27.12.12

Bantahan NAMA ALLAH Dalam BIBLE.....

Gubal undang-undang halang guna kalimah
Wartawan Sinar Harian 27 Disember 2012
Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
SHAH ALAM – Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membangkitkan semula isu kalimah ALLAH supaya dibenarkan dalam kitab Bible versi bahasa Melayu Isnin lalu.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan undang-undang negeri dan Persekutuan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan boleh dibuat bagi mengawal dan mengehadkan penyebaran doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Menurutnya, sehubungan itu 10 buah negeri telah pun menggubal undang-undang yang antara lain menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu di kalangan orang bukan Islam bagi merujuk kepada agama mereka.

“Oleh sebab itu PPMM menggesa empat buah negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan menggubal undang-undang tersebut. PPMM juga mendesak negeri-negeri yang telah meluluskan undang-undang tersebut segera melaksanakannya.

“Bagi negeri Pulau Pinang pula, PPMM difahamkan bahawa suatu fatwa telah digazetkan  oleh Kerajaan Negeri sendiri tentang pengharaman penggunaan kalimah tersebut,” katanya semalam.

Menurutnya lagi, mahkamah belum mendengar rayuan dari pihak kerajaan berhubung perkara ini, maka penganut Kristian tetap dilarang dari menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk pada Tuhan di dalam agama Kristian di dalam sebarang bentuk penerbitan.

“Walaupun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Herald dalam kes tersebut namun perintah tersebut telah digantung sementara menunggu rayuan pihak Kerajaan dan Majlis Majlis Agama Islam Negeri-Negeri. Dalam erti kata lain, kedudukan hal ini masih bersifat ‘status quo’.
“Kenyataan itu juga ternyata bersifat simplistik serta sebenarnya percubaan berterusan sebuah parti politik memperjuang prinsip sekular seperti DAP untuk menyemarakkan nilai-nilai faham sekular di dalam sebuah negara yang mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama negara,” katanya.

==================

 
Pas: Bible BM wajar guna Tuhan, bukan ALLAH
Tuan Ibrahim Tuan Man 26 Disember 2012
tuan-ibrahim-tuan-man Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Pas Pusat
 
PAS berpendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan Tuhan dan bukannya ALLAH untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.

Memandangkan Bible Bahasa Melayu adalah terjemahan dari teks asal bahasa Inggeris, maka sewajarnya istilah God tidak bermaksud ALLAH, kerana terjemahan tepat ialah Tuhan. Maka sewajarnya ia diterjemahkan menurut maksud asal.

Manakala menterjemahkan God dengan ALLAH akan mengelirukan penganut Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam serta boleh mengelirukan orang Islam.

Pas melihat isu penggunaan nama ALLAH dalam terjemahan Bible dalam Bahasa Malaysia tidak mencerminkan maksud sebenar dari teks asal serta mengelirukan pelbagai pihak. Bahkan cadangan tersebut juga telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan orang Islam dan penganut Kristian.

Harus diingat, bagi umat Islam, nama ALLAH merupakan nama yang khusus yang mesti dipelihara kesuciannya. Ia tidak boleh dibuang merata tempat atau digunakan nama tersebut pada tempat yang tidak layak baginya seperti menyamakan dengan makhluk, bersifat dengan sifat makhluk, seperti menganggap ia ada anak, isteri, makan, tidur dan berjalan sebagaimana makhluk.

Sehubungan itu,  permintaan untuk menggunakan nama ALLAH dalam terjemahan Bible Bahasa Melayu tidak wajar, bahkan di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama ALLAH bagi merujuk kepada 'God' sama da dalam pertuturan, penulisan atau filem. Perkataan yang sering digunakan ialah ‘Lord’.

Walaupun penggunaannya tidak bertentangan dengan tradisi ilmu dan budaya di kalangan ahli  kitab (Yahudi dan Nasara),  tetapi  keluar dari khilaf atau mengelak berlakunya kekeliruan dan polemik adalah jalan terbaik.

