Falsafah pendidikan
Memetik ringkasan daripada tulisan Datuk Saifuddin Abdullah dalam
bukunya “Memacu Transformasi”, beliau mencadangkan nisbah 70 peratus
akademik dan 30 peratus kokurikulum dalam sistem pendidikan dan latihan
(sekolah, IPT dan Institusi Kemahiran) bagi menggantikan nisbah 90:10
yang diamalkan sejak pertengahan tahun 2000 lagi. Saudara Anas
menyanggah dan mencadangkan bahawa kita perlu keluar dari sistem sedia
ada dan melihat contoh di luar serta meneroka pedagogi kritis seperti
Freire.
Objektif Falsafah Pendidikan di Malaysia adalah untuk memperkembang
potensi seseorang khususnya dalam konteks mahasiswa secara menyeluruh
dan bersepadu untuk mewujudkan modal insan yang seimbang dan harmonis
daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha yang berterusan
seperti ini selaras dengan matlamat asal untuk melahirkan khalifah
berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi impak yang
positif terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan
tanah air.
Masyarakat pada hari ni memperkecilkan skop pendidikan hanya kepada
masuk kelas dan peperiksaan. Itulah yang menjadi isu sebenar kenapa
mereka yang skor CGPA yang tinggi tetapi sebenarnya “they are nothing”.
Ramai yang menjadi mangsa dan hamba kepada sistem pendidikan sekarang
ini. Mereka seakan-akan tidak jelas akan matlamat yang sepatutnya
dicapai oleh insan yang bergelar mahasiswa. Jika dilihat pada hari ini
ramai graduan yang keluar berbekalkan sijil kelas pertama tetapi
kualitinya kurang. Suka untuk saya memetik hasil kajian daripada Prof
Goleman daripada Universiti Harvard.
Kajian beliau membahagikan soft skills dan hard skill (70:30). Hasil
kajian beliau menunjukkan soft skills amat penting kepada diri seseorang
dan jika dikaitkan dengan fakta yang mengatakan ramai graduan yang
tiada kerja maka saya boleh katakan graduan tersebut kekurangan dan
lemah soft skills. Oleh itu, saya berpendirian bahawa mahasiswa yang
tidak menyertai atau kurang mengambil bahagian dalam aktiviti
sukarelawan, kemasyarakatan, aktivisme dan persatuan mereka akan gagal
dan kurang keyakinan dalam menempuh era globalisasi. Aktiviti seperti
ini mampu membentuk passion mahasiswa dan seterusnya meningkatkan
kualiti serta daya pemikiran kritis generasi baharu.
Politik mahasiswa
Debat merupakan pendekatan paling efektif dalam memperkukuh pemikiran
intelektual dan kritis. Wasilah ini dapat menghasilkan berkomunikasi
dengan efektif, berfikiran kritikal dan memberi alasan atau jawapan yang
bermoral. Saya melihat senario politik sekarang jauh daripada politik
berlandaskan ilmu. Generasi muda hari ini amat dahagakan politik yang
seimbang tanpa diskriminasi oleh mana-mana pihak.
Saya begitu muak dengan permainan politik lucah, fitnah dan rasis dan
sangat mengimpikan politik yang bersandarkan hujah dan idea. Kalau
seburuk inilah keadaannya, maka saya risau akan generasi baharu yang
kerajaan harapkan untuk memimpin negara masa hadapan. Oleh itu, saya
merasakan signifikan kepada mahasiswa untuk tahu dan jelas apa itu
politik. “Political education” begitu penting kepada mahasiswa dalam
memandu mereka beraksi dalam kancah politik sebenar. Gaya politik
mahasiswa di kampus khususnya, memberi gambaran bahawa begitulah gaya
politik tanah air untuk masa hadapan kerana generasi muda merupakan
pemimpin masa depan.
Keterbukaan dan kebebasan dalam menerima maklumat adalah penting kepada
mahasiswa untuk menilai. Bagaimanapun, saya yakin bahawa generasi pada
hari ini mudah untuk menerima maklumat melalui laman sosial seperti
Facebook dan Twitter serta laman web. Saudara Anas memetik daripada T S
Elliot, “Di manakah hilangnya ilmu di tengah-tengah bibit maklumat?”.
Namun selama pemerhatian, hanya sesetengah sahaja yang melakukan kajian
dan faham akan maklumat yang diterima. Majoritinya hanya menerima
bulat-bulat apa yang dibaca dan terus share kepada orang sekelilingnya.
Generasi yang celik maklumat belum tentu celik politik kerana individu
yang celik politik, mereka akan lakukan kajian dan mereka belajar dan
terus belajar untuk memastikan maklumat yang diterima sama ada sahih
atau tidak.
Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) memperlihatkan satu
perubahan paradigma yang radikal oleh kerajaan. Pindaan seksyen 15
Auku, bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli politik tetapi berpolitik
kepartian tidak dibenarkan di dalam kampus. Kalau dulu, Auku menyekat
partisipasi secara langsung mahasiswa dalam politik partisan namun
setelah dipinda sedikit sebanyak membuka ruang kepada mahasiswa untuk
aktif berpolitik kepartian. Objektif pindaan Auku adalah untuk
menegakkan hak mahasiswa berpolitik yang dijamin oleh Perlembagaan dan
meningkatkan partisipasi mahasiswa dalam politik. Pindaan ini
menunjukkan sedikit keterbukaan kerajaan dalam membenarkan partisipasi
mahasiswa dalam politik. Namun begitu, pindaan Auku 2012 tidak memberi
kesan yang besar kepada mahasiswa berbanding sebelum pindaan kerana
pindaan yang dibuat tidak secara komprehensif.
Kalau Auku membelenggu mahasiswa di Universiti, Akta Institut-Institut
Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) pula memberi kesan yang besar
kepada rakan-rakan Institut Pendidikan Guru (IPG).
(a) Merujuk kepada Bahagian IV, Kesalahan-kesalahan, Seksyen 10 (1)
Tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar sesuatu institusi,
boleh menjadi ahli politik atau boleh dengan apa-apa cara bersekutu
dengan mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau
mana-mana jua pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang lain, sama ada
atau tidak ia ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang, sama ada
ianya adalah di dalam Malaysia, atau di luar Malaysia, kecuali
sebagaimana diperuntukkan oleh atau di bawah Akta ini atau kecuali
sebagaimana diluluskan terlebih dahulu secara bertulis oleh Menteri.
(b) Merujuk kepada Bahagian IV, Kesalahan-kesalahan, Seksyen 10 (3)
Tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar sesuatu Institusi,
boleh menyatakan atau berbuat sesuatu yang boleh ditakrifkan sebagai
menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti
politik atau kesatuan sekerja atau sebagai menyatakan sokongan atau
simpati dengan mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang
haram.
Secara jelas, pelajar tidak dibenarkan untuk menjadi ahli mana-mana
persatuan, parti politik, pertubuhan atau kumpulan sekalipun didaftarkan
secara sah baik di dalam mahupun luar Malaysia. Saya berpandangan
bahawa sekatan untuk pelajar menyertai dan melibatkan diri dalam
persatuan atau pertubuhan, menyekat potensi pelajar untuk menggilap
bakat memimpin seterusnya soft skills pelajar susah untuk dibentuk.
Beberapa rakan daripada IPG pernah mengadu bahawa mereka dihalang untuk
aktif sebagaimana mahasiswa di Universiti. Hal ini memberi petanda yang
kurang baik kepada negara kerana tugas guru adalah untuk menghasilkan
modal insan kelas pertama. Kewujudan Akta 174 tidak dinafikan banyak
baiknya dan juga tidak dinafikan ia memberi kesan yang negatif kepada
perkembangan potensi dan bakat pelajar.
Harapan kepada Gen Y
Ramai dalam kalangan Ilmuan Islam terdahulu, sudah memimpin ummah
ketika usia muda. Sebagaimana Hassan Al-Banna (1906-1949) merupakan anak
muda yang berani menubuhkan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah, Mesir pada
1928 sehingga gerakan ini sangat terkenal pada abad ke-20 terutama
generasi muda yang berpendidikan. Ikhwanul Muslimin terus menjadi
tarikan terbesar kepada anak muda pada ketika itu walaupun ideologi
barat seperti komunisme dan sosialisme sedang marak membakar idealisme
kaum muda namun semakin ramai yang berbai’ah dengan Hassan Al-Banna.
Hassan Al-Banna membuktikan bahawa usia muda merupakan masa paling
sesuai dan kemuncak untuk melakukan perubahan kepada masyarakat dunia
dan Malaysia khususnya. Seperti ungkapan Anas Alam Faizli, setiap rumah
perlu ada graduan dan graduan tersebut perlu menjadi ejen perubah kepada
keluarga dan seterusnya negara. Beliau juga memetik daripada mukadimah
oleh Ibnu Khaldun bagaimana pentingnya pendidikan dan inclusiveness
kepada pendirian negara bangsa.
Waktu ini adalah paling sesuai untuk Gen Y sebagai pencetus dan ejen
perubahan yang memberi impak yang positif kepada agama, bangsa dan
negara.
Pengaruh orang muda amat kuat seperti mana pidato Sukarno, “Jika aku
diberi 100 orang tua akan kugoncangkan sebuah gunung yang terdapat di
Indonesia, manakala jika aku diberi 10 orang pemuda akan kugoncangkan
dunia".
Sejarah menunjukkan ramai pemuda yang melakukan perubahan dan membantu
kemenangan Islam. Generasi hari ini perlu bangkit untuk berjuang
menegakkan keadilan dalam setiap chapter kehidupan, sosial, ekonomi dan
agama. Asas utama dalam perubahan adalah ilmu dan idea dan ia memerlukan
pembacaan yang pelbagai. Tidak perlu menyekat mana-mana idea atau
pandangan kerana Gen Y berhak menilai yang mana salah atau betul.
Kebangkitan anak muda berasaskan ilmu pengetahuan dan pelaksaanaan
memberi signal bahawa negara kita akan lebih terjaga dan tersusun pada
masa hadapan. – 17 November, 2013.
* Ahmad Irfan Hani adalah mahasiswa UIA daripada Kelab Mahasiswa TFTN.
No comments:
Post a Comment