Zionis nafikan sejarah
Serangan rejim Zionis Israel ke atas Gaza, Palestin beberapa hari ini dikatakan sebagai
tindakan balas terhadap pihak pejuang Hamas melancarkan
serangan roket ke kawasan pendudukan Israel. Walaupun faktanya Israel yang mencabul gencatan senjata, tetapi rejim itu memutar belit seolah-olah Hamas yang menjadi punca
sekaligus mewajarkan mereka membunuh ratusan orang yang tidak berdosa.
Konflik antara Israel –
Palestin berlarutan dalam jangkamasa yang panjang. Bermula tahun 1948 ketika Israel
merampas tanah air Palestin
sehingga kini konflik tidak memperlihatkan titit penyelesaian.
Israel yang dinaungi oleh Amerika Syarikat (AS) menjadikan rejim ini begitu angkuh dan melanggar semua tatacara Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB). Ahli akademik yang juga Presiden International Movement For Just World (JUST), Dr. Chandra Muzaffar melihat, semua ini berlarutan disebabkan Israel dan AS cuba menafikan sejarah.
Menurut Dr. Chandra, fakta sejarah bahawa tanah milik Palestin dirampas oleh Israel
cuba dipadamkan dan yang timbul tindak balas Palestin
seolah-olah pengganas yang menyerang Israel.
“Israel sengaja mengalih isu kepada serangan Hamas untuk membolehkan mereka melancarkan serangan yang tidak berperikemanusiaan ke atas
Palestin. Ini menafikan sejarah sebenar mereka yang merampas tanah Palestin,” tegas
Dr. Chandra kepada wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan ARSHAD KHAN Khamis lalu.
Mengenai sikap AS yang
memayungi kejahatan Israel
sekaligus memonopoli PBB, Dr. Chandra berkata, sistem politik dan pentadbiran termasuk
bidang akademik AS dikuasai oleh zionis. Maka beliau tidak menaruh harapan yang besar kepada bakal presiden AS,
Barack Obama boleh
mengubah sokongan AS
terhadap Israel kerana Obama juga dikelilingi zionis.
MINGGUAN: Apa masalah yang paling kuat menghalang penyelesaian isu di Palestin?
Akar umbi masalahnya adalah berkaitan kepada soal pendudukan Palestin. Kalau mereka (Israel dan beberapa negara Barat) tidak mengakui masalah besar ini iaitu penaklukan ke atas Palestin sejak 1948 yang berlaku atas beberapa faktor pada hemat saya adalah puncanya. Jika mereka tidak mahu mengakuinya masalah ini dan cuba memberikan fokus kepada roket dan Hamas sebagai pergerakan pengganas, ini bererti mereka tidak jujur. Inilah punca masalahnya. Jika mereka ingin menyelesaikan masalah Palestin, mereka harus mengembalikan hak rakyat Palestin dan tidak ada cara lain. Sebaliknya jika mereka menafikan hak rakyat Palestin secara menyeluruh, tidak akan ada penyelesaian sehingga hari kiamat.
Adakah Amerika Syarikat (AS) tidak melihat daripada sudut itu?
Bukan AS tidak melihat ke arah itu tetapi mereka tidak mahu bertindak atau mengambil langkah-langkah yang perlu dan penting untuk mencapai matlamat. Ini kerana pemerintah AS sejak 1948, lebih-lebih lagi selepas Perang Enam Hari 1967 dikuasai oleh kepentingan-kepentingan Zionis yang begitu kuat dan kukuh dalam sistem AS. Yang kita maksudkan kepentingan Zionis dalam politik, mereka mempengaruhi Kongres AS, Senat dan Rumah Putih. Misalnya individu yang dilantik sebagai Ketua Staff Rumah Putih oleh bakal presiden AS Barack Obama , Rahm Emanuel merupakan bekas pegawai tentera Israel. Bukan Obama tidak tahu masalah Palestin kerana Obama ini pernah berkata suatu masa dahulu, saya petik ini daripada buletin Yahudi, Jewish Voice For Peace yang pro Palestin, “Tiada siapa yang lebih menderita daripada rakyat Palestin.” Ketika itu Obama belum masuk gelanggang politik dan dia sebagai peguam, ahli akademik dan pengelola masyarakat. Namun, bila beliau masuk politik, dalam perjalanan ke kemuncak beliau berubah. Ini kerana jika beliau tidak berubah, beliau tidak boleh menang. Sistem AS memang jelas dikuasai oleh Zionis.
Jadi apabila sistem AS dikuasai Zionis, isu ini tidak ada harapan untuk selesai hingga bila-bila?
Akan berubah sekiranya berlaku perubahan di AS. Perubahan berlaku disebabkan kesedaran manusia untuk berubah. Seperti yang berlaku dalam isu Iraq. Dalam tahun 2003, sebelum AS menyerang Iraq, hampir 70 peratus rakyat AS menyokong serangan terhadap Iraq. Tahun 2004, dalam pilihan raya ketika Bush menang kali kedua, sebahagian besar masih menyokong perang di Iraq. Tetapi dalam beberapa tahun selepas 2004, keadaan berubah kerana mereka sudah sedar kematian yang berlaku di Iraq, mereka mengetahui serangan di Iraq itu tidak mencapai matlamat. Mereka sedar ini adalah satu masalah besar. Kesedaran itu yang penting. Kita perlu meningkatkan kesedaran rakyat AS dalam isu ini (Palestin).
Rakyat Yahudi yang duduk di negara-negara Arab sepanjang sejarah, asalnya mereka tidak menyokong pergerakan Zionisme, kini sudah berubah. Dalam kurun ke-19 bermula pergerakan Zionisme politik di Eropah dan bukannya di Timur Tengah, di Baitulmuqaddis atau bukan di tempat yang kini digelar Israel. Yang bertanggungjawab atas pergerakan ini, yang memulakannya adalah golongan Yahudi yang seratus peratus sekular. Mereka ini tidak ada pegangan atau hubungan terhadap agama mereka sendiri. Tetapi antara yang tidak bersetuju dan menentang dengan usaha penubuhan negara Zionis adalah beberapa individu-individu Yahudi yang kuat berpegang pada agama Yahudi.
Tetapi Dr, hakikatnya, sudah ada sebuah negara bernama Israel. Jadi apakah yang mesti dilakukan?
Saya ingin tegaskan di sini satu perkara yang jarang disebutkan bahawa PBB melanggar piagamnya sendiri dalam usaha menubuhkan Israel. Dalam piagam PBB, sebelum sebuah negara ditubuhkan, rakyat yang terlibat harus diberikan kuasa untuk menentukan masa depan mereka, ini adalah piagam PBB. Hak untuk menentukan nasib telah dinafikan. Hak ini tidak diberikan kepada rakyat Palestin. Rakyat Palestin, Islam dan Kristian adalah majoriti ketika itu. Yahudi ketika itu tidak sampai 30 peratus. Mereka membahagikan Palestin itu satu lagi tindakan yang bertentangan dengan piagam PBB kerana PBB tidak berhak untuk membahagikan mana-mana negara, kawasan dan wilayah. Cara mereka bahagikan pun tidak mencerminkan keadilan. Yahudi yang tidak sampai 30 peratus diberikan 60 peratus daripada wilayah, rakyat Palestin yang berjumlah 70 peratus diberikan hanya 40 peratus. Ini cara mereka bahagi negara Palestin.
Sepanjang pengetahuan Dr. apakah formula penyelesaian yang pernah dikemukakan untuk menyelesaikan krisis ini?
Ada dua bentuk penyelesaian. Satu yang diterima oleh beberapa kerajaan dan beberapa kumpulan serta sebahagian daripada rakyat Palestin iaitu 22 peratus kawasan yang dirampas pada 1967 yang dianggap sebagai kawasan ditakluki Israel, dipulangkan kembali kepada Palestin.
Penyelesaian ini bermakna Baitulmuqaddis khususnya Baitulmuqaddis Timur dikembalikan kepada Palestin dan ia akan menjadi ibukota negara Palestin. Rakyat Palestin yang lima juta dianggap pelarian yang tinggal di negara-negara Arab lain dan di negara barat dibenarkan kembali dari segi undang-undang antarabangsa yang kita kenali sebagai The Rights Of Return. Tetapi ini tidak dipersetujui oleh Israel. Mereka berkata, jika hak ini dipersetujui, bermakna mereka tidak dapat mempertahankan identiti negara Israel dan akan ia dibanjiri oleh rakyat Palestin.
Bagaimana reaksi negara-negara Arab terhadap formula ini?
Negara-negara Arab setuju dengan formula ini. Kerajaan-kerajaan dalam Liga Arab pada 2002 mencapai muafakat kerana mereka cintakan kedamaian. Mereka membuat resolusi ini di Beirut pada 2002. PLO juga bersetuju dengan penyelesaian ini termasuk bekas pemimpinnya, Allahyarham Yasser Arafat. Negara kita juga sokong penyelesaian ini, pada persidangan OIC pada 2003, ketika Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Adakah AS setuju dengan formula ini kerana Isreal adalah di bawah naungan AS?
AS yang merupakan penaung, pelindung, penyokong Israel tidak bersetuju. Saya berpendapat penyelesaian ini tidak dapat dilakukan jika kita kaji secara realistik kerana Israel telah ubah sama sekali ciri-ciri Tebing Barat. Sebagai contoh, kawasan penempatan mereka sudah begitu ramai di seluruh Tebing Barat, mereka cuba ubah ciri-ciri Baitulmuqaddis Timur dengan cuba menjadikannya sebagai satu bandar Yahudi seratus peratus. Mereka sudah kuasai sumber-sumber air di Tebing Barat untuk kepentingan mereka. Ini menunjukkan Israel telah mempastikan mereka akan kekal abadi di Tebing Barat.
Banyak pihak melihat negara-negara dunia Arab seperti tidak membuat sesuatu dalam konflik panjang Palestin – Israel ini?
Dunia Arab tidak mampu memaksa AS. Formula penyelesaian ini sebenarnya satu pengorbanan yang amat besar di pihak Palestin dan dunia Arab. Namun ia masih tidak diterima. Itulah sebabnya saya berpendapat apabila pemimpin-pemimpin Israel dan sebahagian besar pemimpin AS berbincang tentang penyelesaian dua negara, yang dimaksudkan mereka bukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan mantap. Inilah yang berlaku dalam pengunduran Gaza pada Ogos 2005, di mana pengunduran Israel yang tidak ikhlas kerana mereka masih menguasai Gaza. Jika pengunduran ini diibaratkan penjara, Gaza adalah penjara terbuka yang terbesar di dunia. Dahulu warden penjara ini iaitu Israel mengawal penghuni penjara ini dari dalam sebelum Ogos 2005, kini dia kawal dari luar. Warden Israel masih kawal Gaza dari laut, udara dan darat. Rakyat Palestin masih tidak boleh bergerak.
Jika Obama berkuasa kelak, bolehkah kita mengharapkan suatu yang akan dilakukan untuk menyelesaikan krisis di Palestin?
Struktur kuasa di AS dikuasai oleh Zionis. Mereka menguasai politik, ekonomi, media, budaya dan dunia ilmiah di AS. Walaupun kecil jumlahnya (Yahudi di AS), hanya enam juta tetapi mereka menguasainya.
Maknanya di bawah Obama kita mungkin hanya akan melihat perubahan warna kulit pemimpinnya dan bukan dasarnya?
Kita mahu berlaku adil dan hendak tengok apa yang boleh dilakukan oleh Obama. Kita tidak boleh menghukum beliau sebelum beliau bertindak sebagai presiden. Namun, melihat kepada struktur kuasa AS seperti mana yang dicerminkan dalam politik AS, Kongres, Senat, Rumah Putih, struktur kuasa dalam ekonomi terutamanya dalam bidang kewangan, media, latar belakang sebahagian besar daripada tokoh-tokoh akademik di AS, sebahagian besar mereka adalah Zionis.
Jangan lupa saudara, satu lagi yang penting, kuasa mereka dalam dunia hiburan. Sejak tahun 1930-an mereka telah mula merancang untuk menguasai Hollywood. Jika kita lihat beberapa nama dan pengarah, penerbit dan pelakon di Hollywood, mereka ini memang ada kaitan dengan Zionis. Peranan media dalam kes Gaza ini memang jelas, walaupun ada media di sana sini cuba menegakkan kebenaran, tetapi pada keseluruhan media barat memihak kepada Zionis dengan jelasnya.
Maka bolehlah dikatakan bahawa isu pejuang Hamas bukanlah isu yang membawa kepada serangan itu?
Hamas adalah pejuang-pejuang pembebasan rakyat Palestin dan serangan itu bukan isunya. Serangan Hamas itu adalah sesuatu yang dilakukan oleh setiap bangsa sepanjang sejarah manusia yang ditakluki. Contoh dari sejarah Yahudi sendiri, semasa 1943, Yahudi Jerman cuba menghapuskan Yahudi ada satu peristiwa dinamakan Kebangkitan Warsaw, di mana Yahudi diletakkan dalam kepungan di kawasan yang dinamakan Gheto. Contoh lain Jepun menakluk China, rakyat China memberontak dan mereka menggunakan kekerasan juga. Jerman menakluk Perancis dalam perang dunia kedua, rakyat Perancis memberontak, mereka mempertahankan juga. Lihatlah sepanjang sejarah Palestin dan Israel, mangsa (Palestin) yang dipersalahkan. Kita tahu yang mencabul gencatan senjata ini sebenarnya Israel, bukan Hamas. Gencatan senjata ini diisytiharkan pada 18 Jun 2008, enam bulan. Kedua-dua pihak melalui perunding iaitu Mesir selaku orang tengah gencatan senjata bermula dari tarikh itu. Dalam tempoh itu, secara keseluruhannya Hamas berpegang dengan gencatan senjata itu. Israel pula terus menyerang Gaza, mereka terus melakukan serangan tentera dan membunuh pemimpin-pemimpin Hamas dan mengambil tindakan terhadap kumpulan-kumpulan Hamas di Tebing barat selain di Gaza. Pada 4 November 2008 mereka membunuh beberapa pemimpin Hamas.
Apa lagi yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan rakyat Palestin daripada terus menjadi mangsa?
Satu lagi formula penyelesaian yang pernah dibincang banyak pihak dan dianggap satu yang lebih realistik iaitu tidak perlu bincang tentang dua negara. Mengikut formula ini, cuma ada sebuah negara yang akan diduduki oleh semua pihak termasuk rakyat Israel dan rakyat Palestin.
Membenarkan semua rakyat Palestin yang dianggap pelarian untuk kembali. Rakyat Israel yang ada kekal dan dirikan sebuah negara yang demokratik dan berperlembagaan yang tidak memihak kepada mana-mana agama atau bangsa, yang diduduki oleh kedua-dua bangsa. Mereka yang berpegang kepada formula ini mencadangkan satu negara, dua bangsa iaitu Yahudi dan Arab, dan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.
Antara pihak yang memperjuangkan idea ini ialah beberapa individu termasuk ahli sejarah Israel. Namun, pemimpin-pemimpin Israel tidak setuju dengan formula penyelesaian ini kerana ia boleh menghilangkan identiti. Mereka mahu kekal sebagai sebuah negara Yahudi yang total. Ini kerana mereka menanggap diri mereka yang terpilih kononnya mengikut kitab mereka, tidak boleh berkongsi dengan orang lain. Bagi saya, mungkin inilah penyelesaiannya kerana tidak nampak bagaimana untuk mendirikan dua buah negara. Penyelesaiannya akhirnya mungkin satu negara, dua bangsa dan tiga agama. Tidak perlu usir sesiapa, mereka harus terima realiti ini.
Proses Membina Minda Perkasa Memerlukan Proses Memperkasakan 4 dimensi Manusia yang utama iaitu IQ (Minda Perkasa) + EQ (Emosi Perkasa) + SQ (Rohani Perkasa) + PQ (Fisiologi Perkasa) MAKA wujudlah 10 Bakat n Potensi Kecerdikan Yang Hebat.....iaitu Fikrah, Rabbani, Emosi Personaliti, Jasadi, Mata Sakti, Auditori Hikmah, Bicara Mutiara, Galaksi, MST dan P.A.K.S.I Yakinilah Bahawa Anda Unik, Hebat, Fakiih dan Mampu Berjaya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
-
Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel, setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, pertama kali sa...
-
Oleh NIZHA PERIASWAMY nizha.periaswamy@kosmo.com.my PEGAWAI penyelidik CAP, Hatijah Hashim menunjukkan sotong kering yang didakwa dicemar...
-
Bahagian Pertama Bahagian Ke 2 Bahagian ke 3
No comments:
Post a Comment