20.2.13

Isu Kalimah Allah BerGEMA Lagi....

KOTA BHARU 19 Feb. - Pertelagahan antara pemimpin Pas dengan Karpal Singh terus memuncak apabila Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mahu Pengerusi DAP itu menjaga mulut dan belajar duduk diam serta tidak ghairah menyuruh pihak lain menerima saranannya.

Menurut Mohd. Amar, pemimpin senior DAP tersebut tidak sepatutnya memperkecilkan peranan Majlis Syura Ulama Pas kerana bagi parti itu, majlis tersebut adalah badan tertinggi yang mana keputusannya melangkaui semua urusan parti.

Beliau dengan nada tegas berkata, semua ahli Pas akan patuh dan menyokong keputusan Majlis Syura Ulama biarpun DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggap itu hanya komponen kecil dalam parti itu.

“Saya mahu ‘nasihatkan’ Karpal, belajar duduk diam, jangan gatal mahu bercakap semua perkara, jangan cakap banyak.

==============================

Pertahan kalimah Allah satu jihad - Harussani

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Ketegasan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang terus mempertahankan kalimah Allah seharusnya menjadi contoh kepada pemimpin Pas lain. 

Tindakan itu memperlihatkan keberanian kedua-dua pemimpin tersebut melawan arus walaupun Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah bersetuju supaya kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam seperti dicapai dalam mesyuarat pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, mempertahankan agama apatah lagi kalimah suci Allah adalah jihad fisabilillah yang wajib ke atas semua umat Islam tanpa mengira apa juga pendirian mahupun ideologi politik mereka.

Jelasnya, umat Islam mesti bersedia untuk berkorban apa sahaja demi agama dan juga akidah apatah lagi melibatkan Allah.

===============================

KUALA TERENGGANU 18 Feb. - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib mengecam Pengerusi DAP, Karpal Singh yang dilihat memperkecilkan peranan Majlis Syura Ulama Pas dengan menganggap majlis itu hanya bersifat minoriti dalam parti sekutunya itu.

Sambil menyifatkan Karpal sebagai 'tidak tahu apa-apa' tentang Pas dan 'kehabisan modal', beliau menegaskan, Majlis Syura Ulama Pas berada di kedudukan tertinggi sekali gus mempunyai kuasa lebih besar dalam membuat sebarang ketetapan atau keputusan parti.

Pada masa sama, jelasnya, Majlis Syura Ulama juga merupakan pemegang polisi atau dasar parti dan peranan pentingnya itu tidak boleh dipertikaikan dan mesti dihormati.

"Karpal tak tahu apa-apa dalam parti Pas sebab dia orang luar. Dalam Pas, Majlis Syura Ulama lebih tinggi kuasanya malah merupakan pemegang polisi atau pun dasar parti.

"Macam mana dia boleh kata Majlis Syura Ulama tidak mewakili majoriti? Majlis Syura badan tertinggi dalam Pas. Keputusan Majlis Syura adalah pendirian Pas. Sebab itu saya sokong kenyataan Haron Din.

"Sebenarnya, Karpal sudah tiada modal. Kita kena ikut suara terbanyak termasuk berkaitan penggunaan kalimah Allah yang hanya khusus untuk umat Islam," katanya kepada di sini hari ini.

Semalam, Karpal yang pernah memberi kata dua agar langkah mayatnya dulu jika Pas mahu menubuhkan negara Islam meminta semua pihak khususnya Majlis Syura Ulama parti itu menghormati keputusan pembangkang pada 8 Januari lalu berhubung kalimah Allah.
Katanya, keputusan itu merupakan pendirian pakatan pembangkang yang diputuskan dalam mesyuarat yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sedangkan keputusan Majlis Syura Ulama Pas, kata Karpal, adalah satu bahagian kecil dan tidak mewakili majoriti.

Namun golongan ulama dalam Pas nyata tidak berganjak apabila Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berjanji mempertahankan kalimah Allah dan beliau mengingatkan sesiapa sahaja yang merelakan kalimah suci tersebut digunakan bukan Islam bermakna mereka mensyirikkan Allah.
Harun mengingatkan, beliau akan bersama-sama Timbalan Mursyidul Am Pas itu yang tetap mempertahankan kalimah Allah sampai bila-bila dan tidak sekali-kali membiarkan kalimah itu turut digunakan penganut agama lain.

Beliau juga percaya ramai lagi para pemimpin Pas yang turut mempunyai pendirian serupa dalam mempertahankan penggunaan kalimah Allah itu.

Ditanya tindakan Dewan Ulama Pas jika Karpal berterusan membangkitkan perkara tersebut, Harun berkata, kenyataan Pengerusi DAP itu tidak perlu dilayan.

"Karpal ini kenyataan dia tak boleh pakai. Ikut suka dialah nak cakap apa. Kita dalam Pas pun bukan ikut cakap dia," katanya.



No comments: