Harus tahu bahawa Can-Am Spyder Roadster bukan motosikal tiga roda konvensional. Sebaliknya ia mengaplikasikan kerangka berbentuk Y. Maksudnya, dua roda di hadapan dan satu roda bersaiz lebar di belakang. Menggabungkan teknologi motosikal dan ATV, Can-Am Spyder mengaplikasikan rekabentuk A-arm berkembar dengan penyerap hentak tunggal pada roda belakang.
Kenderaan itu menggunakan kerangka Surrounding Spar Technology binaan BRP. Kerangka tersebut menyokong rekabentuk Y dan memastikan titik graviti Can-Am Spyder Roadster kekal rendah dengan memasang enjin di bahagian belakang roda hadapan.
Tidak seperti motosikal tiga roda lain misalnya Piaggio MP3, Can-Am Spyder Roadster tidak membenarkan anda membuat corner baring. Jadi, kalau laju macam mana sekali pun di selekoh, lutut tidak akan mencecah jalan raya.
Kestabilannya juga banyak bergantung kepada Sistem Kestabilan Kenderaan (Vehicle Stability System, VSS) yang sofistikated. Dibangunkan bersama Bosch, VSS turut merangkumi teknologi-teknologi seperti brek antikunci (ABS) serta sistem kawalan cengkaman dan kestabilan. Sementara stereng kuasa pula memastikan Can-Am Spyder Roadster dapat dikendalikan dengan mudah di atas jalan raya.
Semua ciri yang dinyatakan tadi adalah demi memastikan jentera itu terus melekat di atas jalan raya, walaupun ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Dengan segala sistem keselamatan itu, maka tidak hairanlah jika ia disifatkan sebagai antara motosikal paling selamat di dunia.
Tidak mengujakan? Enjin V-Twin bersesaran 998cc itu mungkin boleh mengubah persepsi anda. Enjin dengan sistem penyejukan cecair itu dibina oleh Rotax yang beribu pejabat di Austria, juga anak syarikat BRP.
Macam pernah dengar? Memang betul, enjin Rotax banyak digunakan pada go-kart, motosikal dan pesawat ringan. Rotax juga menghasilkan enjin untuk kegunaan jenama motosikal lain termasuklah BMW, BMW, Aprilia dan Buell.
Enjin yang dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan itu berupaya menghasilkan kuasa sehingga 106hp @ 8,600rpm dan tork maksimum 104Nm @ 6,250rpm. Jadi, tugas menggerakkan tubuhnya yang lebar itu di atas jalan raya bukanlah satu masalah besar. Anda juga boleh memilih sama ada kotak gear manual atau semi automatik. Kedua-duanya hadir sama dengan gear mengundur.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengklasifikasikan Can-Am Spyder Roadster sebagai superbike. Cukai jalannya berdasarkan motosikal bersesaran 1,000cc dengan insurans bermula pada takat RM2,900 sehingga RM4,500 mengikut varian.
Berkaitan pembayaran tol di lebuh raya, pihak USF-HICOM menyatakan setakat ini mereka yang menunggang Can-Am Spyder Roadster tidak dikenakan tol, walaupun perlu melalui laluan kereta atau lori yang paling kiri. Namun, isu pembayaran tol mungkin berbeza di antara pengendali lebuh raya memandangkan mereka mempunyai polisi berbeza.
Turunkan duti import
Pengenalan Can-Am Spyder Roadster yang dipasang tempatan (CKD) itu dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir di majlis sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Khamil Jamil dan wakil BRP Australia, Riley Tolmay.
Zahid yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Persatuan Motosikal Berkuasa Besar Malaysia (SAM) ada mencadangkan supaya BRP menghasilkan varian Can-Am Spyder dengan sesaran enjin lebih rendah. Rasionalnya, harga jentera itu pasti boleh dikurangkan, sekali gus membolehkan lebih ramai penunggang motosikal di Malaysia memilikinya.
Pada masa yang sama, Zahid turut menyatakan bahawa SAM ada menghantar surat kepada kerajaan agar menurunkan duti import dan duti jualan motosikal berkuasa besar, sekurang-kurangnya sehingga 20 atau 30 peratus bagi membolehkan harganya jadi lebih masuk akal.
Sebagaimana diketahui, cukai yang dikenakan ke atas ‘barangan mewah’ itu adalah sekitar 90 peratus. Sebenarnya, ini bukan soal baharu. Sudah lama pengguna Malaysia terpaksa membayar harga yang jauh lebih tinggi berbanding rakan-rakan mereka di Singapura terutamanya.
Saya pun tidak faham kenapa ia perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk diturunkan. Secara logiknya, jika harga motosikal berkuasa tinggi lebih murah, pasti ramai yang mampu memilikinya. Penunggang juga akan berasa lebih selamat ketika menunggang kerana motosikal berkuasa tinggi dilengkapi sistem keselamatan lebih canggih.
Apa pun, kita tunggu sahaja. Waktu hendak pilihan raya macam sekarang, macam-macam boleh berlaku. Tak begitu?
Ditanya mengenai sasaran jualan Can-Am Spyder Roadster, Pengerusi DRB-HICOM Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Mustaza optimis mampu mencatat jualan sebanyak 360 unit menjelang Mac tahun depan. Sehingga kini, pihaknya sudah menerima sebanyak 50 unit tempahan.
Jadi, kepada mereka yang selalu berangan untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi tetapi terhalang atas beberapa faktor seperti kurang ketinggian, tidak yakin untuk mengendalikan motosikal berat, Can-Am Spyder Roadster mungkin pilihan paling tepat untuk anda.
Kalau berminat, Can-Am Spyder Roadster ditawarkan pada harga di antara RM103,860 sehingga RM159,350 seunit, bergantung kepada varian.
No comments:
Post a Comment