Doktor,
ADAKAH seseorang bayi yang mengengsot tetapi tidak merangkak merupakan
satu kebiasaan di dalam tumbesaran bayi? Saya berasa agak bimbang
kalau-kalau keadaan ini akan memberikan kesan negatif terhadap
perkembangan fizikal dan mental bayi tersebut?
- IMAN, Tronoh, Perak
*Mengengsot
Merangkak adalah cara pergerakan yang utama pada bayi sebelum mereka
mula berjalan - kebiasaannya mula dipelajari pada enam bulan kedua.
Pada masa yang sama, bayi belajar duduk sendiri untuk jangka masa yang
lama. Proses pembelajaran ini berlaku secara beransur-ansur.
Proses ini lazimnya mencapai tahap sepenuhnya ketika bayi berumur
sembilan hingga 10 bulan.
Sebelum seseorang bayi itu boleh merangkak, ia boleh mencari
kaedah-kaedah lain untuk pergerakannya.
Bagi kebanyakan bayi, creeping atau bergerak di atas perut sebelum
boleh merangkak, selalunya berlaku sekitar umur mereka tujuh bulan.
Bayi-bayi juga tahu mereka boleh bergerak jauh dengan hanya berguling
(rolling) dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Bayi juga boleh bergerak ke depan dengan hanya mengunakan tangan dan
siku mereka sambil kedua-dua kakinya lurus di belakang.
Bayi juga boleh bergerak sambil duduk dengan menarik menggunakan satu
atau kedua-dua tangan yang dinamakan mengengsot (bottom shuffling).
Daripada perspektif bayi, cara ini ada beberapa kelebihannya dari
merangkak - ia boleh membebaskan satu tangan. Ia juga memberikan jarak
penglihatan yang lebih baik dan, bayi sudah dalam posisi duduk bila
sampai ke destinasinya.
Kelebihan seperti ini memberikan alternatif yang lebih mudah dan
menjadi pilihan kepada sesetengah bayi sehinggakan mereka langsung
tidak merangkak dan terus belajar berdiri dan berjalan.
Ini satu fenomena yang normal dan tidak perlu dikhuatiri akan membawa
kepada masalah koordinasi (penyelarasan) dan sebagainya.
Bayi-bayi mempelajari kemahiran pada tahap dan masa yang berbeza, ada
yang cepat daripada yang lain.
Jika bayi tidak menunjukkan apa-apa minat untuk bergerak sama ada
merangkak, mengengsot, meniarap dan sebagainya serta tidak menunjukkan
koordinasi tangan dan kaki yang baik atau, kurang menggunakan tangan
dan kaki dengan sama apabila mencapai peringkat umur setahun, maka
bayi itu perlu diperiksa oleh doktor. Harus juga diingat bahawa bayi
yang lahir tidak cukup bulan (pramatang) mungkin mencapai tempoh ini
dalam masa yang lebih lewat berbanding rakan-rakan mereka yang
dilahirkan dengan normal sembilan bulan.
Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Pediatrik (Kanak-kanak), Dr.
Mohd. Nazir Abu Bakar.
No comments:
Post a Comment