2.2.13

Jiwa Remaja: Kawalan tak bermakna dikongkong

Jiwa Remaja: Kawalan tak bermakna dikongkong

pix_gal0
Lima aktiviti berguna untuk mengisi masa lapang

Soalan: Saya anak tunggal. Kadang-kadang bosan apabila ibu dan ayah tidak benarkan saya menjalani aktiviti di luar rumah dengan kawan lain. Apakah cara mengisi waktu yang terluang?
Ila, Perlis.

Adik sepatutnya bersyukur kerana tidak dibiarkan lepas bebas sebaliknya dijaga rapi demi memastikan adik menjadi insan berkualiti.

Jawapan: Tahniah kerana adik ada kesedaran untuk melakukan aktiviti berfaedah sekali gus mengisi masa lapang.

Ibu dan bapa mungkin kurang percaya atau yakin melepaskan adik keluar melakukan kegiatan bersama rakan lain berikutan bimbangkan keselamatan adik.

Sepatutnya, adik bersyukur kerana tidak dibiarkan lepas bebas sebaliknya dijaga rapi demi memastikan adik menjadi insan berkualiti.

Di sini disediakan beberapa panduan untuk adik jadikan panduan mengisi masa lapang. Sesungguhnya, masa berharga seperti emas.
Jika tidak diisi dengan kerja yang berfaedah, ia akan merugikan seseorang individu. Justeru, lakukan sesuatu dengan mengisi masa sekali gus tidak harus membazirkan masa dengan begitu saja.

Cuba teliti beberapa aktiviti disarankan di bawah yang boleh dilakukan untuk mengisi masa. Mungkin ia boleh membantu mengatasi kebosanan dan memberikan satu pengalaman baru buat adik.

Lima Aktiviti Mengisi Masa Lapang
* Membaca

Membaca adalah aktiviti yang boleh kita lakukan apabila kita mempunyai masa lapang. Aktiviti membaca banyak faedahnya kepada kita. Selain dapat menambahkan pengetahuan, kita juga dapat memperbaiki penguasaan bahasa dan menambahkan perbendaharaan bahasa. Antara bahan bacaan yang sesuai dibaca pada masa lapang ialah akhbar, majalah dan buku agama atau bahan ilmiah berbentuk motivasi.

* Menanam pokok hiasan

Menanam pokok hiasan di halaman rumah juga aktiviti masa lapang yang baik. Rumah yang dihiasi dengan tumbuhan hijau akan mencantikkan lagi pemandangan rumah berkenaan. Di samping itu, udara di sekeliling rumah menjadi lebih bersih dan segar. Antara pokok hiasan yang boleh ditanam ialah pokok bunga kertas, bunga raya dan pokok puding serta pokok pisang.

* Beriadah

Di samping itu, aktiviti beriadah juga sesuai untuk mengisi masa lapang kita. Aktiviti beriadah boleh kita lakukan di taman permainan atau di tepi pantai. Aktiviti riadah boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memupuk nilai murni di kalangan ahli keluarga jika dilakukan bersama-sama ahli keluarga. Antara aktiviti riadah ialah berjoging, menunggang basikal dan berenang di tepi pantai. Dalam melakukan aktiviti riadah, aspek keselamatan perlu diutamakan.

* Memancing

Masa lapang kita juga boleh diisi dengan memancing ikan. Di samping mengisi masa lapang, aktiviti memancing juga membolehkan seseorang mendapat ikan untuk dijadikan makanan keluarga. Lazimnya, aktiviti memancing juga membolehkan seseorang mempraktikkan nilai kesabaran dalam kehidupan.

Aktiviti memancing ikan boleh dilakukan di tepi pantai, di tepi sungai dan di kolam. Jika dilakukan bersama keluarga, pasti hubungan kekeluargaan menjadi semakin erat. Malah, ia waktu sesuai bagi kita berbincang, menyelami hati dan perasaan antara ahli keluarga.

* Menziarahi keluarga

Menziarahi keluarga dan saudara-mara juga antara aktiviti yang boleh kita lakukan pada masa lapang. Kehidupan masa kini yang semakin sibuk menjadikan hubungan kekeluargaan semakin longgar. Aktiviti menziarahi keluarga akan dapat merapatkan semula hubungan kekeluargaan.

Hari yang sesuai untuk aktiviti ziarah ialah pada hujung minggu atau cuti umum. Aktiviti menziarahi tunggak mewujudkan keluarga bahagia. Jangan lupa, aturkan acara seperti sukaneka, permainan tradisional dan barbeku

No comments: