Nama Allah : Hukum Asal,
Dakwah dan Siyasah
Oleh
Zaharuddin
Abd Rahman
Perdebatan
dan perbahasan terbuka di media-media massa berkenaan isu penggunaan nama Allah
oleh Kristian kelihatan sudah agak reda ditenggelami oleh isu-isu politik yang
sentiasa kelihatan hangat. Maka di
kesempatan ini, saya terpanggil untuk cuba membuat sedikit ulasan dan huraian
kesimpulan bagi menjelaskan letak duduk isu ini, khususnya di sebalik kepelbagaian
pandangan khususnya di kalangan ilmuan Islam. Lebih khusus lagi, setelah saya
memberi pengisian berkaitan tajuk ini secara online semalam. Boleh download
ceramah tersebut di link ini . (sebahagian penerangan tidak dapat dinyatakan
dalam tulisan ini bagi mengelakkan terlalu panjang)
Bagi
mereka yang berminat untuk terus membaca, saya nasihatkan agar tuan dan puan
dapat membaca dengan bertenang, jangan tergesa-gesa dan jangan melompat serta
cepat memebuat konklusi sebelum tamat membaca. Jika tidak, salah faham akan
berlaku. Jika tuan dan puan merasakan malas untuk membaca dengan teliti dan
sehigga habis, saya menasihatkan agar tidak membacanya atau menangguh bacaan di
waktu yang lapang dan tenang. Atau mungkin lebih ringan untuk mendengarkan kuliah terlebih dahulu.
AKIBAT BERBEZA PERSPEKTIF, HASIL
BERBEZA
Setelah
menyemak dan membaca artikel demi artikel dan huraian oleh pelbagai pihak dalam
isu ini, jelas bagi saya bahawa perbezaan ini datang disebabkan target dan
objektif setiap tulisan kelihatan cenderung kepada salah satu antara tiga
perspektif berikut iaitu :-
- 1) Terdapat artikel dan ilmuan yang mengulas dari sudut hukum berdasarkan nas dan teks, tanpa dicampur aduk dengan perspektif lain.
- 2) Terdapat artikel yang kandungan isinya jelas berat kepada persoalan dakwah iaitu menjawab alasan Kristian dan mematikan hujah mereka, ia bukan memberi pandangan atas analisa teks Al-Quran.
- 3) Terdapat artikel yang diulas berat kepada isu kuasa kerajaan dan siyasah syar'iyyah.
- 4) Terdapat yang mengulas bagi meraih sokongan politik dan pengaruh. Bagi menunjukkan ‘kerterbukaan' bagi meraih sokongan bukan Islam, atau menunjuk kehandalan dalam mempertahankan Islam bagi mendapat sokongan orang Islam.
Justeru,
saya berharap artikel ini mampu membantu pembaca menyusun idea dan kefahaman
agar mampu menetapkan pendirian dengan lebih jitu dan tepat. Mampu memahami
kepelbagaian dengan lebih saksama.
1. NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF TEKS AL-QURAN
DAN HUKUM ASAL
Melihat
dari perspektif ini, perbincangannya berkisar tentang soalan
"Adakah dibenarkan dari aspek
hukum ‘Aqidah, untuk Kristian menggunakan nama Allah dalam urusan mereka?"
Dalam hal kefahaman hukum dari
teks dan nas ini, ia tergolong dalam kategori hukum zhonni. Hasilnya, ilmuan berbeza pendapat dalam menentukan hukum
yang paling tepat. Namun begitu, menurut penelitian saya, dari PERSPEKTIF HUKUM
AQIDAH yang berdasarkan kepada teks, hukum yang lebih kukuh adalah HARUS ATAU
DIBENARKAN bagi Kristian atau lain-lain penganut agama lain untuk menggunakan
nama ALLAH bagi merujuk kepada Tuhan.
Ulama yang mengharuskan bersandar
kepada dalil dan teks berikut, antaranya ( Lihat kepada teks yang diwarnakan) :-
- a. Firman Allah di dalam Surah az Zumar ayat 3
أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاء مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا
لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا
هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ
Ertinya
: Ingatlah,
hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang
mengambil pelindung selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami
kepada Allah dengan sedekat-dekatnya". Sesungguhnya Allah akan
memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya.
Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar.
Ini
jelas menunjukkan mereka menyembah berhala kerana ingin dekat kepada Allah.
Justeru mereka sedar Allah itu Tuhan. Dan nama Allah itu telah digunapakai oleh
mereka sejak dari dulu. Ayat ini menunjukkan situasi di waktu itu dan juga
membawa implikasi hukum keharusan kerana Allah tidak membantah kafir
memanggilnya sebagai Allah. Walaubagaimanapun, di dalam ayat ini dan ayat-ayat
yang lain, Allah SWT membantah tindakan mereka menyekutukanNya. Sekiranya penggunaan
itu salah, pastinya Allah akan menafikan perkataan kafir tadi dan mengelakkan
dirinya dikait dengan keyakinan sesat kafir musyrik.
- b. Firman Allah Surah Yunus ayat 18 :
وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللّهِ مَا لاَ
يَضُرُّهُمْ وَلاَ يَنفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَـؤُلاء شُفَعَاؤُنَا عِندَ اللّهِ
قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللّهَ بِمَا لاَ يَعْلَمُ فِي السَّمَاوَاتِ وَلاَ فِي
الأَرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ
Ertinya
: Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan
kemudaratan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka berkata:
""Mereka itu adalah pemberi
syafaat kepada kami di sisi Allah"". Katakanlah:
""Apakah kamu mengabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya
baik di langit dan tidak (pula) di bumi?"" Maha Suci Allah dan Maha
Tinggi dari apa yang mereka mempersekutukan (itu)
Selagi
lagi ayat ini menunjukkan kesalahan kafir musyrik adalah kerana menyengutukan
Allah dengan mengambil berhala sebagai perantara dan bukan pada memanggil Tuhan
sebagai Allah.
- c. Firman Allah surah al-Ankabut ayat 63 :
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ
السَّمَاء مَاء فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ
اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ
Ertinya
: Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: ""Siapakah
yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah
matinya?"" Tentu mereka akan menjawab: ""Allah"". Katakanlah: ""Segala puji
bagi Allah"", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami (nya)
Imam Fakhruddin
Ar-Razi berkata ketika mengulas ayat dari surah Yunus dan Ankabut ini :
هذا يدل على أن المخاطبين بهذا الكلام كانوا
يعرفون الله ويقرون به
Ertinya
: Ini menunjukkan mereka yang ditujukan
pertanyaan dan kata-kata ini ( iaitu puak kafir musryik), mereka telah pun
sentiasa mengetahui tentang Allah dan sentiasa mengiktirafNya (sebagai tuhan).
(Rujuk Tafsir Al-Kabir, 17/86)
- d. Firman Allah surah Al-An'am ayat 136 :
وَجَعَلُواْ لِلّهِ مِمِّا ذَرَأَ مِنَ
الْحَرْثِ وَالأَنْعَامِ نَصِيبًا فَقَالُواْ هَـذَا لِلّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَـذَا
لِشُرَكَآئِنَا فَمَا كَانَ لِشُرَكَآئِهِمْ فَلاَ يَصِلُ إِلَى اللّهِ وَمَا
كَانَ لِلّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَى شُرَكَآئِهِمْ سَاء مَا يَحْكُمُونَ
Ertinya
: Dan mereka memperuntukkan bagi Allah satu bahagian dari tanaman dan ternak
yang telah diciptakan Allah, lalu mereka berkata sesuai dengan persangkaan
mereka: ""Ini untuk Allah dan
ini untuk berhala-berhala kami"". Maka saji-sajian yang
diperuntukkan bagi berhala-berhala mereka tidak sampai kepada Allah; dan
saji-sajian yang diperuntukkan bagi Allah, maka sajian itu sampai kepada
berhala-berhala mereka. Amat buruklah ketetapan mereka itu.
Sahabat besar nabi,
Imam Ibn ‘Abbas r.a ketika mengulas ayat ini berkata :
من إيمانهم إذا قيل لهم من خلق السماء ؟ ومن خلق الأرض ؟ ومن خلق
الجبال ؟ قالوا : الله , وهم مشركون
"Dari keyakinan dan iman puak-puak kafir ini apabila ditanya
siapa yang menciptakan langit?, dan siapa yang menciptakan bumi?, dan siapa
yang menciptakan gunung?. Mereka telah menjawab : ALLAH, namun begitu mereka
mensyirikkanNya.
- e. Firman Allah surah Zukhruf ayat 87-88
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ
لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى
وَقِيلِهِ يَارَبِّ إِنَّ هَؤُلَاء قَوْمٌ لَّا يُؤْمِنُونَ يُؤْفَكُونَ
وَقِيلِهِ يَارَبِّ إِنَّ هَؤُلَاء قَوْمٌ لَّا يُؤْمِنُونَ يُؤْفَكُونَ
Ertinya : Dan sungguh jika kamu
bertanya kepada mereka: ""Siapakah yang menciptakan mereka, niscaya mereka menjawab:
""Allah"", maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan
(dari menyembah Allah)?
- f. Firman Allah surah Al-Isra ayat 42 :-
قُل لَّوْ كَانَ مَعَهُ آلِهَةٌ كَمَا
يَقُولُونَ إِذًا لاَّبْتَغَوْاْ إِلَى ذِي الْعَرْشِ سَبِيلاً
Ertinya : Katakanlah: ""Jika
ada tuhan-tuhan di katakan, nescaya tuhan-tuhan itu mencari jalan kepada Tuhan
yang mempunyai Arasy ( Tuhan yang sebenar)"
Imam Ibn Kathir ketika mengulas
tentang kesalahan kafir musyrik dalam surah Al-Isra' ini berkata ia adalah
kerana mereka mensyirikkan Allah dengan berhala-berhala mereka. Padahal mereka
telah mengakui Allah sebagai Tuhan, itu
tidak dicela, apa yang dicela adalah tindakan mereka mensyirikkan Allah dengan
berhala mereka. Beliau berkata:
"Ayat ini boleh
difahami iaitu arahan Allah kepada Nabi Muhammad untuk bertanya kepada kepada
kafir musyrikin yang menyangka ada bagi Allah sekutu-sekutu dari kalangan
makhluk yang sehingga dijadikan barang sembahan selain Allah, kononnya sebagai
perantaraan mendekatkan diri kepada Allah. ( Tafsir al-Quran Al-Azim)
Jelas
dari dalil-dalil ini menunjukkan nama Allah sebagai TUHAN TIDAK EKSKLUSIF
kepada orang Islam sahaja, cuma orang Islam adalah eksklusif pada pandangan
Allah kerana menggunakannya dengan betul dan tepat.
Dakwaan Dr Khalif
Muammar[1] yang mengatakan pengunaan
nama Allah yang wujud dalam ayat-ayat di atas semuanya adalah sebelum
diIslamisasikan adalah satu dakwaan tanpa bukti yang jelas.
Apakah dalil mukhassis yang ingin digunakan oleh
beliau dalam menegaskan pandangan itu?. Jika surah al-Ikhlas ingin dijadikan
dalil, maka surah ikhlas adalah suatu penjelasan konsep tauhid dan pengunaan
nama Allah secara tepat sahaja. Ia bukan mukhassis
kepada umum satu waktu kepada waktu yang lain. Justeru apakah dalil bagi menganggap
Allah di zaman jahiliyyah yang disebut dalam ayat itu terhad kepada satu waktu
tertentu, dan tidak selepas kebangkitan Nabi SAW ?
Bagi saya, ayat-ayat
di atas tadi jelas menunjukkan pengunaan nama Allah bagi bukan Islam dibenarkan
dari dulu sehingga sekarang bagi merujuk kepada Tuhan, tidak ada persoalan ‘Tuhan
Umum' dan ‘Tuhan Khusus' dalam bab ini. Yang ada adalah kes kafir musyrik
beriman kepada ketuhanan Allah tetapi mereka sesat kerana mensyirikkan Allah.
Dr Khalif juga berkata :
"Here the word Allah cannot mean the true God because they don't know who Allah is simply because no prophet was sent to them. Therefore, the use of Allah here is to mean God in general."
"Here the word Allah cannot mean the true God because they don't know who Allah is simply because no prophet was sent to them. Therefore, the use of Allah here is to mean God in general."
Dakwaan ini agak
ganjil bagi saya, kerana Nabi-nabi telah dihantar secara bersambung-sambung
dari nabi Adam, walau dimusim ketiadaan nabi seperti zaman bapa nabi, beliau
menggunakan nama Abdullah merujuk kepada syariat yang dibawa oleh nabi
sebelumnya iaitu nabi Isa.
Justeru, Arab
jahiliyah hakikatnya mengetahui siapa itu Allah dan boleh membaca berkenaannya
melalui syariat Nabi sebelum Nabi Muhammad. Bukankah bapa saudara Khadijah
bernama Waraqah Bin Nawfal yang meramal Nabi Muhammad akan menjadi Nabi, itu
tahu siapa itu Allah melalui wahyu kepada nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad.[2]
Lihat pula bagaimana
seorang penyair Jahiliyah bernama Lubayd Bin Rabi'ah selalu mempersembahkan
syairnya, lalu baginda Nabi mengakui satu syair Lubayd yang ada menyebut nama
Allah. Hadis Nabi ini berbunyi :-
أصدق كلمة قالها شاعر , كلمة لبيد بن ربيعة : ألا كل شيء ما خلا الله
باطل
Ertinya :
Sebenar-benar perkataan yang dikatakan oleh penyair (Jahiliyah) adalah
perkataan Lubayd bin Rabiah yang berkata : "Ketahuilah semua perkara selain
Allah adalah batil (hancur)"[3]
Jelas dari hadis ini
bahawa Jahiliyyah dahulu sudah kenal Allah dan kekuasaan-Nya, Cuma mereka
menyembah berhala sebagai perantara lalu syiriklah mereka.
Selain itu, bukankah
terdapat dalam sirah nabawiyyah, apabila sahabat nabi menyebar kalimah tauhid
kepada pemimpin kafir, sebahagian mereka memberi response :
إذن تحاربك العرب و العجم
"kalau begitu, ‘Arab
dan ‘ajam (bukan arab) pasti akan memerangimu" kata-kata mereka ini menunjukkan
arab Jahiliyyah memahami erti nama Allah dan erti mentauhidkan Allah, tetapi
mereka degil dan tetap mahu mensyirikkan-Nya dengan berhala mereka kerana itu
adalah ajaran nenek moyang mereka dan mereka beroleh manfaat duniawi dari
kepercayaan itu. Lalu pengakuan kalimah Shahadah bakal mengubah keseluruhan
hidup mereka. [4]
Maka oleh itu, dari dalil-dalil
di atas, jelas Allah membiarkan nama-Nya digunapakai oleh kafir Musyrik apabila
merujuk sebagai Tuhan pencipta, namun Allah
ta'ala mengutuk dan membetulkan kesalahan mereka apabila mereka menyekutukan
Allah dengan selain-Nya.
Justeru itu, jika
Kristian di Malaysia atau dimana juga, jika
mereka ingin menggunakan nama Allah merujuk kepada Tuhan pencipta, ia adalah benar, betul dan diharuskan.
Kerana Allah sememangnya Tuhan dan pencipta dan maha berkuasa. Namun tindakan
mereka mengaitkan Allah dengan trinity, berhala dan sebagainya adalah Syirik
dan salah dan dikutuk oleh Allah sendiri di dalam Al-Quran. Pun begitu, pokoknya,
mereka HARUS menggunakan nama Allah apabila ingin merujuk kepada Tuhan, kerana
Allah sememangnya Tuhan, apa yang TIDAK HARUS adalah mensyirikkanNya dengan
yang lain.
Malah penggunaan nama
Allah dan pengakuan ketuhanan Allah ini juga dapat dilihat dalam syair-syair
Arab Jahiliyyah, seperti syair oleh Ubayd bin Abras :
من يسأل الناس يحرموه
* وسائل الله لا يخيب
Ertinya : Sesiapa
yang meminta dari manusia, tidak diberi * dan yang meminta dari Allah tidak
rugi.
Syair dari Uways Bin
Hujr:
وباللات والعزى ومن دان دينها * وبالله إن الله
منهن أكبر
Ertinya : dan demi
Latta dan Uzza dan yang hampirinya* dan demi Allah, sesungguhnya Allah itu
lebih besar dari mereka (berhala) [5]
JADI,
ADAKAH KALAU MEMBENARKAN KITA AKAN JADI KUFUR KERANA IKTIRAF KESYIRIKAN MEREKA?
Tidak begitu, apa yang dibenarkan
oleh Allah ta'ala sendiri adalah bukan Islam boleh guna nama Allah apabila
merujuk kepada Tuhan, tetapi Allah mengutuk dan melarang mereka mensyirikkanNya.
Justeru, itulah tugas umat Islam, berdakwah dan memperbetulkan keyakinan salah
mana-mana kafir yang mensyirikkan Allah dengan yang selainNya. Kita tidak boleh
menafikan benarnya dakwaan mereka bahawa nama Allah itu juga merujuk kepada
Tuhan, apa yang kita mesti dan boleh nafikan hanyalah Allah itu tidak punyai
anak, dan sekutu.
Atas asbab
itulah wujudnya tugas berdakwah, bagi mengajak mereka kembali kepada mentauhidkan
Allah. Jika kita telah atau sedang berdakwah, MEREKA TETAP DEGIL, Allah
mengajar kita meletakkan pendirian seperti berikut :-
· Biarkan mereka dengan agama dan
keyakinan salah mereka dan pisahkan diri kita dengan keyakinan mereka.
Pendirian ini nyata dari firman Allah berikut :-
وَإِن كَذَّبُوكَ فَقُل لِّي عَمَلِي
وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ أَنتُمْ بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَاْ بَرِيءٌ مِّمَّا
تَعْمَلُونَ
Ertinya : Jika mereka
mendustakan kamu, maka katakanlah: ""Bagiku pekerjaanku dan bagimu
pekerjaanmu. Kamu berlepas diri terhadap apa yang aku kerjakan dan aku pun
berlepas diri terhadap apa yang kamu kerjakan (Yunus : 41)
Firman Allah :-
وَإِذَا سَمِعُوا
اللَّغْوَ أَعْرَضُوا عَنْهُ وَقَالُوا لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ
سَلَامٌ عَلَيْكُمْ لَا نَبْتَغِي الْجَاهِلِينَ
Ertinya : Dan apabila
mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya
dan mereka berkata: ""Bagi kami amal-amal kami dan bagimu
amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang
jahil ( Al-Qasas : 55 )
Firman Allah :-
لَكُمْ دِينُكُمْ
وَلِيَ دِينِ
Ertinya : Untukmulah
agamamu dan untukkulah agamaku (Al-Kafirun : 6)
KESIMPULAN : Hasil
dari beberapa petikan dan kumpulan teks al-Quran ini, majoriti ulama Islam di zaman silam sehingga hari ini dari pelbagai Negara
telah berijtihad, hukum HARUS bagi bukan Islam untuk menggunakan nama Allah
bagi merujuk kepada Tuhan. Namun kesalahan mereka yang perlu didakwah dan
diperbetul adalah kerana menyekutukan Allah sahaja. Itulah juga pandangan yang
terlebih kuat pada hemat saya. Namun perlu difahami, hukum HARUS di peringkat
ini tidak semestinya akan berterusan pada setiap keadaan sehingga mesti
dibenarkan oleh kerajaan Malaysia tanpa banyak soal. Satu faktor lain mesti
diteliti iaitu faktor dakwah dan penjagaan konflik yang boleh mengugat keamanan.
2. NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF DAKWAH
Faktor dakwah yang saya maksudkan
di sini boleh merujuk kepada Maqasid
Shariah yang pertama iaitu ‘mempertahankan Islam' (Hifdzu ad-Din). Menurut
Imam As-Syatibi, mempertahankan aqidah Islam adalah wajib dalam dua bentuk
iaitu:-
- Mengukuhkan aqidah Islam melalui ajaran, ajakan dan sebaran kefahaman tauhid yang betul.
- Mempertahankan aqidah Islam dari penyelewangan, pengeliruan dan gangguan gerakan bukan Islam.
Apabila
saya merujuk kepada penulisan beberapa tokoh dan ilmuan di Malaysia dalam isu
penggunaan nama Allah ini, saya melihat majoriti mereka mencampur adukkan fokus
dan penyataan hukum disebabkan terpengaruh dengan faktor kedua ini. Mereka
banyak mengulas dalam konteks ini berbanding konteks hukum asal dan asas.
Sebagai
contoh:-
Prof
Madya Dr Khadijah Hambali [6] dalam tulisannya
membuktikan TIDAK BENARNYA dakwaan Kristian dan rasional mereka yang ingin
menggunakan nama Allah kerana nama itu yang wujud di dalam kitab bible asli
mereka. Beliau membawakan petikan-petikan yang membuktikan hujahnya. Di samping
itu, beliau juga mengulas ketidakwajaran terjemahan God kepada Allah dari sudut
bahasa dan mempertikaikan rujukan Kristian dalam hal ini.
Saya
bersetuju dengan hujjah Dr Khadijah ini, namun perlu difahami apa yang
dibawakan oleh Dr Khadijah sebenarnya lebih cenderung kepada faktor dan
objektif dakwah, kerana ia jelas memperlihatkan beliau menolak keharusan (penggunaan
nama Allah oleh Kristian), melalui kaedah menghancurkan hujjah Kristian, selain
menimbulkan keraguan kepada sumber rujukan Kristian itu sendiri. Saya tidak
melihat beliau mengulas dari perspektif hukum Islam berasaskan dalil-dalil
al-Quran tetapi beliau berusaha mematikan alasan kumpulan Kristian agar melaluinya
diharap dapat melunturkan keinginan Kristian untuk meneruskan permohonannya. Ini bermakna Dr Khadjiah menolak atas dasar
dan rasional untuk mempertahankan dakwah Islam dan aqidah Islam dalam konteks
semasa, bukan atas hujjah teks Al-Quran dan Hadis secara specifik. Ia jelas
cara seorang pendakwah mengemukakan hujahan balas kepada pihak bertentangan. Kesimpulannya,
hukum larangan dan bantahan yang dikemukan oleh Dr Khadijah berpaksikan hujjah
dan maqasid dakwah dan situasi
setempat dan bukan hujjah menafikan hukum asal keharusan.
Ada juga yang penulis
yang berhujjah termasuk Dr Khadijah dan ramai lagi penulis lain, menyatakan
bahawa kebenaran TIDAK BOLEH diberi kerana Kristian menggunakan nama ALLAH PADA
KONTEKS DAN MASKUD YANG SALAH, seperti dikaitkan sebagai Tuhan bapa,
mensyirikanNya dan sebagainya.
Bagi saya ini
bukanlah hujjah yang betul untuk melarang, kerana JIKA semua penganut Kristian
menggunakan Nama Allah pada tempat yang betul maka tidaklah mereka menjadi
Kristian, lalu mereka akan seolah mengikut Islam secara paksaan pula. Bukankah mereka bukan Islam dan
mempunyai keyakinan agama tersendiri?. Maka kita tidak boleh memaksa mereka untuk
mengikut penggunaan nama Allah pada tempat yang betul menurut aqidah Islam
kerana mereka BUKAN ISLAM (atau belum). Apa yang boleh dilarang adalah MENYEBAR
KEKELIRUAN DAN AJARAN SALAH MEREKA (MENURUT PERTIMBANGAN AQIDAH ISLAM) ITU KEPADA UMAT ISLAM.
Dato' Dr Haron Din, dalam rakaman penjelasannya memperlihatkan beliau
menolak dan memberi amaran atas dasar maslahat dakwah dan bukan sangat
bergantung kepada teks al-Quran dan Hadis.
Tulisan
Dr. Syed Tawfiq Al-Attas[7], yang juga jelas
memperlihatkan ulasannya menolak rasional terjemahan God kepada Allah dari
sudut bahasa. Selain itu, beliau juga menolak alasan Kristian yang kononnya
cuba merujuk kepada Bible. Kedua-dua bantahan Dr Syed ini bukanlah ulasan dari
perspektif hukum dan Aqidah Islam tetapi lebih kepada mematikan alasan Kristian,
sama seperti Dr Khadjiah. Justeru, tulisannya lebih mirip sebuah tulisan terpengaruh
dengan objektif dakwah. Ia lebih kepada sebab dakwah dan bukan hujjah teks
Al-Quran secara specifik. Hukum larangan yang diletakkan oleh Dr Syed ini jelas
berpaksikan hujjah dan maqasid dakwah dan situasi setempat sebenarnya.
Hal
yang sama juga boleh dilihat dalam tulisan Pegawai JAKIM, Ust Aizam Mas'oud. Yang
dengan jelas penulisannya berobjektif dakwah berbanding menjelaskan hukum asal.
Dari 5 hujjah yang dikemukakan hampir kesemuanya membantah melalui bangkangan
hujjah dan alasan Kristian. Hanya satu sahaja ulasan mengulas teks Al-Qurqan,
beliau menyertakan dua hujjah menolak. Namun kedua-duanya tidak kukuh tapi
tidak sempat untuk saya ulas di kesempatan ini.
Begitulah
juga Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dalam fatwa tahun 2008, pandangan Ketua
Pengarah JAKIM dan hampir semua pegawai-pegawai JAKIM dan IKIM yang lain. Semua
mereka bagi saya, mengulas dari sudut realiti dakwah, situasi khas di Malaysia
dan berobjektif mempertahankan dakwah dalam konteks dan situasi khusus Malaysia.
Ia bukan mengulas dari sudut hukum asal dari teks Al-Quran.
Malah tulisan ringkas saya yang disiarkan dahulu di web ini juga,
selepas saya menyatakan hukum asal adalah HARUS, TETAPI realiti dan konteks
semasa dakwah di Malaysia BOLEH menghasilkan keputusan ijtihad yang berbeza,
iaitu LARANGAN.
Namun
begitu, walapun larangan telah difatwakan secara rasmi oleh Majlis fatwa dan
disokong oleh Institusi keagamaan rasmi dalam negara, ia tetap sebagai sebuah
ijtihad. Ijtihad hasil penelitian konsep mudarat dan manfaat kepada umat Islam
dan keharmonian rakyat.
Oleh
kerana itu, pertimbangan seseorang dan sesuatu organisasi dengan yang lain, dalam
melihat kesan manfaat dan mudarat mungkin berbeza. Hasilnya, beberapa ilmuan
seperti Dr Mohd Asri, YB Khalid Samad, Dr Dzulkefli Ahmad, dan parti politik seperti PAS, PKR dan sebagainya terus berpegang
dengan hukum asal, iaitu membenar dan mengharuskan orang Kristian untuk
menggunakan kalimah Allah tersebut. Jangan pula meletakkan syarat agar "Kristian TIDAK MENYELEWENGKAN penggunaan nama Allah",
ini kerana seleweng mengikut piawaian kita tidak sama dengan
penyelewengan mengikut piawaian mereka. Justeru, syarat perlu konkrit
dan jelas.
GAMBAR-GAMBAR PENGGUNAAN NAMA ALLAH OLEH KRISTIAN, IA MEMANG KEBEBASN
DALAM BERAGAMA TETAPI IA DIBIMBANGI DISEBARKAN KEPADA UMAT ISLAM.
Oleh
itu, kalau ada mana-mana pimpinan PAS atau PKR yang kurang bersetuju dengan
keputusan kerajaan untuk melarang, mereka sebenarnya tidak perlu berhujjah dari
sudut hukum asal lagi, kerana itu sudah diketahui dan sememangnya majoriti ulama
membenarkan, apa yang mereka perlu nyatakan adalah bagaimana mekanisme dan cara
bagi mengawal ketakutan dan kebimbangan dokumen seperti gambar ini dari disebar
kepada umat Islam yang berada dalam keadaan lemah ilmu hari ini.
Memang
benar, Kristian hanya minta untuk akhbar 'The Herald' dan bukan untuk bahan
bertulis yang lain atau gereja. tetapi itulah yang dibimbangi, kebenaran ini
dijadikan batu loncatan dan asas kepada permohonan yang lain-lain selepas ini.
Apakah jaminan yang mampu diberi oleh kumpulan ulama dan institusi yang
menyokong bahawa ia TIDAK AKAN merebak kepada yang lain?
Kita
semua memang mengakui, keperluan mengukuhkan ilmu agar menjadi benteng aqidah dan bukan
semata-mata larang itu dan ini, namun larangan ini adalah salah satu dari
pendekatan siyasah yang dirasakan sesuai oleh Majlis Fatwa Kebangsaan di ketika
ini.
Mengapa berbeza?
Kerana
pertimbangan dan penilaian setempat mereka yang berbeza. Bagi saya, perbezaan
mereka bukan isu besar sehingga boleh membawa kufur, ia perbezaaan dalam
ijtihad menilai keadaan dan situasi sahaja.
Siapa
yang lebih rajih dan kukuh?
Jawabnya
muzakarah perlu diadakan bagi kedua-dua pihak mengemukan telahan dan penelitian
mudarat dan manfaat yang dilihat dan dikenalpasti. Mungkin sahaja satu pihak
tidak terlihat dan tersedar manfaat dan mudarat yang dilihat oleh pihak yang
lain. Melalui cara tersebut resolusi yang terbaik akan dapat dihasilkan.
InshaAllah.
AL-QARADAWI DAN AZ-ZUHAYLI KATA
BOLEH, BAGAIMANA?
Pandangan
Syeikh Al-Qaradawi dan Wahbah Az-Zuhayli yang membenarkan Kristian menggunakan
Kalimah Allah sebagai merujuk kepada Tuhan, adalah tepat tetapi fatwa mereka
tidak sesuai digunakan untuk menyokong keputusan pihak yang membenarkannya di
Malaysia, ini kerana hukum asal sememangnya HARUS sebagaimana yang telah saya
datangkan hujjahnya di atas tadi.
Kedua-dua
Syeikh ini sebenarnya memberi pandangan hukum asal berdasarkan teks nas dan
hadis, namun mereka tidak mempunyai autoriti yang cukup dari sudut memahami
realiti dan konteks khas di Malaysia. Justeru, pandangan ulama-ulama luar
Negara dalam konteks ini tidak tepat untuk dijadikan rujukan.
3. NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF KUASA
KERAJAAN (SIYASAH SYAR'IYYAH)
Setelah
kita lihat hukum pengunaan nama Allah dari dua perspektif iaitu hukum asal dan fleksibilitinya
atas alasan maslahat dan mudarat dari
perspektif dakwah.
Jika
sekiranya mudarat melebihi manfaat, adakah kerajaan selaku pemerintah berhak
dan dibenarkan oleh hukum Islam untuk melarang Kristian dari menterjemahkan
kalimah God kepada Allah?. Ini persoalan ketiga, perspektif ketiga.
Ringkasan
jawapan, kerajaan dibenarkan menggunakan kuasa dalam hal ini. Dan peruntukkan
kuasa itu sememangnya diakui di dalam undang-undang Islam. Saya tidak ingin
mengulas lanjut keharusan ini bagi mengelakkan artikel ini terlalu panjang.
Cukuplah saya ingin membawa pembaca kepada ringkasan ulasan saya yang terdahulu
dalam bab ini. Rujuk sini
KESIMPULANNYA
Kesimpulan tulisan ini
adalah :-
1-
Tiada dalil qati'e yang putus sebagai asas dan indikasi hukum bagi penganut Kristian
dan bukan Islam menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan.
2-
Terdapat banyak dalil Al-Quran yang bersifat zhonniyah ad-dalalah
yang menunjukkan
KEHARUSAN bagi penganut Kristian dan bukan Islam menggunakan Nama Allah
bagi merujuk kepada Tuhan. Ia adalah pandangan majoriti ulama termasuk
Syeikh Dr Yusuf
Al-Qaradawi, Dr Wahbah Az-Zuhayli dan lainnya.
Terdapat juga beberapa kumpulan
ulama cenderung kepada hukum haram, namun kebanyakan hujjahnya bercampur baur
antara hujjah teks al-Quran dan hujjah maslahat dan dakwah. Justeru, melalui
penelitian saya, pandangan yang melarang adalah lemah jika ditinjau dari
perspektif argumentasi teks Al-Quran. Namun larangan boleh dibuat atas dasar
masalah dakwah yang khusus di Malaysia.
3-
Ulama tanahair terbahagi kepada dua
kumpulan dalam menentukan keharusan atau pengharaman dari perspektif dakwah dan
melihat situasi khas di Malaysia. Majlis Fatwa dan yang bersamanya kelihatan
mengharamkan manakala PAS, PKR dan individu masih menganggapnya sebagai HARUS
dengan syarat-syarat tertentu. Melalui penilitian saya dalam konteks khusus di
Malaysia, saya cenderung bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dalam hal ini. Namun
saya tidak melihat pandangan mereka yang membenarkan dengan syarat sebagai
salah kerana ia merupakan sebuah isu ijtihadi dalam menilai mudarat dan
manfaat. Perbezaan telahan dalam hal ini sememangnya sukar dielakkan.
4- Jikalau
keputusan
mahkamah (selepas rayuan) tetap mengizinkan penerbit Kristian
menterjemah kalimah ‘God'
kepada Allah dalam penerbitan mereka. Saya bersetuju dengan pandangan
pelbagai pihak yang mencadangkan agar Kerajaan mengadakan segera
muzakarah
dan dialog di antara ulama, pakar undang-undang dan pihak Kristian bagi
memastikan kebenaran itu tidak digunakan untuk mengelirukan umat Islam dan
segala penulisan dihadkan kepada penganut Kristian semata-mata. Tatkala itu
syarat-syarat dan perjanjian perlu dibuat bagi menjaga kehamonian masyarakat
dalam Negara.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
8 Februari 2010
[1]
http://www.myislamnetwork.net/component/content/article/1-artikel-pilihan/48-why-non-muslims-cannot-use-the-word-allah-dr-khalif-muammar.html
[2]
Rujuk riwayat pertemuan Khadijah dengan Waraqah dalam Sohih Muslim dan
syarahnya oleh Imam An-Nawawi , begitu juga Fathul Bari oleh Ibn Hajar.
[3]
Sohih al-Bukhari, dengan syarah Ibn Hajar ( Fathul Bari, Kitab al-Adab, no
6147, jil 10, hlm 660) ; Sohih Muslim, 15/8 cet. Darul Ma'rifat
[4]
Fi dzilal al-Quran, Syed Qutb
[5]
Al-Asnam, Ibn al-Kalbi, hlm 17
[6]
http://www.misgonline.com/index.php?option=com_content&view=article&id=431:perbezaan-penggunaan-kalimah-allah-dalam-agama-islam-dan-kristian&catid=126:januari-2010&Itemid=300078
[7]
http://www.myislamnetwork.net/component/content/article/2-e-akhbar/49-menelusuri-kemelut-kalimah-oleh-datuk-dr-syed-ali-tawfik-al-attas.html
No comments:
Post a Comment