Ada perkataan yang sensitif bagi sesetengah agama seperti kalimah Dua Shahadah dan ALLAH, tidak boleh disebut secara sewenang-wenangnya dalam konteks yang tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan ketidaksenangan yang tidak perlu dalam masyarakat majmuk di negara kita dan situasi negara masa kini.
 
* Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Pas Pusat

===============================
 
Nama ALLAH bukan isu Malaysian Malaysia
Dr Ismail Ibrahim 27 Disember 2012
Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia
ke Arab Saudi.
KALAU dalam isu-isu lain mungkin telah banyak tuntutan dalam dasar 'equality in diversity' atau sebelum ini, mungkin lama dulu dan hampir terpadam pada permukaannya, dasar itu diungkapkan sebagai Malaysian Malaysia, maka dalam dasar nama ALLAH  yang diminta supaya digunakan dalam agama lain janganlah disamakan dengan dasar-dasar lain itu.
Kita merasakan bahawa dalam penggunaan istilah nama ALLAH itu, maka biarlah amalan ini merupakan sesuatu yang ekslusif untuk agama Islam sahaja, dan sesiapa yang ingin mengganggu gugat pendirian ini, kita bolehlah merayu kepada mereka "please leave us alone in this matter!" Tolong jangan ganggu kami dalam hal ini.

"Enough is enough" cukuplah dengan segala dasar lain, termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan telah dituntut untuk disamaratakan, diberikan hak yang sama rata, sama rasa di antara seluruh rakyat tanpa mengira sebarang latar belakang sosial, ekonomi dan agama, maka hak dalam menghayati konsep ketuhanan dalam  agama ini, janganlah nak direbutkan, dicabar dan dimanipulasikan begitu rupa. Nama ALLAH tetap merupakan sesuatu yang asas dan fundemental bagi Islam.

Nama ALLAH, dari sudut falsafah, takrifan dan konsepnya, tetap  tidak sama dengan nama Tuhan, God, Lord dan sebagainya dalam penggunaan agama lain.

Orang Islam, lebih memahami konsep ini seperti yang dibaca dan dijelaskan oleh kitab suci al-Quran, tetapi umat Islam, khususnya di Malaysia, rela menerima perbezaan ini di atas dasar 'unity in diversity' dan atas dasar tolak ansur 'agree to disagree' dengan amalan dan pengertian serta konsep tuhan dalam agama lain, terutamanya dalam kepercayaan para penganut agama Kristian.

Dalam surah Al-Maidah sahaja terdapat sekurang-kurangnya tiga ayat yang menjelaskan perbezaan Tuhan "ALLAH" dan Tuhan atau God menurut yang diiktikadkan oleh penganut Kristian.
Ayat 17 surah tersebut menjelaskan begini:

"Demi sesungguhnya kafirlah orang-orang yang berkata: bahawasanya ALLAH ialah Al-Masih ibn Maryam. Katakanlah (wahai Muhammad) "Dakwaan itu tidak benar, kerana siapakah yang dapat menahan seksa dari ALLAH sedikit jua pun kalau Dia mahu membinasakan Al-Masih ibn Maryam berserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya..."

Ayat 72 dari surah yang sama menjelaskan:

"Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: bahawasanya ALLAH ialah Al-Masih ibn Maryam, pada hal Al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israel, sembahlah ALLAH, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan ALLAH dengan sesuatu yang lain, meka sesungguhnya ALLAH haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka, dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim."

Ayat 75 dalam surah yang sama juga menegaskan:
"
Tiadalah Al-Masih ibn Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan  makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana Kami jelaskan kepada mereka (Ahli Kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka) kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawanafsunya daripada menerima kebenaran yang jelas nyata itu).

