26.11.08

Asid benzoik dalam mi

Isu Asid dalam mee dan keluarganya telah lama diperkatakan sejak tahun 2000 lagi.... walaupun lebih 8 tahun namun isu ini akan terus diperkatakan jikalau sikap integriti tiada dalam pengusaha makanan dan pihak yang memantau... yang ada hanyalah hebohan di TV atau media massa yang mereka buat kerja tapi mee dgn asid B yang merbahaya ini terus berada di dalam pasaran kita...

Utusan - 26 November 2008 **********************************************************

Asid benzoik dalam mi

PULAU PINANG 25 Nov. - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan wujud penggunaan asid benzoik secara haram dalam pelbagai jenis mi yang mampu memudaratkan kesihatan manusia.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, penggunaan asid tersebut dikesan pada mi kuning, hor fun dan kuetiau di 30 gerai yang menjual barangan itu di beberapa lokasi di negeri ini.

Menurutnya, kajian itu dibuat pihaknya sejak seminggu lalu, selepas menerima satu contoh hor fun yang mengandungi asid tersebut daripada seorang pengguna di Selangor yang bimbang mengenai tahap kualiti makanan berkenaan.

Katanya, mengikut Akta Makanan penggunaan asid itu atau bahan pengawet tidak dibenarkan sama sekali, terutama untuk semua jenis pasta dan mi termasuk kuetiau, hor fun,mihun, laksa, makaroni dan spageti.

''Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati penggunaan asid itu boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit antaranya asma, rhinitis dan alergi selain dikaitkan kepada gejala hiperaktif di kalangan kanak-kanak.

''Dalam satu kajian ke atas beberapa sukarelawan yang diuji dengan dos asid benzoik selama beberapa hari mendapati mereka ini mengalami sakit kepala, lemah serta kepedihan yang teruk," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Akta dan Peraturan Makanan 1983, penggunaan asid benzoik hanya dibenarkan dalam pemprosesan makanan seperti pes cili, produk kacang soya yang ditapai, belacan, pati minuman, jeruk atau buah-buahan yang dikeringkan.

Selain daripada pati minuman yang memerlukan cairan, tahap maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang dalam makanan ini ialah tidak boleh melebihi 1,000 parts per million (ppm) dalam apa jua keadaan sekalipun.

Justeru, CAP menggesa Kementerian Kesihatan untuk menjalankan pemeriksaan segera bagi mengawal penggunaan asid benzoik secara haram dalam mi dan juga mengawal penjualannya kepada orang awam kerana ia mudah didapati di kedai.

''CAP juga menghantar surat dan hasil kajian ini kepada pihak kementerian supaya tindakan tegas dan segera dapat diambil.

''Pesalah perlu dihukum dengan menggenakan denda serta penjara yang maksimum supaya mengingatkan peniaga betapa pihak kerajaan serius dalam menangani masalah ini," ujarnya.


S.M. MOHAMED IDRIS menunjukkan sampel mi kuning yang tinggi kandungan asid benzoik di Pulau Pinang semalam.

Katanya, tahap maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang makanan ialah tidak melebihi 1,000 bahagian per juta (ppm).

"Namun, hasil kajian CAP mendapati tahap ppm dalam mi, kuetiau dan hor fun di antara 1,285 hingga 4,912 ppm malah ada yang mencecah sehingga 5,354 ppm," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, asid tersebut dipercayai dicampur oleh peniaga dengan menyembur cecair itu ke atas mi untuk memastikan bahan makanan itu kelihatan segar dan boleh disimpan untuk beberapa hari.

S. M. Mohamed memberitahu, dalam satu kajian yang melibatkan sukarelawan yang diuji dengan dos asid benzoik selama beberapa hari mendapati mereka mengalami ketidakselesaan, loya, sakit kepala dan lemah.



No comments: