan yang telah disampaikan melalui al-Quran dan Sunnah Rasullullah saw menggugat kehidupan beragama umat Muslim termasuk di negara kita. Dalam pandangan liberal yang dibawa itu, kebenaran menjadi berbilang dan tidak mutlak, dalil-dalil al-Quran menjadi boleh dibahaskan dan pelbagai perkara dipersetujui dalam pelaksanaan syariat dipersoalkan. Hal ini menggoncang pemahaman-pemahaman yang sudah sedia diterima melalui ilmu para ulama dan ilmuan agama dalam kalangan umat. Lebih parah lagi, ide-ide yang dibawa dalam pakej yang menarik bagi sesetengah pihak termasuk daripada kalangan Muslim sendiri, yang memilih untuk menerima tafsiran-tafsiran baharu itu. Usaha berterusan golongan liberal ini mempersoal dan meruntuhkan ketetapan-ketetapan sedia ada bukanlah dilakukan dengan niat yang baik melainkan untuk menggugat pemahaman umat Muslim, lebih-lebih lagi yang mudah dipengaruhi. Bentuk wacana yang kelihatan tertumpu pada mencari kebenaran dengan membuat penilaian yang kritikal pada semua perkara sememangnya menarik kepada kalangan akademik dan mereka yang berfikir. Ini mendedahkan golongan ini kepada wacana liberal ini yang menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik pelbagai golongan mendekati dan kemudian menerima faham-faham baharu itu. Kebijakan mengemukakan wacana dalam pelbagai bentuk itu menjadi satu kekuatan golongan liberal, dengan mengemukakan pelbagai tarikan untuk sasaran berbeza. Di sinilah satu kelemahan umat yang perlu kita sedari, yakni kurang mengambil bahagian dalam medan-medan aktiviti masyarakat seperti seni budaya dan sebagainya dengan membawa mesej-mesej yang bersifat Islami. Walaupun boleh tewas dalam perbincangan akademik tentang pluralisme agama yang menetapkan kebenaran relatif yang tidak dapat diterima akal, mesej mereka tetap sampai kepada semua termasuk umat Muslim sendiri. Dalam dunia akademik kita, tidak ada dakwaan-dakwaan atau persoalan-persoalan daripda golongan Islam liberal yang tidak dapat dijawab oleh ulama dan ilmuan Muslim. Jelas bahawa sikap selektif, memperbesarkan isu-isu palsu dan tidak jujur golongan yang menjunjung ide pluralime agama. Tetapi, medan akademik bukan satu-satunya medan wacana, malah tidak memberi banyak kesan kepada usaha mereka menyebarkan faham pluralisme. Dalam semua medan aktiviti masyarakat, faham seperti pluralisme agama dibawa dan dipersembahkan, sama ada secara halus atau telanjang kepada semua. Satu contoh jelas yang dapat kita lihat ialah sebuah iklan di televisyen tidak lama dulu yang mencampurkan unsur-unsur dari beberapa agama dan dipersembahkan sebagai satu sambutan agama Islam, yakni Hari Raya Aidilfitri. Dalam televisyen, rancangan kanak-kanak, filem dan sebagainya, mesej-mesej memberi gambaran positif pluralisme agama sentiasa disampaikan. Pada masa sama, golongan ini juga mampu dan melaksanakan misi mereka dengan pelbagai bentuk tulisan kepada media, terutama yang mesra dengan mereka. Kecenderungan manusia untuk menerima apa-apa perkara yang baik diambil kesempatan oleh golongan ini untuk mendedahkan faham mereka. Di medan kehidupan seharian inilah penyebaran dan percambahan ide mereka berlaku tanpa banyak wacana balas daripada kita. Filem-filem yang membawa nilai yang pincang, ide-ide liberal di akhbar-akhbar inilah sebahagian barisan hadapan mereka dalam menyebarkan faham pluralisme. Justeru, umat perlu berhadapan cabaran ini di medan masing-masing, walaupun usaha ini kelihatan terlalu sukar. Ulama, ilmuan agama Islam dan sesiapa sahaja yang berkemampuan wajar terlibat dengan aktif dalam wacana menentang faham-faham yang bertentangan dengan kebenaran yang tunggal agama Islam. PAS, sebagai pemimpin umat sudah tentu perlu mengambil bahagian secara aktif, sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai sebuah gerakan Islam |
++++++++++++++++++++
Anwar sering bawa mesej fahaman pluralisme agama
|
|
KUALA LUMPUR 14 Dis. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan salah seorang ahli politik beragama Islam di negara ini yang didapati sering membawa mesej fahaman pluralisme agama sama ada dalam bentuk tindakan mahu pun dalam bentuk ucapan.
Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Yusri Mohamad (gambar) berkata, ia berdasarkan kepada satu siri ucapannya di London pada 18 Mac 2010 yang bertajuk Religion and Pluralisme in a Divided World apabila Anwar dengan jelas menyokong fahaman tersebut.
Beliau berkata, seperkara lagi ialah kecenderungan Institut Kajian Dasar (IKD) terhadap perjuangan Jaringan Islam Liberal yang diterajui oleh Ulil Absar Abdullah iaitu seorang pejuang fahaman pluralisme di Indonesia.
''IKD amat sinonim dengan Anwar dan institut ini amat rapat dengan Jaringan Islam Liberal di Indonesia. Hasil hubungan mereka juga tertubuhnya Pusat Graduan Timur (Eastern Graduate Centre) di bawah IKD.
''Pusat ini diterajui oleh seorang graduan lulusan Timur Tengah dan untuk pengetahuan semua melalui pusat tersebut telah diterbitkan beberapa buku yang didapati menyokong fahaman pluralisme," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia: Satu Tinjauan Awal' dalam wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Permurtadan Ummah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Yusri yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata antara judul buku yang dikaitkan dengan fahaman itu dan dihasilkan oleh pusat berkenaan ialah Islam dan Pluralisme, Agama dan Kebebasan Berfikir, Hukum Barat Pun Islam dan Kahwin Campur Antara Islam dan Bukan Islam.
''Inilah yang berlaku hasil daripada hubungan antara IKD dan Jaringan Islam Liberal di Indonesia. Mereka juga dilihat begitu menyanjung Ulil Absar Abdullah.
''Bagi saya penerbitan buku-buku ini amat berbahaya kepada umat Islam di negara ini kerana isu berkaitan dengan fahaman pluralisme agama amat berkaitan dengan soal akidah,"katanya.
Dalam pada itu ketika ditanya oleh seorang peserta mengenai seriusnya penglibatan Anwar di dalam fahaman itu beliau berkata, berdasarkan fakta-fakta tersebut kecenderungan Anwar terhadap fahaman berkenaan nampak jelas.
No comments:
Post a Comment