Apakah kefahaman dan akidah anak-anak orang Islam yang memahami konsep Tuhan Islam yang bernama ALLAH itu amat berbeza dari konsep Tuhan Kristian triniti itu akan dikelirukan dengan penggunaan nama yang sama, seolah-oleh semua Tuhan dalam sebarang agama adalah membawa takrifan, falsafah dan konsep yang sama? Maka kalau demikianlah keadaannya, kenapakah kita harus berbeza agama dan akidah dalam menghayati dan mengamalkan agama masing-masing?

Banyak pengajaran secara langsung yang difirmankan oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran yang memberikan makna ini kepada umat Islam, umpamanya bacalah al-Quran Surah Al-Taubah  ayat 30 dan 31, ketika kita diperingatkan bahawa "Orang-orang Yahudi mengatakan bahawa Aziz ialah anak ALLAH" dan orang Masihi pula mengatakan bahawa "Al-Masih ialah anak ALLAH"........

Budaya dan cara hidup serta bahasa negara kita berbeza dari negara lain. Bahasa dan budaya Arab berbeza dari bahasa dan konotasinya dari bahasa lain, kerana bahasa adalah merupakan terjemahan dari satu budaya dan tradisi serta gaya hidup sesuatu bangsa itu.

Bahasa Arab menggunakan nama ALLAH untuk Tuhan adalah dalam kefahaman pramasastera dan retorika bahasa itu yang amat casnggih sekali, dan kefahaman orang Arab tidak mungkin terpisah dari konsep ALLAH dan Tuhan yang digunakan untuk kepelbagaian agama.

Orang Arab dapat bersumpah ratusan kali dalam perbualan biasa mereka dengan menyebut "Wallahi" yang kalau dalam penggunaan bahasa Melayu merupakan satu sumpah dalam istilah syariah yang amat salah diucapkan sewenang-sewenangnya dalam perbualan harian, tetapi sumpah ini tidak sama dengan sumpah yang kita fahami dalam bahasa kita, sehingga terdapat ayat al-Quran yang menjelaskan tentang sumpahan biasa dalam penggunaan bahasa mereka dengan sumpah dalam istilah syariah yang kita fahami.

Maka demikianlah juga dengan penggunaan nama ALLAh yang cuba dibandingkan dengan penggunaannya di dalam bahasa lain, khususnya bahasa Arab, sesungguhnya perbandingan ini haruslah difahami dari sudut linguistik dan budaya bahasa itu sendiri di antara bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Janganlah dicuba untuk mencari justifikasi yang remeh untuk menjustifikasikan penggunaan nama ALLAH bagi Tuhan Kristian, iaitu yang merupakan  dakwaan dan alasan bagi menuntut sesuatu yang amat sensitif dan tidak dapat diterima di dalam budaya dan cita rasa bangsa kita di negara kita ini.

Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Al-Taubah ayat 32 :

"Mereka hendak memadamkan cahaya ALLAH (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang ALLAH tidak mengehendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekali pun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Kepada saudara-saudara pembaca entri ini, ingatlah akan hikmah dan ilmu kurniaan ALLAH kepada kita, bahawa kita mengetahui dan memahami akan maksud dan hakikat peringatan ALLAH kepada kita dalam isu ini, tetapi peringatan ALLAH itu adalah untuk pertahanan diri kita dan anak cucu kita, bagi mengatur strategi pendidikan dan penyampaian hikmah kita, bukan untuk mencerca dan menghina atau mengata nista sesama manusia, termasuk kepada rakan-rakan kita dari agama lain, kerana kita menyedari prinsip agama kita tentang dasar hidup bersama secara aman dan damai (peaceful co-existence): Bagi kamu agama kamu, dan bagi kami agama kami"... surah Al-Kafirun, Ayat 6.

Semoga landskap budaya dan politik kita tidak secara mudahnya dicemarkan oleh tangan-tangan rakan kita yang berlumpur dan kotor ketika dunia umumnya memasuki era gerhana hitam pada masa kini...

* Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan

No comments: