16.2.12

Jom! Salaf dan Khalaf....Bersatulah atas dasar Ahli Sunnah Waljamaah!

Perpaduan Salaf Dan Khalaf (Salafi/Wahabi dan Asya’irah)




Kelebihan dan kebaikan-kebaikan yang terdapat pada golongan Salafi/Wahabi

Pada asasnya golongan Salafi/Wahabi adalah pengikut ahlul-hadits ( atau golongan Hanabilah, iaitu pengikut Imam Ahmad bin Hanbal). Oleh itu yang pastinya ianya tidak terkeluar dari kelompok Ahlus-sunnah wal jamaah.

Golongan Salafi/Wahabi banyak berjasa kepada Islam dalam membenteras kekarutan dan amalan yang sesat yang berleluasa dalam masyarakat Arab. Golongan ini juga berperanan dalam mendedahkan golongan sesat seperti Syiah.

Oleh itu tidak hairanlah jika Syiah, sebagai tindakbalas, selalu memburuk-burukkan Wahabi. Adalah amat malang jika kita pula terpedaya dengan daayah Syiah ini dan turut memburuk-burukkan saudara kita dari golongan Salafi/Wahabi ini.

Banyak kebaikan yang ada pada golongan Salafi/Wahabi dan dalam banyak perkara mereka lebih tepat daripada kita. Sebagai contohnya masyarakat kita masih lagi melakukan amalan membazir dan bid’ah yang ditentang oleh Salafi/Wahabi seperti menabur bunga atas kubur atau mengadakan sambutan Maulidur Rasul. Contoh lain, raja-raja dari negara yang dikatakan berfahaman Wahabi dimakamkan seperti rakyat biasa menyebabkan ramai orang bukan Islam begitu tertarik dengan Islam dan seterusnya memeluk Islam.

Kita sepatutnya berfikiran terbuka dan menerima apa saja amalan yang menepati syariat yang diamalkan oleh golongan Salafi/Wahabi ini. Kita patut mencontohi golongan Salafi/Wahabi dengan keazaman jitu mereka dalam membenteras amalan bid’ah dan syirik.

Perbezaan di antara golongan Salafi/Wahabi dengan golongan Asya’irah adalah di segi furu’ aqidah

Sebenarnya, perbezaan kita dengan golongan Wahabi adalah dari segi furu` aqidah dan bukannya usul aqidah. Perbezaan dengan golongan Salafi/Wahabi tidak sama dengan perbezaan kita dengan golongan Syiah di mana golongan Syiah adalah nyata sesat dan terkeluar dari Islam. Golongan Wahabi adalah dalam kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak sesat.

Perkara-perkara yang patut diperbetulkan oleh golongan Salafi/Wahabi

Walau bagaimanapun begitu, tidak dinafikan bahawa ada kelompok –kelompok dalam golongan Salafi/Wahabi yang agak keterlaluan dengan menghukum golongan Asya’irah adalah sesat. Kesilapan ini adalah kesilapan sebagai manusia biasa maka hendaklah kita sama-sama betulkan. Kita tidak boleh mengatakan mereka sesat apatah lagi mengkafirkan mereka.

Besar implikasinya jika kita mengatakan mereka sesat atau kafir, di antaranya kita tidak boleh berimamkan mereka ketika bersembahyang di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi.

Sepatutnya kita tidak membesar-besarkan dan fokuskan perhatian kita kepada kesilapan-kesilapan ini. Kita sepatutnya akur bahawa kita sendiri pun tidak terlepas dari kesilapan-kesilapan seumpama itu.

Antara kesilapan golongan Salafi/Wahabi

1) Golongan Salafi/Wahabi umumnya menganggap golongan Asya`irah sesat dan langsung tidak menerima kelompok ‘ahlun nazor’ sedangkan pada hakikatnya ‘ahlun nazor ‘ juga diterima kerana mereka juga menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai ikutan.

2) Golongan Salafi/Wahabi percaya bahawa Imam Abul Hasan al-`Asy`ari hanya bertaubat dan mempunyai akidah sebagaimana ahli sunnah wal-jamaah di saat akhir hayatnya. Sebenarnya anggapan ini tidak benar kerana adalah tidak munasabah tidak ada seorangpun anak-anak murid Abul Hasan al-`Ays`ari yang ramai itu yang tahu atau sedar tentang kesalahan aqidahnya dan menurutnya dengan membuta tuli sehinggalah saat-saat akhir hayatnya.

Adakah kita yang hidup seribu tahun kemudian di zaman ini, lebih tahu daripada anak-anak muridnya sendiri?

3) Golongan Salfi/Wahabi tersilap dalam menghukum sifat 20 itu salah dan bid`ah. Hakikatnya, dalam al-Quran juga ada menyebutkan sifat-sifat yang tersebut. Golongan Wahabi juga mendakwa golongan `Asya`irah menghadkan sifat Allah hanya kepada 20 sifat sahaja sedangkan golongan `Asyairah tidak pernah menghadkan sifat Allah setakat 20 sahaja, sebaliknya golongan `Asya`irah mengatakan selain dari 20 sifat tersebut Allah juga bersifat dengan segala sifat kamaalaat.

Antara kesilapan golongan `Asya`irah:

1) Kesilapan golongan Asya`irah pula ialah mereka keterlaluan dalam mempertahankan fahaman mereka sehingga tidak mahu langsung menerima kritikan. Imam al-Ghazali berpendapat tidak salah mengkritik `Asya`irah sekiranya terdapat kesalahan.

2) Begitu juga dalam masalah sifat 20 yang mana sesetengah golongan `Asya`irah menganggap tidak masuk syurga mereka yang tidak mengetahuinya.

Alangkah baiknya jika kita dapat meneliti suatu hadits di mana Nabi s.a.w. bertanya kepada seorang hamba perempuan yang akan dibebaskan dengan pertanyaan “di mana Allah?” lalu hamba itu menjawab: “Allah di langit.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Siapa aku?” maka jawabnya; “Engkau Rasulullah.” Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dia beriman.”

Pengikut Hanabilah, Wahabi dan Ahlul Hadits menerima hadits tersebut tanpa takwilan dan menyerahkan kepada Allah apakah maksud sebenar ‘Allah di langit’ itu.

Jelas dari kisah ini bahawa Rasulullah s.a.w. mengi`tiraf iman hamba tersebut tanpa bertanya adakah dia tahu sifat 20.

Sebenarnya, sifat 20 itu bukanlah berasal dari Imam Abu Hasan Assya’ari kerana beliau hanya memperkenalkan sifat 13 yang kemudian ditambah/digabungkan dengan Maturidiyyah menjadikan dua puluh kesemuanya.

Umat Islam hendaklah bersifat terbuka.

Kedua-dua golongan `Asya`irah dan juga Salafi/Wahabi sepatutnya bersifat terbuka dan berlapang dada dalam menerima kritikan dan pandangan pihak lain. Perbahasan ilmiah dalam suasana saling menghormati adalah sesuatu yang sihat dan digalakkan dalam Islam. Janganlah kita sesat menyesatkan antara satu sama lain.

Sumbangan besar Salafi/Wahabi dan `Asya`irah kepada ummat Islam.

Hakikatnya, kedua-dua golongan Salafi / Wahabi dan Asya’irah ini telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada ummat Islam.

Sekiranya kita menafikan `Asya`irah maka kita menafikan ramai ulama dan tokoh-tokoh dari kelompok ` Asya’irah yang telah berjasa besar kepada Islam seperti Imam an-Nawawi, Hafiz Ibnu Hajar, Badruddin `Aini, Ibnu Battol dan lain-lain lagi. Alangkah sayangnya jika pendapat mereka ini tidak boleh dipakai oleh umat Islam. Walaupun begitu, hakikatnya umat Islam di seluruh dunia menerima dan mendapat manafaat dari pendapat-pendapat mereka tidak kira dari golongan Salafi/Wahabi atau Asya’irah.

Begitu juga sebaliknya, terdapat ramai tokoh-tokoh dari golongan Salafi/Wahabi yang telah memberi sumbangan yang besar kepada ummat seperti Sheikh Abd Wahhab sendiri. Kita akan kerugian besar jika menolak sumbangan dari tokoh-tokoh tersebut.

Panduan ulama’ dalam akidah:

Akhirnya, sebagai panduan, ulama’ telah menetapkan kaedah bahawa : Jika terdapat pendapat yang menyebabkan sejumlah besar ummat Islam terutama ulama’-ulama`nya dianggap sesat, maka pendapat itu tidak benar.

Berdasarkan kaedah ini, boleh disimpulkan bahawa pendapat yang mengatakan samada golongan Wahabi/Salafi atau `Asya`irah sesat adalah pendapat yang salah.


click for video

No comments: