1.1.09

Tali Pinggang Belakang...... Kena Saman Ke ni?

  Isu pakai tali pinggang belakang bagi kereta dan isu saman RM300 akan memeningkan kepala buat seketika bagi ibubapa terutamanya melibatkan saman ke atas kanak-kanak dari umur 1 tahun sehingga 12 tahun......

   Ketika orang ramai menyambut yeee.. selamat tahun baru.... dan kena saman... yeh...yeh... mereka lupa... polis dan JPJ mengira setiap detik sebelum 12 tgh malam untuk mulakan sama baru... rm300 per saman....

   Inilah laporannya......
*************************************************************************

242 saman kesalahan tidak pakai tali pinggang belakang

01/01/2009 3:18pm

KUALA LUMPUR 1 Jan. — Sejumlah 242 saman bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang belakang, dikeluarkan Jabatan Penggangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Ops Ambang Tahun Baru di 28 lokasi di seluruh negara bermula tengah malam tadi.

Johor mencatat jumlah saman tertinggi dengan 95 saman dikeluarkan ke atas pengguna kenderaan persendirian dan komersil yang ingkar arahan penggunaan tali pinggang belakang yang berkuatkuasa hari ini, kata Pengarah Penguatkuasa JPJ Salim Parlan.

Beliau berkata mulai hari ini, kesemua pengguna kenderaan wajib memakai tali pinggang belakang dan kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan bagi pengguna kenderaan yang enggan berbuat demikian.

Seramai 500 pegawai JPJ terbabit dalam operasi mulai 10 malam dan berakhir pukul 2 pagi itu, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata di Pulau Pinang hanya enam saman dikeluarkan bagi kesalahan itu dan ini “secara tidak langsung menunjukkan kempen pemakaian tali pinggang belakang ini berjaya.”

— Bernama

*******************************************************************************************************************************


Kuat kuasa tali pinggang belakang 1 Januari

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Pemakaian tali pinggang keledar di bahagian tempat duduk belakang kenderaan persendirian akan diwajibkan pada 1 Januari depan dan penguatkuasaan yang ketat juga bakal dilaksanakan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, pelaksanaan tersebut bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan baru itu.

Katanya, pengecualian pemakaian tali pinggang belakang hanya diberikan kepada kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995.

‘‘Selain itu turut dikecualikan ialah kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 tetapi tidak dilengkapi dengan alat keselamatan tersebut dan kenderaan komersial termasuk kenderaan barangan, bas, teksi dan kereta sewa.

“Bagaimanapun, bagi kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995, kementerian akan memberikan tempoh selama tiga tahun untuk memasang alat keselamatan berkenaan bermula 1 Januari depan,” katanya pada pelancaran program pemasangan tali pinggang keledar tempat duduk belakang di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Long See Wool.

Tee Keat berkata, jika didapati masih terdapat penumpang yang tidak mematuhi peraturan baru itu, pemandu kenderaan akan dipertanggungjawabkan di atas kesalahan yang dilakukan oleh penumpang di tempat duduk belakang.

Beliau menjelaskan, berdasarkan perangkaan tahun 2007, penggunaan tali pinggang keledar penumpang di belakang berupaya menyelamatkan 175 nyawa, mengurangkan kes kecederaan parah sebanyak 350 orang dan kecederaan ringan seramai 1,050 penumpang.

“Kementerian berharap penggunaan tali pinggang di tempat duduk belakang akan mencapai tahap kira-kira 80 hingga 90 peratus pada tahun depan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan kerjasama Proton Holdings Berhad menerusi memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini, akan memberikan perkhidmatan pemasangan tali pinggang keledar belakang secara percuma bagi kenderaan Proton model Saga dan Gen2.

Sementara itu, Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, sebanyak 226,000 kenderaan model Saga dan Gen2 yang didaftarkan antara tahun 2004 dan 2008 akan diberikan perkhidmatan itu.

“Sejumlah RM7 juta diperuntukkan untuk tujuan pemasangan tali pinggang keledar belakang yang ketiga bagi kenderaan yang masih belum dilengkapi alat keselamatan itu,” jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh yang ditanya mengenai pengecualian dikenakan tindakan ke atas penumpang keempat dan seterusnya jika tidak memakai tali pinggang keledar berkata, seharusnya perkara itu perlu dielakkan.

Jelas beliau, setakat ini kesedaran pemandu untuk membawa penumpang melebihi lima orang semakin berkurangan apabila hasil kajian menunjukkan peratusan penumpang keempat dan seterusnya telah menurun.

‘‘Hasil kajian menunjukkan bahawa hanya lima peratus pemandu membawa muatan melebihi lima orang berbanding sembilan peratus pada tahun lalu.

***************************************************************************************************

No comments: