12.11.08

Satu Pandangan yang BERNAS mengenai Perniagaan MLM

DI bawah ini, saya sertakan artikel yang menarik yang pernah saya baca mengenai Industri MLM, artikel yang ditulis oleh individu yang pernah bersama MLM dan masih terus bersama dalam form yang sedikit berbeza..... buku-buku beliau banyak di pasaran terutama di MPH

Ikutilah pandangan beliau ini....terutama "leader/group wang segera" ; "leader/group sengkek"; "leader/group opportunis mlm - bukan sejati".

Saya sendiri pernah termasuk dalam kumpulan ini, penat bekerja dgn mereka... duit yang diutamakan dan bukan leadership atau kepimpinan... akhirnya ketika group sedang membesar...jenis-jenis leader/kumpulan di atas melompat ke syarikat lain dgn alasan yang akan dinyatakan oleh penulis di bawah.. alasan yang sama

Dan saya melihat mereka melompat dan terus melompat sehingga tak terdaya melompat dengan alasan syarikat lain offer better income, syarikat baru, plan pemasaran lebih bagus dan belum jumpa syarikat yang serasi..... :)

**************************************************************************************************

SEBELUM LEBIH ROSAK LAGI l
sponsoring_ABC_1.jpgHENDAK mencari orang yang benar-benar berjaya di dalam MLM boleh diiibaratkan seperti ‘mencari gagak putih di kalangan gagak hitam’ — itulah gambaran sukarnya mencari yang benar-benar berjaya dan kaya. Tetapi untuk mencari yang hanya cakap-cakap berjaya, dengar-dengar berjaya, gambaran berjaya, bunyi-bunyi berjaya, penglipurlara adalah seperti ‘mencari gagak hitam di kalangan gagak putih’ — itulah gambaran ramainya golongan ini.

Mengapa begitu? Kerana sejak dari mula lagi, sejak MLM diperkenalkan di bumi Malaysia mulai dari tahun 1976, itulah budaya yang ditanamkan di dalam industri ini. Persepsi MLM adalah untuk ‘wang segera’ masih kekal sehingga hari ini bahkan makin subur dan makin bercampur-aduk hinggakan masyarakat awam makin keliru antara MLM yang asli, MLM Binary, Skim Cepat Kaya, Pelaburan sengsara, dan berbagai-bagai lagi istilah-istilah baru yang makin berterusan.

Persepsi yang dicipta dan budaya yang ditanamkan adalah “Kalau nak wang yang banyak masuk MLM.” Hampir tidak kedengaran, “Kalau hendakkan bisnes yang stabil, masuklah MLM.” Masuk sahaja? Itulah persepsi yang dicipta dan budaya yang ditanamkan — masuk sahaja. MLM adalah landasan — jika misalnya keretapi masuk ke dalam landasan, masuk sahaja, adakah kereta api itu akan sampai ke destinasi? Adakah masuk saja di dalam MLM boleh mendatangkan wang dan kejayaan?

Suasana akan menarik orang yang sealiran dengan suasana. Suasana wang, termasuk ‘wang segera’ akan hanya menarik orang-orang yang sememangnya mencari wang segera di dalam MLM. Kerana itu jika anda perhatikan, orang-orang yang kononnya ‘leader’ bersama kumpulannya akan melompat dari satu syarikat MLM ke syarikat lain. Apa yang mereka cari? Mereka mencari wang segera yang sememangnya tidak ada, melainkan syarikat MLM tersebut diwujudkan sementara, hanya untuk menarik peminat-peminat ‘wang segera’.

Bahkan kata mereka yang bijak, untuk mengetahui sama ada syarikat MLM tersebut boleh bertahan lama atau akan segera berkubur (kemudian hidup semula dengan menukar kepada nama syarikat lain — penyanyi sama, lagu lain) ialah dengan melihat mereka yang mengerumuni syarikat MLM tersebut. Jika dikerumuni oleh mereka yang selalu dipanggil kononnya ‘leader’ dan peminat wang segera, syarikat tersebut akan mengalami masalah pendek nyawa. Mengapa? Sebagaimana mereka datang beramai-ramai, mereka akan melompat beramai-ramai dari syarikat MLM tersebut. Kononnya mereka diharapkan sebagai tunggak — bila tunggak tiada, robohlah syarikat.

Istilah ‘leader’ itu pun sudah terlalu jauh terpesong dari makna asal. Bagaimana boleh dipanggil ‘leader’ jika tidak ada kesetiaan — hanya melompat dari satu syarikat MLM kepada syarikat MLM lain — berterusan tanpa henti. Bolehkah di panggil ‘pemimpin’ (makna ‘leader’) jika hanya merosakkan industri MLM?

Sebahagian lagi, untuk menunjukkan syarikat MLM yang disertai itu ‘baru’ dan hebat mereka mengatakan syarikat MLM yang telah lama sebagai ‘Tradisional’ dan ‘Conventional’ memberi gambaran seolah-olah sudah ketinggalan zaman. Tapi, jika diperhatikan, syarikat-syarikat MLM yang disebut lama dan tradisional itulah yang menghasilkan ‘gagak putih’. Itulah hakikat yang tidak boleh dinafikan.

Hanya syarikat yang mengamalkan asas MLM iaitu mengutamakan produk dan menjadikan pelan pemasaran sebagai landasan untuk memasarkan produk itu sajalah yang mampu bertahan dan melahirkan ‘gagak putih’. Untuk mendengar penglipurlara dan melihat ‘gagak hitam’, carilah di dalam syarikat MLM (baru atau lama) yang menterbalikkan asas MLM itu menjadi — pelan pemasaran keutamaan, produk hanyalah landasan.

Semestinya, menjadi tugas kita bersama untuk mempertahankan dan memperelokkan industri MLM ini. Jika bukan kita warga MLM, siapa lagi? Jangan sampai diri kita ini turut sama merosakkan industri yang telah dan sedang dirosakkan ini. Jangan kita turut serta menjadi ‘makhluk perosak’ MLM.

Apa buktinya persepsi MLM telah dan sedang mengalami kerosakan, dirosakkan sendiri oleh warga MLM? Mudah — sekarang ini, bila anda menyebut MLM atau mula melukis ‘rajah bulat-bulat’ adakah anda dialu-alukan atau dihindari? Jawab dengan jujur. Jika dialu-alukan, mengapa? Jika dihindari, mengapa?

Kalau bukan warga MLM sendiri yang merosakkan MLM, siapa agaknya yang merosakkan? Ada kelompok lain? Tidak ada. MLM dirosakkan oleh warga MLM sendiri. Maka, siapakah yang akan berusaha membaik pulih persepsi dan imej MLM selain warga MLM sendiri juga? Tidak akan ada kelompok lain yang akan berusaha membaik pulih kerosakan yang sedang dialami oleh MLM. Bayangkan, apa akan terjadi kepada industri MLM jika kita warga MLM tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan apa yang telah rosak. Ini adalah tanggung jawab kita bersama.

Artikel ini dipetik dari majalah SUKSES keluaran pertama. Untuk membaca artikel-artikel dari penulis yang terkenal ini, layari laman beliau www.razziarmansur.com


**************************************************************************


No comments: