Teknik menyimpan maklumat
|
SEMPENA musim cuti persekolahan ini, ramai ibu bapa yang mengambil peluang untuk membawa anak-anak bercuti.
Ramai juga yang mengambil peluang ini untuk memerhatikan kerja sekolah atau pelajaran anak-anak mereka.
Tulisan kali ini cuba untuk memberikan sedikit tip bagi membolehkan
ibu bapa memahami konsep dan kaedah maklumat disimpan dalam ingatan.
Ini sekurang-kurangnya boleh membantu kita untuk mengetahui sebab
sesetengah pelajar mampu cemerlang dalam peperiksaan, manakala ada yang
bermasalah.
Umumnya, proses minda kita menggelintar maklumat yang dikenali
sebagai heuristics. Heuristics ini berlaku bagi setiap manusia.
Misalnya, apabila kita secara tidak sengaja terlibat dalam kemalangan
jalan raya.
Bagi mereka yang pernah mengalami kemalangan jalan raya sebelumnya,
mereka mampu menangani perasaan cemas yang dialami. Mereka tahu siapa
yang patut mereka hubungi dulu, misalnya ahli keluarga, syarikat
insurans dan sebagainya.
Sebaliknya, bagi yang pertama kali mengalami kemalangan jalan raya,
mereka begitu cemas. Mereka seolah-olah tidak tahu apa yang patut
dilakukan.
Ini kerana mereka tidak menyimpan sebarang maklumat sebelumnya, yang boleh membantu minda menggelintar maklumat dengan cepat.
Begitu jugalah apabila pelajar mengikuti peperiksaan atau ujian.
Mereka akan diam seketika sebaik sahaja membuka kertas soalan. Ini
kerana mereka cuba menggelintar semula maklumat atau pengetahuan yang
mereka telah pelajari sebelumnya.
Bagi mereka yang mampu menyimpan maklumat secara bijaksana, mereka
mampu menggelintar maklumat dengan cepat. Sebaliknya, bagi mereka yang
tidak menyusun maklumat secara sistematik, masa yang lebih panjang
diambil untuk mengingat semula sesuatu yang dipelajari.
Simpan secara sistematik
Inilah masalah yang dihadapi oleh kebanyakan anak-anak kita. Mereka
tidak mempunyai kemahiran untuk menyimpan maklumat yang telah mereka
baca atau pelajari.
Misalnya, mereka membaca 200 patah perkataan daripada satu-satu topik
ulang kaji. Mereka yang tidak sistematik, akan menyimpan semua 200
patah perkataan ini tanpa mampu memisahkannya dalam bentuk 'kelompok'
yang akan memudahkan mereka mengingat semula.
Katakan kita diberi senarai 10 barang yang perlu dibeli di kedai
seperti bawang, ikan, udang, tomato, kobis, garam, gula, kunyit, sotong
dan kopi. Ia akan menjadi sesuatu yang sukar diingati kerana ia
kelihatannya sangat banyak. Kita perlu mengingatnya semula satu persatu
apabila sampai di kedai.
Bagaimanapun, keadaan mungkin berbeza sekiranya kita mampu menyimpan
semua barangan ini dalam bentuk kelompok atau folder. Misalnya, kita
membina kelompok 'sayur' bagi menyimpan maklumat berkaitan dengan
bawang, tomato, kobis dan kunyit.
Kita senaraikan ikan, udang dan sotong ke dalam kelompok 'haiwan
laut'. Sebaliknya, garam, gula dan kopi disimpan ke dalam kelompok
'hablur'.
Ini bermakna, kita hanya perlu menghafal tiga perkara sahaja iaitu
sayur, haiwan laut dan hablur. Sebaik sahaja tiba di kedai, kita buka
semula semua barangan yang ingin dibeli berdasarkan kelompok.
Ia lebih mudah, jika dibandingkan kita menghafal semua 10 barang secara serentak.
Begitu jugalah yang berlaku kepada pelajar kita apabila membaca.
Setiap kali ingin memulakan pembacaan, mereka telah menghitung puluhan
bab yang perlu dibaca, lebih 200 halaman atau kira-kira 10,000 patah
perkataan.
Ini menyebabkan mereka merasakan tidak lagi terdaya untuk mengingat
semula apa yang ingin dibaca. Akhirnya mereka akan membaca secara leka,
atau tidak membaca langsung.
Hakikatnya, sekiranya mereka membina kelompok, atau folder, 10,000
patah perkataan itu mungkin boleh diringkaskan menjadi beberapa ratus
patah perkataan sahaja untuk diingati.
No comments:
Post a Comment