Dominasi Facebook dan Friendster di dalam dunia tanpa batasan ini telah mendapat reaksi dari gergasi enjin carian Google.
Sungguhpun Google telahpun memiliki laman web sosial versi mereka sendiri yang dikenali sebagai Orkut, namun sambutan terhadapnya agak hambar dan lebih mendapat sambutan pengguna di India dan Brazil.
Agar tidak ketinggalan dalam persaingan rangkaian sosial, pada 9 Februari lalu Google telah memperkenalkan Google Buzz, satu komponen rangkaian sosial yang diintegrasikan ke dalam aplikasi email web Gmail mereka. Pembangunan Buzz tertumpu kepada perkongsian foto, video dan juga pautan kepada pengguna Buzz yang lain.
Buzz membolehkan pengguna untuk memilih sama ada untuk berkongsi setiap kemas kini yang dilakukan secara global ataupun tertutup kepada sekumpulan teman-teman tertentu sahaja. Ia turut diintegrasikan dengan laman seperti Picasa, Flickr, YouTube, Blogger dan juga Twitter.
Buzz versi bergerak pula digandingkan dengan aplikasi popular Google Maps membolehkan pengguna melihat siapa yang berada berdekatan dengan mereka. Setiap pos kemas kini yang dibuat melalui Google Maps boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang menggunakan aplikasi tersebut.
Selain dari teks, pengguna Buzz versi ini juga boleh memuat naik gambar ke dalam pos mereka.
Langkah Google memperkenalkan Buzz dilihat oleh penganalisa industri tidak lain tidak bukan sebagai satu langkah untuk memecahkan monopoli rangkaian sosial yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat tidak kira peringkat umur.
No comments:
Post a Comment