Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Dalam
kehidupan seharian, kita sering menyaksikan berbagai perkara yang tidak
sesuai dengan nilai-nilai keimanan di mana banyak kerosakan,
penyimpangan
dan kejahatan yang berlaku setiap hari di depan mata kita.
Sebagai
aktivis dakwah, kita seharusnya mempunyai keinginan yang amat kuat
untuk mengubah seluruh keadaan yang tidak baik dan menyimpang tersebut
lalu mengarahkan kepada nilai-nilai keimanan dan kesolehan.
Namun, persoalan dakwah bukan semata-mata bagaimana kita menghilangkan kemaksiatan atau bagaimana menghapuskan kemungkaran tersebut. Lebih dari itu, yang perlu diusahakan dalam proses dakwah adalah menghadirkan alternatif yang lebih baik dan lebih layak bagi kehidupan masyarakat.
Namun, persoalan dakwah bukan semata-mata bagaimana kita menghilangkan kemaksiatan atau bagaimana menghapuskan kemungkaran tersebut. Lebih dari itu, yang perlu diusahakan dalam proses dakwah adalah menghadirkan alternatif yang lebih baik dan lebih layak bagi kehidupan masyarakat.
Dengan yang demikian, kemanfaatan dan sumbangan dari dakwah dapat dirasakan secara nyata oleh masyarakat.
Aktivis dakwah tidak hanya melarang dan mencegah, namun juga mampu memberikan alternatif penyelesaian.
Ramai manusia yang berkubang dalam kehidupan yang buruk di sebabkan oleh tekanan keadaan dan persekitaran.
Ramai manusia yang berkubang dalam kehidupan yang buruk di sebabkan oleh tekanan keadaan dan persekitaran.
Mereka
memerlukan jalan penyelesaian yang nyata untuk keluar dari keburukan
tersebut dan bukan semata-mata dilarang dan apalagi dimarahi dan
diperlekehkan
akan maruah diri mereka, namun tanpa ada penyelesaian yang bererti.
Masyarakat memerlukan jalan penyelesaian agar mereka mampu memiliki kehidupan yang lebih sesuai dengan nilai-nilai keimanan.
Sebagai
seorang pendakwah, kita hendaklah memahami bahawa tujuan kita
diciptakan adalah semata-mata untuk beribadah kepada Allah swt. Di
antara ‘Ubudiyyah’ kita kepadaNya ialah dengan melahirkan ketaatan
kita kepadaNya.
Dakwah dan ‘Amru bil Ma’ruf wa An-Nahyu ‘An Al-Munkar’ merupakan salah satu daripada tanggungjawab dan tugas setiap muslim.
Oleh yang demikian, seseorang hamba Allah swt perlulah
mengerjakan apa yang disuruh oleh Allah swt, semata-mata kerana Allah swt dan bukan untuk mendapatkan :
a. Habuan dari keduniaan.
b. Kemasyhuran.
c. Kedudukan di sisi manusia.
Dalam setiap amalan, ikhlas merupakan sifat yang paling penting dalam memastikan amalan kita diterima oleh Allah swt.
Firman Allah swt yang bermaksud :
“Katakanlah
(wahai Muhammad) : “Upah apa pun yang aku minta daripadamu maka itu
untukmu. Upahku hanyalah dari Allah dan Dia Maha Mengetahui segala
sesuatu.”
(QS Saba’ : 47)
(QS Saba’ : 47)
Sebagai seseorang muslim, hendaklah kita sentiasa menghindarkan diri dari
sikap ‘ujub’ dalam setiap amalan termasuklah dalam berdakwah.
‘Ujub’ ialah satu sifat di mana kita :
1. Merasa seronok dengan diri
sendiri.
2. Merasa diri sendiri baik.
3. Menisbahkan kebaikan tersebut kepada diri kita sendiri.
‘Ujub’ merupakan
salah satu sifat yang paling
tercela kerana seseorang yang menisbahkan kebaikan kepada diri sendiri
seolah-olahnya mengkufuri nikmat Allah swt kepadanya, kerana pada
hakikatnya, Allah swtlah yang menjadikannya sebagai seorang insan yang baik dan mengizinkannya untuk berdakwah di jalan Allah swt.
Jika
bukan kerana keizinan dan kehendak Allah swt, niscaya seseorang itu
tidak mampu mentaatiNya, kerana tiada daya dan kuasa melainkan dengan
keizinan Allah swt dan dariNya.
Hayatilah
bahawa, Allah swtlah mentakdirkan kita sebagai seorang pendakwah dan
apabila kita diberi nikmat ketaatan, maka
bersyukurlah kepada Allah swt yang menjadikan kita sebagai seorang yang
taat dan rendah dirilah di hadapanNya, sambil menyalahkan diri sendiri
dan merasakan bahawa amalan kita tidak sempurna.
Ingatlah firman Allah swt yang bermaksud:
“Sekiranya
tidak kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, niscaya tidak ada
seorang pun dari kamu yang bersih (dari perbuatan keji dan mungkar).” (QS An-Nur : 21)
Adab ini amat penting bagi seseorang
muslim, apatah lagi sebagai seorang pendakwah yang mengajak manusia kepada jalan Allah swt.
Janganlah menisbahkan kebaikan yang dilakukan kepada diri sendiri kerana ia merupakan pintu kepada ‘takabbur’ yang menyebabkan Iblis, yang pernah merupakan ketua para malaikat, menjadi selaknat-laknat makhluk di sisi Allah swt.
Marilah
kita jadikan diri Rasulullah saw sebagai contoh yang paling agung di
mana Rasulullah saw sentiasa mempamerkan sikap rendah diri, walhal
Baginda sawlah yang merupakan sebaik-baik
manusia.
Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim dan pendakwah, kita perlulah juga mengikuti sifat ‘tawadhu’ Rasulullah saw tersebut khususnya dalam berdakwah.
Hindarkanlah dari sifat ‘takabbur’ yang merasakan diri lebih baik dari orang lain. Apabila kita melakukan usaha ‘Amru bil Ma’ruf wa An-Nahyu an Al-Munkar’, maka lakukanlah dengan merasakan bahawa setiap orang muslim itu lebih baik dari kita.
Pandanglah orang-orang Islam dengan pandangan rahmah (kasih sayang) walaupun kepada si pelaku maksiat.
Apabila
kita lihat sesuatu maksiat datang dari seseorang, maka anggaplah pada
hakikatnya orang itu lebih baik dari kita dan dia pada hakikatnya
sempurna akhlaknya, melainkan hanya satu maksiat tersebut sahaja yang
mengurangkan kesempurnaannya.
Oleh yang demikian, kita akan
menasihatinya atas dasar memberi cadangan untuk lebih menyempurnakan dirinya tanpa merasakan diri kita lebih baik darinya.
Sebaliknya,
kita perlu merasakan diri kitalah yang lebih buruk darinya, kerana
boleh jadi orang yang melakukan maksiat tersebut, hanya melakukan satu
maksiat sahaja (iaitu maksiat yang kita nampak dia lakukan tersebut),
sedangkan kita ini pula, walaupun
tidak melakukan maksiat yang dilakukannya, masih banyak lagi
maksiat-maksiat lain yang dilakukan oleh kita yang disembunyikan oleh
Allah swt dari manusia.
Dengan
rasa keinsafan ini, budaya nasihat akan penuh dengan bunga-bunga
ukhuwah, apabila setiap individu muslim merasai orang yang dinasihatinya
sebenarnya lebih baik dari dirinya.
Oleh yang demikian, nasihat akan lebih berbentuk mesra, kerana ianya berbentuk cadangan ke arah kesempurnaan dan BUKAN :
a. Kritikan ke arah menghina.
b. Merendahkan kedudukan seseorang.
Janganlah
kita merasakan diri kita sebagai pendakwah kerana diri kita lebih baik
atau lebih sempurna dari orang lain, tetapi sebaliknya, berdakwahlah
kerana kita rasakan bahawa, ianya sebagai satu tanggungjawab ke atas
setiap individu muslim yang disarankan oleh Allah swt agar saling
nasihat-menasihati antara sesama muslim, bukan atas dasar kita lebih
soleh dari orang lain.
Imam As-Sya’rani rahimahullah menegaskan adab ini dalam buku ‘Al-Bahr Al-Maurud’ dan menyatakan bahawa adab inilah yang asasi dalam berjalan menuju Allah swt.
Di antara ciri-ciri seorang pendakwah yang rabbani ialah memiliki iman dan aqidah yang sempurna.
Ini adalah kerana :
1. Keimanan.
2. Keyakinan kepada Allah swt.
3. Kefahaman yang sebenar tentang hakikat sesuatu.
4. Kemantapan aqidah Islamiyah.
merupakan kekuatan yang paling utama dalam menempuh ranjau di sepanjang jalan dakwah.
Seorang pendakwah perlulah beriman kepada Allah swt dengan sebenar-benar iman,
justeru mentahqiqkan makna ‘muraqabah’ dalam diri, merupakan nadi ‘ihsan’ seseorang muslim.
Dia hendaklah sentiasa :
a. Merasai kehadiran Allah swt di
sisinya.
b. Merasai Allah swt yang sentiasa mengawasi dan memerhatikannya.
c. Merasai kebersamaan Allah swt yang sentiasa memberi rahmat kepada para hambaNya yang berdakwah di atas jalanNya.
Selain itu, dia juga perlulah
mendapat kefahaman yang sempurna mengenai hakikat di sebalik sesuatu, di mana, dia perlulah menghayati konsep :
“Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuasaan dan keizinan Allah swt.”
Oleh yang demikian, dia
akan memahami bahawa dakwah dan usaha ‘islah’ yang
dilakukannya sebenarnya tidak memberi kesan kepada perubahan, tetapi
sebaliknya Allah swtlah yang Maha Berkuasa dalam memberi kesan
perubahan, samada dengan perantaraan usaha dakwah kita ataupun tanpa
perantaraan tersebut.
Oleh
yang demikian, kita berdakwah sekadar menunaikan perintah Allah swt ke
atas kita dan kita akan sentiasa faham bahawa, Allah swt tidak
memerlukan dakwah kita untuk mengubah masyarakat Islam, tetapi kitalah
yang memerlukan usaha dakwah tersebut
sebagai ‘taqarrub’ (jalan mendekatkan diri) kita kepada Allah swt.
Adapun
natijah dari dakwah tersebut, bukanlah di dalam bidang tugas kita. Apa
yang penting, Allah swt menyuruh kita melakukan sesuatu secara terbaik,
oleh yang demikian, kita juga berdakwah secara terbaik, untuk
melaksanakan perintah Allah swt.
Apabila seseorang memahami hakikat ini, maka dia akan :
1. Lebih pasrah.
2. Berlapang dada.
3.
Tenang.
4. Bersabar.
dalam
usaha dakwah, kerana dia tahu bahawa yang menyebabkan perubahan sesuatu
bukanlah usaha dakwah itu sendiri, tetapi Allah swt.
Usaha
dakwah yang dilakukannya hanyalah sekadar melaksanakan perintah Allah
swt sebaik mungkin, dan hanya Dialah yang menentukan kemenangan atau
syahid.
Inilah aqidah Rasulullah saw, takkala Baginda saw bersabda :
“Walaupun
matahari diletakkan di tangan kananku dan bulan diletakkan di tangan
kiriku, untuk memaksa aku meninggalkan urusan dakwah ini, nescaya aku
tidak akan meninggalkannya. Aku akan meneruskannya sehinggalah Allah swt
memberi kemenangan atau menjadikan aku syahid.”
Rasulullah saw sendiri meletakkan natijah dakwah Baginda saw sebagai urusan mutlak Allah swt, sebagai tanda iman
yang mantap dan melaksanakan dakwah kerana ianya sebagai tugas Baginda
saw.
Jadi, Allah swtlah yang menentukan natijah sesuatu usaha dakwah tersebut, samada mencapai kemenangan atau syahid.
Skop dakwah adalah teramat luas. Oleh yang demikian, seseorang perlu berdakwah di lapangan yang sesuai dengan
tahap ilmu dan akal yang dimilikinya. Perkara ini amat penting khususnya dalam membentuk pengagihan bidang tugas dalam sesuatu pergerakan ‘tajdid’ dan ‘islah’.
Setiap
orang perlulah menyampaikan apa yang diketahuinya, dan banyak bertanya
tentang apa yang tidak diketahuinya. Jika dia masih belum sampai ke
tahap ‘ijtihad’, atau sekurang-kurangnya menguasai
bidang ilmu agama yang mantap, maka seelok-eloknya dia menjauhi
perbahasan-perbahasan yang cabang dan tinggi, seperti masalah-masalah
bid’ah dan
sebagainya.
Selain
itu juga, seorang pendakwah perlulah sentiasa menambah ilmu pengetahuan
dengan terus belajar dan menuntut ilmu, terutamanya dalam bidang agama
dari sistem pendidikan agama yang memang dipercayai seperti sistem ber’talaqqi’ secara bersanad.
Seorang pendakwah mesti mempunyai
matlamat yang jelas di hadapannya iaitu :
a. Untuk menegakkan agama (Iqamatuddin).
b. Melakukan perbaikan (Islah).
c. Mencegah semua bentuk kemungkaran.
d. Mengajak manusia mengamalkan Islam dalam setiap sudut kehidupan mereka.
e. Memurnikan semula umat Islam dengan mengembalikan mereka kepada identiti Islam yang sebenar.
Seseorang pendakwah perlulah pandai membezakan antara yang ‘Usul’ dan yang ‘furu’ dalam agama, agar mereka tidak terjebak dalam kancah pembaziran waktu dengan menyibukkan diri berdebat
mengenai perkara-perkara ‘furu’ (yang sememangnya
merupakan satu lapangan yang banyak perselisihan pendapat dan tidak
perlu berdebat) dan mengabaikan perkara-perkara ‘usul’.
Perkara
ini memang banyak berlaku di dalam realiti masyarakat Islam hari ini,
khususnya di kalangan mahasiswa-mahasiswi Islam yang sibuk membincangkan
perkara-perkara ‘furu’, padahal mereka tidak lagi layak
untuk membincangkan perkara tersebut berdasarkan kecetekan ilmu mereka,
apatah lagi bersikap bantah-membantah sehingga
membawa ke tahap menuduh seseorang itu melakukan bid’ah.
Hal ini amat dikesali oleh para ulama’ dan pendakwah termasuklah Imam Hasan Al-Banna sendiri.
Gagasan idea ‘Usul 20’ Imam
Hasan Al-Banna sendiri adalah hasil dari pertembungan antara dua pihak
yang mana, salah satunya menuduh pihak kedua sebagai pelaku bid’ah dan
sebagainya.
Oleh yang demikian, Imam Hasan Al-Banna cuba menampilkan satu pelan damai
dalam meredakan peperangan pemikiran antara kedua-dua pihak tersebut.
Begitu juga, budaya mengutamakan ‘furu’ dari ‘usul’ ini turut
dikritik dan dibidas oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi dalam pelbagai penulisan beliau, samada secara jelas mahupun secara sindiran.
Perkara-perkara
seperti membid’ahkan amalan yasiin pada malam Jumaat, membid’ahkan
tahlil arwah dan sebagainya sebenarnya satu perkara yang ‘furu’ dan hanya berkaitan dengan perkara-perkara ‘khilafiyah’ kerana
pihak yang mengamalkannya juga mengambil hujah dari kefahaman mereka
terhadap dalil-dalil dari Al-Qur’an dan As-Sunnah juga.
Oleh yang demikian,
tidak timbul soal bid’ah-membid’ahkan dalam perkara-perkara furu’ tersebut.
Seorang
pendakwah yang menyedari bahwa dirinya sendiri bukanlah yang terbaik,
akan terdedah untuk menerima teguran, kritikan dan nasihat kerana dia
menyedari bahawa, dia juga selaku manusia yang serba kekurangan, perlu
dinasihati oleh orang yang lain juga, kerana kadang-kadang, keaiban yang
kita tidak nampak pada diri kita oleh diri kita sendiri, dapat dilihat
oleh orang lain. Teguran
dari saudara yang ikhlas juga merupakan hadiah darinya buat kita yang
perlu dihargai.
Seorang
pendakwah perlulah berbaik sangka terhadap sesama muslim, apatah lagi
bersifat sedaya-upaya menganggap orang lain lebih baik dari kita. Ini
kerana, sifat ini merupakan kunci kekuatan Ukhuwah Islamiyah.
Imam An-Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa :
“Jika
seseorang muslim itu berkata dengan satu lafaz yang mendatangkan 70
makna yang membawa kepada syirik dan membawa 1 takwil yang bersesuaian
dengan syariat, maka pakailah ta’wil tersebut sebagai usaha husnu zhan sesama muslim.”
Ini
kerana, hanya Allah swtlah yang Maha Menghukum, sedangkan kita sebagai
para hambaNya merupakan para penyeru manusia kepadaNya.
Jadi,
apa yang dimaksudkan oleh seseorang dari perkataan mereka,
cukuplah Allah swt yang menghukumnya, dan kita cubalah sedaya-upaya
mentakwilkannya dengan menyesuaikannya dengan syara‘, selagi ada ruang
untuk itu.
Janganlah
mengkritik seseorang kerana sifat benci kepadanya dan bersifat mencari
kesalahan orang lain walaupun orang itu cuba mencari kesalahan kita.
Sesungguhnya, sifat umat Islam ialah rahmatan lil ‘alamin (sebagai satu rahmat buat sekalian alam).
Janganlah cuba mencari-cari aib orang lain, sebaliknya sembunyikanlah aib seseorang jika kita mengetahuinya dari orang
lain, agar Allah swt menyembunyikan aib kita dari orang lain di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya, jamaah-jamaah, kumpulan organisasi serta pertubuhan-pertubuhan dakwah dan islah yang pelbagai, tidak boleh dijadikan alasan untuk mewujudkan budaya berpuak-puak kerana seluruh umat Islam adalah bersaudara.
Walaupun berbeza manhaj, tetapi seluruh golongan tajdid ini membawa matlamat yang satu, iaitu untuk memurnikan semula umat Islam.
Jadi, tidak perlu wujud satu bentuk berpuak-puak atau jamaah centric kerana jamaah-jamaah dan pertubuhan-pertubuhan tersebut hanyalah alat untuk menyampaikan dakwah, bukanlah matlamat
dakwah itu sendiri.
Berputus
asa terhadap sesuatu kegagalan atau kesulitan bukanlah ciri-ciri
seorang pendakwah yang baik. Ini kerana, jalan dakwah sentiasa
memerlukan kesabaran yang tinggi dan berusaha untuk mengatasi segala
kesukaran yang dihadapi.
Rasulullah saw berada di Makkah selama 13 tahun untuk berdakwah terus-menerus walaupun baginda sering dihina dan disakiti.
Sesungguhnya, jika kita
kumpulkan seluruh kesusahan yang kita alami ketika ini dan dibandingkan
dengan kepayahan yang dihadapi oleh Rasulullah saw, ternyata kita berada
amat jauh di belakang.
Ketabahan dan istiqamah inilah yang merupakan kunci terakhir untuk mendapat kejayaan di sisi Allah swt.
Firman Allah swt :
Adakah
kamu menyangka bahawa kamu
akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya)
orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di
antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar
(tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?. (QS Ali-Imran : 142)
Sebenarnya,
di sebalik pelbagai ujian dan musibah yang melanda, di sepanjang jalan
dakwah dan kehidupan, ada mengandungi pelbagai rahsia kelembutan Allah
swt yang difahami oleh mereka yang
dekat dengan Allah swt.
Bersungguh-sungguh yang dimaksudkan adalah sebagaimana seorang mujahid yang melawan musuh di medan peperangan.
Ini dilakukan dengan menyeru sekalian manusia ke arah melaksanakan perkara-perkara yang baik (amar ma’ruf) dan mencegah daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah (nahi mungkar).
Ini adalah kerana,
Allah swt amat menyukai seseorang yang bersungguh-sungguh dan
beristiqamah dalam melakukan sesuatu amal kebaikan dan ketaatan, apatah
lagi dalam usaha dakwah yang merupakan salah satu ibadah yang paling
tinggi kedudukannya dalam Islam.
Baginda Rasulullah saw mengingatkan lagi dengan sabda baginda :
“Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil
berat hal ehwal orang Islam yang lain maka ia bukanlah dari golongan mereka (Islam).”
Rasulullah saw menjelaskan secara langsung dengan sabda baginda :
“Engkau memegang pos-pos penting
daripada pos-pos Islam, maka (awas) jangan sampai musuh dapat bolos daripada penjagaanmu.”
Sebagi seorang muslim dan pendakwah yang sejati, kita mestilah berakhlak dengan akhlak-akhlak ‘mahmudah’ dan meninggalkan sebarang akhlak-akhlak ‘mazmumah’, kerana ia merupakan teras kebahagiaan seseorang dalam mencapai redha Allah swt.
Akhlak
yang mulia merupakan satu gambaran kesempurnaan Rasulullah saw yang
sentiasa hidup dalam jiwa seseorang insan yang
beriman, di mana seseorang yang berakhlak mulia dari sudut rohani
mahupun jasmani, bererti dia sentiasa bersama dengan Rasulullah saw dan
Rasulullah saw hidup di dalam kehidupannya secara keseluruhannya.
Kebersamaan
dengan Rasulullah saw dalam konteks adab dan akhlak merupakan satu
nilai kemuliaan hidup yang utama di dalam menempuh hari-hari yang
mendatang selaku hamba Allah swt di atas muka bumi ini, justeru, ianya
juga merupakan satu pakej lengkap bagi seseorang pendakwah dalam
menyampaikan dakwahnya kepada orang lain.
Ini kerana, ‘dakwah bil hal’ (dakwah dengan menunjukkan contoh yang baik) itu lebih memberi kesan positif kepada sasaran dakwah, berbanding ‘dakwah bil maqal’ (dakwah dengan perkataan).
Namun,
ikhlaslah dalam berakhlak mulia dan janganlah
seseorang itu berakhlak mulia kerana ingin dirinya dicontohi oleh orang
lain atau kerana ingin dakwahnya didengari oleh orang lain, tetapi
sebaliknya, berakhlaklah dengan akhlak Nabi saw kerana cintakan Allah
swt dan RasulNya saw dalam konteks ketaatan kepada keduanya.
Ada beberapa kunci yang perlu
kita perhatikan dalam melaksanakan dakwah melalui interaksi di tengah-tengah masyarakat.
KUNCI PERTAMA :
Hendaklah
kita dapat memposisikan setiap orang sesuai dengan kedudukannya dan
dengan bahasa yang digunakan oleh mereka, sebagaimana sabda Rasulullah
saw :
“Ajaklah manusia dengan bahasa kaumnya dan ajaklah manusia sesuai dengan kemampuan berfikir mereka.”
KUNCI KEDUA :
Hendaklah
kita mampu
meyakinkan masyarakat bahwa kita adalah orang yang tidak pernah ragu
untuk berkorban apabila diperlukan. Bekerjalah, agar masyarakat
merasakan bahwa keberadaan kita amat bermanfaat bagi mereka, sebagaimana
ungkapan Imam Hasan Al Banna :
“Kegemaran kami adalah berkorban untuk masyarakat. Dan kita telah ditakdirkan untuk memenuhi kepentingan masyarakat.”
KUNCI KETIGA :
KUNCI KETIGA :
Hendaklah kita sentiasa berlapang dada terhadap kejahilan mereka seperti berlapang dadanya orang tua terhadap kesalahan anaknya.
Sikap
lapang dada ini perlu kita tunjukkan dengan cara tidak mempersoalkan
perkara-perkara yang tidak menyenangkan pada diri mereka, mudah
memaafkan, serta gemar mendoakan.
“Tidakkah engkau ingin Allah mengampuni setiap kesalahanmu”. (QS An-Nur : 22)
KUNCI KEEMPAT :
Hendaklah
kita menunjukkan sikap atau perilaku santun dan lembut (Liin) kerana
kelembutan dan kehalusan adalah hiasan yang berlaku di manapun dan untuk
siapa sahaja.
Rasulullah saw bersabda :
“Tidak ada kelembutan pada sesuatu kecuali menjadi penghias, dan tidak dicabut dari sesuatu kecuali menjadikannya buruk“.
Keempat-empat kunci interaksi tersebut InsyaAllah akan menjadi “mafaatih “ atau
kunci-kunci pembuka hati kerana kita berkomunikasi dan berinteraksi
dengan lingkungan melalui pintu hati mereka sebagaimana dalam kaidah
dakwah dinyatakan :
“Rebutlah hati mereka dahulu sebelum mengharapkan dukungan mereka”.
Ya
Allah, hiaskanlah diri kami dengan ketinggian keperibadian sehingga
kami mampu menarik manusia di sekeliling untuk kembali ke jalanMu yang
lurus. Kurniakanlah kepada kami kunci-kunci pembuka supaya dengan itu
menjadi wasilah untuk Engkau membuka pintu hati nurani manusia dan
meneranginya dengan keyakinan yang teguh kepadaMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
No comments:
Post a Comment