23.3.11

Penyakit Gila atau Skizofrenia boleh dirawat

Salah satu jawapan Arwah Dato' Dr Noorlaily terhadap masalah otak yang tercedera.....


Selasa, Disember 15, 2009

Penyakit Gila atau Skizofrenia boleh dirawat

Gambar hiasan

Kisah “Derita budak halusinasi” ini saya petik dari sumber HMetro 2009/12/11.

IMAGINASI kanak-kanak memang tiada had sempadan. Ada yang gemar tampil dengan pakaian super hero kegemaran atau berangan menjadi puteri. Namun, tidak semua imaginasi itu bagus untuk proses pembesaran kanak-kanak kerana ada ketikanya halusinasi itu mampu mendorong kepada kelakuan yang menakutkan. Bagi, pasangan Michael dan Susan Schofield, mereka tahu bagaimana penyakit mental mampu merosakkan kehidupan indah seorang kanak-kanak. Anak mereka, January ‘ Jani’, 7, disahkan mengidap penyakit schizophrenia yang amat jarang ditemui pada kanak-kanak.

Berdasarkan Institut Kesihatan Mental Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), schizophrenia adalah satu penyakit kerosakan otak yang menyebabkan penghidapnya mendengar suara ghaib dan menyalah anggap kehidupan realiti. Dalam sesetengah kes, pesakit turut menganggap masyarakat sekeliling merancang untuk memusnahkan mereka dan akhirnya berlaku kemurungan dan kelakuan yang luar biasa.

Michael yang juga seorang profesor bahasa Inggeris di sebuah kolej berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Jani ‘bertemu’ lebih 200 jenis kucing, anjing, burung dan kanak-kanak kecil yang anaknya saja boleh melihatnya. Sejak hari pertama Jani dilahirkan, Michael berkata dia dan Susan mengesan sesuatu luar biasa pada anak sulungnya. Deria Jani lebih bijak berbanding bayi seusia dengannya dan anaknya itu mempunyai tabiat tidur yang berlainan.

“Kebanyakan bayi tidur kira-kira 16 jam sehari tetapi Jani hanya tidur sekitar 20 minit setiap kali ditidurkan. Ia menyebabkan Jani hanya tidur empat jam saja sehari,” katanya. Selain itu, apabila usianya mencecah dua tahun, Jani menggelarkan dirinya dengan pelbagai nama termasuk Blue-Eyed Tree Frog serta Jani Firefly. Imaginasi Jani juga semakin kuat daripada tahun ke tahun dan ketika umurnya mencecah lima tahun, kelakuannya semakin berbahaya serta sukar dikawal.

“Jani akan mencakar badannya sehingga keluar darah. Dia cuba mencakar muka saya dan mengeluarkan mata. Tetapi beberapa saat kemudian, Jani kembali normal dan berkelakuan seperti tiada apa yang berlaku. Kelakuan Jani memang menakutkan tetapi saya dan isteri perlu sentiasa berwaspada memandangkan Jani kini mempunyai adik lelaki, Bodhi,” katanya.

Jani pernah memberitahu kepada mereka mengenai haiwan imaginasinya bernama Wednesday dan 400 yang menyuruh dirinya untuk memukul sesuatu. Seandainya Jani enggan, haiwan itu dikatakan akan mencakar serta menggigitnya. Susan berkata, dia dan suaminya pernah menemui Jani yang cuba terjun daripada tingkap biliknya kerana marah dihukum berada dalam biliknya. Namun, Jani seorang kanak-kanak yang pintar dan amat meminati Sains serta Matematik.

“Jani pernah diuji dan markah tahap kecerdasannya ialah 146. Ia ternyata amat mengejutkan kami,” katanya. Antara Januari hingga Ogos tahun ini, Jani dimasukkan ke wad psikiatrik Pusat Perubatan UCLA sebanyak tiga kali selama 174 hari. Pakar, Dr Mark DeAntonio berkata, kes seperti itu amat jarang dijumpai pada kanak-kanak seusia dengan Jani.


“Keadaan yang dialami Jani amat menakutkan dan mengganggu proses pembesarannya. Penyakit itu mungkin satu dijumpai dalam tempoh 20 tahun,” katanya. Penyakit itu memang sukar untuk diubati tetapi doktor masih berusaha mengawal kelakuan luar biasanya dengan memberi ubat kuat.

“Jani mengambil 200 miligram (mg) Clozaril dan 600 mg litium setiap hari. Ubat itu amat kuat untuk mengawal otaknya kerana Clozaril adalah penyelesaian terakhir bagi pengidap Schizohrenia dewasa,” kata doktor. Biarpun mengambil ubat, kelakuan Jani tetap sukar dikawal. Justeru, mereka terpaksa memisahkan Jani dari adiknya.

“Kami sukar melelapkan mata tanpa memikirkan keselamatan Bodhi kerana Jani boleh menyerangnya pada bila-bila masa,” katanya. Bagi memberi peluang kepada anaknya itu untuk menikmati kehidupan yang normal, mereka menghantar Jani ke sekolah awam yang menyediakan guru khas.

“Jani tidak berkawan dengan kanak-kanak lain seperti yang kami harapkan kerana dia hanya bermain dengan haiwan imaginasinya iaitu seekor cicak bernama Spikes. Sebagai ibu bapa, kami tidak akan berputus asa mengubati penyakit Jani,” katanya. Masalah Jani menyebabkan hubungan Michael dan Susan retak.

“Pernah saya memikirkan untuk menamatkan semua ini dengan cepat kerana sudah tidak tahan. Saya pernah cuba membunuh diri dengan mengambil ubat penenang,” katanya.

Sementara itu, kisah keluarga ini turut menarik perhatian selebriti terkenal, Oprah Winfrey yang sanggup terbang daripada California untuk menghabiskan masa sepetang bersama keluarga berkenaan. Selepas sejam, Oprah mengakui dia tidak mempunyai kesabaran dan ketabahan seperti yang dimiliki pasangan itu.

“Saya tertanya-tanya bagaimana pasangan ini dapat melaluinya sejak bertahun-tahun sedangkan untuk sejam pun saya tidak tahan menjaganya. Itulah istimewanya hubungan ibu bapa dan anak. Apa yang menggembirakan saya ialah pasangan Michael dan Susan berjanji untuk menjaga Jani sebaik mungkin,” kata Oprah dalam rancangan bual bicaranya, baru-baru ini.

*** TAMAT PETIKAN ***



Penyakit Gila atau Skizofrenia boleh dirawat

Menurut Dato’ Dr Noor Laily (NURY), penyakit ini sebenarnya disebabkan oleh kecederaan otak yang terjadi kepada seseorang selepas umur empat hingga lima tahun, di waktu umur remaja atau yang telah melalui beberapa kali kecederaan di kepala seperti jatuh dari pokok, jatuh motosikal dan sebagainya. Tanda-tandanya seperti anak kecil yang mengalami masalah yang dikenali ramai sebagai autisma.

Orang yang dikatakan gila ini biasanya tidak boleh diduga perangainya. Ada kalanya hiperaktif, melompat ke sini, ke sana menjerit, memukul, merosakkan diri atau barang-barang atau binatang. Ada kalanya pula dia berdiam diri dan masuk ke alamnya sendiri dan tidak mahu bercakap dan kadang-kadang menangis atau ketawa tanpa berhenti. Mereka juga bercakap seorang diri atau berlaku seolah-olah ada orang melayani mereka. Atas sebab itulah dia di anggap orang gila. Dalam bahasa saintifiknya, keadaan ini diberi nama ‘skizofrenia’. Selain kecederaan otak yang mungkin telah wujud dari lahir lagi tetapi tidak teruk, penyakit ini boleh terserlah bila seseorang itu mengalami tekanan atau stres yang amat teruk.

Menurut Dato’ Dr Noor Laily, beliau pernah merawat beberapa orang pesakit ‘skizofrenia’ ini. Ada seorang pesakit yang bermula dengan hanya tidak boleh tidur dan keadaan ini melarat sehingga tidak mahu makan atau sering berdiam diri. Ada satu lagi kes pula, pesakit tidak mahu ibu atau bapanya datang mendekati dan akan menyebut ‘busuk’, ‘pergi’ dan meludah muka mereka. Hanya orang-orang yang tertentu sahaja yang boleh mendekatinya. Seorang lain pula, bermula dengan menjert-jerit, selepas itu dia akan lari dari rumah dan pergi merayau-rayau tanpa makan atau minum berhari-hari sehingga dijumpai oleh ibu atau bapanya.

Punca penyakit ‘skizofrenia’

Selain daripada kecederaan otak seperti yang dinyatakan di atas, faktor baka atau keturunan juga boleh memainkan peranan. Walau bagaimanapun, tidak dalam semua kes yang dirawat Dato’ Dr Noor Laily berpunca daripada faktor baka atau keturunan. Biasanya kes-kes seperti ini akan dihantar ke pusat-pusat seperti di Tanjung Rambutan dan mereka akan bercampur dengan orang-orang yang bermasalah sama dengan mereka. Mereka ini biasanya dirawat dengan dadah atau kadang-kala juga dengan berbagai hukuman atau deraan yang akan memburukkan lagi keadaan. Oleh itu ada yang tinggal di hospital gila ini hingga akhir hayat mereka.

Menurut Dato’ Dr Noor Laily, sebenarnya orang seperti ini boleh dirawat. Beliau biasanya merawat ibu bapa atau isteri atau suami atau ahli-ahli keluarga berkenaan dengan meminta mereka menyertai kursus NURY selama dua hari dan setelah itu beliau akan memeriksa mereka yang berkenaan dan memberi lima program yang amat penting untuk memulihkan otak yang telah cedera. Program ini mesti mendapat sokongan penuh semua ahli keluarga dan dilaksanakan secara konsisten dengan beberapa cara iaitu :

  1. Bekalan oksigen yang cukup kepada otak mengaktifkan semula sistem pernafasan melalui beberapa latihan tertentu. Latihan ini juga akan memulihkan otak yang telah cedera.
  2. Menentukan makanan dan minuman yang tidak menambahkan lagi keadaan tekanan ini. Ini bermakna mereka mesti mengikut menu yang dicadangkan oleh NURY dan meninggalkan makanan dan minuman yang diistilahkan sebagai makanan dan minuman dera diri, iaitu makanan yang mengandungi terlalu banyak bahan-bahan yang dibuat dari tepung gandum, gula pasir, susu lembu (boleh makan dalam bentuk dadih atau yogurt) dan yang mengandungi perasa, penahan dan pewarna, dan makanan yang digoreng.
  3. Kekurangan vitamin dan galian akan ditambah dengan menasihatkan ibu bapa atau yang berkenaan memberi vitamin dan galian tambahan secara kosisten.
  4. Keadaan sosio-emosi dalam persekitaran yang memberi pesakit itu rasa tenteram, selamat dan disayangi termasuk cara bertutur, senyuman nada dan suara dan sering mengusap dan memeluknya.
  5. Keadaan kesihatannya mestilah dijaga dan sekiranya anak atau orang itu telah diberi pelbagai jenis dadah, Dato’ Dr Noor Laily mencadangkan ia dikurangkan satu persatu mengikut jadual yang dipersetujui oleh kedua-dua ibu bapa atau orang yang berkenaan.

Keadaan kesihatan pesakit perlu dipantau melalui pemeriksaan fizikalnya dan juga melalui pemeriksaan darah dan air kencing antara lainnya. Kedua-dua ibu bapa atau orang yang berkenaan mestilah juga dirawat serentak supaya mereka faham dan boleh memberi kerjasama dan yakin dengan apa yang mesti mereka lakukan dan dinasihatkan banyak berdoa dan menyempurnakan solat.

Menurut Dato’ Dr Noor Laily, alhamdulillah dengan izin Allah, ramai pesakit seperti ini juga anak-anak yang diberi nama Autistik dapat dibawa balik ke alam normal dan terus berjuang dalam hidup mereka. Malah mereka menjadi orang-orang yang berdisiplin dan pandai pula menguruskan keluarganya sendiri dan ada yang telah sampai belajar ke pringkat universiti.

No comments: