Sistem bayaran kelam-kabut
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia sekali lagi membuktikan mereka tidak pernah serik membayar saman trafik pada saat-saat akhir.
Hari terakhir diskaun saman trafik ditawarkan sejak Ogos tahun lalu yang berakhir semalam menjadi bukti sikap negatif masyarakat negara ini.
Gara-gara ribuan orang menyerbu pejabat pos dan balai polis semalam, keadaan kaunter-kaunter bayaran saman dikatakan kelam-kabut.
Tinjauan Kosmo! di ibu kota mendapati sejak pukul 8 pagi, pejabat-pejabat pos diserbu oleh pesalah trafik yang mahu melunaskan saman mereka. Akibatnya sistem komputer rosak dan tidak berfungsi.
Berikutan itu, ribuan pesalah trafik menyerbu balai polis berdekatan sehingga menyebabkan keadaan menjadi amat sesak dengan orang ramai.
Tinjauan di beberapa lokasi seperti di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan Pejabat Pos Dayabumi di sini mendapati orang ramai yang sabar menunggu sejak pukul 8 pagi terpaksa ‘berputih mata’ untuk membayar saman masing-masing.
============================
Kaunter bayar saman trafik sesak di seluruh negara
|
|
KUALA LUMPUR 28 Feb. - Sikap menunggu sehingga saat-saat akhir pengguna jalan raya bagi melunaskan bayaran saman sememangnya telah dijangkakan meskipun ramai yang sedia maklum akan berlaku kesesakan di setiap kaunter bayaran.
Pengguna kenderaan yang mempunyai saman sanggup menunggu di kaunter trafik dan pejabat-pejabat pos seawal pukul 7 pagi sedangkan mereka boleh melakukan perkara sama tanpa perlu beratur panjang sebelum ini.
Sikap ini menyebabkan mereka bukan sahaja terpaksa beratur panjang, malah perlu menunggu berjam-jam lamanya untuk membayar saman, ditambah lagi sistem perkhidmatan atas talian di kaunter-kaunter bayaran itu tergendala.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa cawangan trafik termasuk di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) serta kaunter Pos Malaysia mendapati suasana sama sahaja iaitu kesemuanya menanti nombor giliran mereka dipanggil.
Salah seorang pembayar saman, Azman Anuar, 40, memberitahu, dia hadir pada saat akhir membayar saman memandangkan gaji bulanan baru diterimanya hari ini.
"Hari ini kebetulan adalah hari gaji dan pada bulan ini sahaja, sumber pendapatan saya boleh digunakan untuk melangsaikan saman ini," katanya.
Bagi Najib Zulkifly, 39, pula, dia telah ke lima cawangan trafik sekitar ibu negara termasuk pejabat pos hari ini, namun kesemuanya dipenuhi oleh pengguna kenderaan yang mahu membayar saman.
"Nasib baik nombor giliran di kaunter Bukit Aman masih belum habis, kalau tidak, saya terpaksa membayar saman dengan kadar baru nanti," ujarnya.
Tinjauan di Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee pula mendapati, mesin tiket nombor giliran terpaksa diberhentikan kira-kira pukul 11.30 pagi sekali gus membuatkan orang ramai tidak berpuas hati.
Salah seorang pembayar saman, R. Shree, 65, berkata, dia kesal dengan keadaan itu dan berharap pihak bertanggungjawab lebih bersedia dalam menghadapi situasi kelam-kabut yang sememangnya dijangka akan berlaku.
"Keadaan sesak seperti ini memang sudah dijangkakan namun pihak polis sepatutnya sudah bersedia lebih awal," katanya.
Wan Shari Ariffin, 45, pula berkata, polis sepatutnya menyediakan kemudahan yang khusus dan selesa kepada pembayar saman sementara menunggu nombor giliran mereka.
"Suasana sesak ini memang telah dijangka dan saya ingatkan polis menyediakan kaunter yang lebih banyak tetapi tidak," jelasnya.
Di Pejabat Pos Wangsa Maju turut kecoh apabila nombor giliran tidak berganjak sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai.
Malah ada di antara mereka merayu agar kerajaan melanjutkan kembali tempoh pembayaran kerana masalah sistem yang didakwa tergendala.
+++++++++++++++++++++
Hari terakhir bayar saman kelam-kabut
KUALA LUMPUR 28 Feb. – Hari terakhir bayaran saman trafik di seluruh negara hari ini bertukar kelam-kabut apabila sistem dalam talian yang digunakan untuk urusan itu tergendala, ekoran penggunaan yang melebihi kapasiti.
Situasi itu menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu serta beratur panjang berjam-jam lamanya untuk menyelesaikan urusan pembayaran tersebut sama ada di kaunter trafik di balai dan ibu pejabat polis daerah mahupun di pejabat-pejabat pos di seluruh negara.
Bagaimanapun, Ketua Trafik Pasukan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof (gambar) ketika dihubungi memaklumkan, sistem bayaran itu tidak lumpuh mahupun mengalami kerosakan, cuma ia menjadi perlahan berikutan penggunaannya yang terlalu tinggi hari ini.
“Berikutan masalah yang dihadapi itu, pihak polis membuat keputusan melanjutkan waktu pembayaran saman yang sepatutnya berakhir pukul 5 petang hari ini kepada pukul 12 tengah malam ini.
“Orang ramai boleh membayar saman di semua kaunter trafik di ibu pejabat polis daerah. Kita tetap menerima bayaran walaupun nombor giliran telah habis sejak petang ini,” katanya di sini hari ini.
Namun begitu, Utusan Malaysia difahamkan, sistem yang tergendala itu menyebabkan pihak polis terpaksa mengutip bayaran saman secara manual iaitu menerima bayaran terlebih dahulu hari ini dan proses dilakukan kemudian.
Kesemua saman yang dijelaskan hari ini dianggap telah dibayar dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz turut memberitahu, pihaknya telah mengutip sejumlah 875,836 saman di seluruh negara dalam tempoh enam hari dari Isnin lalu sehingga kelmarin.
“Jumlah saman itu adalah kutipan sepanjang enam hari sehingga Sabtu lalu. Ia tidak termasuk jumlah kutipan dua hari terakhir ini.
“Kutipan saman dijangka meningkat kerana ia belum termasuk kutipan semalam (Ahad) dan sehingga pukul 12 tengah malam ini,” ujarnya.
Tempoh bayaran saman yang berakhir hari ini mungkin tidak dilanjutkan lagi oleh kerajaan memandangkan Kabinet telah memberi kelonggaran masa selama enam bulan untuk orang ramai berbuat demikian.
Namun, sehingga hari ini, masih ramai pengguna jalan raya menunggu saat-saat akhir untuk melunaskan bayaran saman dan langkah itu ternyata menyusahkan mereka apabila sebilangan besar pesalah trafik turut membuat tindakan demikian.
Itu menyebabkan keseluruhan cawangan trafik setiap balai polis serta pejabat pos sesak dengan kehadiran mereka yang menunggu seawal 7 pagi lagi.
No comments:
Post a Comment