7.4.13

ABIM Perlu pertahankan IDENTITI?

Salam Semua Netters,

Saya tidak mahu menimbulkan polemik terutama di musim transisi pru 13, namun begitu, saya berfikir apakan reasons, persoalan dan hikmah - apabila dua orang bekas orang kuat ABIM bersuara lantang dan secara rasional mempersoalkan hala tuju ABIM. Secara implicitnya bukan sahaja hala tuju ABIM tetapi hala tuju jemaah Islamiyyah secara amnya.....

ikuti pandangan tokoh ABIM yang sempat saya petik di akhbar-akhbar massa....

PANDANGAN PERTAMA,
KUALA LUMPUR 6 April - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) perlu mempertahankan institusi itu daripada dipergunakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pertubuhan ini merupakan satu badan dakwah yang telah menjadi sumber kekuatan kepada perjuangan Islam selama ini.

Bekas presidennya, Dr. Yusri Mohamad berkata, tindakan itu sejajar dengan usaha memperkasakan kepimpinan ABIM dengan kedudukannya sebagai badan dakwah dan tarbiah yang memperjuangkan Islam di negara ini.

''Islam menuntut umatnya supaya lebih berhati-hati untuk memilih pemimpin yang tidak melakukan syubahah dan tidak mendukung mana-mana parti politik dalam perjuangannya.

''Justeru, badan dakwah itu dituntut supaya setiap tindakan pemimpinnya tidak mencemarkan nama baik badan itu dengan kepartian, selain memastikan perjuangannya memenuhi tiga kriteria kepimpinan ulama iaitu beriman, bertaqwa dan berilmu," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pemilihan aktivis ABIM, Datuk Idris Jauzi sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Batu Pahat pada pilihan raya umum kali ini, seperti diumumkan Anwar baru-baru ini. 

Menurut Yusri, kecenderungan itu memberikan impak kepada hala tuju perjuangan ABIM sebagai sebuah badan dakwah yang sepatutnya tidak berpihak pada mana-mana parti politik, sebagaimana pendirian pertubuhan tersebut selama ini.

Dalam pada itu, Yusri berkata, sepatutnya ABIM tidak berkompromi dengan Anwar dalam perkara ini kerana tertubuhnya badan ini atas nama Islam dan Islam merupakan teras perjuangannya.

"Tindakan Anwar mengheret Idris dalam politik merupakan tamparan besar yang tidak boleh diterima oleh ahli-ahli ABIM.

"Ini juga menggambarkan ABIM sebuah badan dakwah yang sanggup bersekongkol dengan perjuangan Anwar walaupun kredibiliti, integriti moral dan pegangan agama pemimpin pembangkang itu terbukti telah tercalar," ujarnya.

PANDANGAN KE DUA,
 
KUALA LUMPUR 5 April - Tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba kesal dengan perjuangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kini dipergunakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya umum kali ini. 

Menurut beliau, kecenderungan itu memberi impak kepada hala tuju perjuangan ABIM sebagai sebuah badan dakwah dan tarbiah yang sepatutnya tidak berpihak pada mana-mana parti politik sebagaimana pendirian pertubuhan tersebut selama ini. 

Lebih mengejutkan, kata beliau, bekas pemimpin serta aktivis ABIM itu masih sanggup bersama-sama perjuangan Anwar walaupun kredibiliti serta integriti moral dan pegangan agama pemimpin pembangkang berkenaan terbukti telah tercalar selama ini.

Bagaimanapun, beliau percaya kecenderungan individu tertentu daripada ABIM untuk menyokong Ketua Pembangkang itu hanya didorong oleh perasaan 'taksub' mereka terhadap Anwar sehingga sanggup mengetepikan segala bukti yang dikemukakan tentang pemimpin tersebut.

"Kalau orang tidak setuju itu terpulang. Kita ada berbeza pandangan dan perkara itu diizinkan tetapi mesti didukung dengan etika.

"Saya berbeza dengan mereka sebab saya ada fakta, maklumat tetapi mereka berbeza kerana tidak mengkaji. Sebut saja Anwar, terus jadi taksub," katanya.


Beliau diminta mengulas pemilihan aktivis ABIM, Datuk Idris Jauzi sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Batu Pahat pada pilihan raya umum kali ini, seperti diumumkan Anwar kelmarin. 

Sementara itu, kata Sidek, beliau mengalu-alukan semua pihak termasuk aktivis ABIM, pemimpin mahasiswa dan pihak berkepentingan untuk mengadakan pertemuan dengan beliau dan melihat sendiri hasil kajian lengkapnya mengenai Anwar sehingga menyebabkan beliau menolak pemimpin itu.

''Seperti contoh dalam beberapa siri pertemuan dengan ahli ABIM di rumah saya iaitu seramai 70 orang, kesannya ada. Saya ambil pendekatan terbuka.

"Saya bawa tokoh yang tahu tentang siapa Anwar dan dia ceritakan. Saya kata jangan rekod atau letak dalam blog. Mereka akan bertanya selama dua tiga jam dan apabila dia puas hati, saya tidak pun membuat ketetapan, saya tidak suruh mereka ambil pendirian," katanya.

No comments: