13.2.12

20 TIPS Perkasakan Perniagaan Anda Menerusi Facebook...TQ Putera.

Semakin hari semakin ramai pengguna Facebook membuat fan page masing-masing terutamanya mereka yang terlibat dengan dunia perniagaan. Jika awal-awal dulu hanya golongan artis dan selebriti yang menggunakan facebook untuk mengumpulkan para peminat mereka, tapi Facebook tahu, konsep fan page itu boleh dikembangkan kepada bidang yang lebih luas termasuk perniagaan.


Bagi artis, mereka menggunakan Facebook untuk berkumpul dan bersosial sesama peminat. Mereka menggunakan sebaiknya peluang yang ada dalam Facebook untuk akses kepada para peminat yang ramai dan mungkin mencecah jutaan itu (Lisa Surihani mungkin artis yang paling ramai peminat facebook dengan hampir 2 juta orang, berbanding Dato' Siti Nurhaliza yang hanya sekitar 600,000).

Tetapi sebaliknya untuk perniagaan, kita bermula dengan seorang sahaja peminat, iaitu diri kita sendiri. Jadi
bagaimana nak memanfaatkan Facebook page ini jika tidak ada peminat?

Berikut adalah antara 20 tips yang boleh anda cuba untuk meramaikan lagi peminat page anda.

1. Lengkapkan profail

Isi dan lengkapkan profail page anda sepenuh-penuhnya dan jangan bazirkan walau sedikit. Tuliskan penerangan mengenai perniagaan anda dengan jelas, tidak perlu terlalu panjang tetapi jangan ringkas sangat, serta jangan lupa muatkan dengan kata kunci yang berkaitan dengan perniagaan anda. Profail yang lengkap bukan sahaja akan menunjukkan bahawa anda serius dan profesional tetapi juga meningkatkan peluang untuk diindekskan secara lebih baik di dalam enjin carian Facebook dan juga Google.

2. Luangkan masa

Untuk menjaga Facebook page, anda bukanlah perlu untuk bersengkang mata atau berada 24 jam sehari di depan komputer, tetapi sekurang-kurangnya sekali sehari untuk membuat posting baru serta menjawab sebarang persoalan yang ditimbulkan oleh peminat anda. Jika ada orang posting sesuatu, jawab dan layanlah dengan baik dan jangan biarkan begitu sahaja.

Anggaplah seperti orang itu datang dan bertanya sesuatu di dalam kedai anda, sanggupkah anda membiarkan dia kebingungan seorang diri? Atau akhirnya pergi membawa diri dengan hati yang hancur akibat kecewa tidak dilayan? Anda juga boleh membuat posting ringkas melalui handphone atau memuat naik foto tertentu melaluinya. Beberapa minit di sebelah pagi, beberapa minit di sebelah petang dan juga malam, mungkin memberikan tanggapan kepada peminat bahawa anda memang selalu online!

3. Lantik Admin

Jika page anda semakin sibuk atau anda sendiri sudah tidak cukup masa nak layan, lantiklah admin dari kalangan kakitangan atau rakan niaga yang boleh dipercayai supaya mereka boleh sama-sama menguruskan page tersebut.

4. Tawan hati peminat

Gunakan ayat atau grafik "call to action" yang power untuk mendorong para pengguna untuk klik pada butang "Like" page anda.

5. Dapatkan URL khas

Apabila peminat anda sudah melebihi 30 orang, anda akan diberi kemudahan untuk memilih URL khas bagi page anda iaitu contohnya http://www.facebook.com/puteradotcom. Ini akan memberikan kelebihan dari segi penjenamaan dan imej yang lebih baik. URL ini adalah percuma, unik dan berdasarkan siapa cepat dia dapat, serta tidak boleh ditukar lagi selepas anda menetapkannya.

6. Gunakan URL khas

Apabila anda sudah ada URL khas anda sendiri untuk Facebook page, gunakanlah ia sebagai sebahagian daripada pengenalan diri anda. Masukkan URL tersebut bersama-sama dengan nombor telefon, emel dan laman web anda dalam mana-mana bahan promosi bercetak seperti flyers, banner, iklan dalam surat khabar, iklan online dan lain-lain.

7. Guna Facebook Ads

Ya, anda boleh percepatkan proses mencari peminat dengan mengiklankan page anda menggunakan kemudahan yang ada dalam Facebook sendiri, tetapi anda perlukan bajet yang cukup dan bersedia untuk guna kad kredit.

8. Kembangkan rangkaian

Facebook boleh bantu anda tolong jemput rakan-rakan anda jika anda mempunyai emel mereka walaupun mereka belum menjadi rakan Facebook anda. Sehingga 5,000 rakan boleh dijemput dalam satu-satu masa. Gunakan ciri-ciri Find Friends dan Import Contacts dalam page anda.

9. Kongsi cerita menarik

Cari dan kaji apa yang menarik minat pembaca untuk tahu tentang hal-hal yang ada kaitan dengan perniagaan anda. Ramai orang sudah muak dengan kaedah promosi biasa, atau mungkin mereka sudah jadi lali dan tidak memberikan perhatian yang sewajarnya. Mungkin lebih baik anda berkongsi tips-tips kesihatan sekiranya anda menjual produk makanan atau minuman.

Jangan masukkan ayat-ayat promosi dalam perkongsian seperti ini, sebaliknya hanya info berguna. Para peminat tentu lebih menghargainya.

10. Kongsi fakta berkaitan

Selain cerita, kongsi juga fakta-fakta yang menarik dan berkaitan dengan perniagaan anda. Contohnya jika anda di dalam perniagaan hartanah, anda boleh kongsi maklumat seperti Kadar Asas Penjiman yang dikeluarkan oleh Bank Negara, atau mungkin polisi-polisi baru yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Laporan-laporan ekonomi, polisi kerajaan dan kajian penyelidikan adalah sumber bagi fakta-fakta menarik yang boleh dikongsi.

11. Tawaran bermusim

Sekali-sekala atau pada waktu musim tertentu, buatlah tawaran khas contohnya potongan harga 50% sempena Maulidur Rasul, promosi balik kampung, sempena raya, sempena cuti apa-apa atau mungkin sempena kelahiran anak anda sendiri!

Fikirkan secara kreatif! Ada orang mengeluh jualan pakaian agak jatuh selepas musim raya, kenapa tidak buat promosi "jualan lepas raya"? Terowong SMART di tengah-tengah Kuala Lumpur mengenakan tol RM2 pada hari-hari biasa, tetapi pada musim balik kampung waktu raya, ia tetap membuat promosi diskaun 10% walaupun kita tahu kebanyakan kenderaan sudah keluar dari Kuala Lumpur dan jalan-jalan di ibu kota pun jadi lengang? Ia sebenarnya untuk menarik perhatian para pengguna yang tidak masuk ke terowong itu untuk mencubanya pada harga diskaun.

12. Akaun Twitter

Pautkan akaun Twitter anda kepada Facebook supaya status dapat dikemaksini serentak di kedua-dua tempat serta membawa pelanggan berpotensi dari laman Twitter ke Facebook.

13. Guna media sosial yang lain

Selain Twitter, anda juga boleh guna media sosial lain untuk menghebahkan tentang aktiviti-aktiviti di page, antaranya ialah dengan menggunakan Linkedin, MySpace, Google+, Tagged, Orkut, Ning dan lain-lain. Ya, memang banyak lagi yang lain, Facebook bukan segala-segalanya tetapi segala-galanya adalah Facebook.

14. Laman Web

Jika anda ada blog atau laman web lain, letakkan Like Box page anda ke dalam laman tersebut supaya para pengunjung yang datang ke laman web anda tahu kewujudan page berkenaan dan klik Like.

15. Guna Facebook Insights

Insights adalah satu alat yang sangat berguna disediakan oleh Facebook untuk memantau perkembangan page. Insight akan memberikan data statistik harian mengenai berapa ramai pengguna yang Like page anda, jumlah orang yang berbincang mengenai page serta jumlah orang yang share posting yang anda buat. Ini akan memberikan anda idea yang jelas tentang bentuk dan minat orang ramai terhadap page berkenaan.

16. Jangan Spam

Jangan sesekali anda spam page Facebook anda sendiri, nanti orang cepat meluat. Bila anda membuat posting dalam page, jangan asyik hendak mengiklankan sesuatu, sebaliknya beri lebih tumpuan kepada perkongsian sesuatu yang berguna seperti tips, ilmu baru, cerita atau aktiviti perniagaan. Dalam 6 atau 7 posting seperti itu, barulah selitkan satu posting untuk mengajak orang membeli sesuatu produk. Itupun kena guna bahasa yang halus dan tidak terlalu memaksa. Pilih perkataan yang sesuai.

17. Guna Tab tambahan

Anda boleh tambah Tab di dalam Facebook page untuk menyusun atau menstrukturkan kandungannya. Ia juga akan memudahkan pengguna mengakses maklumat atau kandungan yang telah anda kategorikan dengan lebih berkesan dan mudah. Jika anda hanya menggunakan Wall, posting anda yang lama-lama mungkin akan jauh ke bawah dan terbiar rugi sahaja. Mungkin sesetengah boleh anda post atau simpan di dalam Tab yang berlainan.


18. Sorokkan Wall page

Seringkali orang akan datang ke page anda untuk lihat apa perniagaan anda. Anda sebenarnya boleh sorokkan dahulu page daripada mereka yang belum Like. Bila klik Like barulah isi kandungan yang sebenar dipaparkan, dengan cara itu pengguna akan secara paksa-rela mengklik butang Like. Semasa di landing page, nyatakan apa kebaikan atau kelebihan yang pengguna akan dapat sekiranya mereka Likepage anda, contohnya "Ketahui 10 tips awet muda, klik Like sekarang!"

19. Masukkan video

Anda boleh gunakan video untuk menarik lebih ramai peminat mengklik Like. Hasilkan sebuah video, muat naik ke YouTube dan letak di landing page atau mana-mana page yang perlu. Banyak kelebihan sekiranya anda menggunakan video.

20. Guna Facebook Apps

Terdapat 1001 macam perkara lagi yang anda boleh buat dengan Facebook page anda dan semuanya bergantung kepada kreativiti dan keperluan anda. Terdapat pelbagai aplikasi yang dibangunkan oleh pihak ketiga (pembangun perisian bebas, bukan Facebook) untuk memberi kemudahan kepada pemilik page untuk mengembangkan lagi kepenggunaannya. Anda boleh masukkan sign-up form, shopping cart, dan banyak lagi. Ada yang berbayar dan ada yang percuma.

Selamat maju jaya dengan page Facebook anda!

No comments: