• generasi muda 
  •  Gambar Hiasan
MENJADIKAN bahasa Melayu sebagai bahasa setanding dengan bahasa-bahasa utama dunia bukan sesuatu kerja yang mudah.
Cabaran ketidakyakinan, pandangan sinis terhadap keupayaan bahasa Melayu pastinya ada.  Walaupun negara ini telah mencapai taraf kemerdekaan lebih 50 tahun iaitu setengah abad lamanya.

Namun, isu-isu bahasa Melayu ini masih lagi lunak kedengaran. Bak kata pepatah Melayu ‘rumah siap, pahat masih berbunyi’. Mengapa jadi begini?

Saya boleh katakan kita mempunyai masalah pada diri sendiri. Diri kita ini sakit. Bukanya sakit pada fizikal tetapi sakit pada hati dan sakit  pada perasaan. 

Kita masih lagi terbelenggu dengan sikap dan masalah untuk sayang pada bahasa sendiri. Bahasa Melayu umpama mengemis di bumi sendiri. Minta disayang dan ditatang, tetapi beberapa ramaikah yang sudi? Mengharapkan ahli politik membantu, saya tidak yakin 100 peratus.

Dunia politik hanya dunia permainan, dunia kepura-puraan untuk mengaut keuntungan kantung politik masing-masing. Tiada yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan ini, kecuali mereka yang benar-benar tersemat di dalam hatinya bahasa Melayu perlu dimartabatkan di bumi bertuah ini.

Saya ingin menekankan di sini bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja melibatkan kamu Melayu semata-mata, tetapi melibatkan semua kaum di Malaysia ini.

Saya berbangga terdapatnya ramai masyarakat bukan Melayu terus tegar memperjuangkan bahasa Melayu.

Bukan bermakna mereka yang bukan Melayu ini lebih hebat memperjuangkan bahasa Melayu telah di Melayukan oleh kaum Melayu.

Mereka tetap berbangsa Cina, mereka juga tetap berbangsa India atau seumpamanya, tetapi seperti yang saya nyatakan sebentar tadi, hati mereka telah tersemat dan berazam untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan negara tanpa meminggirkan bahasa ibunda masing-masing.    

Angka 50 tahun pada perkiraan matematik sudah cukup lama, usaha untuk membangun serta mengembangkan bahasa Melayu.

Setengah abad lamanya bahasa Melayu cuba diangkat kembali setelah jatuh tersungkur dek kerana penangan bahasa penjajah. Adakah kita gagal dalam usaha mengangkat kembali bahasa Melayu dan meletakkannya pada kedudukan yang sebenarnya?

Bagi pandangan saya, kita tidak gagal dalam  usaha ini, tetapi kejayaan kita hanya separuh masak, belum lagi boleh dikatakan jitu.

Malah, bahasa Melayu  yang sering dihimpit dan dipandang sinis oleh sesetengah pihak sebagai bahasa yang tidak berdaya maju, tidak mampu dikomersialkan dan bahasa yang bersifat kekampungan bukanlah sesuatu yang baharu.

Stereotaip ini sering kita dengar sejak dahulu lagi, dan khabar-khabar sinis ini akan  terus berkumandang dari semasa ke semasa.

Bagi seorang pejuang bahasa, ‘alah biasa tegal biasa.’ Halang, cabaran untuk memaju dan memartabatkan bahasa Melayu sememangnya ada dan perlu ditempuh dengan hati yang sebar serta penuh kebijaksanaan intelektual dan bukannya emosi semata-mata.

Nadi perjuangan bahasa Melayu letaknya pada kekuatan ilmu pengetahuan. Perjuangan yang hanya berbekalkan semangat semata-mata tanpa disertai ilmu pengetahuan yang tinggi bagai ‘tin kosong’ yang tiada manfaatnya.     

Di samping itu, laporan audit bahasa yang diumumkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini yang memperlihatkan kepada kita mutu penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi jabatan kerajaan masih belum lagi mencapai tahap yang memuaskan. Belum lagi audit bahasa ini dijalankan dalam sektor swasta. Bagaimana pula agaknya mutu penggunaan bahasa Melayu dalam sektor terbabit?

Audit bahasa yang dilaksanakan oleh DBP ini pada pandangan saya adalah baik kerana ia memberi kesedaran kepada kita terutama penjawat awam akan kepentingan penggunaan bahasa Melayu dengan betul.

Selama ini kita tidak mengambil berat soal penggunaan bahasa Melayu dengan betul terutama hal-hal berkaitan surat-menyurat dan dokumen-dokumen rasmi. Dengan adanya audit bahasa ini diharapkan penjawat awam lebih peka dalam soal penggunaan bahasa Melayu tinggi dalam semua urusan rasmi kerajaan.

Langkah DBP melaksanakan audit bahasa ini bukan berniat untuk menghukum mana-mana agensi yang kurang peka dalam soal penggunaan bahasa Melayu tetapi lebih kepada kaedah menegur dan membetulkan mana-mana dikira perlu.

Langkah ini adalah sekelumit usaha dalam perjuangan bahasa yang belum lagi selesai.

Mengapa saya mengatakan belum selesai?

Dalam kesibukan kita menggilap kembali kewibawaan bahasa Melayu. Terdapatnya suara-suara ketidakyakinan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik.

Suara-suara sebegini bukalah yang pertama yang diterima oleh bahasa Melayu. Malah, banyak lagi suara-suara yang tidak enak didengar hal-hal berkaitan bahasa Melayu ini.

Halang-halangan ini harus ditempuh oleh bahasa Melayu dengan matlamat untuk mencapai status bahasa yang bersifat global dan bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Saya  tidak nafikan banyak usaha yang dilakukan untuk bergerak ke arah tersebut. Namun, sikap dan normal jati diri yang masih nipis menyebabkan usaha-usaha ini bergerak secara perlahan.

Ditambahkan lagi, apabila membincangkan perihal anak muda dan generasi Y. 

Saya percaya tidak ramai dalam kalangan generasi muda hari ini yang bersungguh untuk memperjuangkan isu-isu dunia kebahasaan seperti mana kesungguhan mahasiswa-mahasiswi Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) era 60-an dahulu.

Saya tidaklah, mengatakan tiada langsung generasi muda yang mahu berpartisipasi dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Mungkin jurang yang terlalu ketara antara generasi Y dan generasi X dan tiadanya ruang diberikan untuk generasi muda mengepalai sesuatu gerakan mahupun NGO seolah-olah kita melihat perjuangan bahasa Melayu ini hanya dipunyai golongan-golongan tertentu sahaja. Pandangan saya mudah, perjuangan bahasa Melayu hak semua lapisan masyarakat terutama anak-anak muda bukan tertumpu pada sesetengah sahaja.   

Kita tidak boleh menyandarkan harapan 100 peratus kepada generasi sedia ada sekarang ini untuk terus tegar memperjuangkan bahasa Melayu.

Hal ini disebabkan, pelopor perjuangan bahasa Melayu kini semakin dimamah usia dan jika tiada generasi pelapis saya khuatir bahasa Melayu dengan mudah disepak terajang oleh pihak-pihak yang selama ini menyimpan dendam terhadap bahasa Melayu.

Perjuangan bahasa Melayu kini terletak di bahu generasi muda sebagai wasilah tamadun pusaka bangsa.

 

Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong
Penolong Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak