Sejarah Perpecahan Ummah Terdahulu Adalah pengajaran Untuk Perpaduan Ummah di Malaysia
Artikel ini telah dihantar ke akhbar Sinar Harian, Harakah, AIDC, Jalu3 dan IMR Network. Namun begitu ianya hanya diterbitkan oleh Aidc dan Jalur 3. Terima kasih atas penerbitan tersebut.
Nukilan : Wan Mohd Allwee
untuk melihat artikel ini di AIDC, click di sini
Sejarah Pemerintahan Umat Islam banyak meninggalkan pengajaran yang
berguna untuk umat Islam sepanjang zaman kerana keagungan dan kehebatan
empayarnya bermula dengan kepemimpinan Rasulullah sehingga berakhirnya
Khalifah Othmaniyyah. Setiap peristiwa yang berlaku memberikan
pengajaran buat umat Islam yang ingin memilikinya. Salah satu peristiwa
yang memberikan pengajaran pahit buat umat ialah Perang Siffin antara
Saidina Ali dan Saidina Muawiyyah.
Ada pelbagai riwayat tentang tragedi perang saudara ini. Secara ringkasnya, Perang Siffin memperlihatkan perbezaan pandangan berhubung bagaimana menangani peristiwa pembunuhan Saidina Othman Affan oleh pemberontak yang terdiri daripada golongan fasik dan munafik pada masa itu. Saidina Ali dan para sahabat yang bersama beliau berpandangan bahawa kukuhkan dahulu pemerintahan Islam dan kedudukan kaum Muslimin terlebih dahulu sebelum mencari, menghukum dan melemahkan kedudukan pemberontak dan pembunuh Saidina Othman.
Sementara itu, Saidina Muawiyah dan para sahabat yang bersamanya pula
berpandangan sebaliknya. Akhirnya berlakulah peperangan antara dua
kelompok sahabat ini di tempat yang bernama Siffin akibat kesilapan
memahami maklumat yang sampai. Berdasarkan pelbagai peristiwa yang
berlaku sehingga terjadinya peristiwa tahkim yang juga mempunyai
berbagai-bagai riwayat yang berbeza-beza memberikan banyak pengajaran
buat kita berhubung isu rahmat perpaduan dan azab perpecahan umat Islam.
Pengajaran pertama
yang boleh kita ambil dari Perang Siffin ialah perlu adanya barisan
kepemimpinan sama ada individu atau kelompok yang ikhlas, meletakkan
perjuangan hanya untuk Allah dan Rasulnya, mempunyai kebolehan,
kemahiran dan kepakaran menyatukan ummah terutama masyarakat yang baru
memahami agama Islam dan keilmuannya.
Pada masa itu, dengan keluasan empayar pemerintahan Islam dan
ramainya orang-orang baru yang menganuti agama Islam tetapi belum
memahami keilmuan Islam sepenuhnya, tiadanya pemimpin agung seperti
Rasulullah dan para sahabat baginda yang hebat seperti Saidina Abu
Bakar, Umar, Othman dan para sahabat besar Rasulullah yang lain telah
kembali kerahmatullah maka kesatuan ummah mudah tergugat.
Kelemahan ini membuka ruangan kepada musuh Islam sama ada yahudi,
nasrani, golongan Islam yang sakit jiwanya dengan nifak dan fasik dan
yang mempunyai agenda kepentingan peribadi atau agenda kelompok
memainkan peranan memecah-belahkan ummah dengan pelbagai-bagai isu kecil
dan remeh yang boleh bertukar menjadi isu besar.
Pengajaran yang kedua
ialah perlunya berhati-hati dengan musuh – musuh dalam selimut
(munafikun) yang secara zahirnya nampak sebagai Muslim tetapi secara
batinnya memusuhi Islam. Merekalah yang akan merosakkan Islam dari dalam
seumpama api dalam sekam secara tersusun dan berstrategi.
Dalam kepemimpinan yang lemah di pihak Saidina Ali dan Saidina
Muawiyyah maka memudahkan musuh dalam selimut memainkan peranannya
menghancurkan perpaduan dari dalam. Dalam Perang Siffin, terdapat
sekelompok golongan munafikun yang berada dalam kumpulan Saidina Ali,
mereka berusaha meletakkan pemimpin-pemimpin mereka berdampingan dengan
Saidina Ali dan membuat keputusan demi keputusan yang kekadang
berlawanan dengan keputusan Saidina Ali dan para sahabat Rasulullah
lain.
Mereka mempunyai kemahiran memanipulasikan keadaan dan pandangan
Saidina Ali dan orang yang dipercayai oleh Saidina Ali. Mereka tahu di
mana kelemahan Saidina Ali dan memanipulasikan kelemahan itu. Antara
yang mereka lakukan ialah membantah keputusan Saidina Ali menghantar
pesanan secara rahsia kepada Ibnu Abbas dalam Majlis Tahkim, mereka mahu
setiap pesanan perlu didedahkan kepada semua pengikut setia Saidina
Ali.
Mereka juga membantah perlantikan Ibnu Abbas sebagai wakil Saidina
Ali di Majlis Tahkim, mereka mahukan Abu Musa Al-Asyaa’ri sebagai
wakilnya. Ada juga pandangan yang menyatakan bahawa pada mulanya Saidina
Ali ke Syam untuk bertemu dan berbincang dengan Saidina Muawiyyah.
Kelompok munafikun dalam kumpulan Saidina Alilah yang memulakan serangan
kepada tentera Muawiyyah di Siffin tanpa arahan daripada Saidina Ali
sendiri.
Hal yang sama terjadi di dalam kelompok Saidina Muawiyyah di mana golongan munafikun memainkan peranan mereka, tatkala berlakunya Perang Siffin, Amru Al-Asr mencadangkan kepada Saidina Muawiyyah supaya peperangan dihentikan dan mereka kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah iaitu mengadakan perbincangan. Namun golongan munafikun memanipulasikan isu tersebut sehinggakan ramai umat Islam terpedaya dan telah meletakkan Al-Quran di hujung pedang dan tompak dan melaung-laungkan supaya peperangan diberhentikan. Perbuatan meletakkan al-Quran di hujung pedang dan tombak dilihat sebagai menghina Al-Quran dan bukanlah arahan kepemimpinan Muawiyyah.
Pengajaran ketiga,
melarikan diri atau mengasingkan diri dari menghadapi perpecahan yang
berlaku dan tidak berusaha membina perpaduan merupakan satu perbuatan
yang tidak memberikan manfaat kepada umat Islam malah memberi peluang
yang cerah kepada golongan perosak agama menghancurkan perpaduan umat
Islam yang terbina. Ikutilah jejak yang dibuat oleh Abu Umamah
al-Bahili, Abu Darda’ dan para Sahabat Rasulullah yang lain yang
berusaha keras menyatupadukan perpecahan itu.
Apabila berlakunya perbezaan pandangan dan perpecahan umat, maka
perlu ada satu golongan yang bangun secara tersusun dan berstrategi
membina jalan-jalan ke arah kesatuan antara pihak yang bertelagah.
Mereka perlu membuka minda dua kelompok yang bertelagah supaya melihat
isu yang lebih besar iaitu perpaduan ummah berasaskan aqidah, menjaga
kesucian dan kehebatan peraturan Islam lebih utama daripada sisipan isu
yang boleh diselesaikan di meja perundingan.
Kita boleh mengambil pengalaman dari cerita seekor burung kecil yang
berusaha memadamkan api yang besar yang membakar Nabi Ibrahim. Walaupun
usahanya nampak kecil tetapi sang burung kecil tahu bahawa perbuatannya
itu akan menjadi bukti di hadapan Allah bahawa ia bekerja dan melakukan
usaha pemadaman api tersebut. Bukan hasil yang dipersoalkan nanti tetapi
usaha berterusan.
Pengajaran keempat,
dalam pertelingkahan berlaku antara dua kelompok umat Islam, jangan
benarkan campur tangan kuasa asing yang pada zahirnya nampak seperti
ingin membantu tetapi pada jangka panjang adalah memusnahkan umat Islam.
Ada riwayat menyatakan bahawa kerajaan Rom menghantar utusan bertemu
dengan Muawiyyah dan menawarkan pertolongan untuk memerangi tentera
Saidina Ali, Saidina Muawiyyah dengan tegas dan keras menolak campur
tangan kuasa asing itu kerana beliau sendiri tahu yang beliau bukan
menentang kepemimpinan Saidina Ali sebagai Khalifah Islam tetapi hanya
menuntut supaya pembunuh Saidina Othman diadili dan dihukum terlebih
dahulu seperti katanya yang masyhur, “Aku tidak memerangi Ali (bukan
kerana perebutan jawatan khalifah) kecuali kerana urusan Othman”.
Pengajaran kelima,
apabila berada dalam suasana persengketaan dan perpecahan, sukar untuk
maklumat yang betul, sahih dan tepat diterima dan dihayati oleh kedua
belah pihak. Matlamat perjuangan akan menjadi kabur, isu yang betul
mudah dimanipulasikan dengan suntikan emosi. Apabila golongan munafikun
yang bergerak secara strategi berjaya menguasai penyebaran maklumat
dalam masyarakat maka orang kebanyakan akan keliru dan terpengaruh.
Sebagai contoh, dalam periwayatan Perang Siffin, dikatakan kelompok Muawiyyah adalah pemberontak dan bersalah menentang Saidina Ali berdasarkan hadis nabi yang menyatakan bahawa Ammar bin Yasir akan dibunuh oleh pemberontak dan Ammar pada waktu itu berada dalam kelompok Saidina Ali dan syahid. Mereka terlupa dengan hadis nabi yang lain yang menyatakan bahawa pembunuh Zubair Ibnu Awwam akan mendapat balasan di neraka sedangkan ketika itu Zubair berada di kelompok Muawiyyah dan juga syahid. Para sahabat Rasulullah yang berada di dalam kedua-dua kelompok menjadi keliru dengan dasar perjuangan mereka, ada riwayat menyatakan, tatkala kedua-duanya berperang, mereka sempat menangguhkan peperangan untuk membenarkan kedua-dua kelompok ini solat dahulu dan ada yang solat berjamaah di antara satu sama lain dan kemudiannya menyambung kembali peperangan yang tertunda.
Perang Siffin mengajar kita bahana dan bahayanya persengketaan dan
bahayanya musuh dalam selimut serta bahaya apabila wujudnya maklumat dan
isu yang kabur yang memerlukan penyelesaian yang segera, secara syura,
berjamaah dan penuh hikmah.
No comments:
Post a Comment